1) MALAYSIA JUARA PIALA SUZUKI AFF 2010 ! Tidak perlu dibincangkan panjang lebar, cukup untuk menggembirakan satu negara. Kita tewaskan Indonesia dengan aggregat 4-2 sekaligus menobatkan Malaysia sebagai juara bola sepak rantau Asia Tenggara. Maka 29 Disember, 2010 akan diingati sebagai tarikh bersejarah buat negara ini.
2) Indonesia, Vietnam, Thailand, Filipina, Singapura, Laos, Kemboja, Myanmar, Brunai Darussalam dan Timor Leste pastinya akan terus mencemburui kita selepas ini dan semoga kelekaan dan sifat hanyut dengan pujian tidak akan menyebabkan Malaysia menjadi lemah lagi pada masa mendatang. Sekali menang maka bergandalah pula keperitan untuk terus mempertahankan 'takhta.'
3) Jika dilihat kepada purata usia para pemain Malaysia yang digelar HARIMAU MUDA itu sememangnya 1001 harapan dan keyakinan dapat 'dipautkan' ke bahu mereka. Dengan usia purata yang berlegar di angka 21 dan 22 tahun maka pencapaian menjadi juara Asia Tenggara buat kali pertama ini dapatlah memberikan sinar baru kepada bola sepak negara.
4) Selepas ini, status selaku pasukan NOMBOR SATU di Asia Tenggara wajarlah terus dipertahankan dan misi seterusnya ialah untuk menjadi pasukan yang disegani di peringkat benua pula. Harapnya ialah Malaysia akan dapat menjadi di antara 10 pasukan terhebat di benua Asia dalam tempoh 2 tahun ini. Jangan cerita tentang Brazil, Sepanyol, Portugal, England dan Argentina. Kita perlu cerita dahulu nama-nama seperti Jepun, Korea Selatan, Korea Utara, UAE dan Iran. Bolehkah kita mengejar mereka di peringkat Asia? Usaha tangga kejayaan dan tiada yang mustahil!
5) Menjelang Piala Dunia 2014 yang bakal diadakan di Brazil, kita positif untuk melihat Malaysia dapat memberikan saingan yang memberangsangkan di pusingan kelayakan benua Asia yang dijangka diadakan di sekitar awal 2013.
6) Untuk lebih realistik, tidaklah kita mengharapkan Malaysia mara ke Piala Dunia 2014 kerana Thailand dan Singapura yang masing-masing pernah menjuarai Piala Suzuki AFF (dahulu dekenali sebagai Piala Tiger) sebanyak tiga kalipun tidak pernah berjaya menjadi juara kejohanan Asia apalagi mara ke Piala Dunia. Apa yang kita harapkan ialah kebangkitan Malaysia untuk menjadi pasukan yang turut dihormati di benua Asia dan bukannya umpama 'budak belasahan' semata-mata seperti yang berlaku di sepanjang dekad 1990an dan 8 tahun pertama abad yang ke 21.
7) Suka atau tidak kita terpaksa mengaku bahawa bola sepak adalah sukan nombor satu di Malaysia! Maka tidak hairanlah 'jenama-jenama' bola sepak seperti Liga Perdana Inggeris, Piala Dunia, Kejohanan Euro dan berderetan lagi liga-liga tempatan di Jerman, Sepanyol dan Itali terutamanya turut menjadi kegilaan orang kita. Maknanya ialah bola sepak adalah sebahagian daripada kehidupan majoriti rakyat Malaysia terutamanya kaum Adam.
8) Skuad HARIMAU MUDA itu dan jurulatihnya yang dihormati iaitu Saudara K. Rajagobal sewajarnya diberikan pujian dan insentif yang setimpal bolehlah dihadiahkan sebagai penyuntik semangat untuk lebih berprestasi tinggi lagi selepas ini.
9) AWAS ! Insentif dan pujian yang berlebihan tidaklah diperlukan kerana kita gusar mereka ini akan 'hanyut dan lemas' di daratan pula nanti. Ada baiknya insentif yang diberikan itu dibahagikan kepada dua bahagian untuk memastikan kebajikan mereka selepas 'gantung but bola' nanti lebih terjamin. Contohnya, 40% diberikan terus dan 60% lagi diletakkan di bawah satu akaun kawalan persatuan yang boleh dikeluarkan apabila pemain itu bergelar 'Harimau Pencen' di kala usia mereka melebihi 35 tahun kelak. Dengan usia yang masih muda dan mentah, jika 100% habuan diberikan dalam sekelip mata maka kemungkinan untuk mereka 'leka dan khayal' sekaligus bakal menjejaskan prestasi adalah amat tinggi.
10) Diharapkan juga zaman di mana pemain-pemain bola sepak negara yang 'ada rupa' dijadikan umpama artis, 'poster boy' dan personaliti hiburan wajarlah ditinggalkan jauh-jauh. Pemain bola sepak adalah atlet milik negara yang tugasnya adalah mengekalkan prestasi tinggi pada setiap masa dan hidup dalam disiplin dan rutin harian yang penuh terkawal. Di Malaysia ini, apabila atlet mula 'diagung-agungkan' maka mulalah tahap kecergasan, keupayaan dan mental mereka terjejas. Mudah 'mabuk' dengan populariti, glamor dan 'ganjaran ekspres.' Kita yakin bahawa si HARIMAU MUDA kendalian Cikgu Rajagobal ini tidak akan menjadi seperti itu! Tidaklah perlu rasanya untuk mana-mana negeri menganugerahkan Rajagobal dengan gelaran DATUK pula di tahun 2011 nanti. Kita juga pasti, tanpa bergelar DATUK sekalipun, beliau sudah dikenali, cukup dihormati dan mula disayangi oleh rakyat Malaysia. Kalau sudah berkali-kali menang lagi selepas ini, mari kita cadangkan pada Yang Dipertuan Agong untuk menganugerahkan 'Coach Raja' dengan gelaran DATUK K RAJAGOBAL. Baru ada kelas, 'Datuk Agong' namanya!