UMRAH
1) Semalam (21 April), sahabat sepengajian waktu ijazah pertama dahulu menelefon saya.
2) Namanya Khairul Azhar Bin Isa. Dia orang Johor seperti saya juga tetapi berasal dari Muar, sebelah daerah kelahiran saya sahaja (Segamat).
3) Sahabat saya ini sekarang seorang eksekutif di sebuah bank pelaburan.
4) Azhar menelefon saya kerana mahu memberitahu yang dia akan menunaikan Umrah ke Mekah pada bulan hadapan. Saya sungguh terharu bercampur gembira mendengar khabaran itu. Pertama kali dalam hidup saya seorang sahabat lama membuat 'pengumuman' mahu pergi ke Mekah menunaikan Umrah (ada orang panggil ianya sebagai Haji kecil).
5) Azhar mohon maaf andainya ada silap dan salah dibuatnya sepanjang 4 tahun kami bergelar rakan sekuliah yang memang rapat dahulu. Dia minta saya halalkan apa jua yang sepatutnya.
6) Azhar ini banyak menyumbang kepada perjalanan hidup saya 'menuju' ke jawatan pensyarah di universiti.
7) Sewaktu di alam ijazah dahulu, dia kerap datang ke rumah saya untuk belajar. Dia menyewa rumah dengan seorang lagi rakan sekelas kami yang merupakan pelajar 'kelas pertama.' Sahabat itu juga umpama seorang 'guru' kepada rakan-rakan sekelas. Selalu buat 'tuisyen' secara percuma di rumahnya.
8) Azhar lebih senang 'bercikgukan' saya. Dia kata, saya lebih memahami masalah 'budak-budak' yang lemah dan susah mahu faham. Kebiasaannya, sebelum Azhar datang ke rumah, saya akan 'mengajar' diri saya dahulu. Saya mahu pastikan dia akan faham sepenuhnya apa yang saya 'ajar' itu.
9) Lebih menarik lagi adalah sikap Azhar yang suka pergi ke rumah sewaan saya dahulu sebelum ke kampus untuk menghadapi ujian. Dia kata mahu dapatkan ketenangan dan dapatkan 'restu cikgu.' Kelakar sungguh bila saya kenangkan detik-detik itu. Apabila dia ada masalah dan terasa jiwanya kacau , semestinya saya jugalah yang dicarinya. Jadilah saya seorang kaunselor yang tidak bertauliah.
10) Azhar akan menjejakkan kakinya ke bumi Mekah yang suci lagi mulia. Moga Tuhan memberkati niat baiknya itu. InsyaALLAH.
HULU SELANGOR
1) Ahad ini (25 April) akan berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor.
2) Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mewakili Pakatan Rakyat (PR) akan cuba mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada tahun 2008 itu. PKR akan ditentang calon Barisan Nasional (BN) daripada MIC. Tahun 2008, PKR menang dengan majoriti kecil 198 undi sahaja. Menariknya, BN menang di ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah parlimen Hulu Selangor itu.
3) Jika dicampur undi majoriti di kesemua DUN itu, BN menang dengan kelebihan kira-kira 6000 undi. 2 kerusi DUN dimiliki oleh UMNO dan satu di pihak MCA. Unik, pengundi yang sama tetapi keputusan undiannya adalah berbeza! Ini namanya, pengundi yang penuh taktikal dan strategi.
4) Ada yang kata, BN tewas di Parlimen kerana orang Hulu Selangor yang majoritinya Melayu sudah bosan dengan calon MIC iaitu G. Palanivel dan pada masa yang sama PKR meletakkan Dr. Zainal Abidin Ahmad yang pernah menjadi Timbalan Menteri Besar sewaktu masih bernaung di bawah 'payung' UMNO. Dr. Zainal Abidin memang dikenali dan mempunyai rekod perkhidmatan yang baik dengan orang Selangor terutamanya masyarakat desa.
5) PKR meletakkan Zaid Ibrahim, 'impot' dari Kota Bahru, Kelantan. BN pula letakkan P. Kamalanathan, anak jati Selangor yang memang jiwanya dan dirinya 'sentiasa dekat' dengan kawasan itu. Orang Hulu Selangor bukannya orang Pulau Pinang, Kuala Lumpur ataupun Petaling Jaya. Cara mereka memilih wakil rakyat cukup berbeza. Jelas, PKR seperti 'terlalu yakin' hingga lupa bahawa orang desa tidak berapa 'berkenan' dengan calon yang bila berjabat tangan riak mukanya seperti 'datuk-datuk' dan tidak cukup 'kecoh' bila berborak bertanya khabar.
ANAK SAUDARA
1) Sehari dua lagi, saya akan bergelar bapa saudara.
2) Malam tadi (21 April) emak memberitahu saya melalui telefon bahawa Kak Aida (isteri abang) akan masuk hospital sama ada hari ini ataupun esok. Maknanya, bila-bila masa sahaja daripada sekarang, dia akan melahirkan anak sulungnya itu.
3) Abang saya berkahwin pada 1 Mei tahun lepas. Tarikh itu juga adalah ulang tahun perkahwinan Emak dan Encik (ayah).
4) Abang berkahwin agak lewat. Menjelang usia 36 tahun nampaknya barulah dia bergelar seorang bapa, InsyaALLAH.
5) Kelahiran bayi ini amatlah dinanti-nantikan keluarga kecil kami (saya, Emak, Encik dan Abang). Encik sudah berusia 60 tahun, sememangnya dialah yang kelihatan cukup 'bersemangat' menantikan 'kehadiran' cucu sulungnya itu. Kadang-kadang saya lihat Encik lebih teruja daripada Abang pula. Maklumlah, kali terakhir rumah kami 'bingit' dengan suara bayi menangis siang dan malam ialah sewaktu saya lahir dahulu. Sudah hampir 28 tahun berlalu!
Neba2020: Hidup ini banyak sebenarnya peristiwa dan kenangan yang boleh kita raikan sewajarnya. Kadang-kadang ada orang menyifatkan hidupnya sebagai tidak bererti, tidak bahagia, tidak ceria, tidak seronok dan tidak ada apa yang boleh digembirakan. Masalahnya ialah apabila kita sendiri cuba mengecilkan ruang lingkup kehidupan diri sendiri, tidak memanfaatkan insan-insan yang bernama keluarga itu dan mungkin kita yang terlalu cerewet dan tidak pandai bergaul dan memainkan peranan yang sewajarnya sebagai seorang manusia ciptaan TUHAN....
1 comment:
Azhar:
Saya telah menghubungi Azhar dan mengucapkan selamat jalan dan selamat sejahtera berangkat pergi dan berangkat pulang dalam menunaikan ibadat umrah. Dia seorang kawan, sahabat malah seperti saudara kepada kami yang menetap di rumah sewaan yang sama. Selalu bertandang mencari ilmu, berbincang tentang pelajaran, berbicara hal ehwal semasa dan berbual tentang keadaan sekeliling.
PRK:
Tak mahu komen lebih lebih, tetapi yang menariknya 3 DUN dalam genggaman BN. Parlimennya pula bekas PKR.Dapat merasakan sesuatu yang menarik bakal berlaku dengan calon-calonnya yang mempunyai latar belakang yang menarik
Baby baru:
Tahniah buat Fendi. Pada Jumaat hari yang mulia dan penuh berkah beliau telah menerima kelahiran ahli keluarga baru. Anak saudara perempuan. Semoga Fendi melalui hari-hari penuh kenangan indah dengan datangnya 'baby baru' dan menikmati betapa manisnya mempunyai seorang 'junior' walaupun hanya anak saudara
Post a Comment