Friday, April 9, 2010

Siti Nurhaliza

Salam Buat Semua,

1) Siti Nurhaliza diiktiraf sebagai Bintang Paling Popular buat kali yang ke 7 di Anugerah Bintang Popular (ABP) 2009 yang berlangsung pada malam 4 April, 2010 di Genting Highlands, Kota Keriangan.

2) Dia pernah diangkat sebagai artis paling popular di Malaysia ini bagi tahun 1997, 1998, 1999, 2000, 2001 dan 2004. Tahun 2002 dan 2003, gelaran tersebut diraih masing-masing oleh Rosham Nor dan Saiful Apek. Mawi bergelar yang terpopular selama tiga tahun berturutan bermula pada edisi 2005 sebelum dimiliki oleh 'Raja Lawak' Nabil untuk tahun 2008.

* Artis Paling Popular / Bintang Paling Popular

1990/1991 - AISHAH
1991/1992 - ZAINAL ABIDIN
1992/1993 - EMAN MANAN
1993/1994 - SOFEA JANE
1994/1995 - M NASIR
1995/1996 - ZIANA ZAIN
1996/1997 - SITI NURHALIZA
1998 - SITI NURHALIZA
1999 - SITI NURHALIZA
2000 - SITI NURHALIZA
2001 - SITI NURHALIZA
2002 - ROSHAM NOR
2003 - SAIFUL APEK
2004 - SITI NURHALIZA
2005 - MAWI
2006 - MAWI
2007 - MAWI
2008 - NABIL
2009 - SITI NURHALIZA

3) Sesuatu yang hebat untuk dicatatkan ialah kemampuan Siti untuk terus bergelar sebagai Penyanyi Wanita Popular di ABP selama 13 tahun berturut-turut (1997-2009) walaupun 'ratusan' penyanyi baru telah 'datang dan pergi' di sepanjang tempoh itu. Mungkin ada yang tidak meminati Siti, tidak suka kepada personaliti Siti, merasakan Siti adalah penyanyi bertaraf 'kampung,' Siti perempuan hipokrit, Siti artis yang berpura-pura dan 1001 macam alasan lainnya. Hakikat yang harus diterima ramai ialah terlalu banyak pula orang yang meminati, menyenangi dan menyanyangi insan bernama Siti Nurhaliza Taruddin ini. Sekelumit manusia yang tidak suka padanya, mungkin juga jutaan pula yang cukup setia lagi senang hati untuk mengikuti perjalanan karier seninya itu.

4) Siti Nurhaliza mula 'melangkah' ke arena muzik Malaysia selepas bergelar juara pertandingan pencarian bakat baru di RTM iaitu Bintang HMI (Hiburan Minggu Ini) pada tahun 1995. Dia berada di Tingkatan 4 persekolahannya ketika itu.

5) Beliau muncul dengan album pertamanya pada tahun 1996 dan namanya terus 'meledak' di dalam industri hiburan Malaysia selepas lagu dendangannya yang berjudul Jerat Percintaan meraih gelaran utama Anugerah Juara Lagu 1996. Tahun 1997 nama beliau terus menjadi 'kegilaan' ramai apabila 2 lagunya 'menguasai seluruh Malaysia' iaitu Aku Cinta Padamu dan Cindai. Segalanya selepas itu adalah sejarah cukup unik lagi indah bagi anak jati Pahang Darul Makmur ini.

Neba2020: Meraih populariti lebih mudah daripada mempertahankan populariti.... Kita boleh popular dengan publisiti murahan tetapi kita tidak boleh terus bergantung kepada 'benda-benda murahan' untuk terus disukai dan disayangi ramai....

2 comments:

wira internet said...

Saya lebih selesa jika Siti kekal dengan irama Malaysia dan world music daripada pop.

Helmy Ahmad said...

Usia ABPBH telah menjangkau 23 tahun. Pelbagai artis telah datang dan pergi. Menjadi popular dan ada yang terus malap dan lenyap dalam kehidupan kita. Kalau boleh Fendi, senaraikan artis yang mendapat gelaran tersebut bermula sejak tahu 80'an lagi pemenang-pemenangnya. Seperti yang pernah kita lakukan untuk Anugerah Filem Terbaik bermula pada tahun 1981......