Sunday, March 28, 2010

Anwar Ibrahim Bapa Konspirasi Malaysia Moden?

Salam Buat Semua,

1) Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang pernah 'bernaung' di bawah 'payung' Parti Keadilan Nasional (PKR) mendedahkan sesuatu yang 'panas' di dalam Parlimen sewaktu persidangan Rabu, 24 Mac, 2010.

2) Beliau mendakwa pernah diberi tawaran lumayan untuk mengaitkan Perdana Menteri dan isteri dalam kes pembunuhan Altantuya Shaaribu, gadis Mongolia yang cukup 'popular' namanya di Malaysia ini.

3) Zulkifli berkata, antara tugasnya ialah mendapatkan pengakuan bersumpah daripada Perdana Menteri dan isteri selain diminta membuat surat akuan bersumpah bahawa Mohd. Najib dan Rosmah terlibat dalam pembunuhan tersebut.

4) 'Seingat' kita, orang yang paling lantang dan bersemangat tinggi dalam cubaan mengaitkan Mohd. Najib dan Rosmah dengan isu Altantunya ini semestinya 'Ketua Umum' PKR merangkap Ketua Pembangkang iaitu Anwar Ibrahim yang sejak dahulu lagi cukup 'kepingin' untuk memegang jawatan Perdana Menteri (PM) Malaysia.

5) Cubaan beliau untuk menjadi PM melalui 'jalan belakang' menjelang 16 September, 2008 ternyata gagal dan segala muslihat beliau ternyata tidak cukup 'ramuan herba' dan sekadar 'umpama mimpi dalam mimpi.' Sebaliknya, Anwar pula yang kini sedang berhadapan dengan kes 'main belakang' dengan seorang jejaka muda bernama Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

6) Perdana Menteri ke 4 iaitu Dr. Mahathir Mohamad pada Sabtu, 27 Mac, 2010 menyifatkan Anwar sebagai orang yang cukup licik tindakannya dan amat bijak dalam merancang konspirasi. Di dalam senyap, Dr. Mahathir mengatakan yang Anwar pernah cuba menggerakkan cubaan halus untuk menjatuhkan kempimpinannya dahulu.

7) Dr. Mahathir adalah individu yang cukup 'bersungguh membawa' Anwar ke dalam UMNO pada tahun 1981 dan selepas itu terus 'merelai' anak kebanggaan Cherok Tok Kun itu menjadi 'putera mahkota' UMNO sehingga 'tertabal' sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam masa 12 tahun sahaja selepas mengganggotai UMNO.

8) Menurut Dr. Mahathir, "Dia pernah membuat konspirasi untuk menjatuhkan saya, semua orang tahu dia arah orang serang saya, kata saya ada kroni tetapi Anwar sendiri berpura-pura baik orang nombor dua dalam Kabinet. Belakang saya dia lakukan tetapi di depan saya kami boleh duduk semeja."

9) Ironinya, sebaik sahaja tersingkir daripada Kabinet dan UMNO pada tahun 1998, Anwar dengan yakinnya telah memberitahu satu dunia bahawa beliau telah menjadi mangsa konspirasi Dr. Mahathir yang mahu menjatuhkannya. Hakikatnya, akal logik sama sekali tidak dapat menerima betapa sang ketua perlu melakukan agenda busuk untuk menjatuhkan orang bawahannya. Perdana Menteri tidak perlu 'berkonspirasi' untuk menjatuhkan Timbalannya kerana sekiranya ada sebab yang wajar, pada bila-bila masa sahaja proses pemecatan boleh dilakukan. Mahkamah Persekutuan sendiri telah mengesahkan betapa tindakan Dr. Mahathir 12 tahun lepas adalah selari dengan undang-undang negara.

10) Jika orang 'di bawah' ingin menjatuhkan orang 'di atas' kerana mahu cepat menjadi ketua dan meraih kuasa, itu sememangnya lumrah dunia yang logiknya mudah diterima akal manusia.

Neba2020: Konspirasi adalah ilusi, konspirasi adalah imaginasi, konspirasi adalah persepsi, konspirasi adalah aspirasi ???

Thursday, March 25, 2010

Tiada Masa, Sebok dan Penat Selalu

Salam Buat Semua,

1) Terasa penat sahaja fizikal dan pemikiran sejak akhir-akhir ini.

2) Ada rakan-rakan yang sempat menghantar 'komentar' di pesanan ringkas telefon (SMS) menanyakan apa sudah terjadi kepada saya. Mereka kata blog sudah lama tidak di'update' dan kadang-kala panggilan telefon mahupun emel juga tidak mendapat respon.

3) Jika seorang yang 'perasan' tidaklah saya 'tersedar' akan keadaan akhir-akhir ini. Kisahnya, apabila muncul 'responden' kedua dan juga yang ke tiga mengusulkan perkara yang sama kepada saya maka timbullah 'kesedaran' betapa keadaan terkini diri ini sememangnya umpama 'mesin kilang' yang sentiasa mempunyai tugasan yang perlu diselesaikan dalam masa yang ditetapkan.

4) Apapun, tugas dan 'bebanan' yang diamanahkan haruslah dijalankan sebaik mungkin dan kualiti yang akan terhasil nanti akan menjadi 'penanda aras' akan kemampuan diri dalam mengendalikan apa jua yang perlu dilaksanakan itu.

5) Kita akan sentiasa dinilai berdasarkan apa yang kita lakukan dan sekali kita membuat silap bermakna 'persepsi negatif' akan terus melekat di dalam ingatan mereka yang memerhatikan. Ironinya, kebaikan yang dibuat tidak akan diingat orang untuk jangkamasa yang panjang. Itulah resam dunia, suka mahupun tidak ianya sudah 'tertulis.'

Neba2020: Percaya kepada kuasa Tuhan dan rahmatNYA, kita akan terus dapat bernafas dengan lancar dan aman walaupun apa jua tugasan dan halangan yang perlu dihadapi ....

Monday, March 8, 2010

Tsunami Politik 2008: 2 Tahun Yang Berlalu ....

Salam Buat Semua,

1) Saya dan rakan-rakan 'sekepala' generasi 20an yang layak mengundi memikirkan satu 'taktik khas' bersempena dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 yang berlangsung pada tanggal 8 Mac, 2008. Mereka 'menterjemahkan' apa yang dirancangkan itu ke kertas undi, saya pula yang diawalnya berfikir-fikir mahu 'turut serta' tetapi akhirnya terus mengekalkan 'status quo' sahaja.

2) Ramai yang berasa betapa Barisan Nasional (BN) masih merupakan pilihan terbaik di sebalik 'barisan kekotorannya.' Gabungan 'Pakatan Rakyat' (PR) yang dibarisi PKR, DAP dan PAS masih belum boleh dipercayai untuk mentadbir negara ini. 'Perkahwinan' mereka lebih kepada matlamat untuk 'menjatuhkan' BN dan ideologi 'kesatuan' untuk sama-sama mentadbir negara masih kabur lagi terawang-awang.

3) Masalahnya, 'imej' Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi kelihatannya cukup rapuh, lemah dan tidak meyakinkan untuk mengepalai negara ini ke arah kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan yang dia sendiri laung-laungkan itu.

4) Maka ada di kalangan rakan-rakan, saudara-mara dan kenalan sekeliling yang mengambil pendekatan penuh strategik untuk PRU 12 itu.

5) Masih mahu menyokong BN, tidak percaya kepada PR tetapi mahu mengajar BN di bawah Perdana Menteri Abdullah juga 'mereka' yang berada rapat di sekeliling beliau.

6) Apa yang harus dibuat?

7) Seorang rakan memilih untuk mengundi parti pembangkang di kawasan Parlimen dan terus kekal menyokong BN di kawasan negeri (DUN). Logiknya, tidak mahu negeri jatuh ke tangan pembangkang tetapi mahu mengurangkan 'kuasa' BN di Parlimen sekaligus menunjukkan kepada Perdana Menteri Abdullah bahawa banyak tindak-tanduknya selepas 'menang besar' pada tahun 2004 adalah tidak disenangi rakyat termasuklah di kalangan penyokong kuat BN.

8) Tidak hairanlah jika diteliti, banyak kerusi Parlimen yang dimenangi oleh gabungan PKR, DAP dan PAS itu apabila diteliti pula komposisi kerusi DUNnya pula jelas 'dikuasai' BN.

9) 'TSUNAMI' besar berlaku, 'hajat' sesetengah rakyat yang ingin 'menjentik' pentadbiran Perdana Menteri Abdullah rupa-rupanya telah berubah kepada 'tumbukan K.O' yang menenggelamkan hampir 40% 'kapal besar' BN ke dasar laut. BN hilang majoriti 2/3 di Parlimen, 4 negeri 'disambar' PR, Kelantan terus 'bertemankan' PAS dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sendiri dikuasai wakil-wakil PR sebagai ahli Parlimennya.

10) Ada yang menyesal kerana bertindak sedemikian. Mereka hakikatnya bukan mahu sangat mengundi calon-calon parti pembangkang tetapi sekadar mahu 'mengusik' pentadbiran Perdana Menteri Abdullah yang kadang-kadang seakan 'lena' selalu. Ramai juga para penyokong PR yang cukup gembira dengan prestasi cemerlang PKR, DAP dan PAS di PRU 12. Mereka yakin PRU ke 13 nanti akan menjadi detik peralihan kuasa daripada BN kepada PR sepenuhnya. Malangnya mereka terlupa bahawa sentimen pengundian pada 8 Mac, 2008 itu cukup 'istimewa' dan faktor 'Pak Lah', KJ, 'serangan' Tun Dr. M, peningkatan mendadak harga petrol juga barangan keperluan asas dan kesuraman imej Malaysia di persada dunia jelas 'membantu' PR dan prestasi hebatnya sewaktu itu.

Neba2020: 2 tahun berlalu, 2 tahun ke hadapan terus dinanti ....

Friday, March 5, 2010

PKR: Niat Ingin 'Mencuri' Kini 'Kehilangan' ?

Salam Buat Semua,

1) Sebaik sehaja selesai Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 pada Mac, 2008, 'heboh' dikhabarkan bahawa pakatan tiga parti pembangkang yang dianggotai PKR, DAP dan PAS akan 'menumbangkan' kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) menjelang 16 September, 2008.

2) Sewaktu PRU 12, gabungan tiga parti pembangkang yang secara longgarnya (tidak berdaftar dan tidak bertanding di bawah satu nama khas) dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR) itu memenangi 82 kerusi Parlimen sekaligus menidakkan majoriti dua pertiga (2/3) BN yang memperoleh 140 kerusi Parlimen.

3) 'Tuan Besar' PR iaitu Anwar Ibrahim menjaja ke pelusok alam bahawa BN akan 'tumbang' menjelang 16 September, 2008 dan negara akan diperintah oleh PR.

4) Secara tidak langsung, beliau mahu mengatakan bahawa 'saya akan menjadi Perdana Menteri Malaysia apabila tibanya 16 September.'

5) Kaedahnya ialah akan berlakunya 'lompatan' beramai-ramai anggota Parlimen BN ke dalam PR. Semua orang-orang kuat PR ketika itu cuba 'menghalalkan' kaedah itu atas nama untuk mengujudkan sebuah pentadbiran kerajaan yang 'lebih adil, telus dan cekap.'

6) Lama berlalu, muncullah pula bulan Februari dan Mac, 2010. Setakat 4 Mac, 2010, sudah 3 orang ahli Parlimen yang mewakili PKR telah keluar parti lantas mengisytiharkan diri masing-masing sebagai ahli Parlimen bertaraf Bebas. Senang kata, mereka ini sudah hilang kepercayaan kepada perjuangan PKR khasnya dan PR amnya tetapi tidak juga yakin kepada BN.

7) Zahrain Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) semuanya telah mengucapkan 'selamat tinggal' kepada PKR.

8) Jumlah ahli Parlimen yang dimiliki PKR kini tinggal 28 orang sahaja. DAP dan PAS selaku 'kawan baik' PKR masing-masing kekal dengan kerusi Parlimen berjumlah 28 dan 22.

9) Jika keinginan 'mencuri' ahli-ahli Parlimen BN dahulu dianggap oleh pemimpin-pemimpin PR sebagai wajar, 'halal' dan benar tetapi tindakan keluar parti oleh tiga ahli Parlimen PKR itu telah dilabelkan sebagai pengkhianat, tidak berpendirian, 'dibeli' dan orang yang bermasalah juga mementingkan peribadi.

10) Nampaknya mereka sendiri (PR) tidak sedar bahawa diri sendiri juga 'gilakan kuasa dan kedudukan' sehingga apa yang dilihat dapat menghadirkan 'kuasa' akan dianggap sebagai betul dan 'halal' walaupun cuba menganiaya pihak lain. Ironinya, mereka selalu melaung-laungkan BN sebagai 'gila kuasa' dan suka bermain kotor.

Neba2020: Teringat pula kepada lagu dendangan Aishah iaitu Janji Manismu - ' Oh dunia ini penuh kepalsuan, oh mungkinkah tiada keikhlasan... Apakah ini suatu pembalasan, kusedar kebesaranMu Tuhan... '