Friday, November 20, 2009

"SOK SEK" Politik - Mungkin YA Mungkin TIDAK

Salam Buat Semua,

1) Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 DIJANGKA diadakan pada suku pertama tahun 2011, 3 tahun selepas PRU ke 12 yang disifatkan ramai sebagai sebuah 'tsunami politik.'

2) Mohd. Najib Abdul Razak memerlukan mandat untuk dirinya yang tersendiri selaku Perdana Menteri. Mandat sedia ada lebih kepada tanda 'kepercayaan dan sokongan' rakyat kepada bekas Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi pada Mac, 2008.

3) Sentimen semasa rakyat kelihatannya memihak kepada Mohd. Najib, sekurang-kurangnya dia kini tidak terlalu dipandang sinis oleh majoriti ahli masyarakat.

4) Mohd. Najib DIJANGKA akan menggunakan tahun 2010 sepenuhnya sebagai tempoh 'pengukuhan imej dan kredibiliti' beliau sebagai seorang Perdana Menteri untuk rakyat Malaysia. Tahun 2009 lebih merujuk kepada tempoh beliau menyesuaikan dirinya sebagai ketua yang baru dan menyebar-luaskan ideologi 1Malaysia yang merupakan 'jenama' pentadbirannya.

5) PRU ke 13 juga DIRAMALKAN diadakan serentak dengan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. Kali terakhir ianya diadakan ialah pada tahun 2007, kebiasaannya pembubaran dilakukan setiap 4 tahun sekali. Sehingga kini, hanya DUN Sarawak sahaja yang Pilihan Rayanya tidak diadakan serentak dengan PRU.

6) PRU 13 DIPERCAYAI akan memberi kembali Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 2/3 di Parlimen. 'Tsunami 2008' akan reda dan BN akan 'kukuh' semula cengkamannya di Parlimen.

7) Kedah dan Selangor DIRAMALKAN akan kembali kepangkuan BN sebagai pentadbirnya. Perak pula DIYAKINI akan menjadi milik BN secara 'sah lagi jelas.' Pencapaian BN di tiga negeri ini DIJANGKA berpusat kepada keupayaan UMNO untuk menafikan 'sengat' PKR mahupun PAS. Majoriti pengundi Melayu yang 'non-partisan' menolak UMNO pada tahun 2008 bukanlah mengundi pembangkang berdasarkan kepada faktor kepercayaan mahupun sokongan kuat tetapi cuma sebagai tanda protes kepada UMNO dan kepimpinannya ketika itu.

8) Kelantan DIYAKINI akan terus ditadbir PAS tetapi keupayaan parti itu untuk menguasai 2/3 kerusi DUN adalah samar-samar.

9) Pulau Pinang DIPERCAYAI akan terus dibawah 'takluk' DAP dengan penguasaan kerusi oleh PKR dan PAS berkurangan. PKR akan terus bernyawa di Parlimen Permatang Pauh sahaja. UMNO akan menjadi pembangkang yang bakal menafikan majoriti 2/3 pentadbiran Lim Guan Eng.

10) 'Tinjauan rambang' warga 'sok sek politik' MERASAKAN bahawa BN akan menghadapi kesukaran di Terengganu. Yang KEDENGARAN, majoriti 2/3 tidak akan diperoleh BN andai terus menguasai Terengganu. Yang MUNGKIN berlaku, Abdul Hadi Awang akan menjadi Menteri Besar Terengganu buat kali yang ke 2 selepas tempoh 1999-2004 dahulu.

Neba2020: Kemungkinan bukan kepastian tetapi kemungkinan bukan juga sesuatu yang mustahil ....

Thursday, November 19, 2009

Kunci Kejayaan Minda

Salam Buat Semua,

Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni (penulis buku terlaris di Timur Tengah dan Indonesia - La Tahzan, Jangan Bersedih) di dalam bukunya yang berjudul 'Kunci Kejayaan Minda' meletakkan pembetulan niat dan fokus sebagai 'KUNCI PERTAMA' untuk kita menjadi manusia yang berjaya. Antara 'hikmah-hikmah' yang menarik untuk direnungi bersama:

1) Anda ingin berjaya? Mulakan cita-cita dengan niat.

2) Setiap perbuatan bergantung kepada niat. Oleh sebab itu, niatkanlah kebaikan dalam setiap amalan. Berikanlah manfaat kepada orang lain dan hindari daripada melakukan kejahatan.

3) Gerak kerja dan kesungguhan ialah usaha utama menuju kemuliaan, penawar untuk mengubati dirimu, terapi bagi penyakitmu bahkan dua perkara ini adalah asetmu.

4) Fokuskan perhatianmu kepada sesuatu pekerjaan, perdalami, tekuni dan cintai sehingga terserlah daya kreativitimu.

5) Hindarilah perasaan bosan, kerana perasaan jemu itu tidak mendatangkan hasil, manakala perasaan bosan tidak memberi kamu penghormatan. Sebaik-baiknya banyakkan bersabar dan tetapkan pendirianmu.

Neba2020: Niat yang baik balasan akhirnya adalah baik, niat yang tidak baik semestinya tidak akan direstui Tuhan, sempit dan kelam tidak menemui matlamat yang diidami ....

Friday, November 13, 2009

Niat Anwar Yang Busuk

Salam Buat Semua,

1) Ahli Parlimen 'Pakatan Rakyat' yang mewakili Kulim-Bandar Baharu iaitu Zulkifli Noordin mendedahkan 'rancangan' terbaru Anwar Ibrahim selaku 'mentor merangkap penguasa utama' Parti Keadilan Rakyat (PKR).

2) Penasihat PKR itu menasihati ahli-ahli mengenai strategi baru untuk melancarkan serangan peribadi terhadap Perdana Menteri, Mohd. Najib Abdul Razak. Mungkin matlamatnya adalah untuk 'membunuh' terus pentadbiran Mohd. Najib yang belumpun mencecah usia satu tahun itu.

3) Anwar memang sejelasnya telah kekeringan idea untuk menjadi Ketua Pembangkang yang efektif lagi berguna kepada negara. Beliau kelihatan semakin terdesak dan 'huru-hara' pemikirannya. Kita tidak fikir bahawa gaji / elaun yang diterima Anwar sebagai Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang itu adalah semata-mata untuk 'merencanakan' agenda menghancurkan karier politik seseorang semata-mata !

4) Anwar sedar betapa pengaruh Mohd. Najib semakin 'kukuh berakar umbi' di pandangan juga jiwa ramai orang. Para penyokong fanatik pakatan pembangkang sememangnya tetap 'benci dan curiga' kepada kepimpinan Mohd. Najib, itu sudah pasti tidak berubah sampai bila-bila. Masalahnya, adalah jelas kini betapa majoriti rakyat biasa yang non-partisan (tidak memihak secara nyata kepada mana-mana kepercayaan politik) telah mula 'sejuk hati' terhadap UMNO / Barisan Nasional di bawah 'seliaan' Mohd. Najib. Lebih meresahkan Anwar, para penyokong UMNO sendiri sudah mula 'rapat' dan tidak kronik mencurigai keupayaan kepimpinan parti seperti yang berlaku kepada Abdullah Ahmad Badawi dahulu yang 'diperli juga ditertawa' oleh orang-orang UMNO sendiri.

5) Di kala tumpuan sepatutnya diberikan kepada usaha untuk memajukan negara dan membela nasib ahli masyarakat, Anwar nampaknya mahu partinya (PKR) memberi tumpuan khusus kepada usaha untuk meranapkan imej Perdana Menteri di mata rakyat. Kalau benar Anwar itu mulia, baik peribadi dan ikhlas niatnya, apa mungkin dia tergamak menunjukkan secara jelas kepada masyarakat betapa busuknya hati beliau dan mindanya hanya berisi dengan perjuangan untuk menjatuhkan orang bagi mencapai matlamat peribadinya yang sehingga kini tidak pernah ditunjukkan TUHAN jalan yang lurus untuk mencapainya !

Neba2020: Percaya kepada janji TUHAN, niat yang baik akan dibalas baik. Cara yang tidak baik akan selamanya TUHAN tunjukkan jalan yang menyempit untuk kita mencapai matlamat diri .... Orang yang tahu benda itu salah dan pengetahuan agamanya pula baik akan lebih dihina TUHAN andainya dia sendiri tidak berpegang teguh kepada kemurnian agama itu sendiri berbanding insan-insan lain yang cetek ilmunya ....

Thursday, November 12, 2009

"Menantuku Layak"

Salam Buat Semua,

1) Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ke 4 Malaysia selalu dicerca oleh para pembencinya kononnya beliau mengamalkan kronisme, anak-anaknya dikatakan sentiasa diutamakan sehingga bergelar jutawan dan kaya-raya. Rekod menunjukkan bahawa tidak pernah anak-anak beliau dilantik memegang sebarang jawatan rasmi di dalam pentadbirannya selama 22 tahun itu.

2) Abdullah Ahmad Badawi juga tidak ketinggalan. Anak tunggal lelakinya (Kamaluddin Abdullah) turut dikatakan 'menguasai' banyak projek-projek yang berkaitan dengan kerajaan. Menantunya si Khairy Jamaluddin itu pula dipercayai para 'pembenci' kerajaan sebagai orang yang 'menguasai' keputusan-keputusan penting melibatkan kewangan juga pentadbiran negara.

3) Pembangkang akan sentiasa mengatakan bahawa orang kuat UMNO mahupun Barisan Nasional sebagai mengutamakan anak menantu masing-masing. Jawatan, kontrak, kedudukan dan kekayaan sentiasa 'didakwa' diberikan mahupun 'disediakan' oleh para pembesar UMNO / Barisan Nasional kepada kerabat terdekat mereka.

4) Rupa-rupanya Menteri Besar Kelantan iaitu Tuan Guru Nik Abdul Nik Mat selama ini telah 'merestui juga melantik' menantunya sendiri iaitu Mohd Ariffahmi Abd Rahman untuk memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan. Ramai sedia maklum bahawa ketua kepada Perbadanan Menteri Besar / Ketua Menteri bagi setiap negeri bukanlah satu jawatan biasa kerana institusi seperti itu terlibat dengan pelbagai aspek kewangan, pembangunan dan ekonomi sesuatu negeri itu. Ada orang membuat tafsiran bahawa perbadanan seperti itu adalah 'lubok duit dan projek' bagi sesuatu negeri itu.

5) Alasan 'menantu saya layak, anak saya memang boleh buat kerja dan keluarga kami memang professional' sememangnya tidak boleh digunapakai di dalam lingkungan skop pentadbiran negeri / negara. Konflik kepentingan sesama keluarga terdekat adalah sukar untuk dipisahkan. Justeru itu, norma kebiasaan sistem pentadbiran dunia merasakan bahawa ianya perlu dielakkan terus demi menjaga kredibiliti si pembesar itu di mata masyarakat sekaligus mengelakkannya daripada dipandang serong.

Neba2020: Kalau pihak yang selama ini yang tidak suka sesuatu praktis itu dilakukan juga turut mengamalkannya maka siapa lagi yang boleh dipercayai? Kalau pihak yang dituduh selama ini pada hakikatnya tidaklah membuatnya secara nyata tetapi yang menuduh pula telah membuatnya secara rasmi dan terang-terangan maka apa lagi yang boleh diharapkan kepada mereka yang selama ini kononnya mendokong konsep professionalisme dan akauntabiliti dalam mentadbir?

Friday, November 6, 2009

"Saya Sudah Dapat Kerja"

Salam Buat Semua,

1) Sepanjang minggu ini ada 3 bekas pelajar saya membuatkan 'cikgu' mereka ini cukup merasa bangga dan terharu.

2) Pada hari Selasa (3 November), kira-kira jam 12.45 tengahari, Awang Faisal secara tidak disangka muncul 'mencari' saya di pejabat.

3) Budak Kota Kinabalu, Sabah ini mengkhabarkan kepada saya bahawa di akan memulakan pengajian sarjananya secara sepenuh masa dalam masa seminggu lagi. Awang Faisal memilih Multimedia University (MMU), Cyberjaya sebagai 'destinasi' barunya. Sebelum memilih untuk belajar sepenuh masa, Awang telah memiliki pekerjaan sebagai eksekutif di sebuah bank di negeri kelahirannya. Nampaknya, dia sanggup berhenti kerja untuk mengejar impian.

4) Saya pernah mengajar beliau subjek 'Foundation of Finance' (Prinsip Kewangan) sewaktu pengajian ijazahnya sedikit masa dahulu. Dia bukan budak ijazah kewangan tetapi dia bersemangat memberitahu saya bahawa dia akan meneruskan pengajian sarjananya di dalam bidang kewangan ! Sungguh bangga saya mendengarnya !

5) Pada hari Rabu (4 November) pula, Nura Azima Madzlan pula membuat panggilan telefon. Dia dengan cerianya mengatakan kepada saya bahawa panggilan ke nombor pejabat saya itu dibuatnya melalui nombor pejabatnya di TM, Kuala Lumpur.

6) Azima sempat menceritakan bidang tugasnya, dia kedengaran sungguh gembira dapat berkongsi 'cerita-cerita kerja' dengan Mr Fendi beliau ini yang pernah terlibat mengajarnya sebanyak 4 subjek di sepanjang 4 tahun pengajiannya di MMU, Melaka. Dia juga menjadi pelajar seliaan saya untuk projek tahun akhirnya.

7) Azima turut memberitahu tentang kelas sarjananya secara separuh masa di MMU, Cyberjaya. Dia akan bekerja dan belajar sekaligus ! Tahniah Zima !

8) Pada hari Khamis (5 November), jejaka Kuching, Sarawak yang bernama Ismail Redzuan pula menghantarkan kiriman ringkas (SMS) berbunyi 'Sir, saye bru dapat offer dr bnk rakyat, 18 november nih reporting di cawangan kucing. Thank you sir, pape news nanti saya bagitau kat sir.'

9) Ismail saya panggil Raku, dia yang mengakui bahawa itulah panggilan 'popular' untuk dirinya di kalangan rakan-rakan. Saya tidak tahu dari mana pula datangnya nama pelik itu.

10) Raku ini baik budaknya. Pemalu dan sungguh tertib kelakuannya. Dia hanya berada di dalam kelas saya untuk satu subjek sahaja tetapi saya mula menjadi tempat dia berkongsi pendapat dan 'impian' apabila menjadi 'anak didik' projek tahun akhir kepada saya.

Neba2020: Saya bangga kerana ada yang masih 'setia' dan 'ingat' kepada 'cikgu' ini yang tidaklah seberapa orangnya, kurang ilmu dan masih cetek pengalamannya. Saya akan sentiasa berdoa moga Tuhan permudahkan perjalanan hidup mereka dan beroleh kejayaan yang lebih bermakna kelak ....