Friday, February 25, 2011

PAS SEMAKIN HILANG SOKONGAN MELAYU

Salam Buat Semua,

1) Parti Islam SeMalaysia (PAS) dulunya mahu tegakkan sebuah negara Islam di Malaysia ini. Itulah agenda perjuangan nombor satu PAS. Sekitar 1980an dan 1990an bila sebut PAS maka sinonimnya ialah 'negara Islam' dan 'hukum hudud.'

2) Abad ke 21 setelah melepasi tahun 2000, PAS di bawah pimpinan Abdul Hadi Awang nampaknya 'sedar' betapa PAS tidak mungkin dapat menakluk Putrajaya dengan tiket 'bulan' semata-mata. Mustahil PAS boleh 'membina' kerajaan tanpa perlu 'mencontohi' model Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO, musuh utama PAS zaman-berzaman.

3) Maka PAS mula membuat satu pakatan dengan dua parti lain yang berbeza ideologi juga matlamat. Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) menjadi sahabat PAS.

4) Uniknya, sebelum tahun 1998 sememangnya DAP adalah musuh tidak langsung PAS, UMNO ialah musuh langsungya. UMNO adalah musuh langsung PAS kerana kebiasaannya pencabar PAS sewaktu pilihan raya ialah UMNO, kerusi-kerusi yang majoriti pengundinya terdiri daripada orang Melayu.

5) DAP adalah musuh tidak langsung kerana kedua-dua parti selalunya tidak akan bertembung sewaktu pilihan raya kerana DAP akan bertanding di kawasan yang bermajoritikan orang Cina. Walaubagaimanapun, DAP adalah penentang nombor satu terhadap impian 'negara Islam' dan 'hukum hudud' oleh PAS.

6) Selepas Anwar Ibrahim dipecat daripada UMNO pada tahun 1998, bermulalah episod PAS dan DAP mula 'berkenal-kenalan' dan 'bersenyum-senyuman.' Tiba-tiba Anwar Ibrahim yang pernah menjadi musuh mereka bertukar pula menjadi sahabat. Semuanya kerana Anwar sewaktu itu sudah bermusuh dengan UMNO di bawah pimpinan Dr. Mahathir Mohamad dan DAP serta PAS juga memusuhi UMNO-BN.

7) Tertubuhnya PKR (asalnya bernama Parti Keadilan Nasional) melengkapkan satu pakatan baru untuk menumbangkan BN. Strateginya adalah mudah. PAS bertanding di kawasan bermajoriti Melayu, DAP pula tertumpu di kawasan pengundi utama adalah kaum Cina dan PKR menjadi paksi pertengahan untuk menguasai tempat-tempat yang peratusan pengundi berbilang bangsanya adalah sama rata di antara Melayu, Cina dan India.

8) Dengan senario politik tahun 2008 yang cukup tidak stabil ditambah dengan perasaan tidak puas hati rakyat kepada kepimpinan 'lesu' Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi maka pakatan PAS-DAP-PKR telah berjaya meruntuhkan tembok kukuh kekuasaan BN di Parlimen sehinggakan berjaya menidakkan majoriti dua pertiga BN sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 (2008). BN memperoleh 142 kerusi manakala pakatan PAS-DAP-PKR menguasai 80 kerusi.

9) Tiga tahun telah berlalu, ada mengatakan bahawa cengkaman PAS kepada para pengundi berbangsa Melayu telah semakin rapuh. Penyokong fanatik PAS sememangnya akan terus bersama PAS tetapi mereka yang bersifat di atas pagar kelihatannya tidak akan memihak kepada PAS.

10) Selepas Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak memimpin UMNO (April 2009) kelihatannya pengaruh UMNO semakin kuat dan berjaya 'menggoda' para pengundi di atas pagar ini. Buktinya, kesemua pilihan raya kecil selepas April 2009 menyaksikan majoriti orang Melayu menyokong calon-calon BN. Tempat-tempat yang majoriti utamanya adalah Melayu seperti Bagan Pinang (Negeri Sembilan), Hulu Selangor (Selangor), Galas (Kelantan) dan Tenang (Johor) semuanya menyaksikan kemenangan BN dengan majoriti meningkat naik. Prestasi PAS sewaktu mengekalkan kerusi Manek Urai (Kelantan) juga merosot sehingga menang hanya dengan majoriti kurang 100 undi berbanding sewaktu PRU 2008, majoriti melebihi 1500 undi.

Neba2020: Orang tamak selalu rugi, biar bercita-cita sedikit kecil tetapi matlamat tercapai daripada bercita-cita memeluk gunung tetapi kaki gunung pula yang semakin tergelincir apabila mula mendaki....

No comments: