1) Dato' Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri 'transformasi' Malaysia mahu jadikan negara ini sebagai sebuah negara yang rakyatnya berpendapatan tinggi, ekonomi yang bergerak melalui pekerja-pekerja yang memiliki pendapatan 'mewah dan besar' angkanya.
2) Berpendapatan tinggi bolehlah disenang-katakan sebagai gaji tinggi, orang putih sebut 'high income.' Maka seronoklah para pekerja kerana majoriti orang memang sifat hakikinya ialah suka dengan gaji yang besar, gaji tinggi.
3) Majikan digalakkan, diseru dan diharapkan untuk menaikkan gaji pekerja mereka. Kita percaya tempoh 5 tahun mendatang (2011-2015) akan menyaksikan sektor kerajaan dan pihak-pihak swasta menaikkan gaji para pekerja.
4) Maklumlah, Perdana Menteri sendiri sudah menghebahkan ke pelosok negara bahawa di antara matlamat kerajaan yang dipimpin beliau ialah untuk menghasilkan satu keadaan yang disebut 'ekonomi berpendapatan tinggi.'
5) Sekali lagi, ramai yang akan gembira dan bersuka hati. Gaji naik!
6) Pihak swasta akan alami kenaikan kos. Gaji naik bersamaan dengan kos naik. Bila kos naik maka barangan mahupun perkhidmatan yang dikeluarkan atau disediakan akan mengalami kenaikan harga juga. Normal bagi para pengusaha untuk 'menjatuhkan' bebanan kenaikan kos itu kepada para pengguna akhir.
7) Maka akan berlakulah kenaikan harga barangan ataupun perkhidmatan di pasaran. Ekonomi berpendapatan tinggi dan harga barangan juga perkhidmatan yang tinggi adalah sinonim. Dua perkara ini tidak akan dapat dielakkan walaupun sesuatu negara itu menghimpunkan 1000 pemegang Ijazah Kedoktoran (Ph.D) Ekonomi, Kewangan dan Strategi Pemasaran untuk mengatasinya.
8) Niat Perdana Menteri itu adalah baik dan tulus ikhlas, memastikan rakyat Malaysia bertambah senang juga makmur dan Malaysia 'laju' mengejar status negara maju. Dato' Seri Mohd. Najib tidak silap dalam cuba bereksperimentasi dengan terma 'ekonomi berpendapatan tinggi.'
9) Ekonomi berpendapatan tinggi akan menjadi sesuatu yang berfaedah dan bagus apabila senario peratusan kenaikan gaji adalah melebihi peratusan kenaikan kos barangan atau perkhidmatan sekaligus bererti peratusan kenaikan harga barangan adalah kecil berbanding peratusan kenaikan gaji para pekerja. Contohnya, inflasi tahunan naik 5% dan gaji naik 9% secara purata ataupun kos pengeluaran keseluruhan naik 10% dan gaji naik 14%.
10) Justeru, para pengusaha, ahli perniagaan, pemimpin jabatan dan segenap pihak yang bertanggungjawab dengan pengurusan kos perlulah lebih kreatif, inovatif dan berhemah sentiasa. Segala sistem dan proses yang digunakan untuk menghasilkan sesuatu produk mahupun perkhidmatan perlulah berpaksikan kepada kecekapan, ketepatan dan kemahiran. Pembaziran kos daripada segala bentuk perlulah dijauhkan. Kos perunit juga dapat dikurangkan dengan membesarkan pasaran, pastikan barangan keluaran Malaysia mendapat tempat di negara asing. Akhirnya, inilah 'ekonomi berpendapatan tinggi' yang terbaik bagi seluruh rakyat Malaysia.
Neba2020: Tiada yang mustahil selagi otak rajin berfikir dan tubuh rajin bergerak ....
No comments:
Post a Comment