Monday, May 26, 2008

Hidup Ini - Bagaimana Kita Gunakannya ?

Salam Buat Semua,

Tiba-tiba jiwa ini tersentuh tatkala melihat ayat-ayat di kalendar Hadis saya (Bagi yang bukan Muslim, secara mudah Hadis dapatlah dimaksudkan sebagai kata-kata yang dikeluarkan oleh Nabi Muhammad yang menjadi panduan kepada kehidupan umat Islam selain daripada kitab suci Al-Qur'an) untuk edisi 27 Mei :

Muslim meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

Setiap hamba Allah akan terus menghadapNYA di Hari Pembalasan sehinggalah dia (manusia) itu menjawab 5 soalan daripada 5 perkara:

1) Hidupnya - Bagaimana digunakannya ?
2) Ilmunya - Banyak mana yang telah digunakannya / dimanfaatkannya ?
3) Hartanya - Bagaimana diperolehnya ?
4) Hartanya - Bagaimana digunakannya ?
5) Kesihatannya - Bagaimana digunakannya ?

Secara peribadi, saya merasakan betapa Hadis ini adalah cukup bermakna dan andai ianya diteliti sedalamnya maka sudah pasti kita akan melihat betapa lemahnya diri kita selama ini dan terlalu hina kita di sisi Tuhan Yang Maha Kuasa. Kehidupan ini banyak memesongkan kita ke arah yang tidak sempurna dan kadang-kadang kita tidak perasan betapa kita terlalu banyak mementingkan diri sendiri sehingga kita lupa bahawa Tuhan menjadikan kita sebagai manusia yang turut bertanggungjawab ke atas manusia lain dan persekitaran kita. Setiap kelebihan dan setiap keupayaan yang diberikanNYA kepada kita rupa-rupanya bukan sekadar untuk menyenangkan diri sendiri tetapi ia adalah satu amanah yang berat. Amanah Tuhan bagi kita memakmurkan insan-insan lain dan alam sekeliling.

Sekali lagi saya teringat pesanan Encik (ayah):

" Semua yang kita ada, pandai ke kaya ke.. Semua tu milik Allah.. Jangan sombong kalau Allah bagi kita pandai, jangan sombong pada yang tak pandai... Bila-bila Allah boleh tarik "

Neba2020: Kita jarang cuba melihat apa sumbangan kita kepada masyarakat, agama dan keluarga ... Kita terlalu sebok mempersoalkan apa sumbangan pihak lain kepada kita .. Rupanya kita sedang hidup dalam keegoan, bakhil dan hina !

Friday, May 23, 2008

Ho Wei Bing

Salam Buat Semua,

Wei Bing mula saya kenali tatkala dia memasuki program Pra-Universiti di Multimedia University (MMU) pada pertengahan 2006. Saya mengajar kelasnya (PM9 !) bagi subjek 'Principles of Economics I' yang menjurus kepada bidang ekonomi mikro. Tempoh saya menjadi 'cikgu' kepada jejaka Seremban ini hanyalah kira-kira 4 bulan (1 semester) tetapi ia memberikan saya satu perkenalan yang berterusan sehingga kini.

Beliau memilih untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazahnya di MMU kampus Cyberjaya di dalam bidang kewangan, bumi MMU Melaka ditinggalkannya sekitar pertengahan 2007. Andainya beliau cuba 'membeli hati' saya sewaktu diri ini masih lagi bergelar Tuan Pensyarah kepadanya semestinya mempunyai logik yang boleh diterima. Biasalah resam manusia, di mana ada peluang di situ budi dicurah, segala kata-kata manis dihambur kepada si pendengarnya ! Wei Bing ternyata tidak memenuhi kriteria kata-kata tersebut. Beliau unik dan cukup ikhlas terhadap saya. Beliau suka mendengar kisah-kisah dan juga nasihat-nasihat saya walaupun tidak berkaitan dengan pelajarannya.

Seingat saya, Wei Bing ini tidak memperoleh A di dalam subjek yang saya mengajarnya. B+ ! Itulah gred yang diperolehnya, tidaklah buruk tetapi tidaklah boleh digembirakan sehingga boleh membuatkan 'Mr. Fendi' ini dingatnya kerana memberikan satu gred yang cukup cemerlang.

Kira-kira jam 2 petang sebaik selesai menunaikan solat Jumaat (23 Mei 2008), saya mendapat panggilan telefon lalu melihat tertera nama 'Wei Bing.' Terperanjat juga saya kerana dia menelefon saya. Kebiasaannya, kami hanya berbicara secara maya melalui sistem pesanan di Internet (messenger). Dia bertanya khabar dan ingin tahu saya berada di mana ('Brother, where are you?'). Wei Bing sudah biasa memanggil saya sebagai 'brother' mahupun 'abang.' Dia gembira apabila saya mengatakan yang saya berada di pejabat. Dia lantas berkata ingin menemui saya dan akan sampai di MMU kampus Melaka dalam masa 10 minit.

Dengan wajah gembira, dia masuk ke pejabat saya dan kami berborak seperti dua kenalan yang sudah lama tidak bersua. Rupanya dia baru sahaja tamat peperiksaan akhirnya beberapa jam yang lepas di Cyberjaya sebelum membuat keputusan untuk datang ke Melaka.


Ini bukanlah kali pertama Wei Bing menjenguk saya selepas dia meninggalkan kampus Melaka. Penamat semester yang lepas juga beliau datang ke Melaka dan tidak lupa mencari saya. Pertemuan Wei Bing dan saya bukan sekadar pertemuan bertanya khabar dan berbicara pasal dunia akademik semata-mata, ianya lebih 'besar dan hebat!'

Berikut adalah 'isu-isu' bahan bicara kami di pertemuan yang mencecah 2 jam itu:

1) Hubungan beliau dengan kekasihnya masih berjalan dengan baik

2) Beliau hampir putus semangat untuk meneruskan subjek kewangan di awal semester

3) Kisah seorang bekas pensyarahnya di peringkat pra yang cuba 'berbaik-baik' dengannya

4) Kisah pensyarah kewangannya di Cyberjaya

5) Matlamat hidupnya selepas tamat ijazah

6) Kisah akaknya yang akan bekerja dengan Bank Negara Malaysia

7) Kenangan-kenangan sewaktu beliau di kampus Melaka

8) Bercerita pasal pemakanan yang baik untuk belajar dan berjaga malam

9) Kisah-kisah kegiatan sosialnya yang semakin mantap

10) Berkongsi prinsip-prinsip kehidupan terhadap keluarga

Wei Bing sudah biasa memanggil saya dengan panggilan 'abang.' Sejak dia meninggalkan kampus Melaka, dia lebih selesa memanggil saya sebagai 'abang.' Sejak di zaman pra lagi dia seakan selesa untuk meluahkan segala masalah dan 'kisah-kisah' hidupnya kepada saya. Sehingga ke hari ini, saya tidak akan lupa kepada kata-katanya, 'I trust you....'

Wei Bing adalah bekas anak murid saya yang sehingga ke hari ini masih tidak lupa kepada saya dan beliau tetap menjadikan saya sebagai tempat untuk mengadu masalah dan berkongsi segala cerita manis mahupun pahit. Beliau mencari saya bukan di waktu susah sahaja tetapi di waktu senang juga beliau tetap ceria mengkhabarkan cerita-cerita gembiranya kepada saya.

Saya berbangga memiliki pelajar seperti Wei Bing, dia tidak pernah menganggap saya hanya sebagai seorang Pensayarah, hanya sebagai pendidik di universiti. Wei Bing lebih banyak berbicara tentang prinsip hidup, cabaran kehidupan dan etika perhubungan sesama insan tatkala bersama 'abang' yang seorang ini.

Saya juga berbangga kerana saya adalah Melayu dan dia adalah Cina tetapi kami rapat dan mesra sekali. Jauh di sudut hati ini saya bersyukur kepada Tuhan kerana matlamat saya untuk menjadi seorang 'cikgu' yang dapat diterima dengan baik oleh pelajar-pelajar tanpa mengira batasan kaum dan agama seakan menghampiri garisannya, belum lengkap pada perkiraan saya tetapi sedang berkembang dengan positif sekali.
* Gambar-gambar ini saya ambil daripada laman web www.friendster.com yang menyimpan profil diri pelajar yang dinyatakan *

Neba2020: Teringat pula kepada Chee Wai Hong dan Chan Pei Lynn, dua rakan berbangsa Cina sewaktu di Tingkatan 5A (Sekolah Tinggi Segamat, Johor - 1999). Kami bertiga selalu mengisi posisi tiga tempat teratas pada setiap peperiksaan. Chan si gadis yang bijak dalam Bahasa Inggeris dan Kimia, Chee pula si jejaka yang cukup genius dalam Matematik Tambahan dan Fizik. Si Fendi tetap dihormati mereka kerana penguasaan Bahasa Melayu dan Prinsip Akaun yang mantap. Kami bertiga saling hormat-menghormati di atas kekuatan diri masing-masing. Chan dan Chee kini bergelar jurutera, si Fendi menjadi 'cikgu' di universiti. Sekolah Tinggi Segamat BOLEH !

Wednesday, May 21, 2008

21 Mei 2000 - Budak Kampung Masuk MMU

Salam Buat Semua,

Pada malam 20 Mei 2000, Encik (ayah) membuatkan saya menangis teresak-esak. Dia mengherdik saya kerana masih tidak pandai menggosok baju sendiri dengan baiknya. Dia kata saya sudah berusia 17 tahun, sudah mahu masuk universiti, tapi masih tak pandai menggosok baju dengan cermat dan kemas. Air mata saya mengalir laju ketika cuba menggosok baju dan seluar yang akan dibawa ke Melaka pada pagi esoknya. Saya akan bergelar pelajar universiti ! Budak kampung ini akan masuk Multimedia University (MMU).

Saya mendaftar diri sebagai pelajar MMU dengan bertemankan Encik dan Emak. Hari itu adalah detik yang bersejarah buat kami sekeluarga. Saya memecahkan rekod keluarga kecil kami dengan membuktikan bahawa darah insan yang bernama Ahmad Bin Md. Yusoff dan Asmah Binti Hassan itu sebenarnya mampu menghasilkan darah yang layak berada di universiti juga. Encik dan Emak tidak pernah 'masuk' universiti, abang saya juga tidak pernah masuk unversiti (Syukur, akhirnya pada tahun 2003 dia melanjutkan pengajiannya di peringkat Diploma).

Saya amat berbangga membawa reputasi sebagai budak kampung, anak orang tidak berada dan datang daripada keluarga yang tidak mewah, tidak gah kedudukannya. Bersyukur juga saya kerana saya tidak pernah berhadapan dengan 'tekanan' untuk menjaga reputasi keluarga mahupun kedudukan sesiapa jua sepanjang saya bergelar pelajar di universiti. Apa yang saya lakukan dan segala usaha yang saya berikan sebagai seorang pelajar yang mengidamkan sekeping ijazah hanyalah untuk membuat yang terbaik dan menjaga disiplin diri pada setiap detik juga situasi.

Encik saya bukanlah lulusan universiti tetapi pemikirannya di banyak waktu dan ketika saya kira jauh lebih berhemah dan bijak berbanding dengan segelintir (bukan semua) ibu-bapa masa kini yang sudah 'korup dan busuk' pemikirannya. Saya mohon kepada Allah Taala semoga kelak saya akan menjadi seorang 'Encik' yang penuh berhikmah tutur dan kelakuannya. Masih terngiang-ngiang lagi di telinga ini akan pesanan-pesanan yang selalu Encik tuturkan buat 'Andi kesayangannya' ini:

" Jangan lawan cakap pensyarah, walau pensyarah tu salah. Kalau kita rasa kita betul, jangan pulak cuba tunjuk pandai kat pensyarah. Kat universiti, pensyarah itulah yang akan bagi markah, tentukan kita 'pass' ke 'fail' ke "
" Jangan berkira sangat dengan kawan-kawan. Hidup ni kalau kita senang sikit tak salah gilir-gilir belanja makan. Terlebih terkurang dalam bayar, jangan berkira sangat. Kita tak rugi manapun kalau jadi orang yang tak berkira sangat "
" Niat nak belajar, jangan beratkan benda-benda yang tak sumbang pada belajar. Tak payah masuk benda-benda (aktiviti sampingan) yang lebih banyak buang masa sampai tak cukup masa nak belajar, masuk sikit-sikit cukup"
" Jangan buang duit pada benda-benda yang tak berfaedah. Tapi kalau nak makan, jangan sayang duit sangat. Makan yang elok-elok, zat semua kena ada "
" Ingat pada Tuhan, ingat kat lagu Raihan ... Bila dipuji kejayaan kita sebenarnya bukan milik kita oleh itu sedarlah sentiasa semuanya dari Allah (Encik cukup suka mengulang-ulang lirik lagu yang satu ini kepada saya) ... Jangan berlagak kalau kita pandai sikit, tu semua Allah yang bagi, bila-bila boleh ditarik "

Itulah 5 pesanan Encik yang mengiringi liku-liku kehidupan saya sebagai pelajar di MMU selama 4 tahun (2000-2004). Andai ada sedikit kejayaan yang saya gapai di sepanjang penitian mengejar Ijazah Pentadbiran Perniagaan Pengkhususan Perbankan dan Kewangan itu maka ianya banyak dipengaruhi 5 pesanan berharga tersebut. Pesanan yang datang daripada seorang anak Bugis yang pernah menjadi perwira negara, mengawal perbatasan negara siang dan malam dengan semangat cintakan Malaysia sayangkan kedamaian !

Sepanjang saya mengejar Ijazah, selalu saya niatkan di dalam hati ini - " AKU HENDAK DAPAT IJAZAH KELAS PERTAMA UNTUK ENCIK DAN EMAK ! " Saya mahu buktikan yang Encik dan Emak mampu menghasilkan anak yang berkualiti dan tidak dipandang rendah oleh orang lain.

Allah Maha Berkuasa, niat yang baik dengan taktik dan cara yang betul pasti akan diizinkanNYA. Tanggal 25 Julai, 2004, saya melihat airmata Encik jatuh tatkala saya berjaya mencapai apa yang saya niatkan. Detik itu adalah seiring dengan acara konvokesyen ijazah yang pertama kalinya dihadiri Encik dan Emak. Mereka tidak pernah tahu bagaimana keadaannya orang berkonvokesyen, tetapi hari itu mereka hadir bukan semata-mata untuk melihat anaknya ditauliahkan ijazah malah lebih daripada itu. Saya kira ramai ibu bapa pada hari itu yang lebih kaya, lebih mewah keretanya, lebih bergaya penampilannya dan tinggi statusnya tetapi mereka tertewas juga dengan Encik dan Emak saya. Encik dan Emak hadir dengan status ibu dan ayah kepada penerima ijazah kelas pertama ! Saya yakin keluarga Ahmad boleh !

Neba2020: Kepada Encik dan Emak, segala yang Andi idamkan di dalam hidup ini adalah untuk menaikkan nama kalian, menggembirakan hati kalian dan moga orang akan memandang tinggi diri kalian kelak. Jika impian Andi Allah kabulkan, maka impian itu adalah untuk menaikkan nama Encik dan Emak, bukan untuk menaikkan nama diri ini. Kalian cukup hebat dalam mendidik Andi !

Monday, May 19, 2008

Tun Mahathir : Selamat Tinggal UMNO

Salam Buat Semua,

Ikhlas saya katakan bahawa amat tidak selesa sekali untuk mengulas isu yang satu ini di InspiRasi 1982 ~~ kerana pada asalnya tatkala 'berita mengejutkan' ini sampai ke pengetahuan saya kira-kira jam 2.10 petang (19 Mei 2008) ianya seperti amat sukar untuk saya percaya, hendak sedih seperti kelihatan karut dan hendak suka seperti kelihatan muram semuanya. Tetapi hakikatnya berita itu adalah tepat dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja, pemimpin ulung yang mengemudi Malaysia merentasi 2 abad yang berbeza iaitu Tun Dr. Mahathir Mohammad (Dr. M) mengumumkan beliau 'keluar' daripada UMNO. Dalam erti kata lain, Presiden UMNO selama 22 tahun itu (1981-2003) sudah tidak berminat untuk menjadi ahli UMNO lagi. Katanya, selagi UMNO terus diterajui Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) maka selagi itulah beliau hilang minat untuk terus berpayungkan UMNO !

Amat banyak pihak yang menghubungi saya sama ada melalui panggilan telefon, sistem pesanan ringkas (sms) mahupun sistem hantaran maklumat di Internet ('messenger') untuk mengetahui pendapat mahupun ulasan saya. Terasa seperti 'selebriti politik' pula apabila mengenangkan betapa ramai di antara sahabat, pelajar-pelajar mahupun kenalan di merata tempat yang seolah-olah menyinonimkan saya dengan Dr. M ! Antara 'ayat-ayat' yang diterima:

Helmi di Pulau Pinang : Pesanan SMS - Datok (ramai rakan di universiti dahulu memanggil saya Datuk Seri kerana mereka sedia maklum bahawa saya adalah 'peminat' Perdana Menteri ketika itu) gimana dong. Kurasakan seakan kegemparan melanda satu Malaya. Gimana implikasinya? Aduh gawat !

Faisal di Kuala Lumpur : Pesanan SMS - Bile ko nak blog pasal TDM kuar UMNO?

Berikut adalah ulasan 'rasmi' yang saya janjikan pada semua yang meminta supaya saya 'berkata sesuatu.' Amat saya hargai permintaan kalian di atas minat yang ditunjukkan itu walaupun saya bukanlah seorang pembesar mahupun tokoh di dalam apa jua bidang.

KENYATAAN SEORANG PENYOKONG TUN DR MAHATHIR DAN UMNO - ANAK KAMPUNG ALAI, MUKIM GEMEREH, SEGAMAT JOHOR DARUL TA'ZIM

1) Saya secara peribadi merasakan bahawa sesuatu akan berlaku, apa yang diputuskan Dr. M itu akan membawa satu haluan baru kepada UMNO dalam masa terdekat ini. Taktikal Dr. M jangan dipandang mudah. Penyokong-penyokong pembangkang dan para pembenci UMNO jangan pula terlalu gembira dengan perkhabaran itu.

2) Cinta dan sayang Dr. M kepada UMNO sebenarnya tidak luput sama sekali. Beliau menggesa ahli-ahli UMNO yang ingin keluar daripada UMNO supaya tidak menyertai mana-mana parti pembangkang seperti PAS mahupun Parti Keadilan Rakyat (PKR). Sebaliknya, apabila Pak Lah tidak lagi mengetuai UMNO maka masuklah semula meneruskan perjuangan UMNO.

3) Tekanan lebih terarah kepada Presiden semasa UMNO iaitu Pak Lah yang tetap berdegil dan masih dalam 'dunianya yang unik' dengan merasakan bahawa tiada sebab untuk beliau mengundur diri. Saya percaya bahawa Pak Lah akan lebih 'panas' selepas ini dan tahap kepanasan itu akan menyebabkan beliau segera cuba menyejukkan suasana dengan perkhabaran yang mungkin dia sendiri tidak suka untuk mengkhabarkannya. Pakatan Rakyat sememangnya TIDAK MAHU perkhabaran itu berlaku kerana Pak Lah adalah asset TERBESAR mereka. Pembangkang memang sayangkan Pak Lah dan mereka memang mahu Pak Lah terus menjadi Perdana Menteri ! Tidak pernah dalam sejarah 51 tahun Merdeka, pembangkang secara senyap-senyap sayangkan Perdana Menteri ....

4) Pak Lah harus sedar bahawa sebab terbesar yang 'memenangkan' Pakatan Rakyat (PAS, DAP dan PKR) sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) 8 Mac, 2008 ialah 'Faktor Abdullah Badawi' itu sendiri. Pak Lah ternyata gagal menjaga hati rakyat, gagal menjaga sensitiviti bangsanya sendiri dan pentadbirannya seolah-olah cukup suka 'menjerut leher' rakyat dengan 'kebodohan kerajaan' dalam mengekang pesta kenaikan harga majoriti daripada barangan juga perkhidmatan di Malaysia tercinta ini.

5) Keegoan Pak Lah telah mengecewakan Dr. M dan seolah-olah Pak Lah tidak pernah merasakan bahawa 'Faktor Abdullah Badawi' itu wujud dalam menjahanamkan reputasi UMNO khasnya dan Barisan Nasional (BN) amnya sewaktu PRU ke 12 itu. UMNO sedang dipimpin oleh seorang manusia yang tidak sedar diri dan tidak pernah terfikir bahawa UMNO akan terus merudum prestasinya, akan terus karam andai dia terus menerajuinya ! UMNO sebenarnya sedang memerlukan nafas baru yang bertunjangkan nakhoda baru, dengan Pak Lah 'berlalu pergi' secara terhormat kerana kewujudan Pah Lah seolah memanjangkan lagi masalah dan sakit UMNO itu sendiri !

6) Saya mengharapkan agar Datuk Seri Najib Tun RAzak , Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Rafidah Aziz dan Datuk Noraini Ahmad mengadakan pertemuan tertutup dengan Pak Lah untuk memohon jasa baiknya supaya FAHAM dan MENGERTI dengan sepantas mungkin dan jangan lagi berpura-pura bahawa dirinya masih mendapat sokongan, masih dipercayai, masih perlu bertanggungjawab dan 1001 alasan lain. Mereka wajib menyedarkan Pak Lah bahawa UMNO tidak sakit tenat, cuma UMNO sedang ketiadaan semangat. Pak Lah wajib disedarkan bahawa dia sedang menjadi liabiliti yang memudaratkan UMNO ! Dengan beredarnya Pak Lah, saya berani mengatakan di sini bahawa SEMANGAT UMNO akan pulih kembali dengan karisma kepemimpinan baru yang sekurangnya lebih bersemangat daripada Pak Lah itu ! Pak Lah telah hilang aura sebagai pemimpin yang dipercayai juga disayangi majoriti penyokong UMNO khasnya dan BN amnya.

7) 6 pemimpin semasa UMNO yang saya nyatakan itu WAJIB bertindak segera jika mereka sayangkan UMNO, sayangkan BN dan juga sayangkan kedudukan mereka. Mereka harus sedar bahawa jika Pak Lah terus menerajui UMNO dan BN, maka bersedialah untuk BN menjadi pembangkang di Parlimen dalam masa 4 tahun mendatang ! 6 pemimpin utama UMNO ini juga sebenarnya akan hilang kuasa, hilang kedudukan ! Janganlah sokong membawa rebah, membawa bencana pula kepada diri sendiri kelak.

8) Tindakan Dr. M keluar daripada UMNO pada hemat saya adalah percubaan beliau untuk 'meniupkan semboyan' yang cukup kuat lagi bisa menggetarkan gegendang telinga si pendengarnya yang diharap akan tersedar daripada mimpi masing-masing. Saya yakin dan saya cukup optimis untuk mengatakan bahawa 'signal' daripada Bapa Pemodenan Malaysia ini akan memberikan impak yang berbeza sekali kali ini. Deretan kritikan mahupun gesaan beliau terhadap Pak Lah juga pemimpin UMNO yang lain sebelum ini seolah-olah dipandang ringan oleh majoritinya tetapi 'kejutan' yang satu ini pastinya akan memberikan impak yang berbeza. Impak maksima buat perubahan UMNO ! Saya optimis ianya akan berlaku ! Tunggu dan lihatlah dengan sedikit kesabaran ....

9) Adakah saya akan terus menyokong Dr. M?
Jawapan ringkas saya ialah - Saya akan sentiasa bersama hamba ALLAH yang seorang itu, hamba ALLAH yang cukup banyak berjasa kepada diri saya, Encik (ayah), emak dan abang. Jasa hamba ALLAH yang satu ini kepada kami sekeluarga amatlah besar, hanya ALLAH yang bisa membalasnya ! Andai ada yang tidak sekata dengan pegangan saya, terpulanglah kepada kalian kerana jasa manusia kepada manusia hanya tuan empunya diri yang mampu menilainya dengan kewarasan masing-masing.

10) Adakah saya akan terus menyokong UMNO?
Jawapannya - Selagi saya tidak dapat melihat sebuah parti politik yang mempunyai agenda Melayu dan agenda Islam yang seiring sejalan dengan harmoninya maka selagi itulah saya akan terus berpegang kepada konsep dan idealisme UMNO sebagai wadah perjuangan yang mulia lagi berwawasan.

Bersatu, Bersetia, Berkhidmat

Bersatu Kita Bersatu, Dengan Setia Berganding Bahu
Jiwa Teguh Berpadu, Kita Rumpun Melayu
Bersama Kita Bersama, Mendukung Hasrat Semua
Berjasa Pada Bangsa, Agama Dan Negara

Lambang Kita Yang Gagah, Dipandang Mulia Dan Indah
"Bersatu, Bersetia, Berkhidmat" Cogan Katanya
UMNO Terus Mara, Untuk Rakyat Malaysia

Neba2020: Dr. M akan kembali ke pangkuan UMNO, percayalah .... UMNO akan kuat kembali, percayalah ....

Thursday, May 15, 2008

Pesan Cikgu Wan

Salam Buat Semua,

Kenangan zaman sekolah tak mungkin dapat dilupakan dengan mudah, terutamanya bagi mereka yang sedar dan faham bahawa setiap perjalanan hidup mempunyai 'nilai dan hikmah' yang tersendiri. 'Nilai-nilai' dan 'hikmah-hikmah' itulah yang membentuk peribadi mahupun persepsi kita terhadap kehidupan dan cabarannya yang pelbagai.

Saya selalu terfikir dan suka melihat ke belakang, apa yang saya alami dan apa yang saya peroleh selama ini adalah berdasarkan kepada pengaruh keperibadian dan pemikiran yang terbentuk sewaktu zaman persekolahan dahulu. Sedar ataupun tidak, alam persekolahan cukup 'berkuasa' dalam mencorakkan 'warna-warni' diri kita semua !

Penghargaan tahap maksima saya utuskan buat semua cikgu-cikgu yang pernah mencurahkan ilmu juga idea-idea berharga kepada diri ini. Kalian sungguh bermakna dalam hidup ini dan moga kalian diberkati Tuhan sentiasa.

Cikgu Wan Hassan Wan Abas

Ustaz ini adalah Guru Besar di Sekolah Agama, Gemereh, Segamat, Johor. Beliau pernah mengajar saya subjek Tauhid dan Al-Qur'an. Beliau mendidik saya di sekolah itu selama 4 tahun (1991 - 1994), 4 tahun yang penuh dengan ilmu agama, pesanan berharga yang tidak pernah jemu diulang-ulang, rotan yang menakutkan, suara yang bikin jantung berdegup kencang, jenaka yang menghiburkan dan juga wajah keimanan yang menyejukkan jiwa.

Cikgu Wan memang garang orangnya, tapi mendidik dengan penuh hikmah. Rotan tidak pernah lekang daripada tangannya tapi tidak bermakna ianya sentiasa 'menikmati tubuh' kami. Suara Cikgu Wan memang cukup 'bertenaga dan menakutkan' bila mengherdik kami. Hebatnya Cikgu Wan sentiasa terserlah kerana setiap contoh dan penerangannya memang boleh membuatkan kami terpesona dan khusyuk sekali. Tidak pernah kami mengantuk di dalam kelas cikgu seorang ini. Dalam garang ada lawaknya, dalam serius ada gelak tawanya dan dalam marah ada sifat kebapaannya.

Pesan 1 - 'Jangan makan jajan (makanan ringan) selalu kalau nak otak pandai'
Pesan 2 - 'Duit belanja sekolah bagus guna beli kismis, otak leh jadi pandai'
Pesan 3 - 'Minum air halia bagus tuk belajar'
Pesan 4 - 'Jangan makan kepala ikan, kepala udang, otak pun jadi bodoh'
Pesan 5 - 'Jangan bising, jangan bercakap masa dengar khutbah Jumaat, pahala kosong'
Pesan 6 - 'Dengar khutbah Jumaat jangan mengantuk, lawan mengantuk !'

Inilah 6 pesanan Cikgu Wan yang cukup mempengaruhi saya dan sehingga kini saya mengamalkannya walaupun pesan-pesan itu dititipkannya seawal tahun 1991 (17 tahun lepas !). Saya sendiri tidak pasti akan adakah sekurangnya seorang daripada anak-anak murid saya yang akan ingat walau cuma satu pesanan / kata-kata pensyarah mereka ini dalam masa 17 tahun mendatang. Andai ada, amat bersyukurlah saya dan itu akan menjadi satu kepuasan dalam hidup saya kelak, moga-moga....

Cikgu Wan saya percaya bukanlah pemegang ijazah daripada mana-mana universiti tetapi saya tetap merasakan dia jauh lebih hebat daripada diri saya malahan professor-professor pun tidak semuanya saya jamin mampu mendidik sambil membentuk diri seorang pelajar secara mendalam. Saya mohon moga Tuhan merahmati kehidupan Cikgu Wan dan moga dia dimasukkan ke dalam syurga, tempat yang selayaknya buat seorang yang unggul dan mulia jiwanya dalam mendidik anak bangsa !

Neba2020: Mana mungkin dapat dilupakan saat rotan kecil Cikgu Wan menjamah punggung ataupun betis kecil kaki ini kerana dengan sengaja tidak pergi sembahyang Jumaat di masjid... Juga tidak terlupa saat diherdik kerana membaca Qur'an dengan tidak mengikut hukum tajwid yang betul. Kerana rotan dan kerana herdikan itulah, semuanya bertambah baik. Bermula daripada takut kepada rotan dan herdikan Cikgu Wan, lama-kelamaan menjadi takut kepada Allah, takut kepada maksiat, takut kepada dosa !

Tuesday, May 13, 2008

13 Mei - Wajar Dikafankan / Dikuburkan ?

Salam Buat Semua,

13 Mei 2008 bererti sudah 39 tahun 'peristiwa berdarah' simbolik 'ketegangan kaum' berlaku di negara tercinta ini. Kepada yang suka menelusuri liku-liku sejarah pembinaan negara ini pastinya 'maklum' betapa peristiwa yang berlaku seusai tamat Pilihan Raya Umum (PRU) ke 4 pada tahun 1969 itu telah memberi satu 'nafas baru' kepada proses pentadbiran mahupun hubungan antara kaum di Malaysia. Segalanya selepas kejadian hitam itu adalah berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Rukunegara tercipta, Dasar Ekonomi Baru terbina, bahasa Kebangsaan diperkukuh, hubungan kaum dipererat dan kerjasama politik pelbagai bangsa dengan mengakui ketuanan kaum majoriti diselaraskan.

Dakwaan bahawa peristiwa seorang Melayu telah dibunuh oleh sekumpulan pemuda berbangsa Cina di Pulau Pinang dan juga anggota Polis berbangsa Melayu telah 'terbunuh' pemuda Cina di Kuala Lumpur telah ditafsirkan sebagai 'pelincir' utama yang meletuskan kejadian 'bunuh dan serang' secara meluas yang cukup kritikal di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang serta merebak ke bandar-bandar lainnya seperi Melaka, Seremban juga Ipoh. Sentimen 'kebencian' secara senyap-senyap terutamanya antara bangsa Melayu dan Cina sebenarnya telah diapi-apikan secara terbuka oleh parti-parti politik yang berkempen untuk memenangi undi kaum masing-masing sewaktu PRU ke 4 itu.

39 tahun telah berlalu....

Wajarkah 13 Mei terus diingati ?
Wajarkah 13 Mei terus dikaji dan ditelusuri maksudnya ?
Perlukah generasi muda dimomokkan dengan kisah-kisah 13 Mei ?
Perlukah para pemimpin terus menjadikan 13 Mei sebagai modal politik masing-masing ?

Tepuk dada bukalah minda anda semua !

Neba2020: Bukan mudah untuk memuaskan kehendak manusia, payah untuk memahami perasaan insan, sukar untuk mengerti apa yang dimaksudkan orang .... Hanya kesabaran dan keikhlasan yang berhikmah dalam kehidupan sahaja yang akan menjamin kedamaian satu hubungan berbeza agama berbeza jaluran keturunan dan bangsa.

Monday, May 5, 2008

Cabar Tuanku Sultan, Jangan Cuba Bermain Api !

Salam Buat Semua,

Tahniah diucapkan kepada Menteri Besar (MB) Perak, Datuk Seri Ir. Mohd Nizar Jamaluddin yang nampaknya sedang mengalami sindrom 'rakus kuasa' hingga 'terlupa' betapa hal ehwal Islam dan adat istiadat Melayu adalah di bawah kuasa dan budi-bicara Sultan. Tindakan MB baru ini yang dengan sewenang-wenangnya 'memecat' Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) iaitu Datuk Jamry Suri telah menimbulkan satu lagi 'krisis peradaban' yang memalukan di kalangan ahli-ahli politik sejak akhir-akhir ini.

Belum lagi memori masyarakat dibersihkan daripada 'krisis peradaban' di Terengganu yang memperlihatkan betapa 'haprak' dan bodohnya para penyokong fanatik bekas Menteri Besar iaitu Datuk Seri Idris Jusoh sehingga tergamak 'mencabar' keputusan Sultan Terengganu untuk tidak 'merestui' pemilihan semula Idris sebagai MB untuk penggal yang ke 2. Rakyat masih 'geram dan loya' apabila terkenangkan perkataan 'NATANG' yang dipaparkan di kain rentang untuk mendesak supaya Idris kekal sebagai MB ! Itu adalah kerja Melayu yang kurang budaya lagi dungu pemikirannya.

Jika kes itu memperlihatkan 'kurang ajarnya' Melayu kepada Sultan, maka kes yang berlaku di Perak ini juga tidak wajar dipandang dengan sebelah mata sahaja. Apatah lagi ianya dilakukan oleh seorang yang baru sahaja 'dinaiktarafkan' dirinya dengan gelaran 'Datuk Seri' oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak itu sendiri. Sungguh biadap dan hina sekali lagaknya !

Pastinya ramai yang tertawa keriangan (mungkin juga ada yang sedih) melihat MB Perak itu dipanggil menghadap Raja Muda Perak iaitu Raja Dr. Nazrin Shah yang mewakili ayahandanya bagi menyatakan rasa ketidakpuasan Baginda Sultan terhadap tindakan 'membuta-tuli' Nizar itu hingga lupa bahawa hal-ehwal tersebut adalah di bawah kuasa Sultan. Saya kira perkara ini tidak memerlukan MB itu untuk membuka jurnal undang-undang mahupun teks sejarah yang kompleks kerana pelajar-pelajar di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga dapat menerangkan perkara-perkara yang terletak di bawah kekuasaan dan kebesaran mutlak Raja-Raja sekaliannya. Alahai Datuk Seri ! Tamparan yang hebat semestinya terasa oleh MB yang satu ini apabila Sultan Azlan Shah menitahkan supaya 'pemecatan' itu dibatalkan dan Pengarah JAIP itu diminta meneruskan tugasannya seperti biasa berkuat-kuasa serta merta. DAULAT TUANKU !

Kepada semua Menteri Besar dan juga Ketua Menteri, janganlah membuat tindakan yang membolehkan kalian dipandang sebagai pendurhaka, fahamilah konsep Raja Berperlembagaan sedalamnya dan hayatilah 'hak-hak' eksklusif yang dimiliki Raja-Raja mahupun Yang Dipertuan Agong !

Seterusnya, peringatan yang sekeras-kerasnya WAJIB diberikan kepada Pengerusi DAP iaitu Karpal Singh dan juga Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang dengan penuh biadap telah mengeluarkan kenyataan berbaur 'durhaka' kepada titah perintah Duli Yang maha Mulia Sultan Azlan Shah. Dua orang manusia yang berlagak pandai ini telah dengan beraninya mengatakan bahawa Baginda Tuanku Sultan tidak mempunyai 'autoriti' (kuasa) untuk melantik semula para pegawai kerajaan termasuklah yang melibatkan Pengarah JAIP itu.

Koo Ham yang memang diketahui 'kecewa maksima' kerana gagal menjadi MB Perak dek kerana 'undang-undang' walaupun DAP adalah 'juara' dikalangan rakan-rakan lainnya di dalam Pakatan Rakyat untuk negeri Perak turut 'tidak sayang mulut' apabila mengatakan bahawa mana-mana kakitangan kerajaan di Perak yang tidak sealiran dengan kerajaan negeri wajarlah meletakkan jawatan. Koo Ham harus sedar bahawa kira-kira empat daripada lima kakitangan kerajaan adalah terdiri daripada bangsa Melayu. Koo Ham jangan buat-buat lupa bahawa UMNO menguasai 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berbanding DAP yang memperoleh 18 kerusi. Nyatalah majoriti Melayu Perak masih menyokong UMNO berbanding rakan-rakan DAP iaitu Parti Kaadilan Rakyat (7 kerusi) dan PAS (6 kerusi). 8 lagi kerusi DUN diwakili rakan-rakan UMNO di dalam Barisan Nasional (BN). Adalah diharapkan supaya Koo Ham bertindak sedikit bijak dalam menjaga sensitiviti orang Melayu yang merupakan penduduk majoriti negeri Darul Ridzuan itu. Faktor terbesar yang membawa kepada Pakatan Rakyat menang di Perak dengan kelebihan 3 kerusi DUN itu (Pakatan Rakyat - 31 kerusi, BN - 28 kerusi) ialah penolakan hampir secara total kaum bukan Bumiputera kepada BN, Melayu kelihatan masih setia dengan idealisme BN. Itu adalah fakta yang tidak boleh disembunyikan sesiapapun.

Kepada Karpal Singh dan juga Ngeh Koo Ham, jangan cuba mencabar kedaulatan SULTAN ! Urusan agama Islam dan adat istiadat Melayu bukan di tangan kalian ! Jangan juga mencuba untuk mencabar kedaulatan bangsa Melayu di bumi bertuah ini ! Jangan cuba bermain api, takut nanti kalian yang terbakar, hangus rentung !


DAULAT TUANKU !


Neba2020: Jangan kita lupa bahawa Sultan Azlan Shah pernah menjadi Ketua Hakim Negara. Si peguam tua bernama Karpal Singh itu mungkin terasa dirinya lebih bijak daripada seorang Sultan yang pernah mengetuai institusi kehakiman Malaysia dan juga pernah bertakhta sebagai Yang Dipertuan Agong sedikit waktu dahulu.... Harapnya si Karpal ini belum dijangkiti sindrom 'kurang daya ingatan, lemah memori.'