Thursday, May 15, 2008

Pesan Cikgu Wan

Salam Buat Semua,

Kenangan zaman sekolah tak mungkin dapat dilupakan dengan mudah, terutamanya bagi mereka yang sedar dan faham bahawa setiap perjalanan hidup mempunyai 'nilai dan hikmah' yang tersendiri. 'Nilai-nilai' dan 'hikmah-hikmah' itulah yang membentuk peribadi mahupun persepsi kita terhadap kehidupan dan cabarannya yang pelbagai.

Saya selalu terfikir dan suka melihat ke belakang, apa yang saya alami dan apa yang saya peroleh selama ini adalah berdasarkan kepada pengaruh keperibadian dan pemikiran yang terbentuk sewaktu zaman persekolahan dahulu. Sedar ataupun tidak, alam persekolahan cukup 'berkuasa' dalam mencorakkan 'warna-warni' diri kita semua !

Penghargaan tahap maksima saya utuskan buat semua cikgu-cikgu yang pernah mencurahkan ilmu juga idea-idea berharga kepada diri ini. Kalian sungguh bermakna dalam hidup ini dan moga kalian diberkati Tuhan sentiasa.

Cikgu Wan Hassan Wan Abas

Ustaz ini adalah Guru Besar di Sekolah Agama, Gemereh, Segamat, Johor. Beliau pernah mengajar saya subjek Tauhid dan Al-Qur'an. Beliau mendidik saya di sekolah itu selama 4 tahun (1991 - 1994), 4 tahun yang penuh dengan ilmu agama, pesanan berharga yang tidak pernah jemu diulang-ulang, rotan yang menakutkan, suara yang bikin jantung berdegup kencang, jenaka yang menghiburkan dan juga wajah keimanan yang menyejukkan jiwa.

Cikgu Wan memang garang orangnya, tapi mendidik dengan penuh hikmah. Rotan tidak pernah lekang daripada tangannya tapi tidak bermakna ianya sentiasa 'menikmati tubuh' kami. Suara Cikgu Wan memang cukup 'bertenaga dan menakutkan' bila mengherdik kami. Hebatnya Cikgu Wan sentiasa terserlah kerana setiap contoh dan penerangannya memang boleh membuatkan kami terpesona dan khusyuk sekali. Tidak pernah kami mengantuk di dalam kelas cikgu seorang ini. Dalam garang ada lawaknya, dalam serius ada gelak tawanya dan dalam marah ada sifat kebapaannya.

Pesan 1 - 'Jangan makan jajan (makanan ringan) selalu kalau nak otak pandai'
Pesan 2 - 'Duit belanja sekolah bagus guna beli kismis, otak leh jadi pandai'
Pesan 3 - 'Minum air halia bagus tuk belajar'
Pesan 4 - 'Jangan makan kepala ikan, kepala udang, otak pun jadi bodoh'
Pesan 5 - 'Jangan bising, jangan bercakap masa dengar khutbah Jumaat, pahala kosong'
Pesan 6 - 'Dengar khutbah Jumaat jangan mengantuk, lawan mengantuk !'

Inilah 6 pesanan Cikgu Wan yang cukup mempengaruhi saya dan sehingga kini saya mengamalkannya walaupun pesan-pesan itu dititipkannya seawal tahun 1991 (17 tahun lepas !). Saya sendiri tidak pasti akan adakah sekurangnya seorang daripada anak-anak murid saya yang akan ingat walau cuma satu pesanan / kata-kata pensyarah mereka ini dalam masa 17 tahun mendatang. Andai ada, amat bersyukurlah saya dan itu akan menjadi satu kepuasan dalam hidup saya kelak, moga-moga....

Cikgu Wan saya percaya bukanlah pemegang ijazah daripada mana-mana universiti tetapi saya tetap merasakan dia jauh lebih hebat daripada diri saya malahan professor-professor pun tidak semuanya saya jamin mampu mendidik sambil membentuk diri seorang pelajar secara mendalam. Saya mohon moga Tuhan merahmati kehidupan Cikgu Wan dan moga dia dimasukkan ke dalam syurga, tempat yang selayaknya buat seorang yang unggul dan mulia jiwanya dalam mendidik anak bangsa !

Neba2020: Mana mungkin dapat dilupakan saat rotan kecil Cikgu Wan menjamah punggung ataupun betis kecil kaki ini kerana dengan sengaja tidak pergi sembahyang Jumaat di masjid... Juga tidak terlupa saat diherdik kerana membaca Qur'an dengan tidak mengikut hukum tajwid yang betul. Kerana rotan dan kerana herdikan itulah, semuanya bertambah baik. Bermula daripada takut kepada rotan dan herdikan Cikgu Wan, lama-kelamaan menjadi takut kepada Allah, takut kepada maksiat, takut kepada dosa !

5 comments:

Anonymous said...

mana mungkin lupa.. itulah masa kite belajar..
bacaan hendaklah betul hukum tajwidnya..
Ramai lagi cikgu yang berjasa mendidik kami dengan jayanya...
Ingat lagi kata-kata Cikgu Ismail Ipap yang ku temui secara tidak sengaja di taman permainan kat segamat..

Masa itu, time tengah practical degree bulan feb 2005..

Dalam banyak batch yang cikgu ajar, batch kamu ramai yang berjaya. Cikgu bangga dengan kamu semua..

Selamat hari guru..

Tak lupa jugak untuk teman- teman ku yang masih bergelar pendidik...

Terima kasih di atas jasa mu cikgu..

Kerana mu, ku di sini sekarang..


Rakan sekolah fandi

Anonymous said...

selamat hari guru......

Anonymous said...

huh...blog ini memberi seribu kenangan dan mampu buat diri ni menanges sndrian

Anonymous said...

salam sir

dari hasil didikan cikgu yang baik terhasilah sir fendi yang begitu berjaya.

selamat hari guru pada sir :)

moga diberkati.terima kasih atas ilmu yang diberi

fendy_ahmad said...

Suraya,

Terima kasih atas ucapan itu :)

Saya setuju dengan kata-kata awak bahawa hasil didikan cikgu yang baiklah yang menjadikan saya 'manusia.'

Tapi, hendak dikatakan saya sangat berjaya tidaklah layak lagi, masih 'berliku dan beronak' perjalanan ini.... Tapi pesan saya pada awak juga pada diri saya sendiri, rasa bersyukur kepada Allah atas sekecil mana nikmat / rezeki / pencapaian wajiblah dijadikan pegangan hidup...InsyaALLAH, hidup tenang sejahtera :)