13 Mei 2008 bererti sudah 39 tahun 'peristiwa berdarah' simbolik 'ketegangan kaum' berlaku di negara tercinta ini. Kepada yang suka menelusuri liku-liku sejarah pembinaan negara ini pastinya 'maklum' betapa peristiwa yang berlaku seusai tamat Pilihan Raya Umum (PRU) ke 4 pada tahun 1969 itu telah memberi satu 'nafas baru' kepada proses pentadbiran mahupun hubungan antara kaum di Malaysia. Segalanya selepas kejadian hitam itu adalah berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Rukunegara tercipta, Dasar Ekonomi Baru terbina, bahasa Kebangsaan diperkukuh, hubungan kaum dipererat dan kerjasama politik pelbagai bangsa dengan mengakui ketuanan kaum majoriti diselaraskan.
Dakwaan bahawa peristiwa seorang Melayu telah dibunuh oleh sekumpulan pemuda berbangsa Cina di Pulau Pinang dan juga anggota Polis berbangsa Melayu telah 'terbunuh' pemuda Cina di Kuala Lumpur telah ditafsirkan sebagai 'pelincir' utama yang meletuskan kejadian 'bunuh dan serang' secara meluas yang cukup kritikal di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang serta merebak ke bandar-bandar lainnya seperi Melaka, Seremban juga Ipoh. Sentimen 'kebencian' secara senyap-senyap terutamanya antara bangsa Melayu dan Cina sebenarnya telah diapi-apikan secara terbuka oleh parti-parti politik yang berkempen untuk memenangi undi kaum masing-masing sewaktu PRU ke 4 itu.
39 tahun telah berlalu....
Wajarkah 13 Mei terus diingati ?
Wajarkah 13 Mei terus dikaji dan ditelusuri maksudnya ?
Perlukah generasi muda dimomokkan dengan kisah-kisah 13 Mei ?
Perlukah para pemimpin terus menjadikan 13 Mei sebagai modal politik masing-masing ?
Tepuk dada bukalah minda anda semua !
Neba2020: Bukan mudah untuk memuaskan kehendak manusia, payah untuk memahami perasaan insan, sukar untuk mengerti apa yang dimaksudkan orang .... Hanya kesabaran dan keikhlasan yang berhikmah dalam kehidupan sahaja yang akan menjamin kedamaian satu hubungan berbeza agama berbeza jaluran keturunan dan bangsa.
No comments:
Post a Comment