Wednesday, May 21, 2008

21 Mei 2000 - Budak Kampung Masuk MMU

Salam Buat Semua,

Pada malam 20 Mei 2000, Encik (ayah) membuatkan saya menangis teresak-esak. Dia mengherdik saya kerana masih tidak pandai menggosok baju sendiri dengan baiknya. Dia kata saya sudah berusia 17 tahun, sudah mahu masuk universiti, tapi masih tak pandai menggosok baju dengan cermat dan kemas. Air mata saya mengalir laju ketika cuba menggosok baju dan seluar yang akan dibawa ke Melaka pada pagi esoknya. Saya akan bergelar pelajar universiti ! Budak kampung ini akan masuk Multimedia University (MMU).

Saya mendaftar diri sebagai pelajar MMU dengan bertemankan Encik dan Emak. Hari itu adalah detik yang bersejarah buat kami sekeluarga. Saya memecahkan rekod keluarga kecil kami dengan membuktikan bahawa darah insan yang bernama Ahmad Bin Md. Yusoff dan Asmah Binti Hassan itu sebenarnya mampu menghasilkan darah yang layak berada di universiti juga. Encik dan Emak tidak pernah 'masuk' universiti, abang saya juga tidak pernah masuk unversiti (Syukur, akhirnya pada tahun 2003 dia melanjutkan pengajiannya di peringkat Diploma).

Saya amat berbangga membawa reputasi sebagai budak kampung, anak orang tidak berada dan datang daripada keluarga yang tidak mewah, tidak gah kedudukannya. Bersyukur juga saya kerana saya tidak pernah berhadapan dengan 'tekanan' untuk menjaga reputasi keluarga mahupun kedudukan sesiapa jua sepanjang saya bergelar pelajar di universiti. Apa yang saya lakukan dan segala usaha yang saya berikan sebagai seorang pelajar yang mengidamkan sekeping ijazah hanyalah untuk membuat yang terbaik dan menjaga disiplin diri pada setiap detik juga situasi.

Encik saya bukanlah lulusan universiti tetapi pemikirannya di banyak waktu dan ketika saya kira jauh lebih berhemah dan bijak berbanding dengan segelintir (bukan semua) ibu-bapa masa kini yang sudah 'korup dan busuk' pemikirannya. Saya mohon kepada Allah Taala semoga kelak saya akan menjadi seorang 'Encik' yang penuh berhikmah tutur dan kelakuannya. Masih terngiang-ngiang lagi di telinga ini akan pesanan-pesanan yang selalu Encik tuturkan buat 'Andi kesayangannya' ini:

" Jangan lawan cakap pensyarah, walau pensyarah tu salah. Kalau kita rasa kita betul, jangan pulak cuba tunjuk pandai kat pensyarah. Kat universiti, pensyarah itulah yang akan bagi markah, tentukan kita 'pass' ke 'fail' ke "
" Jangan berkira sangat dengan kawan-kawan. Hidup ni kalau kita senang sikit tak salah gilir-gilir belanja makan. Terlebih terkurang dalam bayar, jangan berkira sangat. Kita tak rugi manapun kalau jadi orang yang tak berkira sangat "
" Niat nak belajar, jangan beratkan benda-benda yang tak sumbang pada belajar. Tak payah masuk benda-benda (aktiviti sampingan) yang lebih banyak buang masa sampai tak cukup masa nak belajar, masuk sikit-sikit cukup"
" Jangan buang duit pada benda-benda yang tak berfaedah. Tapi kalau nak makan, jangan sayang duit sangat. Makan yang elok-elok, zat semua kena ada "
" Ingat pada Tuhan, ingat kat lagu Raihan ... Bila dipuji kejayaan kita sebenarnya bukan milik kita oleh itu sedarlah sentiasa semuanya dari Allah (Encik cukup suka mengulang-ulang lirik lagu yang satu ini kepada saya) ... Jangan berlagak kalau kita pandai sikit, tu semua Allah yang bagi, bila-bila boleh ditarik "

Itulah 5 pesanan Encik yang mengiringi liku-liku kehidupan saya sebagai pelajar di MMU selama 4 tahun (2000-2004). Andai ada sedikit kejayaan yang saya gapai di sepanjang penitian mengejar Ijazah Pentadbiran Perniagaan Pengkhususan Perbankan dan Kewangan itu maka ianya banyak dipengaruhi 5 pesanan berharga tersebut. Pesanan yang datang daripada seorang anak Bugis yang pernah menjadi perwira negara, mengawal perbatasan negara siang dan malam dengan semangat cintakan Malaysia sayangkan kedamaian !

Sepanjang saya mengejar Ijazah, selalu saya niatkan di dalam hati ini - " AKU HENDAK DAPAT IJAZAH KELAS PERTAMA UNTUK ENCIK DAN EMAK ! " Saya mahu buktikan yang Encik dan Emak mampu menghasilkan anak yang berkualiti dan tidak dipandang rendah oleh orang lain.

Allah Maha Berkuasa, niat yang baik dengan taktik dan cara yang betul pasti akan diizinkanNYA. Tanggal 25 Julai, 2004, saya melihat airmata Encik jatuh tatkala saya berjaya mencapai apa yang saya niatkan. Detik itu adalah seiring dengan acara konvokesyen ijazah yang pertama kalinya dihadiri Encik dan Emak. Mereka tidak pernah tahu bagaimana keadaannya orang berkonvokesyen, tetapi hari itu mereka hadir bukan semata-mata untuk melihat anaknya ditauliahkan ijazah malah lebih daripada itu. Saya kira ramai ibu bapa pada hari itu yang lebih kaya, lebih mewah keretanya, lebih bergaya penampilannya dan tinggi statusnya tetapi mereka tertewas juga dengan Encik dan Emak saya. Encik dan Emak hadir dengan status ibu dan ayah kepada penerima ijazah kelas pertama ! Saya yakin keluarga Ahmad boleh !

Neba2020: Kepada Encik dan Emak, segala yang Andi idamkan di dalam hidup ini adalah untuk menaikkan nama kalian, menggembirakan hati kalian dan moga orang akan memandang tinggi diri kalian kelak. Jika impian Andi Allah kabulkan, maka impian itu adalah untuk menaikkan nama Encik dan Emak, bukan untuk menaikkan nama diri ini. Kalian cukup hebat dalam mendidik Andi !

7 comments:

Anonymous said...

8 tahun sudah berlalu. 8 tahun bukan satu jangka waktu yang singkat. 8 tahun boleh dikatakan jangka waktu yang boleh terisi dengan pelbagai peristiwa suka duka dan pahit manis bagi seseorang yang mahu mengingatinya. 8 tahun dahulu tercipta sejarah bagi diri saya khasnya. Berasal dari utara tanah air dan meneruskan pengajian dan jua kehidupan di selatan merupakan satu cabaran bagi seseorang individu yang tiada pengalaman di rantau asing. Namun perkenalan saya dengan tuan editor Blog ini membuka satu lembaran baru dalam erti persahabatan dan pengalaman dalam hidup. Pada waktu yang sama bermula kisah perkenalan antara individu dari berlainan tempat memberi impak baru dalam kehidupan. Lucu juga pabila mengimbas kembali detik perkenalan kami semua. Yalah, semuanya berasal dari tempat yang berlainan dan jauh antara satu sama lain. Begitu juga latarbelakang budaya dan juga pemahaman masing-masing. Tutur bicara dan cara menguruskan hidup. Hendak menetap pula di bawah satu bumbung. Perbezaan tatacara dan gaya dapat diolah untuk meneruskan agenda terpenting. Mengejar ilmu. Namun keserasian lama kelamaan membibit dalam rutin harian kami. Hati dan pemikiran akhirnya dapat diselarikan walaupun mungkin ada yang terlebih dan terkurang. Saya pula menjadi semakin mesra dengan fendi. Dari dua kutub yang berbeza kami menjadi sahabat serumah yang ceria dan penuh semangat. Integrasi antara kami mewujudkan satu keadaan harmoni. Tambahan pula persahabatan ini dikongsi bersama saudara faisal yang penuh dengan standard KLnya, tempat asalnya. Persahabatan ini masih kekal dan tetap utuh sehingga kini dan diharap berpanjangan seadanya. Kini masing-masing membawa haluan sendiri. Saya kembali ke utara dan menetap di Pulau Mutiara. Fendi pula mempunyai kerjayanya di Selatan tapi di negeri Hang Tuah. Sahabat kami lagi seorang juga pulang ke 'lubuknya'. Terlalu banyak peristiwa dan kenangan kalau hendak dititipkan sepanjang 8tahun ini di dalam lama ini. Turun Naik persahabatan ini mempunyai kisahnya sendiri dan hanya difahami oleh empunya diri. Kawan-Kawan, semoga kita berkekalan mesra dalam rantaian persahabatan ini walau berada di utara, selatan atau di mana mana sahaja

fendy_ahmad said...

Salam Buat Semua,

Helmy, masih segar ingatan betapa persahabatan kita bermula pada 21 Mei 2000, maknanya sudah 8 tahun kita bersahabat.

Sama-sama bukan datang daripada famili yang mewah, cukup dikatakan kita datang daripada famili yang serba sederhana.

Teringat pula di suatu senja, kita berbuka puasa dengan mee segera sahaja. Sebabnya bukan kerana tiada duit untuk membeli juadah puasa tetapi disebabkan hujan yang amat lebat dengan guruh dan angin amatlah kencang bermula daripada jam 5.

Kita tidak mempunyai kenderaan untuk membeli juadah dikala hujan ribut itu, payung seakan tak mampu membendung hujan tersebut.

Maka dengan pilunya kita masak sahaja mee segera. Kelakar juga bila dikenang...

Anonymous said...

sukar untuk memiliki sahabat yg begitu ikhlas menyayangi kita...tahniah tuan editor blog!

aku la ros said...

tahniah!

Anonymous said...

tahniah

Scarlet Kiss said...

berair mata baca entry ni.
terasa saya sgt spoilt, kena pergi kerja pun complaint.

El-Zaffril said...

Alangkah baiknye kalau ayah saya seperti... Tapi Allah tu maha adil dan maha mengetahui atas ape yang berlaku...