Monday, November 30, 2009

Kisah Seorang Pelajar

Salam Buat Semua,

1) F mula saya kenali 5 tahun lepas. Dia adalah antara pelajar 'kumpulan pertama' yang saya ajar.

2) Saya pernah 'GAGALKAN' dia dan dia berada di tahap pra-universiti selama 2 tahun, lebih setahun daripada kebiasaannya.

3) Subjek itu diulangnya semula. Hairan bin ajaib, ada banyak pilihan kelas juga tenaga pengajar yang boleh dipilihnya tetapi dia seperti 'berani mati' dan sungguh 'muka tebal' kerana mendaftar untuk berada di dalam kelas saya lagi. Percubaan keduanya berhasil dan melangkahlah dia ke peringkat ijazah dengan CGPA cukup-cukup makan, hidup segan tapi tak mahu mati.

4) Tahun pertama peringkat ijazahnya, dia tidak saya ketemu. Masuk tahun ke 2, kebetulan pula subjek 'major' pertamanya (Financial Management I) sebagai pelajar Perbankan dan Kewangan adalah dikendalikan oleh Mr. Fendi yang pernah menyebabkan dia lambat memulakan pengajian ijazahnya dahulu.

5) F sungguh bersemangat, setiap penerangan saya diberinya tumpuan maksima. Tidak pernah walau sekali dia gagal menghadirkan dirinya. Dia kelihatan 100% berbeza dengan F yang saya kenali sebelum itu. Semangatnya 'mencanak' naik seperti roket yang melungsur ke angkasa !

6) Saya sentiasa memerli dan mengutuk dia secara langsung andai ada perkara yang saya rasa perlu diubahnya. Jika ada benda yang dibuatnya kelihatan bagus dan berasas, saya tidak lokek untuk memberinya pujian. F mendapat 'A' untuk subjek tersebut.

7) F juga menjadi 'anak didik' seliaan saya untuk projek tahun akhirnya. Maka satu tahun terakhir pengajiannya di MMU adalah sentiasa berada di bawah 'kawalan' saya. Saya 'nampak' F ada potensi untuk berjaya. Kemahiran komunikasinya cukup bagus, pemikirannya matang lagi rasional, ideanya bernas dan penampilannya cukup ceria lagi beridentiti tersendiri. Sikapnya juga cukup humor dan sentiasa sedia dikritik. Saya yakin dia boleh berjaya di dalam kerjayanya di masa hadapan. Kerana yakinnya saya kepada beliau, sepanjang proses menyiapkan projek tahun akhirnya, selalu saya sisipkan kata-kata nasihat, berkongsi serba sedikit tentang isu agama, politik mahupun hakikat kehidupan di dunia ini. Saya rasa biarlah saya sedikit penat 'membuat kerja tambahan' asalkan saya dapat 'memandu' seorang manusia yang ada potensi untuk berjaya berada di landasan yang betul dan tidak terbabas arah.

8) F sudah tamat pengajiannya. Minggu lepas dia datang menemui saya untuk menjadikan saya sebagai 'perujuk' (referee) bagi permohonan kursus Sarjananya. 5 tahun lepas si F ini seperti pelajar yang menunggu masa untuk 'dihalau' keluar daripada universiti tetapi akhirnya dia dapat menamatkan alam ijazahnya dengan CGPA yang memiliki angka 3 dihadapannya. Kini dia ingin 'terbang' lebih jauh, menjadi pelajar peringkat Sarjana sambil memegang jawatan sebagai eksekutif muda di syarikat tempatan yang ternama.

9) Sungguh tersentuh saya apabila dalam 'diam' rupa-rupanya dia telah membeli dan membaca serba sedikit sebuah buku berunsur keagamaan yang pernah dulu saya syorkan kepadanya. Katanya, 'Saya beli Sir buku yang Sir sebut tu, sejuk hati baca.'

10) F juga berkata dia tidak lupa pesanan saya tentang sembahyang. Dengan tegas dia ulang kata-kata saya dahulu, 'Jangan sampai lupa pada Tuhan kan Sir!'

Neba2020: Terima kasih buat anak-anak muridku yang sudi untuk ingat dan hayati apa jua nasihat cikgu selama ini ....

Thursday, November 26, 2009

Chin Peng Adalah 'Hero' ?

Salam Buat Semua,

1) Chin Peng pernah menjadi ketua kepada Parti Komunis Malaya (PKM).

2) waktu mudanya, dia mengetuai gerakan gerila bersenjata untuk membentuk kerajaan komunis di semenanjung Tanah Melayu.

3) Komunis yang dipimpin oleh Chin Peng itu keganasannya amatlah melampau dan ribuan manusia tidak berdosa menjadi mangsanya. Anggota pasukan keselamatan negara juga banyak yang terkorban mahupun tercedera juga mengalami cacat kekal dek 'kegilaan' PKM untuk berkuasa itu.

4) Ada pihak yang cuba memberikan definisi baru kepada 'kisah dan fakta' sejarah negara ini. Mereka merasakan betapa PKM itu ada sumbangannya kepada proses kemerdekaan negara ini sehingga dapat bebas daripada cengkaman penjajahan.

5) Mungkin jasa PKM ada sekelumit cuma tetapi bala bencana yang dibawanya adalah beribu kali besar berbanding kebaikan yang 'cuba' dipamerkan ketika itu.

6) Keganasan dan 'usaha-usaha' PKM juga dianggap oleh golongan 'penafsir baru' sejarah Malaysia ini sebagai antara faktor yang mempercepatkan lagi proses kemerdekaan negara. Oleh itu, PKM perlulah juga dilihat daripada sudut positif dan saki-baki kepimpinannya janganlah terus 'dibuang' daripada negara ini.

7) Akhbar Sunday Star pada edisi 22 November, 2009 telah memberikan satu liputan eksklusif buat Chin Peng. Chin Peng dipotretkan sebagai 'mangsa keadaan' dan dia adalah seorang manusia biasa yang sudah insaf, baik budinya dan memerlukan simpati kasih sayang sebagai seorang yang turut sayangkan negaranya.

8) Chin Peng kini sudah berusia 85 tahun, 20 tahun lepas dia telah 'berdamai' secara rasmi dengan kerajaan Malaysia melalui sebuah perjanjian di Hatyai, Thailand. Gerakan bersenjata PKM yang mengakibatkan negara diletakkan di dalam keadaan darurat selama 12 tahun (1948-1960) sebenarnya masih tidak dihentikan walaupun negara sudah merdeka pada tahun 1957. Mereka hanya bersetuju 'mengaku kalah' secara rasmi pada tahun 1989, itupun setelah PKM sudah lumpuh ketahap yang paling kritikal. Terbukti, Chin Peng dan 'kroni-kroninya' memang sungguh degil dan 'gila kuasa.' Walaupun negara sudah bebas, PKM tetap mengganas demi menegakkan ideologi komunisme mereka yang secara majoriti besarnya memang ditolak rakyat Malaysia.

9) Memang Chin Peng sudah tua, orang tua wajar dikasihani dan diutamakan. Masalahnya, dosa-dosa PKM kepada negara ini teramatlah besar dan kerajaan akan mengambil satu jalan yang cukup tidak popular lagi bakal mengundang kemarahan ribuan rakyat Malaysia yang masih 'terbekas' dan 'terluka' dengan kekejaman PKM yang diketuai Chin Peng sebagai 'tuan pengarah' gerakan ganas itu dahulu.

10) Sesetengah pihak kelihatannya mempunyai agenda tersembunyi yang cukup halus dalam cuba membuat penafsiran baru terhadap sejarah negara dengan mahu 'mengangkat jasa-jasa' gerakan komunis di negara ini. Semoga ada yang 'celik dan sedar' akan tujuan sebenar Chin Peng mula dijadikan 'hero' dan implikasinya kepada keharmonian Malaysia tercinta ini.

Neba2020: Sekurangnya Chin Peng dan para pengkagumnya wajarlah bersyukur betapa dia tidak pernah dijatuhkan hukuman bunuh sampai mati kerana bertanggungjawab menyebabkan kematian ribuan rakyat negara ini di sepanjang tempoh kritikal darurat dahulu ....

Wednesday, November 25, 2009

Tak Sedar Kamu Ada Kelebihan !

Salam Buat Semua,

1) Kadang-kadang kita tidak sedar rupanya diri sendiri ada kelebihan mahupun kekuatannya yang tersendiri.

2) Kita lebih suka melihat pada kelemahan diri dan biasanya mudah merasa betapa diri sendiri adalah sentiasa lemah, tidak berupaya, kurang istimewa dan serba-serbi tidak sempurna.

3) Bagus juga 'sedar' akan kelemahan mahupun kekurangan diri sendiri tetapi pada masa yang sama janganlah 'terlupa' atau mungkin sengaja tidak memberi ruang kepada diri untuk 'mengetahui' keistimewaan yang telah sedia wujud.

4) Elok juga sesekali kita cuba memikirkan akan 'kehebatan' diri sendiri. Kehebatan, kekuatan mahupun keistimewaan diri kita itu tidaklah semestinya sesuatu yang kelihatan terlalu bagus, terbilang atau terkehadapan berbanding orang lain.

5) Percayalah bahawa Tuhan tidak mencipta seorang manusia normal tanpa sebarang keunikan mahupun keistimewaannya yang tersendiri. Masalahnya ialah kita yang terlalu 'sebok' untuk mengkaji di manakah terletaknya kekuatan atau keupayaan diri sendiri. Mungkin juga kita terlalu kerap memandang rendah kepada diri sendiri hinggakan merasa betapa tidak ada apa yang boleh digembirakan juga dihargai.

Neba2020: Orang lain sentiasa dirasa bagus, hebat dan istimewa ... Diri sendiri dirasa sentiasa malang, hina, tidak bertuah dan kurang kehebatan ... Bukankah Tuhan menciptakan setiap manusia itu dengan sempurna dan lengkap segalanya ? Mungkinkah kita yang gagal menjelmakan apa yang telah sedia ada itu ?

Friday, November 20, 2009

"SOK SEK" Politik - Mungkin YA Mungkin TIDAK

Salam Buat Semua,

1) Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 DIJANGKA diadakan pada suku pertama tahun 2011, 3 tahun selepas PRU ke 12 yang disifatkan ramai sebagai sebuah 'tsunami politik.'

2) Mohd. Najib Abdul Razak memerlukan mandat untuk dirinya yang tersendiri selaku Perdana Menteri. Mandat sedia ada lebih kepada tanda 'kepercayaan dan sokongan' rakyat kepada bekas Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi pada Mac, 2008.

3) Sentimen semasa rakyat kelihatannya memihak kepada Mohd. Najib, sekurang-kurangnya dia kini tidak terlalu dipandang sinis oleh majoriti ahli masyarakat.

4) Mohd. Najib DIJANGKA akan menggunakan tahun 2010 sepenuhnya sebagai tempoh 'pengukuhan imej dan kredibiliti' beliau sebagai seorang Perdana Menteri untuk rakyat Malaysia. Tahun 2009 lebih merujuk kepada tempoh beliau menyesuaikan dirinya sebagai ketua yang baru dan menyebar-luaskan ideologi 1Malaysia yang merupakan 'jenama' pentadbirannya.

5) PRU ke 13 juga DIRAMALKAN diadakan serentak dengan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. Kali terakhir ianya diadakan ialah pada tahun 2007, kebiasaannya pembubaran dilakukan setiap 4 tahun sekali. Sehingga kini, hanya DUN Sarawak sahaja yang Pilihan Rayanya tidak diadakan serentak dengan PRU.

6) PRU 13 DIPERCAYAI akan memberi kembali Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 2/3 di Parlimen. 'Tsunami 2008' akan reda dan BN akan 'kukuh' semula cengkamannya di Parlimen.

7) Kedah dan Selangor DIRAMALKAN akan kembali kepangkuan BN sebagai pentadbirnya. Perak pula DIYAKINI akan menjadi milik BN secara 'sah lagi jelas.' Pencapaian BN di tiga negeri ini DIJANGKA berpusat kepada keupayaan UMNO untuk menafikan 'sengat' PKR mahupun PAS. Majoriti pengundi Melayu yang 'non-partisan' menolak UMNO pada tahun 2008 bukanlah mengundi pembangkang berdasarkan kepada faktor kepercayaan mahupun sokongan kuat tetapi cuma sebagai tanda protes kepada UMNO dan kepimpinannya ketika itu.

8) Kelantan DIYAKINI akan terus ditadbir PAS tetapi keupayaan parti itu untuk menguasai 2/3 kerusi DUN adalah samar-samar.

9) Pulau Pinang DIPERCAYAI akan terus dibawah 'takluk' DAP dengan penguasaan kerusi oleh PKR dan PAS berkurangan. PKR akan terus bernyawa di Parlimen Permatang Pauh sahaja. UMNO akan menjadi pembangkang yang bakal menafikan majoriti 2/3 pentadbiran Lim Guan Eng.

10) 'Tinjauan rambang' warga 'sok sek politik' MERASAKAN bahawa BN akan menghadapi kesukaran di Terengganu. Yang KEDENGARAN, majoriti 2/3 tidak akan diperoleh BN andai terus menguasai Terengganu. Yang MUNGKIN berlaku, Abdul Hadi Awang akan menjadi Menteri Besar Terengganu buat kali yang ke 2 selepas tempoh 1999-2004 dahulu.

Neba2020: Kemungkinan bukan kepastian tetapi kemungkinan bukan juga sesuatu yang mustahil ....

Thursday, November 19, 2009

Kunci Kejayaan Minda

Salam Buat Semua,

Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni (penulis buku terlaris di Timur Tengah dan Indonesia - La Tahzan, Jangan Bersedih) di dalam bukunya yang berjudul 'Kunci Kejayaan Minda' meletakkan pembetulan niat dan fokus sebagai 'KUNCI PERTAMA' untuk kita menjadi manusia yang berjaya. Antara 'hikmah-hikmah' yang menarik untuk direnungi bersama:

1) Anda ingin berjaya? Mulakan cita-cita dengan niat.

2) Setiap perbuatan bergantung kepada niat. Oleh sebab itu, niatkanlah kebaikan dalam setiap amalan. Berikanlah manfaat kepada orang lain dan hindari daripada melakukan kejahatan.

3) Gerak kerja dan kesungguhan ialah usaha utama menuju kemuliaan, penawar untuk mengubati dirimu, terapi bagi penyakitmu bahkan dua perkara ini adalah asetmu.

4) Fokuskan perhatianmu kepada sesuatu pekerjaan, perdalami, tekuni dan cintai sehingga terserlah daya kreativitimu.

5) Hindarilah perasaan bosan, kerana perasaan jemu itu tidak mendatangkan hasil, manakala perasaan bosan tidak memberi kamu penghormatan. Sebaik-baiknya banyakkan bersabar dan tetapkan pendirianmu.

Neba2020: Niat yang baik balasan akhirnya adalah baik, niat yang tidak baik semestinya tidak akan direstui Tuhan, sempit dan kelam tidak menemui matlamat yang diidami ....

Friday, November 13, 2009

Niat Anwar Yang Busuk

Salam Buat Semua,

1) Ahli Parlimen 'Pakatan Rakyat' yang mewakili Kulim-Bandar Baharu iaitu Zulkifli Noordin mendedahkan 'rancangan' terbaru Anwar Ibrahim selaku 'mentor merangkap penguasa utama' Parti Keadilan Rakyat (PKR).

2) Penasihat PKR itu menasihati ahli-ahli mengenai strategi baru untuk melancarkan serangan peribadi terhadap Perdana Menteri, Mohd. Najib Abdul Razak. Mungkin matlamatnya adalah untuk 'membunuh' terus pentadbiran Mohd. Najib yang belumpun mencecah usia satu tahun itu.

3) Anwar memang sejelasnya telah kekeringan idea untuk menjadi Ketua Pembangkang yang efektif lagi berguna kepada negara. Beliau kelihatan semakin terdesak dan 'huru-hara' pemikirannya. Kita tidak fikir bahawa gaji / elaun yang diterima Anwar sebagai Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang itu adalah semata-mata untuk 'merencanakan' agenda menghancurkan karier politik seseorang semata-mata !

4) Anwar sedar betapa pengaruh Mohd. Najib semakin 'kukuh berakar umbi' di pandangan juga jiwa ramai orang. Para penyokong fanatik pakatan pembangkang sememangnya tetap 'benci dan curiga' kepada kepimpinan Mohd. Najib, itu sudah pasti tidak berubah sampai bila-bila. Masalahnya, adalah jelas kini betapa majoriti rakyat biasa yang non-partisan (tidak memihak secara nyata kepada mana-mana kepercayaan politik) telah mula 'sejuk hati' terhadap UMNO / Barisan Nasional di bawah 'seliaan' Mohd. Najib. Lebih meresahkan Anwar, para penyokong UMNO sendiri sudah mula 'rapat' dan tidak kronik mencurigai keupayaan kepimpinan parti seperti yang berlaku kepada Abdullah Ahmad Badawi dahulu yang 'diperli juga ditertawa' oleh orang-orang UMNO sendiri.

5) Di kala tumpuan sepatutnya diberikan kepada usaha untuk memajukan negara dan membela nasib ahli masyarakat, Anwar nampaknya mahu partinya (PKR) memberi tumpuan khusus kepada usaha untuk meranapkan imej Perdana Menteri di mata rakyat. Kalau benar Anwar itu mulia, baik peribadi dan ikhlas niatnya, apa mungkin dia tergamak menunjukkan secara jelas kepada masyarakat betapa busuknya hati beliau dan mindanya hanya berisi dengan perjuangan untuk menjatuhkan orang bagi mencapai matlamat peribadinya yang sehingga kini tidak pernah ditunjukkan TUHAN jalan yang lurus untuk mencapainya !

Neba2020: Percaya kepada janji TUHAN, niat yang baik akan dibalas baik. Cara yang tidak baik akan selamanya TUHAN tunjukkan jalan yang menyempit untuk kita mencapai matlamat diri .... Orang yang tahu benda itu salah dan pengetahuan agamanya pula baik akan lebih dihina TUHAN andainya dia sendiri tidak berpegang teguh kepada kemurnian agama itu sendiri berbanding insan-insan lain yang cetek ilmunya ....

Thursday, November 12, 2009

"Menantuku Layak"

Salam Buat Semua,

1) Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ke 4 Malaysia selalu dicerca oleh para pembencinya kononnya beliau mengamalkan kronisme, anak-anaknya dikatakan sentiasa diutamakan sehingga bergelar jutawan dan kaya-raya. Rekod menunjukkan bahawa tidak pernah anak-anak beliau dilantik memegang sebarang jawatan rasmi di dalam pentadbirannya selama 22 tahun itu.

2) Abdullah Ahmad Badawi juga tidak ketinggalan. Anak tunggal lelakinya (Kamaluddin Abdullah) turut dikatakan 'menguasai' banyak projek-projek yang berkaitan dengan kerajaan. Menantunya si Khairy Jamaluddin itu pula dipercayai para 'pembenci' kerajaan sebagai orang yang 'menguasai' keputusan-keputusan penting melibatkan kewangan juga pentadbiran negara.

3) Pembangkang akan sentiasa mengatakan bahawa orang kuat UMNO mahupun Barisan Nasional sebagai mengutamakan anak menantu masing-masing. Jawatan, kontrak, kedudukan dan kekayaan sentiasa 'didakwa' diberikan mahupun 'disediakan' oleh para pembesar UMNO / Barisan Nasional kepada kerabat terdekat mereka.

4) Rupa-rupanya Menteri Besar Kelantan iaitu Tuan Guru Nik Abdul Nik Mat selama ini telah 'merestui juga melantik' menantunya sendiri iaitu Mohd Ariffahmi Abd Rahman untuk memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan. Ramai sedia maklum bahawa ketua kepada Perbadanan Menteri Besar / Ketua Menteri bagi setiap negeri bukanlah satu jawatan biasa kerana institusi seperti itu terlibat dengan pelbagai aspek kewangan, pembangunan dan ekonomi sesuatu negeri itu. Ada orang membuat tafsiran bahawa perbadanan seperti itu adalah 'lubok duit dan projek' bagi sesuatu negeri itu.

5) Alasan 'menantu saya layak, anak saya memang boleh buat kerja dan keluarga kami memang professional' sememangnya tidak boleh digunapakai di dalam lingkungan skop pentadbiran negeri / negara. Konflik kepentingan sesama keluarga terdekat adalah sukar untuk dipisahkan. Justeru itu, norma kebiasaan sistem pentadbiran dunia merasakan bahawa ianya perlu dielakkan terus demi menjaga kredibiliti si pembesar itu di mata masyarakat sekaligus mengelakkannya daripada dipandang serong.

Neba2020: Kalau pihak yang selama ini yang tidak suka sesuatu praktis itu dilakukan juga turut mengamalkannya maka siapa lagi yang boleh dipercayai? Kalau pihak yang dituduh selama ini pada hakikatnya tidaklah membuatnya secara nyata tetapi yang menuduh pula telah membuatnya secara rasmi dan terang-terangan maka apa lagi yang boleh diharapkan kepada mereka yang selama ini kononnya mendokong konsep professionalisme dan akauntabiliti dalam mentadbir?

Friday, November 6, 2009

"Saya Sudah Dapat Kerja"

Salam Buat Semua,

1) Sepanjang minggu ini ada 3 bekas pelajar saya membuatkan 'cikgu' mereka ini cukup merasa bangga dan terharu.

2) Pada hari Selasa (3 November), kira-kira jam 12.45 tengahari, Awang Faisal secara tidak disangka muncul 'mencari' saya di pejabat.

3) Budak Kota Kinabalu, Sabah ini mengkhabarkan kepada saya bahawa di akan memulakan pengajian sarjananya secara sepenuh masa dalam masa seminggu lagi. Awang Faisal memilih Multimedia University (MMU), Cyberjaya sebagai 'destinasi' barunya. Sebelum memilih untuk belajar sepenuh masa, Awang telah memiliki pekerjaan sebagai eksekutif di sebuah bank di negeri kelahirannya. Nampaknya, dia sanggup berhenti kerja untuk mengejar impian.

4) Saya pernah mengajar beliau subjek 'Foundation of Finance' (Prinsip Kewangan) sewaktu pengajian ijazahnya sedikit masa dahulu. Dia bukan budak ijazah kewangan tetapi dia bersemangat memberitahu saya bahawa dia akan meneruskan pengajian sarjananya di dalam bidang kewangan ! Sungguh bangga saya mendengarnya !

5) Pada hari Rabu (4 November) pula, Nura Azima Madzlan pula membuat panggilan telefon. Dia dengan cerianya mengatakan kepada saya bahawa panggilan ke nombor pejabat saya itu dibuatnya melalui nombor pejabatnya di TM, Kuala Lumpur.

6) Azima sempat menceritakan bidang tugasnya, dia kedengaran sungguh gembira dapat berkongsi 'cerita-cerita kerja' dengan Mr Fendi beliau ini yang pernah terlibat mengajarnya sebanyak 4 subjek di sepanjang 4 tahun pengajiannya di MMU, Melaka. Dia juga menjadi pelajar seliaan saya untuk projek tahun akhirnya.

7) Azima turut memberitahu tentang kelas sarjananya secara separuh masa di MMU, Cyberjaya. Dia akan bekerja dan belajar sekaligus ! Tahniah Zima !

8) Pada hari Khamis (5 November), jejaka Kuching, Sarawak yang bernama Ismail Redzuan pula menghantarkan kiriman ringkas (SMS) berbunyi 'Sir, saye bru dapat offer dr bnk rakyat, 18 november nih reporting di cawangan kucing. Thank you sir, pape news nanti saya bagitau kat sir.'

9) Ismail saya panggil Raku, dia yang mengakui bahawa itulah panggilan 'popular' untuk dirinya di kalangan rakan-rakan. Saya tidak tahu dari mana pula datangnya nama pelik itu.

10) Raku ini baik budaknya. Pemalu dan sungguh tertib kelakuannya. Dia hanya berada di dalam kelas saya untuk satu subjek sahaja tetapi saya mula menjadi tempat dia berkongsi pendapat dan 'impian' apabila menjadi 'anak didik' projek tahun akhir kepada saya.

Neba2020: Saya bangga kerana ada yang masih 'setia' dan 'ingat' kepada 'cikgu' ini yang tidaklah seberapa orangnya, kurang ilmu dan masih cetek pengalamannya. Saya akan sentiasa berdoa moga Tuhan permudahkan perjalanan hidup mereka dan beroleh kejayaan yang lebih bermakna kelak ....