Friday, August 28, 2009

Nasihat Buat Diri Saya

Salam Buat Semua,

1) Ada orang kata, andai kita ingin menjadi insan yang hebat maka janganlah kita malu-malu untuk menasihatkan juga membetulkan diri sendiri.

2) Sedar tak sedar, kita lebih mudah menasihatkan orang lain daripada menasihatkan diri sendiri. Mudah juga kita merasakan orang lain tidak betul, tidak bagus, tidak menarik, tidak rajin, tidak teliti dan 1001 TIDAK yang lain. Umpamanya kita inilah saja yang betul segalanya, tiada cacat juga cela.

3) Sebaiknya kita cuba bertanya diri sendiri, "Apalah yang orang lain kata tentang aku, apalah benda-benda tak bagus yang orang lain sebut tentang aku?"

4) Tidak semuanya yang orang 'kata' tentang kita adalah benar tetapi haruslah kita sedar juga bahawa tidak semuanya juga tidak benar, kebiasaannya yang buruk lebih mudah menjadi bahan sebutan orang berbanding dengan yang baik.

5) Kadang-kadang mudah sungguh hati busuk saya (anda bagaimana?) terlintas memandang rendah kepada percakapan, tindakan, gaya mahupun hasil kerja orang lain.

6) Kadang-kadang mudah sungguh mata saya (anda bagaimana?) memandang sinis kepada sesuatu yang tidak cukup berharga, kurang kualiti, rendah taraf populariti mahupun yang tidak sepadan dengan keinginan penglihatan sendiri.

7) Minda saya (anda bagaimana?) juga amat senang memikirkan yang buruk-buruk tentang orang lain. Rasa percaya sukar diberi, rasa hormat payah sungguh untuk menjelma, was-was terhadap keupayaan insan itu dan terpengaruh dengan kata-kata buruk pihak ketiga terhadapnya.

8) Jiwa saya (anda bagaimana?) juga mudah memberontak apabila apa yang diingini, diimpikan dan diharapkan tidak sekata dengan apa yang diperoleh. Kalau boleh saya mahu dunia mengikut rentak tarian saya bukannya saya yang perlu sedikit memahami tentang dunia dan resamnya.

9) Jarang sungguh saya (anda bagaimana?) berpuas hati dengan apa yang telah dimiliki dan sedia ada di dalam genggaman tangan. Rasa tamak, mahu dan terus mahu serta sentiasa mahukan 'tambahan' amat mudah menguasai diri.

10) Saya terus dan terus (anda bagaimana?) mahu mengingatkan diri ini dan mengajarnya supaya sentiasa berfikiran positif, memandang mulia kepada setiap insan, memikirkan yang baik-baik tentang orang lain, memahami bahawa setiap manusia bukanlah lengkap segalanya, sentiasalah bersyukur dengan apa yang dimiliki dan yang terpenting janganlah lupa kepada TUHAN kerana DIAlah yang menentukan baik buruknya perjalanan hidup ini.

Neba2020: Saya dan anda bukanlah manusia yang terbaik tetapi saya dan anda bukanlah juga diciptakan TUHAN untuk menjadi manusia yang terburuk. Saya dan anda tidak akan mampu jadi manusia yang terlengkap dan terpuji sekali tetapi saya dan anda boleh sebaik mungkin cuba untuk menjadi manusia yang minima buruknya dan sentiasa 'celik hati, bersih pemikiran.'

Wednesday, August 26, 2009

Kenangan Yang Tidak Ternilai

Salam Buat Semua,

1) Gambar pertama adalah memori saya sewaktu berada di Tingkatan 1A, Sekolah Tinggi Segamat pada tahun 1995.

2) Gambar di bawahnya pula merakamkan saat-saat sewaktu di Tingkatan 3A pada tahun 1997.

3) Foto pertama saya berada di barisan belakang, kanan sekali manakala foto yang berikutnya saya duduk terkiri sekali di barisan hadapan.

4) Guru kelas sewaktu di Tingkatan Satu ialah Mrs. Chong Mun Fatt (barisan depan, empat dari kiri), dia mengajar subjek Bahasa Inggeris. Saya sungguh tidak selesa dengan gaya mengajarnya yang suka bertanya dan sentiasa menyuruh kami sekelas berinteraksi dengannya. Sekarang saya sedar betapa gaya mengajar beliau itulah yang cukup banyak membuatkan saya rasa 'tercabar' sekaligus sentiasa cuba memperbaiki penguasaan komunikasi di dalam bahasa tersebut.

5) Puan Rahmah Kassim (barisan depan, enam dari kanan) pula menjadi Guru Kelas sewaktu di Tingkatan Tiga. Dia mengajar subjek Sains. Orangnya cukup penyabar, cukup teliti sewaktu mengajar, penerangannya sentiasa jelas hinggakan yang susah menjadi mudah difahami.

Neba2020: Zaman belasan tahun sememangnya berwarna-warni dan penuh dengan kegembiraan berpanjangan kerana tanggungjawab dan erti kehidupan belum lagi terasa dan teruji ....

Wednesday, August 19, 2009

Tenangkan Jiwa, Insafi Diri ....

Salam Buat Semua,

1) Tahun 2009 ini, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ada melabelkan UMNO sebagai komunis.

2) Tahun 2009 juga Mursyidul Am PAS itu mengeluarkan kata-kata 'Pergi Jahanam UMNO.'

3) Tahun 2009 turut menyaksikan Menteri Besar Kelantan sejak tahun 1990 itu mengatakan bahawa tidak salah orang-orang DAP yang majoritinya beragama Buddha mahupun Kristian itu untuk menghina atau mengata Islam. Alasannya, orang bukan Islam seperti ahli-ahli DAP tidak mempunyai ilmu yang cukup tentang Islam dan ajarannya.

4) Di dalam Al-Qur'an ada melarang umat Islam daripada menghina orang lain dan juga agama lain kerana mungkin orang yang dikutuk dikeji itu ada juga baiknya. Umat Islam HARAM untuk menghina agama pegangan rakan-rakan yang lain selagi semuanya hidup aman damai dan menghormati Islam. Masyarakat Islam juga majoriti besarnya tidak berapa faham secara terperinci tentang ajaran-ajaran agama lain seperti Buddha, Hindu dan Kristian. Walaupun tidak cukup memahami prinsip-prinsip agama lain, tidaklah sama sekali ianya boleh dijadikan ALASAN mudah untuk mereka menghina, mencaci dan merendahkan kepercayaan-kepercayaan itu. Sejak kecil umat Islam diajar supaya jangan menghina dan jangan mengejek agama-agama rakan-rakan seMalaysia yang lain.

5) Di kala usianya mencecah angka 8 dekad ini, kiranya perlu Tuan Guru Nik Abdul Aziz menenangkan jiwanya juga menginsafi diri sedalam-dalamnya. Sebagaimana beliau dihormati dan dikagumi akan ilmu agamanya, seharusnya beliau berlapang dada juga untuk menerima sekelumit nasihat orang lain kepada dirinya supaya lebih 'berhati-hati' dalam 'bersuara'. Sesungguhnya hanya Nabi Muhammad bin Abdullah itu sahaja yang ALLAH bebaskan dirinya daripada segala jenis dosa dan kesilapan besar.

Neba2020: Selamat Menyambut Ramadhan Yang Mulia Buat Semua. Buat yang Muslim, pastinya Ramadhan adalah masa terbaik untuk kita memperbaharui diri serta memperbaiki nilai cinta kita kepada Tuhan dan agama. Buat rakan-rakan seMalaysia yang tidak berpuasa, semoga Ramadhan ini menghadirkan kegembiraan buat kalian untuk bersama-sama memeriahkan jualan pasar-pasar Ramadhan di petang hari dan menikmati juadah-juadah tradisional sahabat-sahabat Melayu yang pastinya mampu mengeratkan lagi perpaduan kita rakyat Malaysia ....

Sunday, August 16, 2009

Kenangan Mula Bekerja: Pagi Wangi, Petang Hapak ...

Salam Buat Semua,

1) Hari ini tepat 5 tahun saya berada di alam pekerjaan. Seperti baru semalam sahaja terasa detik-detik melaporkan diri sebagai pekerja di Menara TM, Kuala Lumpur (16 Ogos 2004).

2) Sebaik sahaja melapor diri sebagai Eksekutif Sandaran di situ, saya diberikan surat arahan penempatan tugasan. Majoriti rakan-rakan diberikan penempatan di bangunan itu juga cuma berbeza-beza unit mengikut bidang yang sesuai dengan kemahiran serta ijazah yang dimiliki.

3) Saya kelihatannya agak 'berbeza' kerana 'terhumban' beberapa belas kilometer daripada bangunan raksasa itu. Kolej Latihan Telekom (kini dikenali sebagai Kolej Multimedia) di Jalan Gurney Kiri menjadi tempat di mana 'ijazah dan kemahiran' saya dipercayai juga dirasakan 'sesuai dan kena' oleh panel penemuduga jawatan (proses temuduga dijalankan kira-kira sebulan sebelum itu).

4) Saya menumpang duduk di rumah ibu saudara di kawasan Kelana Jaya, Petaling Jaya. Proses ke tempat kerja itu memerlukan saya menunggu seawal jam 6.50 pagi untuk menaiki bas perantara ke stesen LRT yang berhampiran. Perjalanan tidaklah jauh tetapi tetap memakan masa hampir 30 minit kerana waktu seperti itu bas semestinya akan kerap berhenti serta ditambah dengan keadaan di jalanan yang sesak.

5) Seterusnya, LRT yang sesak umpama 'tin sardin' itu dinaiki, kira-kira 30 minit juga saya 'terperap' di celah-celah pelbagai jenis manusia itu. Keadaan di pagi hari masih segar lagi menyenangkan. Semuanya wangi dan cukup kemas lagaknya.

6) Turun LRT di Stesen Damai, satu lagi bas perantara LRT perlu saya tunggu. Satu lagi perjalanan yang mengambil masa kira-kira 20 minit perlu dihadapi sebelum destinasi akhir dijejaki. Jarak di antara jalan utama bas berhenti dengan Kolej Latihan Telekom itu adalah kira-kira 250 meter, kebiasaannya saya akan berlari-lari anak memandangkan jam semakin hampir dengan angka 8.30 pagi. Kalau lewat, kad perakam waktu kerja saya akan menjadi MERAH !

7) Waktu pulang kerja, sekali lagi waktu selama satu jam setengah perlu saya habiskan di tempat menunggu bas, di dalam bas, stesen LRT dan di dalam LRT. Sama sahaja dengan waktu pagi.

8) Bezanya, berhimpit-himpit di lewat petang menjelang senja tatkala warga kota raya pulang daripada tempat kerja adalah sesuatu yang 'perit dan payau!'

9) Waktu pagi, semuanya segar dan harum. Lewat petang, semuanya longlai dan 'dilengkapi' dengan aroma badan yang sungguh tidak memberangsangkan.

10) Sebaik sahaja pulang daripada melapor diri di Kolej Latihan Telekom itu, saya mendapat panggilan telefon daripada pihak Universiti Multimedia (MMU). Saya dipanggil untuk temuduga jawatan pendidik di kampus Cyberjaya. Temuduga dijalankan di sana tetapi kekosongan jawatannya adalah di kampus Melaka. Selebihnya adalah sejarah. 18 Oktober, 2004 saya beralih pula bertugas di MMU. Walaupun hanya 2 bulan sahaja bekerja di Kuala Lumpur, kenangan bersesak di dalam bas dan LRT, peritnya hendak 'memboloskan' diri ke dalam bas dan LRT di pagi hari juga di sebelah petangnya adalah sesuatu yang cukup berharga dan banyak mendidik saya betapa hidup ini bukan semuanya indah, prihatin kepada manusia sekeliling dan sabar dalam bertindak.

Neba2020: Rezeki yang halal perlu dicari dengan niat yang bersih dan tindakan yang ikhlas. Halal bukan sahaja pada jenis kerjanya tetapi halal juga perlu dilihat daripada sudut penggunaan masa, penggunaan kelengkapan kerja, kepuasan pihak yang berurusan dengan kita, penyelesaian tugasan seoptimum mungkin dan menjaga nama baik institusi ....

Friday, August 7, 2009

Selamat Berkonvokasi Buat Semua !

Salam Buat Semua,

1) Chan Kar Hoong berjaya menggengam ijazah pengkhususan Kewangan dengan Multimedia di kampus Cyberjaya. Ini pelajar yang sentiasa saya rindui karektornya ! Kar Hoong ini tidak pernah lupa menghantar berita ringkas tentang dirinya dan juga kerap bertanya khabaran saya walaupun kami hanya bersua di kampus Melaka selama setahun sahaja sebelum dia meneruskan pengajiannya selama 3 tahun di kampus Cyberjaya. Tahniah anak muridku, pelajar kelas pertama yang juga mempunyai budi pekerti di tahap '1st Class!'

2) Mohd. Zaihan Jamil dengan ijazah Perakaunan, kampus Cyberjaya. Wa caya sama lu dik ! Wa kan abang, lu kena dengar cakap wa selalu ! Si Zaihan ini pelajar 'batch' pertama yang saya temui di MMU sebaik memulakan kerjaya pendidik ini. Jarak umur sekitar 4 tahun menjadikan hubungan 'cikgu-pelajar' berubah menjadi umpama 'abang-adik.'

3) Mohd. Hamdan yang pernah menjadi 'Ketua Pelajar' di kampus Melaka. 5 tahun lepas saya menjadi Cikgu beliau, juga di kalangan pelajar paling awal yang saya miliki. Hamdan kini lebih mesra memanggil saya sebagai Abang Fendi. Dia berkonvo sebagai pelajar ijazah Perakaunan, kampus Melaka.

4) Ashraaf Komplen juga akan menaiki pentas konvokesyen, ijazah kepujian Kejuruteraan menjadi miliknya. Bukan pelajar saya tetapi mengenali beliau secara tak dirancang melalui sahabat-sahabat lain dan yang pastinya kami adalah 'geng blogger.' Selain itu, si Acap 'stylo' ini juga berkongsi pangkal nama yang serupa dengan saya, kami adalah jejaka NOOR ! Ikut tahun akademik MMU, dia layak dipanggil 'junior' saya di MMU.

5) Nurul Aizam, seorang lagi 'junior' saya di MMU. Pendakiannya di MMU bermula sebagai pelajar Diploma, mara ke bidang Teknologi Maklumat (I.T) sebelum 'berpindah' ke bidang Pengurusan Sumber Manusia. Aizam saya anggap sebagai seorang 'aktivitis' yang cukup aktif di MMU. Sentiasa suka dan sentiasa rela untuk berkhidmat menjayakan 1001 program-program pelajar di kampus. Daripada seorang 'junior' kepada saya, dia pernah sekali menjadi pelajar saya.

6) Mohd. Fahmi Ismail, juga 'junior' saya di MMU. Beliau akan menggenggam ijazah Teknologi Maklumat setelah 'bergelut' di antara cita-cita untuk mengejar ijazah dan juga membina perniagaan sendiri di sepanjang tempoh 6 tahun sejak menjejakkan kaki di bumi Melaka. Terbukti dia mampu dan tiada apa yang dirugikannya. Pening juga melihat beliau cukup aktif dengan badan-badan bukan kerajaan seperti ABIM dan GPMS. Orang penting ABIM dan GPMS untuk negeri Melaka ! Menariknya, semakin sebok beliau dengan aktiviti berpersatuan dan perniagaannya, semakin 'sehat' pula orangnya berkembang ! Unik dan istimewa !

Kepada Semua Pelajar-Pelajar Saya Yang Tidak Mampu Disebutkan Di Sini dan Kenalan-Kenalan Lainnya Yang Berkonvokasi di Majlis Konvokesyen ke 10 Universiti Multimedia (MMU) 2009, Saya Ucapkan TAHNIAH Dan Didoakan Semoga Perjalanan Hidup Kalian Di Masa Hadapan Akan Lebih Cemerlang, Sentiasa Menjadi JUARA TERBILANG !

Neba2020: Semasa kita memperoleh sesuatu yang istimewa dan sewaktu kita mengecap kejayaan, janganlah lupa menoleh kebelakang melihat insan-insan yang dengan kewujudan merekalah kita mendapat apa yang diidami itu ....

Konvokasi ke 10 MMU: TAHNIAH !

Salam Buat Semua,

1) Nura Azima Madzlan  dan Chiang Lin Pin adalah dua anak murid saya yang akan berkonvokasi pada 9 Ogos ini. Mereka berdua cukup lama mempunyai 'hubungan' dengan saya.

2) Mereka masuk MMU pada Jun 2005 melalui program Pra Pengurusan. Saya mengajar mereka subjek 'Principles of Economics 1 (Mikroekonomi).' Itu adalah semester pertama mereka berada di universiti.

3) Seterusnya di peringkat ijazah, mereka berada di dalam kelas saya untuk subjek 'Managerial Communication' dan 'Financial Management II.'

4) Sewaktu di tahun akhir pengajian, mereka memilih untuk berada di bawah seliaan saya untuk Projek Tahun Akhir. Maka 2 semester terakhir pengajian mereka, 'hubungan pengajar dan anak murid' yang terjalin sejak musim-musim awal kedua-duanya di MMU telah menjadi bertambah rapat dan mesra di bawah naungan 'dunia intelek.'

5) Zima dan Lin Pin sudahpun tamat pengajian mereka. 4 tahun penuh saya rapat dengan mereka. Terasa lain apabila ianya telah 'tamat' dek kerana mereka telah beralih ke suatu era yang lebih mencabar 'di luar' sana. Mereka sudah bergelar orang yang berijazah.

6) Saya bangga kerana 9 Ogos ini, Zima dan Lin Pin akan menggenggam secara rasmi Ijazah Pentadbiran Perniagaan pengkhususan Perbankan dan Kewangan dengan kepujian kelas pertama. Mereka layak dipanggil pelajar '1st Class!'

7) Ada dua lagi pelajar yang mula mengenali saya sebaik mereka memulakan pengajian di MMU dan terus 'setia' dengan Mr. Fendi ini. Mereka sungguh 'setia' dengan saya yang sentiasa bisa bikin mereka ketawa, merah muka kerana sentiasa diperli jika silap, keras telinga sebab kerap sangat ditegur jika 'tersalah langkah' dan terkejar-kejar menyiapkan apa yang disuruh.

8) Lionel Lee Kim Hock dan Chua Hui Ying adalah dua personaliti yang cukup 'meriah' di hati saya. 4 tahun juga mereka sentiasa 'menemani' perjalanan saya sebagai seorang pendidik di universiti.

9) Lionel cukup tinggi kepercayaannya kepada saya. Sehingga sekarang saya masih ingat pada malam terakhir pelajar dikehendaki membuat pilihan untuk pengkhususan di peringkat ijazah di akhir musim pengajian tahap asas (sekitar April, 2006) dia menelefon saya kerana masih 'pening' dan tiada 'petunjuk' yang sewajarnya. Kami berborak hampir 30 minit dan selebihnya adalah sejarah. Lionel memilih untuk 'mengaji' bidang kewangan, sama seperti cikgunya yang seorang ini juga.

10) Hui Ying pula akan menerima ijazahnya di dalam pengkhususan Perniagaan Antarabangsa. Dia selalu menitipkan ke pendengaran saya bahawa sepanjang dia berada di MMU, kelas di bawah kendalian sayalah yang dia tidak akan pernah ponteng dan akan sentiasa duduk di barisan terdepan sekali. Katanya, saya tidak pernah buat dia mengantuk dan dia sentiasa 'nampak' apa yang dipelajarinya. Tapi Hui Ying mengaku bahawa saya jugalah yang paling 'setia' menegurnya, memerlinya dan memarahinya. Saya dianggapnya bukan setakat pensyarah dan penyelia Projek Tahun Akhir tetapi sudah seperti kaunselor hidupnya dan 'tukang motivasi.' Di saat saya lihat semangatnya 'merudum,' saya akan 'memanaskan pendengarannya' supaya dia tidak terus 'terlena.'

11) Tiga lagi pelajar di bawah seliaan saya yang akan berkonvokasi ialah Alex Lim Kheng Aik, Mohamad Ismail Redzuan Adon dan Lee Hoi Yen. Kesemuanya saya kenali 'sedikit lewat' sewaktu mereka telah menjejak 'alam ijazah.'

12) Alex si budak Melaka yang bercita-cita besar mahu menjadi 'taiko bisnes.' Dia sedikit nakal dan suka berjenaka. Otaknya bijak, visi hidupnya cukup saya kagumi tetapi dia mudah cuai dalam menyiapkan tugasannya. Apabila dimarah dan diperli, dia sentiasa berjanji untuk memperbaikinya, malangnya satu yang dibetulkannya, dua lagi kesilapan baru yang dibuatnya. Alex oh Alex !

13) Ismail si anak Kuching, Sarawak yang begitu pemalu. Dia selalu 'diusik' saya dan kebiasaannya mukanya akan menjadi merah tanpa dipaksa. Saya kerap memanggilnya dengan panggilan 'Raku.' Katanya, itu nama popularnya di kalangan kawan-kawan rapat. Dia seorang yang patuh pada apa yang disuruh, tidak mudah 'berubah muka' jika hasil kerjanya ditegur dan dikritik. Andai semua pelajar saya seperti si Raku ini sudah pasti hidup ini akan menjadi lebih tenang sejahtera.

14) Lee Hoi Yen si gadis Tionghua 'keluaran' Tanjung Malim, Perak. Di antara 7 nama yang telah disebutkan di atas, dialah yang layak saya berikan anugerah 'Pelajar Paling Tertib, Tepat dan Kemas.' Hasil kerjanya cukup kemas dan sempurna, disiplinnya dalam menyiapkan tugasan tepat pada masanya tanpa perlu komen tambahan adalah cukup terpuji. Di luar urusan akademik, dia suka berbicara tentang nilai-nilai kehidupan. Tidak akan saya lupakan kiasannya tentang memilih teman lelaki adalah umpama mahu membeli sayuran. Katanya, ada tiga pilihan tempat untuk dia membeli sayur di Melaka. Boleh pilih sama ada untuk beli di pasar basah, Jusco / Tesco ataupun Cold Storage. Hoi Yen 'berpendapat' beliau lebih senang memilih teman lelaki 'seperti' memilih untuk membeli sayur di Jusco / Tesco. Moralnya, beliau suka kepada yang 'sedang-sedang' sahaja, tidak terlalu berbau 'murah' dan tidak pula terlebih mahal. Sungguh bijak dia berfalsafah !

15) Selamat berkonvokasi kepada 7 anak didik saya yang 2 semester terakhir mereka di MMU menjadi pelajar di bawah seliaan saya untuk Projek Tahun Akhir masing-masing.

'I'm proud to be your Final Year Project's Supervisor !'

Neba2020: 4 tahun terasa sekejap, segalanya mudah menjadi sejarah walaupun bukan semuanya akan memberi makna mendalam ... Makna yang istimewa lagi bererti hanya datang apabila niat dan tujuan dipenuhi dengan rasa ikhlas, mesra dan saling menghormati keistimewaan masing-masing ...