Wednesday, August 15, 2007

Peristiwa Sebak: 15 Ogos 2004; Peristiwa Bermakna: 16 Ogos 2004

Salam Buat Semua,

Masih cerah dalam ingatan saya pada petang Ahad, 15 Ogos 2004 (3 tahun telah berlalu..), saya terasa amat sebak dan menitiskan air mata di dalam kereta sepanjang perjalanan dari rumah (Rindu selalu pada Kampung Alai, Mukim Gemereh, Segamat, Johor...) menuju Kuala Lumpur.

Pada petang itu, saya ditemani encik (Ayah saya..) menuju Ke Kelana Jaya untuk menginap di rumah Mukda Bedah (Emak saudara di sebelah encik..) dengan tujuan utamanya adalah untuk melapor diri ('Report duty') sebagai Eksekutif Sandaran Telekom Malaysia Bhd. di Menara Telekom (Kini Menara TM..) keesokan harinya.

Saya tidak tahu kenapa air mata saya tiba-tiba berjuraian mengalir di sepanjang perjalanan yang mengambil masa kira-kira 3 jam setengah itu. Adakah saya menangis kerana meninggalkan emak? Adakah saya menangis kerana meninggalkan rumah kesayangan saya di kampung? Mungkinkah saya menangis kerana takut dengan alam pekerjaan yang akan bermula esok harinya?

Jika difikirkan semula, itu bukanlah kali pertama saya berjauhan dengan emak, encik dan kampung tersayang kerana sejarah berjauhan dengan keluarga telah bermula sejak saya memulakan alam pengajian tinggi di Multimedia University pada 21 Mei 2000.

Saya menangis kerana secara tanpa diundang perasaan sebak menguasai diri apabila saya memikirkan bahawa dengan bermulanya alam pekerjaan di Kuala Lumpur maka bermulalah zaman sebok, zaman tiada masa bersama keluarga dan sekaligus zaman emak dan encik akan terasa kerinduan pada saya sebab amat jarang bersua muka dengan si bongsu yang seorang ini.

Saya sebak kerana saya akan memulakan pekerjaan pertama saya setelah berjaya menamatkan alam ijazah. Alam ijazah pastinya dimulakan dengan alam persekolahan peringkat rendah dan menengah. Detik-detik berikut cukup untuk menimbulkan rasa sebak saya di petang Ahad, 15 Ogos 2004 itu:

- Susah-payah emak saya bangun setiap hari seawal pukol 5 pagi untuk menyiapkan sarapan buat saya ke sekolah dan juga masakan makan tengahari kerana emak sendiri akan pergi ke tempat kerja seawal jam 6.30 pagi. Saya tidak pernah pergi ke sekolah dalam keadaan tidak bersarapan dan saya tidak pernah balik dari sekolah dengan ketiadaan lauk-pauk untuk disantap sebagai pengisi perut sebelum pergi ke sekolah agama pula di pertengahan petangnya.

- Emak yang tidak pernah menjejak kakinya ke alam persekolahan menengah tidak pernah bersuara seandainya saya meminta sedikit duit lebih untuk membeli bermacam-macam buku rujukan dan latihan tambahan. Malah emak pernah pergi ke kedai buku dan membawa kertas yang telah siap saya tulis dengan tajuk buku dan nama syarikat penerbit untuk membeli buku-buku bagi pihak saya (Restoran milik sepupu saya yang emak turut membantu terletak hampir dengan kedai buku tersebut di tengah-tengah bandar Segamat..). Hingga ke hari ini masih segar lagi dalam ingatan saya betapa cerianya muka emak apabila menyerahkan buku-buku tersebut kepada saya di petang hari setelah beliau balik bekerja. Mungkin dia bangga dan rasa puas sebab membawa balik buku yang dia percaya akan membantu anak bongsunya menjadi pandai (Bukankah harapan terbesar ibu-bapa adalah untuk melihat anak mereka pandai dan berjaya selalu?). Itu semua berlaku antara tahun 1998 dan 1999 dan antara buku-buku yang pernah emak sendiri yang membelinya berdasarkan kertas rujukan yang saya tulis ialah buku rujukan bagi subjek Bahasa Inggeris dan Kimia. Semuanya sebagai persediaan tambahan untuk saya menduduki SPM (Sijil Pelajaran Malaysia..) di akhir tahun 1999.

- Peristiwa saya 'buat perangai' di suatu pagi (Tahun 1989 - usia 7 tahun !)ketika menuntut di dalam Darjah Satu Melor (Sekolah Kebangsaan Temenggung Abdul Rahman, Segamat..) cukup diingati selamanya. Entah kenapa pada pagi itu saya menangis dan ketakutan di sekolah ketika emak menghantar saya. Saya pegang tangan emak erat-erat dan tidak membenarkan emak balik ke tempat kerjanya (Ketika itu emak membantu di kantin Sekolah Tinggi Segamat yang diketuai oleh bapa saudara saya). Dengan perangai saya yang 'agak ganjil' pada pagi itu, emak terpaksa berdiri di luar kelas dan menuggu sehinggalah waktu pulang. Lawak juga untuk saya kenang peristiwa tersebut. Sebenarnya saya berkelakuan 'ganjil' pada pagi itu adalah kerana saya amat takut dengan seorang cikgu perempuan yang mengajar Matematik. Cikgu tersebut tinggi dan rambutnya mengerbang. Sungguh menakutkan ! Akibatnya, jiwa kecil saya yang berumur 7 tahun menjadi kacau dan mencipta ketakutan melampau ! Yang menerima tempias kepenatan berdiri di luar kelas berjam-jam adalah emak saya yang tersayang.

Akhirnya pada pagi 16 Ogos 2004, dengan ditemani encik tersayang maka saya menuju ke Menara Telekom dan rasmilah saya menjadi pekerja buat pertama kalinya dengan diberikan tugas sebagai Eksekutif Latihan di Kolej Latihan Telekom (Kini Multimedia College..), Jalan Gurney Kiri, Kuala Lumpur.

3 tahun telah berlalu... Saya percaya betapa amat banyak perkara yang perlu saya syukuri di sepanjang 3 tahun yang telah ditinggalkan ini... Syukur...


Neba2020: Alangkah indahnya bila dikenang saat encik bersusah payah membelikan si anak bongsunya ini segala persiapan untuk menjadi seorang pekerja bertaraf eksekutif di Telekom Malaysia. Encik ketika itu baru sahaja bergelar pesara Telekom Malaysia dan dia bukanlah pekerja bertaraf eksekutif. Setelah tiga tahun berlalu, sedarlah saya betapa bangganya seorang ayah apabila anaknya mendapat kerja yang dia sendiri tidak memilikinya sebelum itu. Encik saya bukan eksekutif atasan, bukan hartawan ternama... Encik saya adalah ayah yang terbaik yang penuh hemah dan lagi mempunyai 'taktik mujarab' dalam mendidik dan membentuk seorang yang bernama Noor Effandi Ahmad ! Sayang encik, sayang emak.. Moga dipanjangkan usia oleh Ilahi..Ameen ~~~

2 comments:

Anonymous said...

Assalammualaikum,
Kita serupa rupa-rupanya. Datang dari keluarga Telekom; arwah ayah, abang ipar dan saya pernah bekerja bawah satu bumbung sekitar akhir 80an dahulu. Memang orang lama sangat tinggi etika kerja mereka. Arwah ayah saya ialah seorang kerani di pejabat admin(dulu di panggil perjawatan) tapi cukup dihormati oleh semua orang sebab ikhlas dan jujur bekerja. Semoga anak-anak mereka (kitalah tu..) juga akan menjadi seperti mereka.

fendy_ahmad said...

Waalaikumussalam,

Saya adalah keluarga Telekom dan bangga menjadi 'anak Telekom.'Abang tunggal saya juga bekerja di Telekom. Bermula dengan jawatan Juruteknik, kini beliau telah naik setangga ke taraf Pembantu Teknikal - 'Setangga di bawah Jurutera.'

Ayah saya sebelum menjadi kakitangan Telekom pernah menabur jasa sebagai perajurit. Ya, askar yang sanggup berkorban nyawa demi negara. Perkhidmatan anggota tentera Malaysia pada tahun 1970-an pastinya berliku kerana banyak hutan dan sempadan negara yang selalu dikawal kerana ada saki baki komunis yang tetap menakutkan.

Di Telekom, ayah saya juga adalah seorang bertaraf kerani tetapi beliau banyak membuat kerja-kerja jualan dan promosi.

Kadang-kadang kita beras abangga dengan diris endiri sebab walaupun ayah kita bukannya luluisan universiti dan bukannya orang berjawatan tinggi tetapi ketika di bangku sekolah dan di alam universiti, kita selalu 'menewaskan' mereka yang datang daripada keluarga 'atasan' dan 'lebih berada.'

Tuhan itu Maha Adil dan Maha Membantu.....