Tuesday, August 28, 2007

Apabila Menteri Besar Ingin Menjadi Jaguh Sejarah...

Salam Buat Semua,

Jutaan tahniah saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr. Mohd. Khir Toyo kerana dengan yakin dan 'bijaknya' telah cuba menelanjangkan 'intelektualiti' dirinya sendiri kepada semua masyarakat Malaysia dengan mengemukakan teori baru berkenaan dengan sejarah penubuhan UMNO.

Dr. Khir yang berketurunan Jawa itu telah mendakwa bahawa UMNO tidak ditubuhkan di Johor tetapi di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Lebih memalukan lagi apabila beliau dengan yakinnya menghuraikan bahawa Raja pertama yang menyokong UMNO bukanlah Sultan Johor tetapi adalah Sultan Selangor, Sultan Hishamuddin Alam Shah yang telah membiayai perbelanjaan perkumpulan Melayu pertama di Kelab Sultan Sulaiman dengan kos lebih kurang RM15,000.

Gejala ahli politik bersikap 'hendak menang' dan hendak menjadi 'pahlawan negeri' seperti ini haruslah dikesampingkan andai kita hendak kelihatan bijak dan disenangi oleh semua lapisan masyarakat. Sikap cuba menunjukkan puak / negeri sendiri adalah lebih hebat, lebih awal, lebih segalanya berbanding dengan puak / negeri lain adalah satu tindakan kebudak-budakan yang sungguh 'geli' untuk difikirkan. Tidak pandaikah Menteri Besar yang juga 'Melayu' ini untuk menjaga hati dan perasaan orang-orang Melayu dari Johor? Bukankah kita senegara di negara Malaysia yang merdeka ini? Tidakkah Dr Khir terfikir bahawa beliau secara tidak langsung telah menghina Kesultanan Johor yang berdaulat itu?

Dr. Khir nampaknya terlampau 'fanatik' dengan 'darah kenegeriannya' hinggakan fakta sejarah yang telah diperakui pejuang-pejuang awal UMNO mahupun tokoh-tokoh sejarah ini hendak diubahnya. Ini samalah seperti kita dihidangkan dengan 'pengakuan jenaka' seorang lelaki yang cuba 'menabalkan' dirinya sebagai 'Sultan Melaka' walhal kesultanan Melayu Melaka telah tamat serentak dengan 'tertakluknya' Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511 !

Kesimpulannya, andai lelaki biasa yang cuba mengaku dirinya sebagai Sultan Melaka di sekitar tahun 2005 dan 2006 itu kita tertawakan, haruskah kita tertawakan Menteri Besar Selangor ini? Tepuk dada tanyalah minda...

Nota: Saya tidak berniat untuk mempersendakan rakyat mahupun Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah tetapi sekadar tidak berpuas hati dengan 'keberanian' Dr Khir yang cuba 'melakar' semula sejarah mengikut citarasanya sendiri.


Neba2020: UMNO selalu dikutuk, dicaci dan diperli oleh segelintir masyarakat yang kononnya inginkan keadilan, kesaksamaan, ketelusan dan kecekapan. Persoalannya, pernahkah mereka terfikir bahawa mereka sendiri adalah hasil / produk sistem yang mereka persoalkan itu? Pernahkah mereka terfikir bahawa sebenarnya mereka dapat apa yang mereka pernah dapat itu adalah bukan kerana merit 100% tetapi adalah kerana dasar UMNO itu sendiri yang 'melebihkan' mereka.... Kalau mungkin UMNO itu tidak lengkap dan ada celanya tapi bila direnung dan dikaji, baiknya dasar-dasar perjuangan UMNO itu sebenarnya jauh mengatasi keburukannya.... Moga UMNO terus menjadi suara dan pejuang bangsa yang tulus dan ikhlas dalam perjuangannya ~~~

2 comments:

Anonymous said...

salam fendi.. lagi cantik kalau fendi selitkan keratan artikel atau akhbar untuk tatapan "pemirsa" (dengan izin tuan yg dipertua..hehehe )blog Fendi nie.. buat link saja.. Salam Merdeka!

fendy_ahmad said...

Buat rujukan pembaca sekalian, saya lampirkan laporan asal yang dipetik daripada akhbar Utusan Malaysia:

25/08: UMNO ditubuh di Kampung Baru, Kuala Lumpur


UMNO tidak ditubuhkan di Johor seperti yang disangka oleh banyak pihak tetapi di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Menurut beliau, sejarah penubuhan UMNO bermula apabila ada ura-ura kerajaan British untuk mewujudkan Malayan Union di Tanah Melayu menyebabkan Persatuan Melayu Selangor menghantar surat bantahan.

Ketika itu, katanya, persatuan tersebut dipimpin oleh Yunus Hamdi manakala Zainal Abidin Ahmad atau Zaaba sebagai setiausaha.

Kata Mohamad Khir, Persatuan Melayu Selangor juga menjadi tunjang kepada perkumpulan orang Melayu yang diadakan pada 1 hingga 4 Mac 1946 di Kampung Baru.

“Dalam perhimpunan tersebut, ada 41 badan yang berkumpul di Kelab Sultan Sulaiman dan dalam pertemuan itu, Datuk Onn Jaafar dilantik menjadi Presiden United Malay Organisation atau UMO tetapi Zaaba menjadikannya United Malay National Organisation atau UMNO.

“Kerana Datuk Onn orang Johor, beliau kemudian membawa UMNO ke Johor dan dirasmikan oleh Sultan Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai memperbetulkan fakta sejarah mengenai penubuhan UMNO dalam satu temu bual untuk buletin rasmi kerajaan negeri Selangor, Suara Selangor Maju keluaran 31 Ogos ini.

Mohamad Khir turut membetulkan fakta mengenai Raja Melayu pertama yang menyokong UMNO.

“Ada juga orang mengatakan bahawa Raja Melayu pertama yang menyokong UMNO ialah Sultan Johor.

“Itupun saya nak nafikan kerana Raja pertama yang menyokong UMNO adalah Sultan Selangor, Sultan Hishamuddin Alam Shah yang telah membiayai perbelanjaan perkumpulan Melayu pertama di Kelab Sultan Sulaiman dengan kos lebih kurang RM15,000.

“Jika hari ini, nilainya hampir sejuta ringgit,” kata beliau.

Menguatkan hujahnya, Mohamad Khir memberitahu, Sultan Hishamuddin bertitah bahawa perkumpulan itu akan kekal lama jika ia mengambil dua perkara sebagai penyatuan orang Melayu.

Perkara pertama yang dititah oleh baginda, kata beliau, ialah perjuangan agama Islam sebagai agama rasmi yang akan mengikat hati nurani orang Melayu.

Perkara kedua pula, kata Mohamad Khir, ialah mesti berani dan terus membela dan memperjuangkan hak orang Melayu.