Thursday, August 2, 2007

Ogos menjelma.. Tok Pah dalam kenangan

Salam Buat Semua,

Sekali lagi bulan kemerdekaan menjelma... Tahun ini semestinya lebih terasa bahang 'sambutan merdeka' serata negara.... Syukur kepada Tuhan kerana tanggal 31 Ogos 2007 ini, maka genaplah 50 tahun usia kemerdekaan negara tercinta ini.

Sekadar untuk direnung bersama dalam kita bermegah-megah lagi berbangga betapa kita adalah ANAK MALAYSIA , ANAK MERDEKA :

1) Sejauh manakah bukti bahawa kita betul-betul menyanyangi negara bertuah ini?
2) Patriotikkah kita sebagai anak Malaysia?
3) Apakah pengertian merdeka ini kepada diri kita?

Perasaan cinta saya kepada Malaysia dan betapa mendalamnya pengertian merdeka kepada diri saya hanya Tuhan dan hanya saya sahaja yang memahaminya. Lain macam pula bunyikan bukan?

Saya dibesarkan dengan cerita-cerita zaman penjajahan Jepun. Betapa bertuahnya saya kerana dibesarkan serumah dengan arwah nenek saya yang saya panggil Tok Pah (Al-Fatihah buat arwah nenek saya Hajah Tepah Bte Md. Ason yang meninnggalkan kami sekeluarga di senja Jumaat Mac, 1999...). Bukanlah saya dijaga oleh Tok Pah seorang saja tetapi Tok Pah tinggal bersama-sama kami sekeluarga (saya, ayah, emak dan abang).

Tahniah buat ayah (Encik tersayang) saya sebab berjaya menjaga emak sendiri sehinggalah Tok Pah meninggal dunia pada usia 86 tahun. Ini satu cabaran buat saya semoga suatu hari nanti mak ayah saya akan duduk bersama saya dan tidak kesepian di hari tua. Niat yang baik saya yakin akan diberkati oleh Tuhan..... Biarlah hidup ini kita kongsi segala rezeki yang Tuhan kurniakan semaksima mungkin bersama-sama ayah dan ibu yang telah membesarkan kita seadanya.

Kembali kepada kisah Tok Pah dan zaman Jepun... Sewaktu Tok Pah setiap hari bersembang dengan saya iaitu sekitar awal 1990-an, saya hanyalah seorang budak sekolah rendah manakala Tok Pah pula adalah seorang wanita unggul yang telah mencecah usia 8 dekad di dunia ini. Tok Pah selalu bercerita tentang kisah peritnya hidup di zaman Jepun, betapa bernilainya erti segenggam beras, gadis-gadis kampung yang dirogol tanpa peri kasih oleh askar Jepun, rampasan hak milik harta sekelumit dan pelbagai kisah duka tanpa suka di era 1940-an itu.

Kisah hidup Tok Pah yang menoreh getah seawal usia 8 tahun dengan bertemankan rokok daun untuk menghalau nyamuk yang ganas berpeleseran di kebun getah yang setaraf hutan juga cukup untuk membuatkan saya bersyukur pada tahap tertinggi betapa saya pada usia itu masih enak menjadi anak bongsu yang manja dan ditatang umpama minyak yang penuh dengan diberikan peluang oleh negara ini untuk menjadi seorang murid di sekolah kebangsaan yang cukup kemudahannya. SYUKUR sungguh !

Juga lucu untuk saya kenangkan apabila Tok Pah yang hanya menamatkan zaman bujangnya pada tahun 1935 (ketika berusia 22 tahun) telah digelar oleh seluruh masyarakat kampung sebagai ANAK DARA TUA ! Hahahhaa, pada era abad ke 21 ini, pelik pula jika kita diberitahu bahawa si pengantin baru itu baru berusia 20 tahun atau yang sekitarnya...

Tok Pah bukan bodoh, Tok Pah bukan tidak mahu berjaya. Tetapi, masa dan keadaan menyebabkan Tok Pah terpaksa mengalami dan menempuh semua itu. Seharusnya saya bersyukur kerana berkat usaha para pejuang kemerdekaan dahulu maka nasib saya tidak seperti Tok Pah.

Konklusinya, banyak benda yang harus kita syukuri andainya kita memberi ruang dan sedikit masa kepada diri sendiri yang kononnya sentiasa sebok untuk merenung segala kesenangan yang dimiliki pada hari ini sebagai ANAK MALAYSIA, ANAK MERDEKA.... Percayalah....

Neba2020: Menitis air mata bila teringat peristiwa di suatu petang pada akhir 1998 apabila Tok Pah menyebut semula dan mengaminkan doa saya yang hanya Tuhan yang mampu menafsirkannya. Saya sebut, Ya Allah Tuhanku, Jadikanlah Andi orang yang pandai (Tok Pah ulang dan sebut amin...), Jadi doktor Fendi (Tok Pah ulang dan sebut amin), Jadi Menteri (Tok Pah ulang dan sebut amin...)... Peristiwa berlaku apabila Tok Pah menjerit dan meraung kesakitan akibat sakit tua yang sungguh berat beban ditanggungnya. Saya menenangkan Tok Pah dan mengurut-urut badannya sambil bercerita apa yang patut untuk menyenangkannya dan saya sebut : "Nanti atuk mesti dapat tengok andi jadi orang besar... " Kami sama-sama menangis dan selepas itu sama-sama berdoa untuk kejayaan saya di masa depan. Orang kata doa orang yang teraniya dan orang yang dilanda kesakitan adalah makbul... Hanya Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Memberi Keizinan...Kun Fa Ya Kun....

No comments: