Budaya Melayu penuh dengan budi bahasa dan pekerti yang tulus dan saling hormat-menghormati. Sejak kecil kita diasuh dengan nilai-nilai kehidupan yang penuh dengan kemuliaan tersendiri.
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat seperti yang kita ketahui adalah Menteri Besar Kelantan yang telah mengepalai jentera pentadbiran negeri Cik Siti Wan Kembang (turut terkenal dengan panggilan Serambi Mekah di kalangan penyokong PAS) sejak 17 tahun yang lepas (PAS merampas Kelantan daripada Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO pada pilihanraya umum 1990 dengan sokongan kuat Parti Melayu Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah). Maka sewajarnya Menteri Besar ini dihormati dan diiktiraf peranannya sebagai 'ketua negeri.'
Apabila Tuan Guru (panggilan tidak rasmi yang sinonim dengan Datuk Nik Abdul Aziz) melahirkan sedikit rasa kecewanya akibat daripada kekerapan beliau tidak diundang di dalam setiap majlis rasmi yang dihadiri oleh Perdana Menteri (Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi) di negeri yang 'dikepalainya' sendiri maka ia seharusnya menghadirkan satu indikasi yang tidak begitu manis untuk dihuraikan di sini.
Seharusnya sikap saling hormat-menghormati dan mengiktiraf sesuatu yang termaktub hak dan kebenarannya adalah perlu untuk sentiasa diamalkan terutamanya di kalangan mereka yang menjadi pemimpin (semestinya menjadi perhatian dan 'model' kepada masyarakat).
Menteri Besar Kelantan ini turut meluahkan perasaannya betapa beliau terkenangkan zaman sewaktu Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohammad menjadi Perdana Menteri suatu ketika dahulu. Menurut Tuan Guru, Dr. M tidak pernah melupakannya setiap kali mempunyai majlis rasmi di Kelantan. Datuk Nik Abdul Aziz selaku ketua kerajaan negeri Kelantan akan sentiasa diundang untuk bersama-sama dengan Perdana Menteri (Dr. Mahathir) di dalam setiap majlis rasmi. Selaku Menteri Besar sudah pasti Datuk Nik Abdul Aziz diberikan tempat seiring di sisi Dr. Mahathir selaku ketua pentadbiran negara ketika itu.
Datuk Nik Abdul Aziz bukan sebarang pemimpin parti pembangkang seperti Lim Kit Siang, Karpal Singh, Datin Seri Dr. Wan Azizah mahupun Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Tuan Guru ini adalah seorang Menteri Besar yang mengetuai pentadbiran sebuah kerajaan negeri yang juga menjadi komposisi negara Malaysia yang Merdeka ini. Maka seharusnya beliau tidak dikesampingkan oleh sesiapa andainya ada majlis rasmi Perdana Menteri di negeri Kelantan selagi ianya bukan majlis yang secara langsung membabitkan politik yang tidak selari dengan ideologinya.
Kesimpulannya, sikap professional dalam berpolitik amatlah wajar diamalkan oleh setiap 'pemain-pemain' dan para pencatur politik sekaliannya terutama yang berbangsa Melayu yang seharusnya adalah pendukung kepercayaan Islam yang mulia. Rakyat akan sentiasa memerhati dan membuat penilaian terhadap setiap aksi dan keputusan yang dibuat mereka.
Neba2020: Bangga menjadi penyokong UMNO dan bangga kerana UMNO diasaskan oleh seorang tokoh yang berasal dari negeri kelahiran saya sendiri - Johor Darul Ta'zim (Daulat Tuanku Sultan Johor !). Al-Fatihah buat Dato' Onn Jaafar yang diberikan kudrat dan pemikiran yang mantap untuk memulakan eksplorasi menentang penjajah dan memartabatkan bangsa Melayu. Moga perjuangan dan idealisme Dato' Onn dihayati oleh anak bangsa yang kini kelihatan semakin hari semakin lupa daratan dan mula lupa akan tanggung-jawab untuk memakmur dan meningkat kualiti dan martabat bangsa sendiri.
No comments:
Post a Comment