Saturday, January 8, 2011

MELAYU YANG BERDARAH BUGIS

Salam Buat Semua,

1) Encik (ayah) cukup bangga menjadi anak Melayu berketurunan Bugis. Sejak saya kecil hinggalah kini dia tidak pernah bosan untuk mengaitkan (mengingatkan!) saya dan dirinya sebagai lelaki Melayu berdarah Bugis.

2) Encik kata darah Bugis yang mengalir di dalam diri si anak lelaki Bugis perlu dibawa dengan penuh yakin dan semangat mesti tinggi selalu. Jangan mudah diperbodohkan orang.

3) Anak lelaki mempunyai tiga kebijaksanaan dan kemampuan yang jika tercapai maka dia akan menjadi lebih hebat daripada orang lain. Kata Encik, anak lelaki Bugis amat kerap menjadi 'pahlawan, pemimpin, pengubat.' Penyataan ini saya kira sudah beratus kali Encik ulang dan ulang kepada saya sejak saya mula 'faham' erti dunia dan kehidupan.

4) Arwah Encik kepada Encik adalah seorang pawang (saya masih gagal untuk membezakan di antara bomoh dan pawang. Mungkin juga bomoh dan pawang adalah sinonim?). Maknanya datuk saya itu adalah seorang 'doktor tradisional.'

5) Menurut Encik, ayahnya itu adalah umpama doktor pakar yang menjadi rujukan satu daerah untuk merawat sebarang penyakit sama ada penyakit misteri mahupun penyakit biasa-biasa. Buat mereka yang mengalami gangguan 'hitam,' dia jugalah 'doktornya.'

6) Encik saya sendiri membuktikan dia ada darah kepahlawanan. Di awal tahun 1970an, dia sanggup meninggalkan kerja yang lebih selesa dan mudah sebagai seorang Juruteknik di Majlis Daerah untuk mengejar impiannya menjadi seorang tentera yang berkhidmat untuk mempertahankan bangsa dan negara tercinta daripada sebarang anasir jahat.

7) Kami bangga dengan Datuk Seri Mohd. Najib selaku Perdana Menteri Malaysia. Sebabnya ialah Mohd. Najib juga adalah lelaki Melayu berdarah Bugis seperti Encik Ahmad dan anaknya. Maknanya, daripada 6 orang Perdana Menteri Malaysia sejak era 1950an, 2 daripadanya adalah berketurunan Bugis. Semestinya yang pertama dahulu ialah ayahanda Mohd. Najib sendiri iaitu Tun Abdul Razak, Bapa Pembangunan Malaysia. Ini membuktikan teori turun-temurun keturunan Bugis bahawa anak lelaki Bugis secara 'aslinya' memiliki 'darah' 3P (pahlawan,pemimpin,pengubat) adalah terserlah kebenarannya. Saya tidak pasti sama ada saya memiliki mana-mana unsur 'P' tersebut ataupun tidak. Perjalanan hidup ini masih jauh, InsyaALLAH.

8) Presiden Indonesia yang ke 3 iaitu B.J Habibie juga berketurunan Bugis. Bukan mudah untuk melihat Bugis mampu menjadi Presiden di negara yang majoriti besar rakyatnya adalah berketurunan Jawa. Secara automatiknya, Encik dan saya menjadi cukup bangga dengan Pak Habibie, anak Bugis yang pernah menjadi pemimpin utama Indonesia pada lewat era 1990an dahulu.

9) Kesultanan Johor dan Selangor begitu sinonim dengan Bugis. Apabila dikaitkan dengan darah Bugis maka ianya akan dkaitkan dengan tegas, berpendirian dan sukar untuk diperdaya juga dipujuk-rayu.

10) Maka tidak hairanlah jika daripada dahulu hinggalah kini, Sultan Johor mahupun Sultan Selangor sentiasa kelihatan tegas, cukup teguh pendirian dan berani untuk menyatakan perkara yang sewajarnya diperjelas mahupun dipertahan. Titah Sultan Johor dan titah Sultan Selangor selalunya beraura, disanjung rakyat dan sentiasa mendapat liputan besar-besaran. Keramat darah BUGIS!

Neba2020: Sultan Johor dan Sultan Selangor, keduanya begitu teliti dalam proses pengurniaan pingat kebesaran negeri masing-masing. Sesiapa yang bergelar 'Datuk Johor' dan 'Datuk Selangor' semestinya berada di 'kelas' yang tersendiri dan akan dipandang tinggi. DAULAT TUANKU! DAULAT TUANKU! DAULAT TUANKU!

1 comment:

Ahmad Khalilul said...

gua melayu berdarah bugis gak...tapi ada apa ngan keturunan?