1) Saya berada di alam penamat sekolah menengah dua belas tahun lepas. Sekolah Tinggi Segamat, Johor dengan cogankata 'STS Sentiasa Maju' menjadi 'istana ilmu' buat saya selama 5 tahun berturutan bermula daripada tahun 1995.
2) Guru Kelas saya sewaktu di Tingkatan 5 bernama Cikgu Zaimon Ismail. Dia juga mengajar saya subjek Bahasa Melayu. Sewaktu di Tingkatan 4, Cikgu Zaimon juga yang mengajar subjek tersebut.
3) Saya seorang yang tidak 'pandai' untuk 'menjual' nama sendiri. Daripada Tingkatan 1 sehinggalah Tingkatan 4, tidak pernah langsung menyertai sebarang pertandingan 'cakap-cakap' di peringkat sekolah. Saya rasa saya tidak 'pandai' bercakap dan saya tidak rasa saya layak untuk masuk mana-mana pertandingan 'berlawan cakap.'
4) Sewaktu awal tahun 1999 (permulaan Tingkatan 5), Cikgu Zaimon memilih saya untuk mewakili Sekolah Tinggi Segamat ke pertandingan Forum Remaja Daerah Segamat selaku Pengerusi Forum.
5) Saya katakan saya tidak berani dan rasa tidak mampu. Cikgu Zaimon kata dia tahu saya boleh. Saya teruskan sahaja dan ikutkan sahaja apa yang dikehendakinya.
6) Dengan rekod langsung tidak pernah secara formal masuk sebarang pertandingan 'cakap-cakap,' saya dan pasukan berjaya menjadi juara daerah. Seterusnya kami ke peringkat negeri Johor. Menang lagi, dapat tewaskan pasukan elit seperti Sekolah Tun Fatimah dan Sekolah Sains Muar. Pencapaian terbaik kami semestinya dapat mewakili negeri Johor ke peringkat separuh akhir Kebangsaan.
7) Cikgu Zaimon juga memilih saya memasuki pasukan debat sekolah. Dia sentiasa yakin dengan kebolehan saya. Di saat saya sendiri tidak tahu dan tidak yakin dengan kemampuan untuk 'berlawan cakap,' dia pula tidak pernah jemu melatih, memberi bimbingan dan menguatkan semangat saya. Saya dipilih Cikgu Zaimon untuk menjadi pendebat utama Sekolah Tinggi Segamat untuk tahun 1999.
8) Kalau diundi menjadi pihak pencadang, maka sayalah 'Perdana Menteri.' Kalau terpilih menjadi pihak pembangkang, sepantas kilat pula saya bertukar topi menjadi 'Ketua Pembangkang.' Sekejap saya berlagak seperti Dr. Mahathir Mohamad dan seketika kemudian boleh pula menjelma menjadi Lim Kit Siang. Mereka masing-masing adalah Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang 'sebenar' ketika itu.
9) Pertandingan Debat Ala Parlimen yang saya sertai sehingga menjadi 'juara' Daerah Segamat dan mara ke peringkat empat terbaik di peringkat negeri Johor sememangnya meninggalkan satu kenangan terindah buat diri ini. Baru saya sedar bahawa saya ini boleh bercakap, mampu untuk 'berlawan cakap' dan ada keberanian untuk 'bersuara' di depan khalayak ramai.
10) Kalau tidak ada guru yang bernama Cikgu Zaimon Ismail itu, mana mungkin saya akan mewakili Sekolah Tinggi Segamat ke pertandingan 'cakap-cakap.' Kalau tidak kerana keyakinan dan didikan Cikgu Zaimon itu, mana mungkin saya akan memiliki memori berharga pernah bergelar pengerusi forum remaja dan ketua debat sekolah.
TERIMA KASIH CIKGU ZAIMON ISMAIL, CIKGU AKAN SELAMANYA SAYA KENANG SEBAGAI ORANG YANG MENCUNGKIL BAKAT SAYA DALAM BIDANG 'CAKAP-CAKAP.' JASA CIKGU TIDAK TERNILAI, TUHAN JUGA YANG SAYA HARAPKAN UNTUK MEMBALASNYA ....
Neba2020: Pendidik yang ikhlas, prihatin dan bersungguh-sungguh dalam membentuk anak bangsa akan selamanya dikenang dan didoakan kesejahteraannya oleh anak-anak didik ....
No comments:
Post a Comment