Saturday, January 29, 2011

Malaysia ini Unik ... (Thaksin Shinawatra Orang Cina?)

Salam Buat Semua,

1) Di Thailand, majoriti kaumnya adalah daripada etnik Siam. Minoriti utama pastinya Cina dan Melayu. Bahasa rasmi negara Gajah Putih itu semestinya Bahasa Siam. Sekolah berlandaskan satu aliran. Maknanya 100% sekolah menggunakan bahasa dan sistem kebangsaan. Tiada sekolah Cina, tiada sekolah Melayu tajaan kerajaan.

2) Di Indonesia, majoriti kaumnya adalah orang Jawa. Kelompok Melayu (Jawa, Bugis, Minang dan banyak lagi) di negara Garuda ini mencecah kira-kira 90%. Minoriti terbesarnya ialah kaum Cina. Hanya ada satu jenis sekolah di Indonesia dan Bahasa Indonesia diiktiraf sebagai bahasa tunggal sistem pendidikannya. Bahasa Indonesia ini bukan berorientasikan Jawa sepenuhnya. Ianya lebih mirip kepada Bahasa Melayu seperti di Malaysia tetapi 'versi' berbeza.

3) Di Singapura, majoriti besar rakyatnya adalah daripada keturunan Cina. Minoriti utama ialah orang Melayu dan India. Semua sekolah menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama. Tiada sekolah aliran Cina, Melayu mahupun India.

4) Lebih menarik, asimilisasi di Thailand dan Indonesia kelihatannya cukup menebal dan utuh. Lihat kepada nama orang Indonesia dan Thailand, kita mesti ingat mereka adalah orang Siam (jika di Thailand) dan orang Jawa (jika di Indonesia).

5) Banyak orang akan kehairanan kalau diberitahu bahawa Thaksin Shinawatra yang pernah menjadi Perdana Menteri Thailand adalah berketurunan Cina bukannya Siam. Pemenang pingat Emas pertama acara badminton di Sukan Olimpik (1996) iaitu Alan Budi Kusuma juga adalah beretnik Cina, dia bukannya orang Jawa walaupun 'bunyi' namanya seperti merujuk kepada orang Jawa.

6) Sesuatu yang tidak memeranjatkan jika diberitahu bahawa MAJORITI bangsa Cina di Indonesia dan Thailand tidak tahu bertutur dengan bahasa ibunda mereka. NAMApun sudah merujuk kepada negara tumpah darah mereka. Unik dan mungkin cukup menghairankan untuk diketahui rakan-rakan sebangsa mereka di Malaysia.

7) Di Malaysia, Melayu menguasai 60% daripada populasinya. Bumiputera lain merangkum kira-kira 5%. Minoriti terbesar ialah keturunan Cina (25%) dan India (10%). Bahasa Malaysia yang berteraskan Bahasa Melayu standard diiktiraf sebagai bahasa rasmi negara. Untuk sistem pendidikan semestinya ianya dijadikan bahasa utama di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan.

8) Uniknya Malaysia ialah kita mempunyai sekolah rasmi milik dan 'tajaan' kerajaan versi ke dua dan ke tiga. Kita membenarkan sejak Merdeka lagi kewujudan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT). Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) juga ada di bumi Harimau Malaya ini. Sekolah-sekolah ini dibenarkan untuk menggunakan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahan komunikasi utama.

9) Jelas menunjukkan bahawa dasar kerajaan Malaysia yang diterajui Melayu sebagai Perdana Menteri dengan perkongsian kuasa yang menyeluruh bersama-sama Bumiputera Sabah dan Sarawak, Cina dan India telah menjadikan Malaysia ini cukup unik dan berbeza dengan mana-mana negara di dunia ini sekalipun.

10) Malaysia dibina dengan dasar-dasar yang cukup liberal dan amat toleran kepada masyarakat minoritinya. Kaum Bumiputera yang menguasai kira-kira 65% populasi negara tidak sama sekali terlintas untuk menghapuskan sistem pendidikan berteraskan etnik minoriti yang sedia wujud kini. Tidak pernah terfikir untuk menjadikan negara ini seperti jiran-jiran terhampir (Thailand, Indonesia dan Singapura). Sebenarnya, Malaysia ini telah lama kelihatan lebih terbuka, lebih berhati-perut dan lebih menjaga hati sentimen rakyatnya walaupun yang bukan daripada etnik majoriti.

Neba2020: Apa yang ada perlu disyukuri, jangan melampau dalam berfikir dan jangan berlebihan waktu membuat tuntutan. Yang majoriti dihormati, yang minoriti disayangi, yang besar diakui kedudukannya, yang kecil dipelihara haknya; Inilah yang membuatkan Malaysia unik lagi istimewa....

No comments: