Friday, June 12, 2009

Kar Hoong Dapat '1st Class' !

Salam Buat Semua,

1) Seusai membersihkan diri untuk menunaikan solat Maghrib (11 Jun, 2009) saya melihat skrin telefon menunjukkan ada 3 panggilan daripada Chan Kar Hoong.

2) Tersenyum saya melihat nama itu.

3) Saya tunaikan dahulu kewajipan kepada Tuhan dan terus mengambil sedikit masa untuk membaca kitab suci. Selesai 'menenangkan jiwa,' saya terus menghantar pesanan ringkas (sms) kepada Kar Hoong menyatakan sebab musabab saya tidak menjawab panggilannya.

4) Sepantas kilat, Kar Hoong menelefon saya. Suaranya cukup ceria.

5) 'Sir, saya hendak ucapkan terima kasih. Saya dapat tamatkan ijazah dengan '1st class !'

6) 'Sir, kamu selalu sangat beri saya motivasi untuk dapat '1st class' masa saya di Melaka dahulu. Sampai bila-bilapun saya tak akan lupa apa yang Sir cakap.'

7) Saya katakan pada Kar Hoong yang saya hanyalah mengajar dia sewaktu musim-musim dia di peringkat pra (pengajian asas) sahaja. Selepas itu dia meneruskan pengajian ijazahnya di kampus Cyberjaya. Saya nyatakan pada Kar Hoong yang sumbangan saya pada diri beliau adalah amat kecil dan sekejap sahaja. 1 tahun dia di kampus Melaka dan lebihan 3 tahun pula di Cyberjaya.

8) 'Sir, saya akan tunaikan janji saya untuk melawat kamu di Melaka. Saya akan pergi cari Sir di pejabat. Malangnya, saya baru sahaja mula bekerja di BMW Malaysia. Tidak mengapa, saya akan cari masa juga nanti !'

9) Bangga saya dengan Kar Hoong. 4 tahun lepas dia saya kenali sebagai pelajar yang cukup suka bertanya. Dia cukup suka datang ke pejabat saya dan berborak tentang masa depan dirinya, masa depan 'cikgunya' ini dan masa depan Malaysia. Kar Hoong menjadikan saya umpama 'mentor' masa depannya. Di peringkat pra lagi dia sudah suka berbincang dengan saya tentang sistem kewangan, ekonomi negara dan juga keadaan politik serta kaitannya dengan masa depan negara. Kar Hoong juga seorang yang tidak membosankan. Dia serius belajar tetapi cukup menghiburkan. Pandai berjenaka, suka ketawa dan tidak mudah terasa jika diusik.

10) Kini Kar Hoong sudah bergelar seorang eksekutif muda, mendapat kerja dengan pendapatan yang memuaskan untuk seorang 'fresh graduate' dan yang terpenting ialah dia 'disunting' syarikat ternama sebelum mendapat keputusan semester akhirnya di MMU. MMU BOLEH !

Kar Hoong, kamu bukan sahaja '1st class' di atas rekod akademik tetapi kamu juga '1st class' di pemikiran, kelakuan dan budi bahasa !

Neba2020: Terima kasih Tuhan, kurasakan kepuasan sebagai seorang cikgu ...

1 comment:

Muhammad Hazimin Wahab said...

tahniah cikgu fendi... kalau ada ramai lagi cikgu fendi, ramai lagi yg dapat 1st class diatas nasihat beliau.... :)

Chaiyok !