Monday, May 19, 2008

Tun Mahathir : Selamat Tinggal UMNO

Salam Buat Semua,

Ikhlas saya katakan bahawa amat tidak selesa sekali untuk mengulas isu yang satu ini di InspiRasi 1982 ~~ kerana pada asalnya tatkala 'berita mengejutkan' ini sampai ke pengetahuan saya kira-kira jam 2.10 petang (19 Mei 2008) ianya seperti amat sukar untuk saya percaya, hendak sedih seperti kelihatan karut dan hendak suka seperti kelihatan muram semuanya. Tetapi hakikatnya berita itu adalah tepat dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja, pemimpin ulung yang mengemudi Malaysia merentasi 2 abad yang berbeza iaitu Tun Dr. Mahathir Mohammad (Dr. M) mengumumkan beliau 'keluar' daripada UMNO. Dalam erti kata lain, Presiden UMNO selama 22 tahun itu (1981-2003) sudah tidak berminat untuk menjadi ahli UMNO lagi. Katanya, selagi UMNO terus diterajui Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) maka selagi itulah beliau hilang minat untuk terus berpayungkan UMNO !

Amat banyak pihak yang menghubungi saya sama ada melalui panggilan telefon, sistem pesanan ringkas (sms) mahupun sistem hantaran maklumat di Internet ('messenger') untuk mengetahui pendapat mahupun ulasan saya. Terasa seperti 'selebriti politik' pula apabila mengenangkan betapa ramai di antara sahabat, pelajar-pelajar mahupun kenalan di merata tempat yang seolah-olah menyinonimkan saya dengan Dr. M ! Antara 'ayat-ayat' yang diterima:

Helmi di Pulau Pinang : Pesanan SMS - Datok (ramai rakan di universiti dahulu memanggil saya Datuk Seri kerana mereka sedia maklum bahawa saya adalah 'peminat' Perdana Menteri ketika itu) gimana dong. Kurasakan seakan kegemparan melanda satu Malaya. Gimana implikasinya? Aduh gawat !

Faisal di Kuala Lumpur : Pesanan SMS - Bile ko nak blog pasal TDM kuar UMNO?

Berikut adalah ulasan 'rasmi' yang saya janjikan pada semua yang meminta supaya saya 'berkata sesuatu.' Amat saya hargai permintaan kalian di atas minat yang ditunjukkan itu walaupun saya bukanlah seorang pembesar mahupun tokoh di dalam apa jua bidang.

KENYATAAN SEORANG PENYOKONG TUN DR MAHATHIR DAN UMNO - ANAK KAMPUNG ALAI, MUKIM GEMEREH, SEGAMAT JOHOR DARUL TA'ZIM

1) Saya secara peribadi merasakan bahawa sesuatu akan berlaku, apa yang diputuskan Dr. M itu akan membawa satu haluan baru kepada UMNO dalam masa terdekat ini. Taktikal Dr. M jangan dipandang mudah. Penyokong-penyokong pembangkang dan para pembenci UMNO jangan pula terlalu gembira dengan perkhabaran itu.

2) Cinta dan sayang Dr. M kepada UMNO sebenarnya tidak luput sama sekali. Beliau menggesa ahli-ahli UMNO yang ingin keluar daripada UMNO supaya tidak menyertai mana-mana parti pembangkang seperti PAS mahupun Parti Keadilan Rakyat (PKR). Sebaliknya, apabila Pak Lah tidak lagi mengetuai UMNO maka masuklah semula meneruskan perjuangan UMNO.

3) Tekanan lebih terarah kepada Presiden semasa UMNO iaitu Pak Lah yang tetap berdegil dan masih dalam 'dunianya yang unik' dengan merasakan bahawa tiada sebab untuk beliau mengundur diri. Saya percaya bahawa Pak Lah akan lebih 'panas' selepas ini dan tahap kepanasan itu akan menyebabkan beliau segera cuba menyejukkan suasana dengan perkhabaran yang mungkin dia sendiri tidak suka untuk mengkhabarkannya. Pakatan Rakyat sememangnya TIDAK MAHU perkhabaran itu berlaku kerana Pak Lah adalah asset TERBESAR mereka. Pembangkang memang sayangkan Pak Lah dan mereka memang mahu Pak Lah terus menjadi Perdana Menteri ! Tidak pernah dalam sejarah 51 tahun Merdeka, pembangkang secara senyap-senyap sayangkan Perdana Menteri ....

4) Pak Lah harus sedar bahawa sebab terbesar yang 'memenangkan' Pakatan Rakyat (PAS, DAP dan PKR) sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) 8 Mac, 2008 ialah 'Faktor Abdullah Badawi' itu sendiri. Pak Lah ternyata gagal menjaga hati rakyat, gagal menjaga sensitiviti bangsanya sendiri dan pentadbirannya seolah-olah cukup suka 'menjerut leher' rakyat dengan 'kebodohan kerajaan' dalam mengekang pesta kenaikan harga majoriti daripada barangan juga perkhidmatan di Malaysia tercinta ini.

5) Keegoan Pak Lah telah mengecewakan Dr. M dan seolah-olah Pak Lah tidak pernah merasakan bahawa 'Faktor Abdullah Badawi' itu wujud dalam menjahanamkan reputasi UMNO khasnya dan Barisan Nasional (BN) amnya sewaktu PRU ke 12 itu. UMNO sedang dipimpin oleh seorang manusia yang tidak sedar diri dan tidak pernah terfikir bahawa UMNO akan terus merudum prestasinya, akan terus karam andai dia terus menerajuinya ! UMNO sebenarnya sedang memerlukan nafas baru yang bertunjangkan nakhoda baru, dengan Pak Lah 'berlalu pergi' secara terhormat kerana kewujudan Pah Lah seolah memanjangkan lagi masalah dan sakit UMNO itu sendiri !

6) Saya mengharapkan agar Datuk Seri Najib Tun RAzak , Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Rafidah Aziz dan Datuk Noraini Ahmad mengadakan pertemuan tertutup dengan Pak Lah untuk memohon jasa baiknya supaya FAHAM dan MENGERTI dengan sepantas mungkin dan jangan lagi berpura-pura bahawa dirinya masih mendapat sokongan, masih dipercayai, masih perlu bertanggungjawab dan 1001 alasan lain. Mereka wajib menyedarkan Pak Lah bahawa UMNO tidak sakit tenat, cuma UMNO sedang ketiadaan semangat. Pak Lah wajib disedarkan bahawa dia sedang menjadi liabiliti yang memudaratkan UMNO ! Dengan beredarnya Pak Lah, saya berani mengatakan di sini bahawa SEMANGAT UMNO akan pulih kembali dengan karisma kepemimpinan baru yang sekurangnya lebih bersemangat daripada Pak Lah itu ! Pak Lah telah hilang aura sebagai pemimpin yang dipercayai juga disayangi majoriti penyokong UMNO khasnya dan BN amnya.

7) 6 pemimpin semasa UMNO yang saya nyatakan itu WAJIB bertindak segera jika mereka sayangkan UMNO, sayangkan BN dan juga sayangkan kedudukan mereka. Mereka harus sedar bahawa jika Pak Lah terus menerajui UMNO dan BN, maka bersedialah untuk BN menjadi pembangkang di Parlimen dalam masa 4 tahun mendatang ! 6 pemimpin utama UMNO ini juga sebenarnya akan hilang kuasa, hilang kedudukan ! Janganlah sokong membawa rebah, membawa bencana pula kepada diri sendiri kelak.

8) Tindakan Dr. M keluar daripada UMNO pada hemat saya adalah percubaan beliau untuk 'meniupkan semboyan' yang cukup kuat lagi bisa menggetarkan gegendang telinga si pendengarnya yang diharap akan tersedar daripada mimpi masing-masing. Saya yakin dan saya cukup optimis untuk mengatakan bahawa 'signal' daripada Bapa Pemodenan Malaysia ini akan memberikan impak yang berbeza sekali kali ini. Deretan kritikan mahupun gesaan beliau terhadap Pak Lah juga pemimpin UMNO yang lain sebelum ini seolah-olah dipandang ringan oleh majoritinya tetapi 'kejutan' yang satu ini pastinya akan memberikan impak yang berbeza. Impak maksima buat perubahan UMNO ! Saya optimis ianya akan berlaku ! Tunggu dan lihatlah dengan sedikit kesabaran ....

9) Adakah saya akan terus menyokong Dr. M?
Jawapan ringkas saya ialah - Saya akan sentiasa bersama hamba ALLAH yang seorang itu, hamba ALLAH yang cukup banyak berjasa kepada diri saya, Encik (ayah), emak dan abang. Jasa hamba ALLAH yang satu ini kepada kami sekeluarga amatlah besar, hanya ALLAH yang bisa membalasnya ! Andai ada yang tidak sekata dengan pegangan saya, terpulanglah kepada kalian kerana jasa manusia kepada manusia hanya tuan empunya diri yang mampu menilainya dengan kewarasan masing-masing.

10) Adakah saya akan terus menyokong UMNO?
Jawapannya - Selagi saya tidak dapat melihat sebuah parti politik yang mempunyai agenda Melayu dan agenda Islam yang seiring sejalan dengan harmoninya maka selagi itulah saya akan terus berpegang kepada konsep dan idealisme UMNO sebagai wadah perjuangan yang mulia lagi berwawasan.

Bersatu, Bersetia, Berkhidmat

Bersatu Kita Bersatu, Dengan Setia Berganding Bahu
Jiwa Teguh Berpadu, Kita Rumpun Melayu
Bersama Kita Bersama, Mendukung Hasrat Semua
Berjasa Pada Bangsa, Agama Dan Negara

Lambang Kita Yang Gagah, Dipandang Mulia Dan Indah
"Bersatu, Bersetia, Berkhidmat" Cogan Katanya
UMNO Terus Mara, Untuk Rakyat Malaysia

Neba2020: Dr. M akan kembali ke pangkuan UMNO, percayalah .... UMNO akan kuat kembali, percayalah ....

7 comments:

Anonymous said...

fendy.. saya tetap bersama Tun Dr Mahathir!

Anonymous said...

Fendy.. walau apa pun yang terjadi kita tetap bersama Dr. M malah banyak juga sahabat rakan taulan yang terdidik di tempat Dr. M belajar dan memmbesar KSAH khasnya dan Alor Star umumnya tetap setia mengikut Tok Det. Tindakannya kali ini memberi satu 'signal' dan implikasinya dan impaknya amat besar. HIDUP TOK DET! --HELMY

Anonymous said...

TIBA-TIBA saya menerima satu panggilan telefon dari Pulau Pinang. Si pemanggil ialah Bakal Awek saya , seorang Minah cun yang bukan anak Mamak atau anak Mami.

Dia memberitahu yang dia baru pulang dari Kedah kerana menghadiri diri dalam satu perhimpunan United Malays National Oganisation yang bersunat dan bukan perhimpunan haram yang tidak bersembelih.

Bakal Awek saya ini telah mengkongfirmkan berita bahawa Tun Dr. Mahathir Muhamad bekas Perdana Malaysia kita semua telah ‘ terberak dalam seluar… opps .. telah meninggalkan parti United Malays National Organisation’.

(Bakal Awek saya ini adalah agen yang saya upah untuk mengekori ke mana sahaja bekas Perdana Menteri kita ini menjelajah).

Apabila berita itu saya terima maka saya ingin memberi ingatan kepada pembaca dan seluruh warga Malaysia: Tolong jangan hina Tun Dr. Mahathir Muhamad bekas Perdana Menteri kita semua.

Tolong jangan panggil dia Mamak Kutty. Tolong jangan buka cerita asal usul keturunan Keralanya. Jangan beritahu sesiapa pun tentang ‘application form’ nya ke King Edward College di Singapura yang bertulis : Mahathir s/o Iskandar Kutty.

Sila jangan minta lihat borang ini yang masih tersimpan di pejabat Tengku Razaleigh.

Beberapa minit kemudian, saya menerima satu lagi panggil telefon. Kali ini dari junior saya di Malay College Kuala Kangsar. Pada pagi cuti Hari Wesak ini junior saya ini ternampak Rafidah Aziz meluru keluar dari kedai dandan rambut.

Kasut tinggi tumit Rafidah terpatah. Menurut junior saya ini Rafidah Aziz telah menjerit-menjerit ‘why…why.. sir ? Why did you do this… sir.. ? Rupa-rupanya si pendandan rambut itu telah membotakkan kepala Rafidah.

Junior saya di MCKK ini juga telah memberitahu bahawa Rafidah kini sedang memacu kereta ‘four wheel drive’ nya untuk pulang ke Kuala Lumpur menuju ke Country Heights.

Saya difahamkan si Rafidah Aziz ingin ke rumah Tun Dr. Mahathir untuk meminjam rambut palsu Datin Siti Hasmah.

Tolong jangan hina Mahathir

Saya juga menerima satu panggil dari Berlin, kenalan lama saya seorang wartawan di Frankfurter Allgemeine Zeitung ingin mendapat pengesahan - apakah betul Tun Dr. Mahathir Muhamad telah meninggalkan United Malays National Organisation?

Wartawan ini juga ingin tahu sama ada laporan AFP yang mengatakan bahawa Mahathir Muhamad akan memasuki parti KIMMA betul atau tidak?

Saya sebagai warga Malaysia yang bertanggung jawab lagi ingin menjaga martabat kemelayuan dan ketuanan Melayu telah mengesahkan dengan sedih medih lagi pilu di hati bahawa memang betul lagi tepat Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty telah meninggalkan United Malays National Organisation.

Sayangnya, kemungkinan beliau memasuki parti KIMMA seperti yang dilaporkan oleh AFP itu masih belum dapat saya pastikan.

Tolong jangan hina Mahathir. Dan tolong jangan gunakan ayat-ayat kitab-kitab suci atau merekrut Yang Maha Esa dalam hal ini. Sila jangan hantar sms dengan ayat-ayat berbunyi seperti : Jika tuhan ingin membalas seseorang maka terlebih dahulu dia akan menjadikan orang itu gila.

Tolong jangan ulangi dan jangan disebarkan satu cerita lucah yang berpunca dari Presiden Habibi dari Indonesia. Cerita ini telah tersebar luas pada zaman Reformasi dahulu.

Saya anggap ada satu niat yang tidak baik dan tidak sopan di belakang cerita ini. Mengikut Habibi rakyat Indonesia menganggap Sukarno betul-betul gila perempuan.

Presiden Suharto dianggap gila harta kekayaan. Manakala Tun Mahathir Muhamad dianggap oleh Habibi betul-betul gila.

Tidak lama sesudah saya menerima panggilan dari Kuala Kangsar ini, saya juga telah menerima satu lagi panggilan telefon dari kawan saya seorang lelaki India dari Sentul. Kawan saya ini seorang anggota MIC yang unggul dengan begitu gembira sekali telah mengulangi berita Tun Dr. Mahathir Muhamad meninggalkan United Malays National Organisation.

Menurut kawan saya ini, MIC cawangan Kampung Chu Badak akan mengadakan mesyuarat tergempar minggu hadapan untuk membincangkan hasrat ahli-ahli MIC yang ingin menjemput Mahathir Muhamad menjadi pemimpin MIC dan menggantikan Samy Velu. Ya asal balik usul.

Tolong jangan hina Tun Dr. Mahathir Muhamad. Sedarlah rakyat Malaysia terutama orang Melayu bahawa Tengku Abdul Rahman adalah sebagai Bapak Kemerdekaan kita, Tun Abdul Razak ialah Bapak Pembangunan kita maka Tun Dr. Mahathir Muhamad tidak lain dan tidak bukan ialah Bapak Mirzan kita.

Tun Dr. Mahathir Muhamad adalah seorang pejuang nasionalis bangsa Melayu yang begitu gigih, menangis-nangis dan telah bermati-matian berjuang untuk menaikkan taraf ekonomi bangsa Melayu.

Dengan penuh kesedaran dan dengan semangat kemelayuan yang tebal sekali demi untuk menaikkan taraf ekonomi Melayu, Mahathir Muhamad telah meluluskan Akta Tanah yang membolehkan tanah rizab Melayu di jual tanpa di tambah ganti.

Dengan penuh kesedaran, juga untuk membantu ekonomi bangsa Melayu, Mahathir Muhamad telah di kelilingi oleh penasihat ekonomi yang gah lagi hebat. Mereka terdiri dari Ananda Krihnan, Vincent Tan, Lim Goh Tong, Ting Phek Khiing dan Eric Chia.

Mahathir dengan bangganya telah membuktikan kepada orang Melayu bahawa seorang pemandu lori dan seorang penjual insurans boleh menjarah dan merompak ekonomi negara jika mereka pandai membodek Dr. M.

Tolong jangan hina Mahathir MuhamadMahathir Muhamad adalah patriot yang paling tulus lagi ikhlas. Lebih tulen dan hebat dari Patriot misile yang di buat oleh Amerika untuk menggodam Scud Saddam Hussein.

Mahathir dengan semangat yang patriotik telah membuat perjanjian rahsia dengan Caspar Weinberger untuk membenarkan tentera dan soldadu Amerika datang masuk ke Malaysia.

Tanpa Tun Dr. Mahathir Muhamad mungkin orang-orang Melayu tidak ada berpeluang melihat soldadu Amerika mendarat di Port Dickson.

Tidak cukup dengan patriotik, jiwa Mahathir Muhamad juga telah di salur pula semangat anti-Amerika yang berkobar-kobar. Mahathir dengan terbuka hati telah menjemput Amerika Syarikat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat ‘anti-terrorist’ untuk negara Asia.

Kerana begitu patriotik dan anti-Amerika pusat ‘anti-terrorist’ ini telah di rahsiakan dari pengetahuan rakyat Malaysia dan orang Melayu. Malah ahli parlimen kita juga tidak mengetahui hal ini. Inilah dia jiwa seorang patriot yang cukup anti-Amerika.

Pusat ‘anti-terrorist’ ini cukup rahsia, sehinggakan anak Mahathir sendiri yang bernama Mukriz tidak tahu menahu apa yang telah dilakukan oleh ayahandanya.

Dengan bangga sekali Mahathir telah menjemput Amerika untuk menubuhkan pusat rahsia ini. Semangat anti-Amerika Mahathir Muhamad ini begitu kuat sekali.

Ini dibuktikan, belum pun sempat runtuhan World Trade Center di New York di baiki pusat ‘anti-terrorist’ ini telah didirikan entah di mana dalam negara kita ini. Ini adalah bukti semangat anti- Haliburton bekas Perdana Menteri kita Tun Dr. Haji Muhamad Mahathir.

Tun Dr. Mahathir Muhamad ialah wira dunia ketika yang betul pro Arab dan anti-Isreal. Dengan senyap-senyap kerana dasar anti-Isreal yang berkobar-kobar, Mahathir Muhamad telah berunding dalam gelap dengan Shimon Peres di sebuah hotel di Paris.

Rundingan dalam gelap ini tidak di ketahui oleh anakandanya Mukriz yang pada ketika itu turut bersama di Paris kerana sedang mencari ubat menyubur rambut. Hasil rundingan itu ialah lawatan tim kriket Israel ke Malaysia. Inilah contoh wira dunia ketiga yang pro Arab dan anti-Isreal.

Tolong jangan hina Mahathir Muhamad bekas Perdana Menteri kita semua

Kemelayuan Tun Dr. Mahathir Muhamad ini tidak ada tolok bandingnya. Bayangkan dalam negara kita ada beratus ribu peguam Bumiputera yang hebat-hebat, lihat siapa yang menjadi peguam peribadi Mahathir Muhamad – tidak lain dan tidak bukan orangnya ialah V.K. Lingam.

Ini membuktikan : Air di cincang tidak akan putus. Mana gelap kulit Mahathir gelap lagi kulit Lingam. Hanya yang legam yang dapat melegam yang lain.

Kepada sasterawanis, penulis certot dan pejuang bahasa Melayu what is the because you angry-angry. Kita patut berbangga sama kerana Tun Dr. Mahathir Muhamad adalah pejuang bahasa Melayu yang jumud lagi kuat kemut.

Lihat bagaimana perkataan belanjawan telah diubah kepada bujet. Inilah contoh keglokalan Mahathir Muhamad.

Ingatilah sampai hari kiamat, tanpa inisiatif imitatif inovatif yang imaginatif dari Tun Dr. Mahathir Muhamad kita yang positif lagi reflektif menjadikan anak-anak Melayu kita hari ini tidak lagi tercicir dalam ‘maths and science’.

Sekarang orang Melayu boleh berbangga kerana seorang anak Melayu telah dapat menumpang kapal angkasa komunis Rusia yang tidak bertuhan itu. What is the because you angry-angry dengan Tun Dr. Mahathir Muhamad. You Malay must equal hepi hepi.

So, tolong jangan you shykan dan look bottom Tun Dr. Mahathir Muhamad. Silap-silap nanti dia masuk Tamil Tigers.

Anonymous said...

TINDAKAN Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan meninggalkan parti yang telah disertai selama lebih 60 tahun dan telah meletakkan beliau dikerusi PM selama 22 tahun mungkin mengejutkan setengah orang. Mereka yang selamanya merasai aroma kewangian jasa-jasanya atau termakan budinya tentu sedih dan terkejut dengan tindakan itu.

Namun bagi saya keputusan itu tidak sedikitpun merujakan. Malahan ianya sesuai dan kena pada tempatnya. Bahkan beliau tidak perlu mengambil masa begitu lama dan kesempatan pada Hari Wesek untuk mengisytiharkan keluar Umno sebaliknya sejak setahun lalu lagi.

Sikapnya yang mengkritik dan tidak dapat melihat (buta) satu pun kebaikan dan kebenaran tindakan Abdullah menyebabkan beliau bukan patut keluar sendiri dari Umno tetapi dipecat daripada parti berkenaan.

Saya yakin kalau orang lain berada di tempat Mahathir sudah lamanya ianya dipecat atau dibuang dari Umno!

Tetapi kerana Umno ditangan Abdullah begitu baik dan amat berhati-hati untuk mengambil tindakan kepada ahlinya apa lagi orang ternama seperti Mahathir, telah memberi ruang luas kepada Mahathir untuk menganggu Umno.

Keputusan emosi Mahathir yang dibuat di Alor Star itu memberi kemenangan kepada Abdullah. Kita percaya ianya disambut dengan solat syukur oleh orang-orang dan pencinta Abdullah kerana ia meringankan beban Abdullah. Dengan keluarnya Mahathir kini tidak ada ada lagi duri dalam daging atau sampah dalam mata.
Pun begitu tindakan Mahathir itu ia bukan berakhir begitu saja.

Mahathir sumpama tenggiling yang berpura-pura mati apabila terserempak dengan orang. Beliau ada motif lain berbuat begitu. Apa yang mungkin diingini Mahathir dengan tindakannya itu sebagai test satu merket menguji apakah pengaruh beliau masih ada.

Apa yang dilakukan itu satu lagi serangan mental ke atas Abdullah. Beliau mahu melihat apakah Abdullah tahan dengan berbagai suara dan juga ulasan yang bangkit ekoran dari tindakannya itu. Apa yang Mahathir ingin pamerkan ialah betapa busuk dan buruknya Umno di tangan Abdullah sehingga orang yang sesuci dan semulia beliau pun sanggup keluar!

Apa maksud beliau apabila menyeru ahli Umno mengambil tindakan sama dengannya tetapi jangan menyertai parti lain? Beliau juga mengatakan akan menyertai Umno apabila ianya tidak lagi dipimpin Abdullah. Ini menunjukkan kebencian yang melampau beliau kepada Abdullah.

Bagi Abdullah pula beliau tidak perlu merasa apa-apa dengan aksi Mahathir itu. beliau boleh menganggap perangai Mahathir itu seperti perangai budak kecil yang kecewa tidak dapat sesuatu barang yang dikehendakinya ia akan mogok makan. Atau pun tindakan itu sebagai buang tebiat! Anggapkah begitu sahaja.

Apa yang dapat dianalisakan juga jelas tuduhan pemerhati politik bahawa persaraan beliau tahun 2004 tidak ikhlas sebaliknya kerana terpaksa disebabkan reputasinya semakin memburuk adalah benar. Sekiranya kalau beliau benar-benar ikhlas untuk bersara beliau akan bersikap sebagai orang yang bersara dan tidak menyusahkan parti seperti mana-mana negawaran lain lakukan.

Tunku Abdul Rahman, Hussein Onn dan lain-lain juga tidak senang dengan Umno di bawa kepimpinan Mahathir dulu. Mereka juga melontarkan teguran dan kritikan tetapi tidak beremosi dan berlandaskan dendam peribadi sampai menimbulkan pergolakan kepada parti seperti Mahathir. Mereka membuat kritikan konstruktif.

Kesimpulannya dengan keputusan Mahathir itu memberi kemenangan kepada Abdullah. Atau kalau tindakan Mahathir itu kerana tidak senang dengan menantu PM, ini bermakna Khairy Jamaluddin berjaya menganggu musim-musim persaraan Mahathir.

Menariknya permergian Mahathir akan mewujudkan satu ruang di dalam Umno. Sejarah telah mecatatkan bahawa Mahathirlah yang menendang keluarkan bekas TPM Anwar Ibrahim dari Umno. Apakah ruang kosong yang ditinggalkan beliau itu akan diisi semula oleh Anwar? Kita sama-sama tunggu dan lihat apa yang akan berlaku selepas ini.

Anonymous said...

bagaimana tun mahathir nk masuk umno kembali sedangkan bekas pengikut2 beliau telah berpaling tadah dan menganggapnya sebagai x bertanggungjawab,"marahkan nyamuk kelambu dibakar",duri dalam daging dan macam2 lagi...

sebenarnya apa yg terjadi kepada beliau skrg merupakan timbal balik terhadap apa yg telah dilakukan kepada mantan PM sebelumnya dan balasan atas segala kezaliman yg beliau lakukan semasa memerintah.

Ini menguatkan hujah di dalam umno,hanya kuasa dan materialistik yg diagung2kan.Mantan2 pemimpin umno yg dahulunya dicium2 tangan,ditangisi keputusannya meletakkan jawatan akhirnya dianggap sbg sampah dan dilayan spt sampah.Yg berkuasa walaupun bodoh akn diangkat2 dan dimanja2.Dan yg kasihan dan diperbodoh adalah manusia penjilat yg tidak mempunyai kuasa dan tidak menyedari hakikat ini.kasihan...

Umno dari dahulu sampai skrg sama sahaja.tiada perubahan akn berlaku.Percayalah Tun Dr Mahathir tidak akn kembali kepada umno.Beliau akn terus mengkritik dari luar sehingga akhir kalam beliau.

Faktor kekalahan UMNO bukan kerana Abdullah semata2,tp adalah kerana rakyat telah bijak memilih terutamanya generasi muda.Tiada lagi kepercayaan hanya UMNO boleh memerintah

Kasihan..kasihan..

fendy_ahmad said...

Salam Buat Semua,

generasibaru,

Saya bercakap di atas kapasiti saya selaku penyokong UMNO dan BN, maka tidak menghairankan jika anda yang 'berbunyi' seolah penyokong selain daripada UMNO / BN mengatakan bahawa bukan faktor Pak Lah sahaja yang menyebabkan prestasi UMNO / BN merudum.

Saya akui faktornya adalah pelbagai, tetapi di dalam politik dan pentadbiran kita lebih berminat untuk mencari faktor utama dan penyebab utama. Faktor-faktor sampingan lain hanyalah seperti 'ulam-ulam' yang menyedapkan lagi sesuatu isu/perkara itu.

Anonymous said...

Alhamdulillah Sahibus Samahah Mufti telah menulis dengan baik dan menjadi cerminan panduan saya sebagai seorang ISLAM berbangsa Melayu supaya tidak tergelincir daripada fahaman sempit PERKAUMAN yang DIHARAMKAN agama… Terima Kasih wahai Ustaz…Aliran tulisanmu menggambarkan luahan perasaanku…Bilalah kaumku akan bebas daripada pemikiran lapuk TUN MAHATHIR ini yang sanggup menggunakan semangat bangsa demi memecahbelahkan UMMAT…. Bantulah hambaMu Ya Allah…Sesungguhnya hanya ENGKAU yang mampu memberi hidayah dan membolak balikkan pemikiran manusia bernama Insan ini..

Antara Kesempitan Perkauman Dengan Keluasan Prinsip Islam

Sejak kebelakangan ini tepikan slogan membela bangsa kedengaran hebat sekali. Soal warisan bangsa, semangat dulu kala dan cerita datuk nenek lama dibangkitkan semula. Keris yang disimpan mungkin ada yang ingin kembali menciumnya, sirih pinang mungkin ada yang ingin kembali mengunyahnya, zapin dan joget mungkin ada yang ingin kembali ditarikannya.

Terpulanglah, namun apa yang perlu diingat, perjuangan bangsa itu jauh lebih sempit dari perjuangan membela prinsip Islam yang bersifat sejagat lagi adil untuk semua. Tidak salah perjuangan ingin menolang bangsa sendiri. Namun adalah salah jika ia bertukar menjadi semangat perkauman yang boleh membawa kepada dizalimi pihak yang lain.

Nabi s.a.w sendiri memuji sikap tolong menolong sesama kaum. Baginda s.a.w pernah bersabda: “Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Namun baginda juga memberikan amaran kepada sikap ‘asabiyyah iaitu perkauman atau berpuak yang membawa kepada kezaliman. Baginda bersabda: “Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (Riwayat Muslim).
Rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil, namun membela atas dasar ketaksuban.

Apakah bezanya antara keluasan prinsip Islam dengan kesempitan perkauman? Jawapannya secara umum; seseorang yang dilahirkan berbangsa melayu, tidak mampu menukar dirinya menjadi arab. Seorang yang dilahirkan berbangsa cina tidak mungkin dapat menjadi melayu. Seseorang yang dilahirkan berbangsa india tidak mungkin mampu menukar dirinya menjadi cina.

Walaupun mungkin dia boleh menyamar, atau membuat tafsiran yang berbagai dalam menukar identiti dirinya, namun hakikat diri dari segi nasab keturunan tidak mungkin dapat diubah. Hal ini berbeza dengan soal pegangan akidah Islam. Di mana, seseorang walaupun apa bangsanya, boleh menjadi muslim lagi mukmin. Bahkan dia boleh mejadi muslim yang terbaik, walaupun dia daripada bangsa paling hina pada pandangan masyarakat, tetapi Islam tidak mendiskriminasikannya.

Maka, Bilal bin Rabah r.a. seorang yang berkulit hitam, berasal dari status hamba abdi yang dihina telah menduduki tempat yang tinggi dalam Islam. Sehingga setiap muslim apabila menyebut sahaja azan untuk solat akan teringat sejarah Bilal yang bertugas sebagai muazzin (tukan azan) Nabi s.a.w. Sehingga orang melayu memanggil ‘tok bilal’ kepada tukang azan.

Sabda Nabi s.a.w: “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuailah! Tiada kelebihan orang arab ke atas a’jam (yang bukan arab), atau a’jam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Maka perjuangan yang hanya terhad untuk membela sesuatu bangsa cuma, amatlah sempit dan terbatas. Ia perjuangan yang tidak dapat dikongsi kebaikannya oleh kaum yang lain sekalipun keadaan mereka sama.
Umpamanya, perjuangan untuk membela fakir miskin bangsa tertentu tidak dikongsi kebaikannya oleh bangsa yang lain, sekalipun kemiskinan mereka itu sama. Bahkan kadang-kala ia boleh bertukar menjadi perkauman yang amat sempit dan mengorbankan berbagai pihak atas sentimen kepuakan.

Namun jika kemiskinan cuba dilangsaikan atas nama prinsip Islam, sesiapa saja yang miskin ada hak yang boleh diperolehi sedekah Islam –temasuk dari zakat wajib dan wang baitul mal- walau siapapun keturunannya, bahkan walaupun berbeza agama, selagi dia seorang miskin.

Di sudut ikatan nasab pula, seorang cina atau melayu atau india tidak boleh menjadi arab, tetapi mereka boleh menjadi Islam. Apatah lagi, prinsip-prinsip Islam itu mementingkan keadilan tanpa pernah mengenal batasan warna kulit, rupa dan kedudukan.

Firman Allah (maksudnya): Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah al-Hujurat: 13).

Maka, orang melayu jika mereka hendak mulia, bukanlah dengan inang dan zapin, atau mak yong dan joket, tidak juga institusi raja atau adat, tetapi menegakkan prinsip-prinsip Islam yang tulen.
Bukan bererti saya menyeru agar dihapuskan identiti kaum, adat dan budaya mereka. Tidak! Sama sekali tidak! Jika adat dan budaya tidak bertentangan dengan Islam boleh diteruskan. Namun, kemuliaan insan yang hakiki tidak dapat dicapai hanya di atas semangat puak atau bangsa, sebaliknya dengan menjunjung prinsip-prinsip Islam.
Persis seperti apa yang Allah ingatkan suku Aus dan Kharaj di Madinah. Firman Allah: (maksudnya) “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara jantung hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara (persaudaraan Islam). Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu darinya (disebabkan nikmat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Surah Ali ‘Imran ayat 103).

Kata al-Imam Qatadah al-Sadusi (meninggal 118H) lebih seribu tiga ratus yang lalu kepada orang arab: “Dahulunya bangsa arab ini manusia yang paling hina, paling buruk kehidupannya, paling sesat, paling kurang pakaian dan paling lapar. Dicengkam antara dua singa; Parsi dan Rum.

Demi Allah! Tiada di tanahair arab apa yang memboleh orang lain iri hati kepada mereka. Sesiapa yang hidup di kalangan mereka, hidup dalam keburukan dan yang mati pula, binasa dan dibuang ke dalam api. Mereka dimakan, mereka tidak memakan.

Demi Allah! Kita tidak tahu adanya bangsa di bumi ini pada masa itu yang paling rendah dan lekeh daripada mereka. Sehinggalah Allah membawa Islam kepada kamu (wahai orang arab!). Allah bekalkan kepada kamu al-Quran, Dia membuka kepada kamu bumi jihad, Dia meluaskan untuk kamu rezeki, Dia jadikan kamu memerintah manusia.

Dengan Islamlah Allah berikan kepada kamu apa yang sedang kamu lihat. Bersyukurlah terhadap nikmat-nikmatNya kerana tuhan kamu pemberi nikmat yang sukakan mereka yang bersyukur. Mereka yang bersyukur pula sentiasa mendapat tambahan”. ( Al-Tabari, Tafsir al-Tabari –tahziban- 2/349, Damsyik: Dar al-Qalam).

Sebelum itu, saya selalu ulangi apa yang ‘Umar bin al-Khattab ucap ketika membuka Baitul Muqdis, setelah umat Islam berjaya membebaskan kota suci itu: “Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya maka kita akan dihina oleh Allah”. Riwayat ini sanadnya dikatakan sahih oleh al-Hakim dan disokong oleh al-Zahabi (Al-Hakim, al-Mustadrak, 1/237, Beirut: Dar al-Ma’rifah).

Maaf jika saya sebutkan, apalah sangat yang hendak dibanggakan dengan bangsa melayu jika dilihat pada realiti hari ini secara perbandingan? Kita bukan yang paling berjaya dalam ekonomi, tidak juga dalam pelajaran akademik. Bahkan politik melayu pun dalam banyak keadaan telah mengorban bangsa sendiri.

Orang lain berpolitik secara seni yang akhir mengaut untung untuk dibahagi sesama mereka. Sementara kita bertarung bermati-matian sesama sendiri sekalipun sehingga tergadai negeri dan kota. Kedengkian sesama sendiri, melebihi cemburu kita kepada ‘orang lain’.
Ada pula yang diberi amanah, negara dijadikan modal untuk kocek sendiri, anak menantu dan juga segala macam kroni. Sementara yang hendak membaiki, ada pula yang sanggup menanggalkan prinsip perjuangan kerana melihat ‘kerusi idaman’.

Begitulah kita seadanya. Silap hari bulan, ‘yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran’. Mungkin kita mempunyai kejayaan menjadi bangsa yang memliki ‘penagih dadah yang teramai’, ‘pengidap HIV AIDS yang terbanyak, berjaya memenuhi semua jawatan mat rempit dan mat lepak dan segala macam kedudukan yang bangsa lain dalam negara ini kosongkan agar dapat kita penuhi tanpa persaingan. Itulah realitinya, suka atau tidak!
Kalau muncul sesiapa yang kononnya pejuang bangsa, kita pun tidak pasti, adakah dia ikhlas, atau untuk merebut kerusi pilhanraya? Sebabnya, yang bercakap tentang kepentingan bangsa itulah juga yang melonggokkan keseronokan kepada anak muda melayu sehingga mereka hanyut dan menjadi pemuja orang politik yang telah memberi kebebasan yang ‘seronok giler’ kepada mereka.

Mereka juga kadang-kala yang menindas sesama bangsa kerana kepentingan kocek sendiri, kemudian apabila datang muncul berkempen mereka berlagak menjadi pejuang bangsa, bahkan agama. Siapa yang menjadi “ali baba?”, ”siapa yang menjual tanah melayu?” siapa yang mendiskriminasi sesama melayu? Sebahagiannya, mereka inilah.
Sementara melayu yang menggunakan nama Islam pula, ada yang hanya menjadikannya modal kempen. Hari ini prinsip-prinsipnya pun sudah mula luntur. Dulu ada yang bukan main ekstrim sehingga saya pun diserang dan dituduh longgar. Hari ini ada di kalangan penceramah yang sedemikian yang kelihatan bukan sahaja longgar, tapi mungkin boleh terlondeh. Ada juga di kalangan semua itu yang benar-benar jujur, saya tidak nafikan.

Saya katakan; masa depan orang melayu tidak akan dapat dijamin oleh semua slogan dan kempen-kempen bermusim ini. Penyelesaian yang sebenar adalah semua pihak di kalangan umat Islam tanpa mengira bangsa di negara ini hendaklah kembali kepada prinsip-prinsip Islam dalam al-Quran dan al-Sunnah.
Penafsiran terhadap Islam ini hendaklah bebas dari kepentingan kerusi, parti, bangsa, puak, mazhab, aliran dan segalanya. Hanya Islam yang tulen, seperti mana hari ia diturunkan oleh Allah. Itulah penyelamat arab zaman dahulu, dan itulah penyelamat melayu!
Bukan Islam ala melayu yang mewajibkan Marwan bin Ah Seng mengubah nama bapa kerana bapanya cina dan Ah Seng bukan nama arab. Tetapi dapat pula menerima Marwan bin Awang, kerana Awang bangsa melayu sekalipun Awang bukan nama arab.

Bukan yang sibuk dengan orang lain hendak menggunakan nama Allah –pada hal Allah mengizinkan-, tetapi tidak pula sibuk membaiki penerangan akidah.
Bukan yang hanya meletakkan nama Islam untuk politik, tetapi gagal mengislamkan lidah ketika berkempen politik.
Bukan hanya yang menggunakan nama Islam untuk mengutip zakat, tetapi melupai amanah Islam dalam membahagikan zakat.

Begitulah seterusnya. Islam tulen, seperti zaman salaf dalam akidah dan ibadah, dan melihat keluasan agama dalam urusan umum kehidupan. Islam yang akan menjadikan kita umat dakwah dan pembawa risalah keagungan agama, bukan yang hanya memikir pembinaan bangunan tetapi membiarkan keruntuhan akidah dan akhlak.

Seperti kata al-Nadwi yang selalu saya ulangi: “Hendaklah orang Arab ketahui bahawa mereka tidak memasuki (pentas) sejarah kecuali dengan jalan risalah Islam dan dakwah islamiyyah. Allah tidak menumbuhkan kecintaan (orang lain) kepada mereka dalam jiwa dan hati, tidak tersebar bahasa mereka dengan sebegini luas, ia tidak kekal dan abadi, tidak ditulis dengannya ilmu yang banyak, tidak terbentuk dengannya perpustakaan yang begitu besar yang mana ulama bukan Arab mendapat habuannya lebih dari orang Arab sendiri, kecuali dengan sebab kelebihan al-Quran dan syariat Islam. Orang Arab tidak akan kembali kepada kedudukan mereka yang awal dan tidak akan memasuki (pentas) sejarah sekali lagi melainkan melalui pintu yang mereka masuk pada awalnya”. (Al-Nadwi, Kaif Dakhal al-‘Arab al-Tarikh, m.s 26, cetakan: Al-Majma’ al-Islami al-‘Ilmi, Lacknow, India).

Seperti orang arab pada hari ini menjadi lemah dan hina kerana meninggalkan Islam tulen, demikian nasib kita akhirnya jika tidak kembali kepada sumber agung Islam; al-Quran dan al-Sunnah.