1) Hari ini (15 April, 2010) negeri Melaka bercuti sempena sambutan Hari Melaka Bandaraya Bersejarah. Entah mengapa tiba-tiba memori saya 'terundur' ke tahun 1999 sewaktu berada di Tingkatan 5. Saya cuba menguji ingatan spontan tentang apa yang saya lakukan 11 tahun lepas.
2) Saya adalah Pengerusi Tingkatan untuk kelas 5A di Sekolah Tinggi Segamat (STS), Johor. Jawatan itu saya pegang sejak di Tingkatan 2A pada tahun 1996.
3) Tahun itu adalah tahun 'keramat' bagi saya kerana itu adalah tahun mengambil SPM! Maka sudah pastinya hidup majoriti daripada 'kanak-kanak' kelahiran tahun 1982 adalah terarah kepada SPM, SPM dan SPM di sepanjang tahun 1999 itu.
4) Saya tidak suka kepada kelas tambahan yang cukup 'glamor' dengan panggilan 'tuisyen' itu. Emak dan Encik (ayah) memang sudah maklum dengan pendirian saya itu. Sejak musim saya hendak mengambil UPSR dan PMR lagi mereka selalu sangat 'mendesak' saya supaya pergi 'ambil tuisyen.' Saya memang tidak suka 'tuisyen' sebab 'cukup-cukuplah' pergi ke kelas untuk belajar.
5) Tidak suka pergi 'tuisyen' tidak bermakna saya tidak suka belajar. Saya suka membaca bersendirian di rumah. Maka, amat banyaklah bajet yang terpaksa Emak dan Encik peruntukkan untuk si bongsu mereka ini membeli buku-buku rujukan dan latihan tambahan. Setiap subjek biasanya saya akan memiliki 3 atau 4 buku rujukan tambahan daripada penerbitan yang berbeza. Seingat saya, antara jenama penerbitan yang jadi pilihan ialah Sasbadi, Preston, Fajar Bakti dan Pelangi.
6) Kelas tambahan yang pihak sekolah sediakan secara percumapun saya tidak turut serta. Nasib baik ianya tidak dibuat secara 'paksaan.' Kelas tambahan itu dibuat di sebelah petang. Alasan saya, badan sudah penat dan tidak larat 'bertapa' di sekolah seharian daripada pagi hingga ke lewat petang. Saya lebih selesa duduk di rumah, baca sehingga faham koleksi buku rujukan dan latihan tambahan yang jumlahnya boleh mencecah 100 hasil daripada kombinasi 10 subjek SPM yang diambil.
7) Tahun 1999 itu juga saya pegang jawatan Pengerusi Kelab Pengguna, Timbalan Pengerusi Kelab Pengerusi-Pengerusi Tingkatan dan AJK Kelab Sains.
8) 'Kegilaan' saya dalam bercakap membawa saya ke kancah Forum Remaja dan Debat Ala Parlimen.
9) Forum Remaja saya bertindak sebagai Pengerusi Forum dan 3 sahabat lain 'berlagak' sebagai ahli panel yang membincangkan isu tertentu yang diuji.
10) Pasukan STS jadi juara daerah Segamat. Selepas itu jadi juara negeri Johor pula. Terasa indah sangat detik-detik itu kerana Segamat yang diwakili sekolah harian biasa dapat tewaskan daerah lebih 'popular' seperti Johor Bahru dan Muar yang masing-masing diwakili Sekolah Tun Fatimah dan Sekolah Sains Muar yang sememangnya memiliki nama yang 'besar.'
11) Seterusnya, peringkat Kebangsaan yang diadakan di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban telah 'menuliskan' riwayat 'kemaraan' STS hingga ke tahap separuh akhir sahaja. Apapun, sijil menjadi juara Johor dan 'finalis' Malaysia itu tetap rapi tersimpan sehingga ke hari ini! STS si 'sekolah biasa' berpeluang bertanding sepentas dengan nama-nama 'popular' seperti Maktab Tentera Diraja (Kuala Lumpur), MRSM Jasin (Melaka), Sekolah Sains Sultan Ahmad Shah (Pahang) dan Sekolah Sains Tuanku Ja'afar (Negeri Sembilan).
12) Bagi Debat Ala Parlimen, saya bertindak sebagai 'ketua' pendebat sekolah. Kononnya menjadi 'Perdana Menteri' andainya pasukan menjadi pencadang dan memegang karektor 'Ketua Pembangkang' pula jika 'terundi' menjadi pembangkang tajuk perdebatan.
13) Pasukan STS tewaskan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat di pertandingan akhir peringkat daerah. Juara Daerah lagi! Saya pula 'bertuah' diberikan hadiah Pendebat Terbaik Segamat tahun 1999. Syukur dan syukur. Maju ke peringkat negeri Johor pula sekadar ke tahap separuh akhir sahaja. Kami kecundang di tangan pasukan Sekolah Sains Kluang. Di peringkat suku akhir, Sekolah Sains Muar dapat ditewaskan. Apapun, STS adalah antara 4 sekolah terbaik di negeri Johor untuk acara 'berlawan cakap ala-ala Parlimen Malaysia' bagi penutup abad ke 20!
14) Selain aktiviti 'bercakap,' saya juga mewakili sekolah ke peringkat daerah untuk pertandingan berbentuk 'ujian otak' seperti Kuiz Perdana (berkaitan dengan sejarah dan isu-isu pentadbiran negara) , Kuiz Sains dan Kuiz Agama. Semuanya jadi juara. Satu lagi ialah Kuiz Pengguna yang keputusannya sedikit 'kecil' sedikit iaitu menjadi Naib Johan. Zaman sekolah dahulu, saya memang aktif dengan kegiatan berbentuk 'perjuangan hak-hak pengguna.' Mahu jadi 'juara rakyat' kononnya!
15) Tidak cukup dengan deretan pertandingan yang saya sertai, banyak juga aktiviti sekolah yang saya turut serta. Sebagai Pengerusi Tingkatan, saya secara suka ataupun tidak perlu 'memimpin' rakan-rakan kelas semuanya untuk memeriahkan Bulan Bahasa dan Bulan Kemerdekaan.
16) Sempena Bulan Kemerdekaan 1999, kelas kami menjadi juara Pertandingan Menghias Kelas berunsurkan tema patriotik dan cintakan negara. Tingkatan 5A penuh dengan bendera kecil di setiap meja pelajarnya, cetakan kata-kata patriotik juga motivasi penuh di dinding, sudut pameran barang-barang antik di belakang kelas, langsir kelas yang bercirikan warna-warni Malaysia dan gambar-gambar tokoh-tokoh negara juga terpampang megah. Sedikit kecewa kerana kami tidak dapat jadi juara Pertandingan Persembahan Patriotik. 'Sedih' juga kerana 'satu kelas' berlatih berlakon teater selama hampir sebulan! Sayalah yang menjadi 'Tuan Pengarah' secara amatur merangkap juru cerita.
17) Tingkatan 5A juga menjadi juara keseluruhan Pertandingan Bulan Bahasa. Menarik juga untuk dikenang kerana kelas-kelas di peringkat Tingkatan 6 Bawah dan Tingkatan 6 Atas 'tertewas' dengan 'budak-budak' Tingkatan 5. Saya dilarang daripada turut serta dalam apa jua pertandingan sama ada yang berbentuk forum, debat, syarahan, menulis esei, sajak dan koir. Saya terima dengan penuh positif sebab ada baiknya kawan-kawan lain juga dapat mengumpul sijil.
18) Saya tidak bertanding tetapi bertindak sebagai 'ketua strategi' bagi kelas kami. Apa yang saya tahu, saya mahu kelas kami jadi juara keseluruhan walaupun saya tidak akan dapat sebarang hadiahpun!
19) Sepanjang tahun 1999 itu jadual kehidupan saya cukup padat. Latihan berforum dan berdebat sememangnya mengambil masa yang cukup panjang. Bayangkanlah, untuk Forum Remaja sahaja ianya mengambil masa sebulan penuh berlatih dan membuat kajian bahan-bahan tambahan terhadap berbelas topik yang mungkin diuji sewaktu hari pertandingan. Kalau peringkat daerahnya sudah sebulan penuh 'memerah tenaga,' bagaimana pula dengan peringkat negeri dan kebangsaannya pula? Begitu juga dengan Debat Ala Parlimen. Persiapan lengkap selama 2 bulan telah 'diambil' untuk pertandingan di peringkat daerah hinggalah ke peringkat negeri. Bulan Mac hinggalah bulan Julai, 1999, hidup saya penuh dengan latihan bercakap, pencarian fakta dan 'pengembaraan' dari satu destinasi ke satu destinasi lainnya sebagai pengerusi forum dan ketua pasukan debat Sekolah Tinggi Segamat yang amat disayangi. Itu tidak termasuk lagi dengan 'proses membaca dan mencari' bahan-bahan rujukan tambahan untuk menyertai 4 pertandingan kuiz yang saya turut 'memeriahkan suasana.'
20) November 1999 saya menduduki peperiksaan SPM. Persiapan saya memang banyak 'terganggu' dek kerana aktif sangat 'bercakap' dan 'berkuiz' ke sana ke mari tetapi tidak bermakna saya tidak fokus kepada SPM yang penting itu. Saya tidak pernah merasakan bahawa aktiviti tambahan itu mengganggu pelajaran. Saya memang minat 'bercakap' dan saya cukup berterima kasih kepada Cikgu-Cikgu yang memilih saya mewakili sekolah. Mereka nampak kemampuan saya rupanya di kala saya sendiri pada awalnya tidak sedar yang diri ini boleh 'bercakap' di atas pentas.
Kesimpulannya, apabila kita membuat sesuatu itu dengan penuh minat dan tidak terpaksa, ianya pasti tidak akan mengecewakan di akhirnya. Raihlah sokongan ibu dan ayah, percayalah kepada Tuhan, yakinlah kepada rahmatNYA ....
Neba2020: Ayuh Neba2020, kamu boleh mengulang sejarah 1999 itu .... Dulu dan sekarang sama sahaja ....
No comments:
Post a Comment