Monday, September 27, 2010

Siti Nurhaliza: Dulu Benci Sekarang Suka

Salam Buat Semua,


1) Datuk Siti Nurhaliza mula popular sekitar tahun 1996. Album pertamanya memuatkan lagu-lagu seperti Jerat Percintaan dan Jawapan Di Persimpangan. Siti berada di Tingkatan Lima ketika itu.

2) Album tersebut tidaklah terlalu 'hangat' dirasai kehadirannya. Siti Nurhaliza mula dikenali kerana dia adalah pemenang pertandingan pencarian bakat baru Bintang HMI (Hiburan Minggu Ini) RTM 1995. Serba sedikit profil sebagai juara program itu membantu dia untuk 'bertapak.' Ketika era 1990n itu belum ada lagi program-program realiti seperti Akademi Fantasia, Mentor, Malaysian Idol, One In A Million dan LG Mystar. Kebiasaannya, juara Bintang HMI / Bintang RTM pastinya akan dikenali ramai dan albumnya boleh 'jual.'

3) Seingat saya, Siti mula menjadi 'popular' dek kerana berbisanya lagu Mawarku versi moden yang diduetkan bersama kumpulan 2 By 2. Ketika itu, pagi ke petang dan membawa ke malam, semua stesen radio berbahasa Melayu pastinya tidak jemu-jemu memutarkannya. Yang pasti, telinga saya cukup jemu mendengarnya dan akan terus bertukar ke saluran radio lain.

4) Siti 'memeranjatkan' ramai apabila dia menang Juara Lagu 1996 melalui lagu Jerat Percintaan. 'Calon pilihan' ketika itu ialah Ziana Zain dengan lagu berhantunya, Kemelut Di Muara Kasih. Saya memang 'geram' dengan keputusan tak terduga itu.

5) Tahun 1997 dan seterusnya, Siti Nurhaliza betul-betul 'menguasai' industri seni suara Malaysia. Popularitinya cukup hebat dan prestasinya di dalam apa jua anugerah hiburan adalah 'terlebih' bagus dan cemerlang. Pertandingan kualiti dia menang, undian popularitipun dikuasainya.

6) Kehadiran Siti selama 5 tahun pertama pembabitannya di persada seni negara tetap gagal menarik perhatian saya. Apa yang jelas, saya cukup 'meluat dan bosan' melihat kegilaan media massa yang terlalu 'beri muka' dan 'fokus' kepada anak Polis yang seorang ini.

7) Senang kata, 'Asyik-asyik muka dia, asyik-asyik lagu dia, asyik-asyik dia yang menang. Bosan betul !'

8) Tahun 2001 di suatu malam sewaktu mendengar radio, telinga saya terdengar sebuah lagu yang berirama tradisional. Liriknya cukup menarik dengan bahasa bersastera indah umpama gabungan beberapa rangkap pantun. Lagu itu tidak pernah lagi kedengaran oleh saya sebelum itu. Bunyinya seperti lontaran suara gabungan S.M Salim (ketika itu Datuk) dan Siti.

9) Tamat lagu terus sahaja penyampai radio memberikan info tentang lagu tersebut. Rupa-rupanya ia adalah daripada album terbaru konsert S.M Salim bersama-sama dengan Orkestra Philharmonic Petronas. Siti adalah artis undangannya. Saya betul-betul umpama 'jatuh cinta pandang pertama' dengan lagu berjudul Pandang-Pandang Jeling-Jeling' itu. Iramanya dan kelunakan gabungan vokal S.M Salim dan Siti itu cukup 'menguasai' jiwa ini. Buat pertama kali saya mula sukakan lagu dendangan Siti Nurhaliza !

10) Esoknya saya terus ke kedai menjual kaset dan cakera padat (C.D). Saya terus membeli album konsert S.M Salim bersama orkestra itu. Semuanya kerana lagu Pandang-Pandang Jeling-Jeling !

Sejak itu, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin adalah penyanyi wanita nombor satu yang menjadi pilihan diri ini .... Segalanya adalah sejarah ....

Neba2020: Kalau suka janganlah suka sepenuh jiwa dan raga, kalau benci janganlah pula benci umpama dendam kesumat bersalutkan nanah .... Segalanya biarlah berpada-pada ....

No comments: