1) MCA sejak akhir-akhir ini seakan cuba menunjukkan taringnya. Dr. Chua Soi Lek kelihatannya cuba menunjukkan MCA itu masih bertaring. Dia kini cuba mempotretkan dirinya sebagai hero komuniti Cina di Malaysia ini. Hak dan keistimewaan Bumiputera yang termaktub di dalam Perlembagaan cuba dipertikainya dan berani pula dia mahu menuntut kerajaan mengiktiraf sijil-sijil lepasan sekolah persendirian Cina yang sepatutnya tidak wujud di Malaysia ini demi perpaduan negara walhal kerajaan telah mengujudkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang selari dengan sistem pendidikan nasional sejak awal Merdeka lagi.
2) Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, Barisan Nasional (BN) berkuasa dengan ditunjangi UMNO yang menang di 79 Parlimen. MCA cuma berjaya menang di 15 tempat. Untuk rekod, UMNO bertanding di 117 kawasan dan MCA pula sebanyak 40. Gerakan dan MIC pula masing-masing hanya menyumbang sebanyak 2 kemenangan kepada BN. Selebihnya, BN dikuatkan dengan parti-parti komponennya di Sabah dan Sarawak. Maknanya, tahap kejayaan UMNO ialah 68% dan MCA pula hanya 38%
3) Kerusi-kerusi yang dimenangi MCA, Gerakan dan MIC pula jelas dibantu oleh jumlah pengundi-pengundi Melayu yang besar di kawasan terbabit. Secara majoritinya, kaum Cina terutamanya dan India amnya amat 'menolak' BN ketika itu.
4) Dr. Chua kini kelihatannya cuba 'melawan' UMNO secara halus. Dia juga seakan cuba 'memberitahu' orang Melayu bahawa masyarakat Cina di bawah kerajaan pimpinan UMNO telah menerima layanan yang tidak sepatutnya diterima.
5) Maka Perdana Menteri Mohd. Najib perlu berhati-hati dengan 'percaturan taktikal' yang cuba digerakkan Presiden MCA 'tidak berjawatan Kabinet' itu.
6) Ada kemungkinan Mohd. Najib akan 'dijatuhkan' secara halus oleh MCA dengan 'dibantu' oleh kesemua ahli Parlimen Pakatan Rakyat sewaktu proses hendak meluluskan peruntukan Bajet 2010 nanti. Tidak memeranjatkan juga jika agenda tersebut turut 'disokong' oleh wakil-wakil Parlimen daripada Gerakan, MIC dan juga parti-parti komponen BN bukan Muslim di Sabah dan Sarawak. Segalanya mungkin ...
7) Apa yang jelas, Mohd. Najib pastinya berasa tidak selamat. Jumlah kerusi yang dimiliki UMNO dan ditambah pula dengan kembarnya di Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB) sememangnya tidak mampu untuk 'menidakkan' proses penjatuhan kerajaan pimpinannya itu nanti andainya 'berlaku.'
8) Senario tersebut tidak akan berlaku kiranya UMNO kuat dan kukuh dengan memiliki lebih 100 kerusi Parlimen seperti sebelum ini. MCA tidak akan 'terlebih berani' dan perpaduan serta muafakat di dalam BN akan kembali subur dan tenang.
9) Walaupun sokongan masyarakat Cina terhadap BN masih diragui dan jelas DAP masih menjadi pilihan mereka tetapi 'khabar angin' kencang dan jelas telah menunjukkan bahawa diyakini UMNO akan kembali mendapat sokongan padu majoriti orang Melayu seperti PRU 1995 dan 2004 di PRU akan datang. Kepercayaan masyarakat India terhadap MIC dan BN juga telah jauh bezanya berbanding dengan sewaktu PRU 2008 yang 'hangat' dengan isu Hindraff dan 'roboh kuil.'
10) Justeru itu, tidak menghairankan jika Mohd. Najib akan membubarkan Parlimen selepas Bajet 2010 dibentangkan tanpa perlu menunggu perbahasan untuk kelulusan di Parlimen tamat. Mohd. Najib juga pastinya tidak kurang bijaknya bermain 'politik penuh taktikal' seperti Dr. Chua Soi Lek mahupun Anwar Ibrahim, si 'Perdana Menteri menanti di dalam mimpinya.'
Neba2020: Politik itu adalah kebarangkalian yang susah untuk dikira kebarangkaliannnya ...
1 comment:
Kemas tulisan ni, good work abg Fendi =)
Post a Comment