1) Terasa rindu saat-saat indah dahulu sewaktu Encik (ayah) dan Emak sama-sama membawa saya membeli-belah sempena Hari Raya.
2) Sehingga saya berada di Tingkatan 5 (1999), rutin menjelang Aidilfitri pastinya tidak lengkap tanpa Encik dan Emak meluangkan masa bersama untuk membelikan baju raya, seluar raya dan kasut raya untuk si bongsu mereka ini.
3) Saya tidak pernah merasa malu betapa sehingga umur 17 tahun masih 'berkepit' dengan Encik dan Emak di pasaraya-pasaraya sekitar bandar Segamat. Kami keluarga bahagia!
4) Apabila saya semakin dewasa ini barulah saya sedar betapa beruntungnya saya ada Encik Ahmad sebagai ayah dan Puan Asmah sebagai ibu. Mereka ini sentiasa ada disamping saya si saat susah mahupun senang. Kerana itulah ikatan kekeluargaan kami amatlah erat, mesra dan santai sekali. Interaksi kami bukan sekadar hubungan formal anak dan ibu/ayah, tiada rahsia dan tiada kekangan sama sekali. Kami bebas berbual dengan mesra dan santai tentang politik, sukan, hiburan, gossip, agama, dunia sosial dan apa sahaja.
5) Sekarang saya membeli baju raya tanpa kehadiran Encik dan Emak. Saya sudah cukup 'besar' dan mampu pula untuk bergantung kepada diri sendiri dalam berbelanja.
6) Memori membeli baju raya bertemankan Encik dan Emak pastinya cukup bernilai. Selama 17 tahun mereka meluangkan masa untuk memastikan saya gembira dan kelihatan comel menyambut Raya. Saya kira tidak semua insan memiliki memori seperti itu untuk jangkamasa yang cukup panjang.
7) Kini saya memikirkan seharusnya diri ini pula yang berusaha untuk memeriahkan dan menggembirakan sambutan Raya Encik dan Emak. Itulah tanggungjawab yang perlu saya laksanakan. Hidup ini bukan sekadar untuk menerima tetapi juga untuk memberi dan menghargai setiap insan yang pernah menceriakan kita dahulu.
8) Jika dahulu saya gembira untuk menerima duit raya daripada emak saudara dan bapa saudara, kini seharusnya serba sedikit saya perlu memberi mereka pula duit raya. Jumlah bukanlah sandarannya tetapi usaha dan niat untuk memeriahkan lagi sambutan Raya mereka itulah yang lebih penting. Saya yakin betapa semakin berumur seseorang itu semakin 'besar dan megah' hati mereka jika diingati dan diraikan.
9) Jika dahulu sepupu sepapat yang ramai (abang-abang dan kakak-kakak saudara) telah menyebabkan kutipan duit raya saya cukup 'meriah dan tebal,' kini giliran saya untuk menambahkan 'kutipan' duit raya anak-anak mereka pula. Setahun sekali tidak perlulah berkira.
10) Selamat Hari Raya Aidilfitri Buat Semua, Maaf Dipohon Untuk Salah dan Silap Saya Selama Ini. Diri Ini Hanyalah Insan Biasa Yang Tidak Bebas Daripada Membuat Kesilapan.
Neba2020: Raikan Aidilfitri Dengan Melihat Ke Dalam Diri Kita Sejauhnya, Moga Kelembutan Jiwa Di Pagi Syawal Akan Berterusan Selamanya Dalam Kita Hidup Bermasyarakat ....
No comments:
Post a Comment