1) Perayaan terbesar di Malaysia ialah Hari Raya Aidilfitri. Hakikatnya ialah majoriti besar rakyat Malaysia beragama Islam dengan peratusannya sekitar 60%.
2) Tahun Baru Cina layak untuk diangkat sebagai perayaan kedua terpenting kerana kira-kira 25% rakyat Malaysia adalah berbangsa Cina. Uniknya Tahun Baru Cina ialah ianya adalah festival berbentuk kaum dan bukannya berdasarkan agama. Maka tidak kiralah sama ada Cina itu beragama Buddha, Kristian, Hindu dan Islam sekalipun, ianya tetap diraikan secara bersama dengan meriahnya.
3) Deepavali, perayaan cahaya bagi penganut agama Hindu yang majoritinya berbangsa India adalah perayaan di tangga ke 3 daripada segi jumlah penyambutnya di negara '1Malaysia' ini.
4) Perayaan terbesar penganut Kristian iaitu Hari Natal (Krismas) jelas adalah perayaan 'nombor 4' di Malaysia. Penganut Kristian di Malaysia ini jelas tidak melebihi 10%. Selepas Islam, semestinya Buddha dan Hindu adalah dua agama anutan terbesar rakyat Malaysia.
5) Sesuatu yang pelik lagi ganjil ialah musim Krismas kelihatannya lebih 'gah,besar dan glamor' berbanding Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali. Apa yang menarik untuk diketahui ialah sepatutnya Krismas ini paling mendapat tumpuan di Sabah dan Sarawak berbanding Semenjanjung kerana peratusan masyarakat di 'Malaysia Timur' itu yang beragama Kristian adalah melebihi peratusan rakyat di Semenanjung yang menganut agama bawaan 'Jesus' itu.
6) 'Usaha-usaha' pihak pengurusan pasaraya-pasaraya besar dan juga gedung membeli belah dalam 'memeriahkan' juga 'membesarkan' Krismas kelihatannya cukup semarak dan gilang-gemilang.
7) Kita mula terfikir akan betapa 'glamor' dan meriahnya Krismas sehinggakan ianya 'diangkat' cukup tinggi.
8) Mungkinkah pengaruh Barat jelas telah menguasai rakyat Malaysia. Mendekatkan diri dengan Krismas akan membawa erti 'moden, glamor, eksklusif dan canggih'?
9) Kelihatannya sungguh ramai yang memakai topi Santa dan saling mengucapkan 'Merry Christmas' sesama sendiri walhal bila ditanya agama mereka rupa-rupanya bukan Kristian. Seolahnya orang-orang Malaysia ada yang lebih bangga kelihatan seperti seorang Kristian berbanding Buddha, Hindu dan apa sahaja anutan asal turun-temurun.
10) Saya tidak memandang negatif kepada perayaan Krismas, apa lagi untuk berniat jahat terhadap penganut Kristian. Kita seharusnya menghormati, meraikan dan menghargai apa jua kemeriahan budaya yang wujud di negara ini. Masalahnya, ada di kalangan rakyat kita sejak akhir-akhir ini umpama 'lebih sudu dari kuah' dan yang penting diletakkan di barisan belakang manakala yang kurang signifikan diangkat di puncak tertinggi. Itu yang silap.
Neba2020: Pihak pengusaha dan pemilik perniagaan perlu lebih adil terhadap Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali. Adakah orang Melayu beragama Islam ataupun orang India beragama Hindu tidak banyak berbelanja sempena perayaan agama mereka?
No comments:
Post a Comment