1) Cikgu sekolah rendah yang selalu 'terpaksa' melayan karenah anak murid yang masih berusia satu angka, ada yang terbuang air kecil dan ada yang lebih mengharukan terlepas 'saham' besarnya pula di dalam kelas. Cikgu tetap sabar dan tetap melayan 1001 macam perangai si kanak-kanak baru hendak mengenal dunia itu.
2) Posmen yang selalu dinanti kehadirannya, menghantar surat, majalah yang dilanggan dan kad-kad ucapan di musim perayaan. Dengar saja deruman bunyi enjin motosikal 'Pak Posmen' semestinya terukir senyuman dan pantas berlari menuju ke pintu utama rumah. Terfikir juga betapa mereka itu biasanya berpanas dan ada masanya berhujan menjalankan tugas.
3) Makcik-makcik yang bekerja di kantin sekolah, sentiasa senyum dan pantas mengambilkan makanan mahupun minuman yang dikehendaki 'anak-anak' mereka yang kosong perutnya di waktu rehat. Mereka tetap sabar, tersenyum dan mesra melayan perangai 'budak-budak' yang kadang-kala seperti sudah 10 tahun tidak ketemu makanan, terlalak-lalak dan ada pula yang 'nakal' tidak tahu untuk beratur di barisan yang betul.
4) Pakcik-pakcik dan makcik-makcik tukang kebun sekolah, mereka ini sentiasa rajin membersihkan kawasan sekolah. Keringat merekalah yang menghasilkan sekolah kelihatan seperti taman bunga yang sungguh indah dan mengasyikkan. Di waktu rehat, tenang jiwa melihat sekeliling sekolah penuh dengan bunga-bunga yang kemas dijaga rapi dan cantik pula aturan lanskapnya.
5) Guru disiplin sekolah yang garang, tegas dan kadang-kala seperti tidak 'berhati-perut' sememangnya digeruni dan popular di kalangan semua pelajar. Kerana teriakan, rotan, muka 'ketat' dan jelingan tajam si cikgu disiplinlah ramai yang 'menjadi' manusia akhirnya.
Neba2020: Mereka wira tak didendang, tak siapa merasa mereka itu pahlawan ataupun sang juara ... Wira tak didendang ini sebenarnya banyak juga jasanya kepada kita dan mungkin kita tak sedar betapa mereka ini semuanya pernah membuatkan kita gembira mahupun 'berubah sikap' suatu masa dahulu ....
No comments:
Post a Comment