Thursday, August 28, 2008

Perpaduan Teras Kejayaan

Salam Buat Semua,


1) Saya tidak pernah bercampur dengan bangsa Cina mahupun India sewaktu berada di alam sekolah rendah. Semuanya Melayu, semuanya beragama Islam, sepemikiran juga seakan sama gaya kehidupannya.

2) Saya seorang yang 'lambat panas.' Sejak kecil lagi saya tidak suka menonjolkan diri, suka berdiam diri dan tidak akan berkata-kata kecuali kalau dipinta mahupun terdesak.

3) Saya dipanggil 'mayu' oleh saudara-mara kerana sifat pemalu yang amat tinggi, sentiasa berkepit dengan Emak dan Encik ke mana sahaja, tidak lincah berlari ke sana ke mari dan tidak mudah tertarik dengan kehadiran 'budak-budak sebaya' untuk diajak bermain bersama-sama.

4) Sewaktu di Darjah 5, saya dipilih secara undi oleh kawan-kawan sekelas sebagai Ketua Darjah. Guru kelas saya ketika itu bernama Cikgu Tan Lay Ngoh, tinggi orangnya dan sentiasa kelihatan seperti eksekutif korporat sewaktu mengajar.

5) Ketika di Darjah 6, sekali lagi kawan-kawan mengundi saya sebagai ketua mereka. Guru Kelas yang bernama Cikgu Yap Kim Chuan adalah seorang yang banyak memberi kepercayaan kepada saya, di dalam kelasnyalah saya pernah disuruh bercerita secara spontan, lantas saya mewakili kelas ke pertandingan bercerita, akhirnya 'si pemalu' ini menjadi juara sekolah !

6) Masuk Tingkatan 1, saya mula berada di Sekolah Tinggi Segamat, sekolah harian biasa yang majmuk, tiga kaum utama sepakat menuntut ilmu bersama-sama. Sebagai budak yang datang daripada sekolah kampung, saya tidak mempunyai rakan-rakan lama, hanya si Ariati Othman sahaja yang saya kenali sejak sekolah rendah, maka mustahil untuk rakan-rakan baru mencalonkan saya menjadi ketua mereka. Guru Kelas saya bernama Cikgu Foong Mun Fatt.

7) Bermulanya tahun ke 2 di sekolah menengah, saya diundi oleh rakan-rakan untuk menjadi Pengerusi Tingkatan. Cikgu C. Jayamani selaku Guru Kelas cukup banyak memberikan kepercayaan dan juga 'kuasa' kepada saya untuk mentadbir sebuah kelas yang penuh dengan budak-budak bijak daripada 3 kaum yang berbeza.

8) Saya tidak pernah menjadi Pengawas di sekolah kerana sistemnya memerlukan pelajar itu mencalonkan dirinya sendiri sebelum ditemuduga oleh panel disiplin sekolah. Konsep seperti itu cukup bercanggah dengan prinsip diri saya, tidak sesekali saya akan mencalonkan diri sendiri ! Cikgu Jayamani pernah juga memberitahu kelas bahawa dia tidak mahu saya menjadi Pengawas sekolah, tetapi saya perlu kekal sebagai Pengerusi Tingkatan sampai bila-bila. Alasannya, kelas yang penuh dengan budak-budak bijak, penuh dengan pengawas-pengawas sekolah dan penuh dengan orang-orang penting kelab dan persatuan juga memerlukan seorang Pengerusi Tingkatan yang sepadan. Saya berasa cukup bangga dengan kata-kata seorang guru yang berbangsa India tetapi menaruh kepercayaan yang cukup tinggi kepada budak Melayu yang seorang ini.

9) Seperti dirancang, semua kawan-kawan berbilang bangsa berterusan mengundi si Fendi ini sebagai ketua mereka, kali ini guru kelas beralih pula kepada Cikgu Rahmah Kassim.

10) Dengan latar-belakang 3 kaum itulah kami menjadi sepakat, mengatur satu persembahan lakonan khas sempena sambutan bulan kemerdekaan tahun 1997, Tingkatan 3A menjadi juara ! Saya bertindak sebagai pengarah persembahan merangkap pencerita. Semua rakan-rakan tidak kiralah Melayu, Cina dan India memainkan peranan masing-masing, patuh dan sekata memberi kepercayaan kepada saya untuk mengolah perjalanan persembahan tersebut. Kami membuktikan bahawa berkat sepakat dan bersatu, semuanya boleh dilaksanakan !

11) Saya terus diundi sebagai Pengerusi Tingkatan untuk 2 tahun berikutnya pengajian kami di Sekolah Tinggi Segamat. Setiap hari saya akan 'berceramah' di depan kelas tentang situasi tabung kewangan kelas, kebersihan dan juga aktiviti-aktiviti tambahan sekolah yang melibatkan semua kelas. Guru kelas ketika di Tingkatan 4 ialah Cikgu Nor Akmal Omar manakala Cikgu Zaimon Ismail menerajui kami di Tingkatan 5.

12) Kami menjadi juara di dalam Pertandingan Menghias Kelas sempena bulan kemerdekaan tahun 1999. Masih terkenang-kenang betapa indahnya kelas 5A itu, penuh dengan bendera, kata-kata semangat, tema-tema patriotik dan juga sudut istimewa di belakang kelas yang dijadikan sebagai pameran mini barang-barang antik. Dalam menuju kemenangan tersebut, kami semuanya sanggup datang ke kelas pada hujung minggu untuk membasuh seluruh bilik darjah sebelum proses menghias dilaksanakan.

13) Tidak kiralah si gadis Cina anak seorang Doktor, si jejaka India anak seorang wakil rakyat dan si jejaka Melayu anak seorang peniaga, semuanya bersatu dan bersepakat dengan gembiranya untuk menuju kejayaan ! Sebut sahaja bulan bahasa, kelas kami jugalah yang menjadi juara keseluruhan !

14) Sewaktu di Tingkatan 5 juga saya dipilih sebagai Pengerusi Kelab Pengguna, antara kelab yang paling berbilang bangsa di Sekolah Tinggi Segamat. Rakan-rakan Cina dan India tidak pernah memberikan masalah kepada saya, mereka giat menjalankan segala aktiviti kelab yang dirancang. Kami sama-sama menjadi pejuang pengguna, menyemarakkan pelbagai aktiviti konsumerisme di sekolah tercinta, tanpa rasa prejudis juga tanpa rasa terpaksa.

15) Saya masih dan akan berterusan merindui gelagat Raven Kumar, Shankar, Velan, Alfred, Kumarakuru, Sathiya, Sharmila, Mary Anne; Rakan-rakan India yang cukup menyenangkan. Di pihak rakan-rakan Cina, pastinya saya tidak akan lupa kepada Lee Chuan Yoong yang duduk di sebelah kanan sewaktu di Tingkatan 5A, Chan Pei Lynn, Chee Wai Hong, Andrew Tey, Eric Yap dan Tey Kenny. Mereka adalah sebahagian daripada 'permata-permata' yang pernah memeriahkan diari kehidupan saya sebagai seorang anak remaja yang meningkat dewasa suatu ketika dahulu.

Perpaduan Teras Kejayaan !

Neba2020: Perpaduan di kalangan pelbagai kaum akan tercapai apabila sikap saling menghormati dan saling memahami budaya dan gaya hidup masing-masing diamalkan. Paksaan dan desakan tidak akan menghadirkan perpaduan. Ianya akan lahir apabila sensitiviti masing-masing difahami dan diinsafi ....

Wednesday, August 27, 2008

Selamat Hari Merdeka ke 51 Buat Negaraku

Salam Buat Semua,


1) Kita selalu merujuk struktur-struktur seperti Putarajaya, Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, KLIA dan Litar F1 Sepang sebagai 'monumen-monumen' kebanggaan tanda negara bebas yang pesat membangun sejak 31 Ogos 1957, Merdeka ! Kadang-kadang kita terlupa untuk memikirkan bahawa 'monumen-monumen' itu tidak akan berdiri dengan sendirinya tanpa keupayaan ekonomi, kemampuan mentadbir dan juga kekuatan polisi-polisi yang 'menemani' proses-proses pasca kemerdekaan itu sendiri.

2) Merdeka bukanlah sesuatu yang akan membawa kepada kemestian kemajuan dan kemakmuran negara. Merdeka tidak akan bererti jika negara tidak ditadbir dengan baik, tiadanya agenda pembangunan yang bagus dan kurangnya kesepakatan pelbagai kaum di dalam satu entiti politik yang kukuh.

3) Pada tahun 1957, 50% daripada populasi rakyat Malaysia berada di bawah paras kemiskinan, setengah abad kemudian, ianya telah berada di bawah paras 5% sahaja.

4) Kadar pertumbuhan ekonomi berada di bawah paras 1% ketika Merdeka dicapai, kini berlegar di tahap 6% setahun. Sekitar 1990an, pertumbuhan ekonomi Malaysia secara puratanya adalah sebanyak 8% setahun sehingga digelar antara 'harimau ekonomi Asia.'

5) Keluaran Dalam Negara Kasar pada tahun 1957 adalah sebanyak RM12.8 Billion, meningkat sehingga hampir mencecah RM300 Billion pada masa kini.

6) Pendapatan Per Kapita rakyat Malaysia pada musim-musim awal kemerdekaan ialah sebanyak RM788 , kini ianya berada di sekitar RM20 000.

7) 50 tahun lepas, negara ini hanya memiliki 1 universiti awam, kurang 50 tahun kemudiannya menginjak jauh mencecah 20 buah universiti awam yang berselerakan di serata negara. Itu belum lagi dicampur dengan ratusan institusi pendidikan tinggi swasta, kolej-kolej komuniti, politeknik-politeknik dan juga institusi-institusi pendidikan guru.

8) Kemerdekaan membawa erti kebebasan. Kebebasan cara kita adalah kebebasan yang berlandaskan kepada lunas-lunas budaya orang timur yang penuh berhemah, sopan-santunnya tinggi, menjaga hati perasaan sahabat, tidak berlebihan dalam tindakan, menjauhi sifat-sifat melampau dalam bersuara dan bertindak setelah berfikir baik-buruknya ia kepada keharmonian serta ketenteraman negara.

9) Penafian tentang pencapaian Malaysia sepanjang 51 tahun berdiri sebagai negara yang bebas merdeka adalah satu yang 'gila' dan cuba menutup realiti sebenar. Walaupun pencapaian dan liku-liku jalan yang ditempuh Malaysia belumlah mencapai tahap 100% berjaya juga 100% lengkap, tetapi deretan perbezaan nyata telah berlaku.

10) Infrastruktur negara berkembang dengan modennya, kuasa ekonomi semua kaum mengalami peningkatan yang baik, peluang pendidikan dan kesihatan menjadi cukup tersebar, daya intelektualiti masyarakat semakin luas, pelaburan-pelaburan syarikat Malaysia ke luar negara terus berkembang, institusi-institusi agama turut tersebar luas ke serata pelusok negara dan kehadiran jutaan pelancong asing saban tahun menjadi saksi betapa negara ini mempunyai sesuatu yang istimewa juga hebat untuk disaksikan.

11) Terlalu banyak yang perlu disyukuri, terlalu banyak yang perlu direnungi dan terlalu banyak juga yang perlu diinsafi kita semua kerana memiliki Malaysia sebagai negara tempat bernaung. Semoga kita tidak mudah alpa betapa apa yang dicapai dan dikecapi hari ini bukanlah sesuatu yang datang bergolek, wujud secara tiba-tiba tanpa dirancang dengan baik.

12) Kita mudah mencela, kita mudah mengejek, kita mudah berburuk sangka dan kita mudah mengidamkan sesuatu yang kelihatan lebih 'perfect' (lengkap, syumul) tatkala kita tidak memberi sedikitpun ruang kepada diri sendiri untuk merenungkan betapa terlalu banyak nikmat yang telah kita peroleh di sepanjang penitian 51 tahun negara kecil yang satu ini.

13) Kepada kita semua rakyat Malaysia, kita adalah pewaris negara ini ! Jangan persiakan ia, jangan perlekehkan ia, jangan mendurhakai ia !

SELAMAT HARI MERDEKA NEGARAKU !

Neba2020: Saya Anak Malaysia, Saya Anak Malaysia, Saya Anak Malaysia !

Monday, August 25, 2008

Siapa Lebih Taksub : Penyokong UMNO atau Anwar ?

Salam Buat Semua,

Penyokong UMNO / Barisan Nasional (BN)

1) Saya pernah berasa cukup marah apabila Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun) bertegas untuk melaksanakan pengajaran subjek-subjek berkaitan Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris bermula dengan sessi persekolahan tahun 2003. Saya tidak setuju dan saya tidak sekata dengan idea idola kesayangan sendiri ! Sepanjang tahun 2002 saya berasa 'kecil hati' dengan Dr. M kerana kerap sangat mengeluarkan hujah tentang perkara tersebut ! Hanya di akhir 2003 baru saya faham maksud 'tersembunyi' mengapa idea itu perlu dilaksanakan, akhirnya saya sokong.

2) Saya berasa tidak patut sekali apabila Dr. Mahathir melahirkan kekecewaannya secara terbuka apabila Datuk Sanusi Junid (kini Tan Sri) tewas di dalam pemilihan merebut jawatan Ketua UMNO bahagian Langkawi di pertengahan 1990an. Bagi saya, Dr. Mahathir sebagai Presiden UMNO tidak wajar melatah apabila 'anak emas' sendiri tewas kepada individu lain, yang penting ahli-ahli UMNO tidak berpecah dan perpaduan kuat kembali selepas pemilihan tersebut.

3) Saya juga berasa janggal apabila Tan Sri Musa Mohamed 'ditabalkan' sebagai Menteri Pendidikan pada tahun 1999. Perlantikan individu yang bukan orang politik serta tidak mempunyai rekod berjuang untuk parti dan masyarakat ke jawatan yang penting adalah tidak wajar berlaku kerana seorang Menteri Kabinet sewajarnya mempunyai 'liabiliti langsung' kepada rakyat, dia wajar seorang yang mendapat mandat langsung sewaktu pilihan raya dan turut 'layak' untuk disingkirkan rakyat melalui proses pilihan raya andai gagal memenuhi 'sentimen-sentimen' yang diperlukan.

4) Kedegilan Dr. Mahathir yang tetap mengekalkan Tan Sri Wan Mohktar Ahmad untuk menerajui UMNO dan BN di Terengganu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 10 pada tahun 1999 telah menyebabkan 'terbangnya' negeri tersebut ke tangan PAS selama 5 tahun. Sentimen awal telah menunjukkan betapa majoriti rakyat Terengganu sudah tidak berasa senang dengan gaya Wan Mohktar mengemudi negeri tersebut tetapi Dr. Mahathir masih 'simpati' kepadanya, saya cukup geram dengan kasihan tak bertempat yang ditunjukkan beliau kepada Menteri Besar Terengganu selama 25 tahun itu (1974-1999) !

5) Saya juga geram dengan Dr. Mahathir yang seakan berlembut dengan parti MCA di dalam isu penubuhan Sekolah Wawasan di akhir era 1990an dahulu. MCA di bawah Presidennya iaitu Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik (kini Tun) kelihatan sengaja membiarkan Dr. Mahathir dan UMNO terkapai-kapai melawan gerakan pertubuhan ekstrim seperti Dong Jiao Zhong dan Hua Zong yang jelas cuba mencabar kerajaan. Dr. Mahathir umpama berseorangan dalam menghadapi serangan golongan ekstremis itu, MCA cuba bermain selamat.

6) Saya banyak tidak sebulu dengan ideologi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam mentadbir negara sejak November 2003. Saya tidak sekata dengan pembatalan jambatan bengkok merentasi Selat Tebrau, koridor wilayah selatan yang terlalu banyak memberikan keselesaan kepada hartawan-hartawan Singapura, projek-projek pembangunan di Terengganu yang terlalu memberi kepercayaan kepada satu dua syarikat tertentu dan juga kelembutan beliau dalam menangani isu HINDRAF dan sekumpulan Menteri yang berani memberikan notis kepadanya sedikit masa dahulu.

Penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) / Pakatan Rakyat (PR)

1) Datuk Seri Anwar Ibrahim memang tidak bersalah di dalam apa jua pertuduhan yang melibatkan dirinya. Anwar tidak mungkin melakukan kesalahan liwat tersebut, UMNO telah mengorkestrakan segalanya dan pelapor liwat iaitu si Saful Bukhari Azlan telah 'dibayar' untuk melengkapkan operasi meranapkan terus karier politik Anwar.

2) Anwar tidak tidak mungkin menerima RM60 000 000 daripada syarikat berteraskan perjudian iaitu Magnum Corporation Bhd. Bekas Pengarah di Magnum iaitu Datuk S. Nallakaruppan yang pernah menjadi teman tenis Anwar cuba menipu dan telah dibayar juga oleh UMNO ! Nalla juga berniat jahat apabila mengeluarkan kenyataan 'selepas bermain tenis, saya tahu ke mana Anwar pergi.'

3) Anwar tidak salah untuk bersahabat dengan DAP, berbaik dan bermesra selalu atas nama perpaduan Malaysia. DAP melalui Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng secara terang-terangan di Konvensyen tahunan parti (2008) tersebut telah mengisytiharkan bahawa konsep negara Islam ditolak sekerasnya. Anwar tetap betul andai konsep 'Malaysian Malaysia' yang ditaja DAP, hasil peninggalan abang kembarnya iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang dicipta oleh Lee Kuan Yew dipraktiskan di negara Malaysia Boleh ini.

4) Anwar tidak pernah melakukan kesilapan sewaktu menerajui Kementerian Kewangan selama 7 tahun (1991-1998). Preskripsi Anwar dalam berhadapan dengan krisis kewangan pada tahun 1997-1998 adalah cukup mujarab dengan berpaksikan nasihat IMF sehingga majoriti pengusaha kecil dan sederhana hampir gulung tikar dek kecekapan Anwar. Anwar memang penyelamat ekonomi Malaysia ketika itu !

5) Kes-kes rasuah melibatkan Exco kerajaan negeri Perak yang datang daripada PKR juga adalah konspirasi UMNO bagi melingkupkan Pakatan Rakyat di sana.

6) Mahkamah Persekutuan adalah benar apabila melepaskan Anwar daripada pertuduhan liwat (keputusan 2-1 itu sebenarnya tidak melepaskan Anwar 100% daripada tiadanya liwat berlaku tetapi Anwar terbebas kerana percanggahan teknikaliti sahaja), gratuiti (pampasan) kepada Tun Salleh Abas dan rakan-rakannya yang dipecat pada tahun 1988 adalah sesuatu yang patut dan penubuhan Suruhanjaya perlantikan hakim adalah wajar walaupun ada wakil Majlis Peguam di dalamnya (sungguh tidak masuk akal apabila peguam melantik hakim !). Malangnya, apabila perkara yang tidak selari dengan kehendak diri berlaku, teruslah UMNO disalahkan dan institusi kehakiman serta pasukan Polis dilabelkan sebagai 'anjing suruhan' UMNO !

Neba2020: Budaya menyokong pemimpin yang digemari adalah bagus dan selari dengan prinsip demokrasi, budaya taksub 100% kepada pemimpin yang digemari adalah bahaya dan bertentangan dengan mana-mana kepercayaan agama sekalipun.

Thursday, August 21, 2008

100

Salam Buat Semua,




1) Weblog ini mula beroperasi pada 1 Disember 2006, memperoleh ilham daripada 'The Scribe' yang digerakkan oleh penulis kegemaran saya sejak di alam persekolahan (sekitar 1990-an) iaitu Datuk A. Kadir Jasin, Ketua Pengarang Berita Publishings Sdn. Bhd (bekas Ketua Pengarang NSTP).

2) Coretan ini adalah cetusan idea ke 100 daripada saya setelah 1 tahun 8 bulan dan 21 hari InspiRasi 1982 ~~ menemui khalayak yang sudi 'menemani' perjalanan weblog kerdil ini, tanpa nama yang kuat, tiada pengaruh, kurang ilmu.

3) Dengan rasa bersyukur dan rendah diri, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada yang sudi mengakses InspiRasi 1982 ~~, sudi membaca dan sudi juga meninggalkan komentar di akhir cetusan-cetusan yang terlampir di sini. Kesudian kalian membaca sudah cukup menghadirkan satu kepuasan mendalam terhadap usaha kecil saya yang kerdil ini.

4) Objektif utama weblog ini adalah sebagai medium untuk saya berkongsi pendapat juga idea-idea terhadap apa saja yang berlaku di persekitaran kita sama ada melibatkan isu politik, ekonomi, kemanusiaan, kerjaya seorang pendidik dan juga penghormatan kepada ibu dan ayah sebagai insan yang wajib diutamakan kita semua.

5) Secara peribadi, berikut adalah 5 penulisan yang saya anggap 'manuskrip berharga' yang paling bermakna buat diri ini untuk dikongsikan bersama-sama teman-teman pembaca di luar sana di sepanjang proses pendakian angka 100 artikel InspiRasi 1982 ~~ ini:

Surat Terbuka Buat Perdana Menteri

21 Mei 2000 - Budak Kampung Masuk MMU

Emak Adalah Anugerah Tuhan Yang Terbesar Buat Saya ...

Ayah Saya Adalah ' Harimau Bugis.. '

31 Ogos 2007 : 50 Tahun Merdeka, 5 Inspirasi Gemilang

6) Perbezaan pendapat antara kita adalah normal dan saya menggalakkan sebarang komentar yang bertentangan dengan cetusan di InspiRasi 1982 ~~ ini. Walaubagaimanapun, saya tetap yakin dan komited terhadap apa jua yang saya huraikan adalah satu kepercayaan terbaik dan menjadi pegangan peribadi diri ini. Saya menulis dengan penuh kesedaran betapa hanya yang saya yakini sebagai baik secara majoritinya (walau bukan 100%) sahaja akan dikongsikan bersama-sama dengan khalayak pelawat sekalian.

7) Dengan penuh penghormatan buat rakan-rakan pembaca semua, saya berjanji untuk terus aktif menulis dan imej serta gaya penulisan InspiRasi 1982 ~~ akan cuba dikekalkan dengan menyanjung tinggi penggunaan Bahasa Kebangsaan yang jitu, tanda bangganya saya menjadi warga Malaysia !

Angka 100 ini tidak akan tercapai tanpa sokongan rakan-rakan pembaca semuanya, terima kasih !

Neba2020: Aku menulis bukan kerana nama, bukan kerana harta, bukan kerana pangkat... Aku menulis hanya untuk berkongsi rasa, berkongsi idea, berkongsi ilmu dan berkongsi hikmah kehidupan buat kebaikan mereka yang sudi menerima perkongsian ini ....

Tuesday, August 19, 2008

Polemik UiTM : Isu 10 Peratus ....

Salam Buat Semua,

1) Saranan Tan Sri Khalid Ibrahim supaya Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberi ruang sebanyak 10% untuk pelajar bukan Bumiputera telah menimbulkan polemik yang tidak mudah untuk diketepikan begitu sahaja.

2) UiTM bermula sebagai Dewan Latihan RIDA (Rural and Industrial Development Authority) pada tahun 1956 sebelum diambil alih oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada tahun 1965 lantas dikenali pula sebagai Maktab MARA. Selaras dengan peningkatan kepentingannya, maktab tersebut dijenamakan sebagai Institut Teknolgi MARA (ITM) pada tahun 1967, terus berkembang dengan jayanya sehinggalah diiktiraf sebagai sebuah universiti penuh pada tahun 1996 (kekal dengan jenama ITM), dan berubah kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada tahun 1999.

3) UiTM adalah sebuah universiti 'istimewa' yang dikhususkan buat kaum Bumiputera di Malaysia, mempunyai pelajar berjumlah lebih 150 000 orang dengan satu kampus utama di Shah Alam, Selangor, 3 buah kampus satelit, 12 kampus cawangan dan 6 kampus bandar. Secara jelasnya, UiTM adalah institusi pendidikan tinggi yang terbesar kapasitinya di Malaysia.

4) Sejak lebih 50 tahun berlalu, 'keistimewaan' UiTM ini sudah menjadi sesuatu yang normal dan diperakui semua pihak di Malaysia ini tanpa mengira bangsa mahupun agama bahawa ia adalah milik eksklusif kaum Melayu khasnya dan Bumiputera lain amnya.

5) Eksklusiviti UiTM itu pula hanyalah pada pola pengambilan pelajarnya, tidak bertujuan membentuk suatu diskriminasi tetapi membantu untuk menstabilkan lagi corak kehidupan semua kaum di Malaysia ini.

6) Bumiputera yang mewakili kira-kira 65% daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia adalah suara majoriti yang sensitiviti kehidupan mereka perlu ditadbir dengan penuh hemah lagi bijaksana. Andai kuasa pendidikan istimewa tidak diberikan kepada mereka, impak yang buruk akan menimpa seluruh negara.

7) Bumiputera yang kurang kemampuan akademik akan melahirkan majoriti rakyat Malaysia yang kurang daya inteleknya, kurang kemahiran dan kurang professionalismenya. Akibat langsung ialah membawa kepada ketidakmampuan sektor swasta khasnya dan juga sektor kerajaan amnya untuk memiliki tenaga kerja yang berkualiti juga sepadan dengan kehendak ekonomi.

8) Rekod menunjukkan bahawa lebih 70% daripada graduan UiTM telah diambil bekerja sebagai profesional mahupun eksekutif di sektor swasta. Kita sedia maklum bahawa kira-kira 95% daripada majikan di sektor swasta terdiri daripada syarikat-syarikat yang bukan dimiliki oleh Bumiputera. Ini membawa pengertian bahawa UiTM telah menjadi satu 'kilang eksklusif' untuk melahirkan 'enjin-enjin Bumiputera' yang akhirnya dapat menyumbang kepada kemakmuran perniagaan rakan-rakan bukan Bumiputera yang lainnya. Pihak korporat tidak pernah berani menafikan kepentingan UiTM sejak dahulu lagi dan sedia maklum tidak membantah 'eksklusiviti' tersebut, hanya ahli politik 'murahan' sahaja yang berminat mengeskpoitasinya !

9) UiTM di zaman perkembangan drastiknya sekitar 1970an dan 1980an pernah mengiktiraf ketidakmampuan Bumiputera untuk menjadi tenaga pengajar, rekod pernah menunjukkan bahawa 70% daripada tenaga pengajar di ITM pernah dikuasai oleh bukan Bumiputera. Ini menunjukkan bahawa UiTM tidak mengamalkan diskriminasi secara total, sehingga kini bukan Bumiputera terus dialu-alukan untuk menyertai UiTM sebagai tenaga pengajar sehingga mencapai taraf Professor sekalipun.

10) Isu pembukaan kuota 10% ini dilihat sebagai sesuatu yang langsung tidak wajar dikemukakan, Tan Sri Menteri Besar Selangor itu mungkin terlalu idealis tetapi lupa akan sentimen perasaan kaum Bumiputera yang majoritinya terguris dengan kenyataan 'beraninya' itu. Tan Sri Menteri Besar tidak perlulah cuba meraih populariti politik dengan cuba menjaja sesuatu yang telah diterima pakai oleh majoriti rakyat sejak dahulu lagi.

11) Fahamilah bahawa kewujudan UiTM jika dilihat daripada aspek ekonomi sekalipun sebenarnya telah memewahkan dan memakmurkan ribuan peniaga-peniaga mahupun golongan korporat bukan Bumiputera yang menikmati lambakan ratusan ribu modal insan / pekerja-perkerja berpendidikan yang majoriti kos pengajiannya ditanggung oleh kerajaan tetapi hasilnya dinikmati mereka secara terang-terangan. Inilah yang dinamakan satu tindakan afirmatif (tegas) bijak yang membawa kepada situasi 'menang-menang' kepada semua kaum di Malaysia ini di akhirnya. Keupayaan UiTM mengendalikan semua kursus pengajiannya di dalam medium Bahasa Inggeris sejak berpuluh tahun dahulu lagi sememangnya diakui cukup disenangi oleh golongan korporat tersebut, mengatasi 'minat' mereka terhadap graduan institusi pengajian awam yang lain.

12) Sehingga Ogos 2008, terdapat 20 institusi pengajian awam di Malaysia yang berstatus universiti penuh (sila rujuk senarai di bawah), hanya satu sahaja yang kelihatan eksklusif kepada Bumiputera, ianya bukanlah sesuatu yang bagus untuk dipertikaikan tatkala terdapat banyak universiti mahupun kolej pendidikan swasta yang ditubuhkan pihak-pihak tertentu yang juga kelihatan 'eksklusif' untuk kaum-kaum Cina mahupun India.

Universiti Malaya (UM)
Universiti Sains Malaysia (USM)
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Universiti Putra Malaysia (UPM)
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Universiti Utara Malaysia (UUM)
Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
Universiti Malaysia Sabah (UMS)
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Universiti Darul Iman Malaysia (UDM)
Universiti Malaysia Kelantan (UMK)
Universiti Malaysia Pahang (UMP)
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

13) UiTM mempunyai objektifnya yang tersendiri buat Bumiputera manakala institusi-institusi kelolaan kaum Cina mahupun India juga sudah semestinya mempunyai misi-misi tertentu yang ingin dicapai. Setiap antara kita atas nama perpaduan Malaysia sewajarnya menghormati dan memahami kehendak-kehendak istimewa kaum-kaum tertentu dalam mencipta 'eksklusiviti' masing-masing. Daripada 'eksklusiviti' itulah nanti akan lahirnya bangsa Malaysia yang lebih kuat, lebih berilmu, lebih berkemahiran dan lebih berdaya saing sekaligus dapat berbakti dengan penuh bermakna ke arah melahirkan negara Malaysia yang lebih maju, lebih makmur dan lebih dihormati rakan mahupun lawan di arena antarabangsa.

Neba2020: Adakalanya hidup ini kita tidak akan dapat 100% apa yang kita idamkan mahupun angankan kerana 100% yang istimewa dan lengkap itu hanyalah Tuhan saja yang mampu memilikinya. Adakalanya kita terpaksa berkorban sedikit demi memastikan kita tidak kerugian secara total kerana setiap keuntungan yang besar hanya akan lahir dengan pengorbanan mahupun kerugian di peringkat awalnya ....

Friday, August 15, 2008

4 Tahun Di Alam Pekerjaan: Teruslah Belajar

Salam Buat Semua,

1) 16 Ogos 2004 saya memulakan karier pertama secara rasminya di Telekom Malaysia Berhad (TM). Dengan usia 21 tahun 10 bulan dan 8 hari, terasa seperti belum bersedia untuk bergelar seorang eksekutif muda di ibu negara, keadaan yang cukup asing bagi anak kampung yang seorang ini.

2) Saya bertahan cuma 2 bulan sahaja di Kolej Latihan Telekom (kini Kolej Multimedia), Jalan Gurney Kiri, Kuala Lumpur itu sebelum berpindah tugas ke Multimedia University (MMU), Melaka.

3) Bertukar angin dalam masa 2 bulan bukanlah bererti saya tidak menyukai pekerjaan yang pertama tetapi lebih kepada memenuhi hajat dan impian peribadi yang telah tersemai sejak di bangku sekolah lagi, menjadi seorang pendidik kepada anak bangsa.

4) Pekerjaan bagi saya adalah sumber 'survival diri' yang penting, meneruskan kelangsungan kehidupan dan juga untuk membahagiakan insan-insan yang terhampir dengan kita. Pekerjaan juga sewajarnya dijadikan landasan untuk 'menyumbang' sesuatu kepada persekitaran kita supaya kehidupan menjadi lebih bermakna dan tidak kosong.

5) Apa yang boleh 'disumbangkan' haruslah dibuat dengan penuh dedikasi, ikhlas dan bersungguh-sungguh, berkat dalam pekerjaan wajib dijadikan pegangan utama di setiap ketika.

Kepada diri saya, hanya satu ungkapan yang ingin disampaikan - Teruslah belajar, teruslah mendalami ilmu, teruslah berusaha untuk menambahkan keberkatan dalam bekerja ....

Neba2020: Apa erti bekerja jika hanya penat yang diperoleh, lelah yang dirasai selalu ? Apa erti bekerja jika hanya geram yang timbul, benci yang menguasai jiwa ? Bekerjalah dengan cara yang 'bererti' supaya hasilnya membawa 'erti tersendiri' di dalam sanubari, kepuasaan peribadi yang tidak terbeli dek pujian ramai, pangkat mahupun nilai Ringgit ....

Thursday, August 14, 2008

Permatang Pauh: Kenapa Anwar Akan Menang?

Salam Buat Semua,

1) Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008 ini dijangkakan akan dimenangi Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mudahnya, Barisan Nasional (BN) melalui calonnya daripada UMNO bolehlah bermimpi sahaja untuk menakluk kerusi tersebut yang terlepas ke tangan Parti Keadilan Rakyat (PKR - dulunya dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional) sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke 10 pada tahun 1999.

2) Anwar adalah umpama wira di kalangan majoriti pengundi di Permatang Pauh tetapi tidaklah semua pengundi 'mempercayai Anwar dan PKR' di tanah keramat Anwar itu kerana sewaktu PRU ke 13 pada 8 Mac 2008, BN masih mampu mengaut 16 950 undi dengan PKR sebanyak 30 348 undi. PRU 11 pada tahun 2004 pula menyaksikan BN hanya tertinggal 590 undi sahaja di belakang PKR (BN: 21 147 undi, PKR: 21 737 undi). Anwar wajar dianggap mempunyai pengaruh yang kuat di sana tetapi tidaklah mempunyai kekebalan di tahap 100%.

3) PRK ini diadakan dikala sentimen rakyat terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berada ditahap yang lebih teruk berbanding dengan keadaan pada 8 Mac 2008. Kenaikan kos bahan api melebihi 40% pada bulan Jun 2008, disertai dengan kenaikan tarif elektrik pada bulan Julai 2008 telah membawa kepada rantaian kenaikan kos majoriti barangan dan perkhidmatan di seluruh negara sehingga kadar inflasi untuk bulan Jun 2008 (7.7 %) disifatkan yang tertinggi dalam tempoh melebihi 20 tahun di negara ini.

4) Keangkuhan Abdullah terhadap 'suara-suara' akar umbi UMNO yang ternyata telah menolak kepimpinannya ternyata memburukkan lagi keadaan. Abdullah cuba 'meredakan' perasaan benci ahli-ahli dan juga penyokong UMNO khasnya serta BN terhadapnya dengan cuba melakar 'pelan peralihan kuasa' kepada Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak menjelang Jun 2010 walhal beliau 'sedia maklum' bahawa majoriti inginkan beliau berundur menjelang akhir 2008 supaya proses 'pemerkasaan dan pemulihan semangat' UMNO dan juga BN secara lebih bertenaga dapat dijalankan dengan segera. Kehadiran Abdullah sebagai ketua yang menanti masa untuk berundur menjelang tahun 2010 sebenarnya akan merencatkan matlamat proses tersebut.

5) Kekuatan utama Anwar yang bijak bermain dengan sentimen dan hebat dalam membuai emosi rakyat tidaklah boleh dipandang remeh, beliau adalah juara bertahan 'syarahan politik' yang sehingga kini tidak terlawan oleh mana-mana ahli politik lain di Malaysia ini. Kuasa kemahiran komunikasi Anwar teramatlah sukar untuk dicantas oleh pemimpin-peminpin semasa UMNO dan juga BN. UMNO dan BN memerlukan pemimpin yang bijak merangka strategi fakta dan huraian kes yang padu lagi jitu untuk menangkis kuasa komunikasi Anwar itu. Malangnya, pemimpin UMNO dan BN pada masa ini sudahlah lemah kemahiran komunikasinya, lemah juga dalam merangka fakta serta tidak berkemampuan menghurai kes dengan baik sehingga kelihatan 'lemah minda, cetek ilmu.' Rakyat tidak boleh dipersalahkan andai mereka tertawan dengan kuasa komunikasi Anwar itu !

6) Dengan kes liwatnya yang telah 'masuk mahkamah' dan proses pembicaraannya akan bermula sekitar September 2008, ramai yang beranggapan Anwar adalah mangsa 'politik kotor' yang diorkestrakan UMNO. Sama ada Anwar bersalah ataupun tidak, majoriti yang bersimpati dengan Anwar telah menetapkan di dalam minda mereka bahawa Anwar adalah mangsa yang teraniaya dan Anwar tidak bersalah sama sekali. Kes tersebut bukan lagi menjadi satu bebanan ataupun liabiliti kepada Anwar sebaliknya telah digunakannya sebaik mungkin sehingga kelihatan menjadi 'asset berharga' pula kepada 'kempen-kempen' politik beliau. Itulah kehebatan Anwar yang mampu mempositifkan setiap yang negatif tentang dirinya sehingga mampu memikat sentimen kasihan umum kepadanya.

7) Dengan proses pemilihan UMNO yang akan berpanjangan sehingga Disember 2008 ini, kesepakatan di kalangan pemimpin-pemimpin kecil sehinggalah yang bertaraf tinggi bolehlah dianggap agak 'renggang' juga tidaklah sekukuh di musim-musim PRU ke 13 beberapa bulan yang lepas. Masing-masing akan cuba menunjukkan mereka membantu dan bekerja keras di Permatang Pauh atas nama parti tetapi sebaliknya mereka sedang sebok berpolitik di kawasan masing-masing untuk dipilih semula, menentang yang sedia ada mahupun berkempen bagi pihak-pihak tertentu yang disayangi. Ini semestinya memberi kelebihan besar kepada pakatan pembangkang untuk berkempen dengan satu hati satu matlamat, terus membenam UMNO dan BN di kerusi tersebut.

Neba2020: Misi Anwar adalah misi tidak mustahil, misi UMNO dan BN adalah misi mustahil ....

Tuesday, August 12, 2008

Cetusan Pendapat: Projek-Projek Mega

Salam Buat Semua,

1) Segelintir pihak merasakan bahawa Kerajaan Malaysia banyak menghabiskan 'wang rakyat' untuk pembinaan projek-projek yang ditafsirkan sebagai 'mega.'

2) Projek-projek seperti Putrajaya, litar F1 Sepang, KLIA, Menara Kuala Lumpur, Menara Berkembar Petronas, Kompleks Sukan Bukit Jalil , KL Sentral, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Empangan Bakun dan Satelit Measat ditafsirkan sebagai bertaraf 'mega.'

3) Ada pihak-pihak tertentu mendefinisikan bahawa 'mega' bererti pembaziran, penyalahgunaan wang rakyat, proses memewahkan kroni-kroni, mementingkan kemajuan fizikal dengan mengabaikan kemajuan spiritual dan penyelewengan kuasa.

4) Golongan-golongan seperti ini sesuai untuk dinamakan sebagai 'generasi bijak lagi kritikal yang memiliki pemikiran berpusat.' Mereka ini sewajarnya memiliki daya berfikir yang bagus tetapi tanpa disedari pemikirannya adalah berbentuk sehala tanpa mampu menjadi lebih fleksibel dalam membuat kesimpulan.

5) Pentadbir Malaysia sekitar tahun 1980-an dan 1990-an menjadikan Wawasan 2020 sebagai satu misi negara yang terpenting. Tekadnya adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang 1 Januari 2020.

6) Semua rakyat termasuklah pihak-pihak yang kritikal terhadap projek-projek mega sepakat menyetujui hasrat Wawasan 2020 itu, tiada siapa yang membenci misi tersebut ketika ianya diusulkan Perdana Menteri pada tahun 1991.

7) Serentak dengan aspirasi Wawasan 2020, semangat rakyat dianjakkan melalui penyebar-luasan konsep-konsep seperti 'Malaysia Boleh,' 'Yakin Boleh,' Negara Kita Tanggungjawab Kita,' 'Keranamu Malaysia' dan 'Wawasan Asas Kejayaan.'

8) Konsep-konsep tersebut dengan sengajanya telah disebar-luaskan sehingga menjadi sebutan rakyat dan akhirnya sebati di dalam diri masing-masing, semestinya generasi muda menjadi lebih 'mesra dan rapat' dengannya. Adalah dipercayai bahawa konsep-konsep tersebut mampu untuk meningkatkan motivasi rakyat dalam membentuk keperibadian yang unggul dengan budaya mencintai kecemerlangan kehidupan. Hanya generasi yang dahagakan serta sentiasa mengejar kecemerlangan sahaja yang akan dapat menjadikan Malaysia ini sebagai negara maju menjelang tahun 2020 !

9) Selain penyuntikan semangat untuk menghasilkan warga Malaysia yang berkualiti lagi berketerampilan, Wawasan 2020 hanya boleh dicapai seandainya kita sudah bersedia daripada segi fizikal. Kemajuan fizikal melalui penyediaan pelbagai infrastruktur yang dikatakan 'mega' itu adalah penting lagi wajib untuk merancakkan proses pembangunan negara.

10) Kriteria utama untuk menjadi negara maju ialah mencapai kemajuan ekonomi. Ekonomi memerlukan bantuan infrasktruktur yang lengkap, canggih dan berkualiti. Infrakstruktur-infrastruktur 'mega' ini bersifat sebagai pemadan ('complimentary') kepada sektor ekonomi yang ingin dikembangkan. Tanpa kuasa pemadan, sudah tentu ekonomi tidak mampu dianjakkan dengan lebih jauh (kekal di takuk lama), akibatnya keluaran produktiviti negara tidak akan berkembang jauh, ekonomi tidak berprestasi unggul, tidak tercapailah hasrat menjadi negara maju. Infrastruktur 'mega' itu bolehlah diumpamakan sebagai satu pelaburan yang hasilnya tidak akan kelihatan serta-merta tetapi penting untuk mencapai misi jangka masa panjang negara.

11) Pembinaan imej negara juga penting untuk menarik minat pelabur-pelabur asing ke Malaysia. Litar F1 Sepang sebagai contohnya bukanlah dibina semata-mata atas nama membawa acara perlumbaan kereta berprestasi tinggi itu ke Malaysia tetapi apa yang diinginkan ialah kuasa pemasaran dan kekuatan jenama yang dimiliki oleh FORMULA SATU itu sendiri di seluruh dunia. Promosi tentang Malaysia akan tersebar luas ke seluruh dunia, ini akan menimbulkan keyakinan para pelabur untuk menanam modal di Malaysia dan menyuntik kepercayaan masyarakat antarabangsa untuk membeli barangan yang tercatit perkataan 'Made In Malaysia' kerana nama MALAYSIA itu sendiri telah mereka kenali dan kelihatan popular akibat daripada penganjuran F1 itu saban tahun. Begitu jugalah dengan kes penganjuran Sukan Komanwel 1998 dan Le Tour De Langkawi yang cuba dikontroversikan kononnya kerajaan pimpinan Perdana Menteri ketika itu sekadar cuba berboros secara besar-besaran. Inilah masalahnya dengan 'puak-puak' yang sempit kemahiran ekonomi yang berstrategi, hanya melihat perbelanjaan daripada satu aspek yang cukup sempit.

12) Kebanyakan projek mega yang dilaksanakan sekitar tahun 1990-an kelihatan 'besar dan gah' setelah Perdana Menteri ketika itu merasakan bahawa ideologi membina berdasarkan kapasiti / keperluan sebenar pada sesuatu masa itu adalah tidak kelihatan bijak daripada aspek kewangan / kos jangka masa panjang. KLIA sebagai contoh dibina pada pertengahan 1990-an dengan kapasiti sebenar yang hanya mampu mencapai tahap penggunaan penuh menjelang tahun 2020. Ini bermakna, kita tidak perlu membina satu lagi lapangan terbang di kawasan yang berhampirannya pada tahun 2020 kerana KLIA itu sendiri mampu menanggung keperluan semasa ketika itu. Sudah semestinya kos pembinaan KLIA pada tahun 2020 adalah mungkin mencecah 5 kali ganda (mungkin 10 kali ganda !) jika hendak dibandingkan dengan kosnya pada tahun 1995.

13) Jambatan Pulau Pinang yang hanya dibina dengan 4 laluan pada tahun 1980an juga ditafsirkan sebagai projek mega ketika ianya dilaksanakan. Malangnya, setelah 20 tahun ianya beroperasi, jambatan tersebut sudah 'tidak mampu' untuk menanggung kapasiti penggunaannya yang semakin meningkat secara drastik setiap tahun. Kini, keperluan untuk membina jambatan kedua sudah menjadi kemestian. Cuba bayangkan seandainya Jambatan Pulau Pinang itu dibina dengan memiliki 8 laluan pada pertengahan tahun 1980-an itu, sudah semestinya kos yang terlibat adalah berbelas ganda lebih kecil berbanding dengan kos masa kini.

14) Pihak-pihak yang kritikal selalu menggunakan alasan bahawa masih banyak rakyat Malaysia yang miskin dan tidak berkemampuan. Mereka ini perlu dibantu, perlu diutamakan berbanding dengan perlaksanaan projek-projek mega tersebut. Masalah kemiskinan dan kesusahan sememangnya menjadi satu masalah global yang tidak akan ada penamatnya. Apa yang diusahakan pihak pentadbir ialah untuk terus meminimakannya dengan pelbagai kaedah pembangunan yang dijalankan. Malangnya, ada segelintir daripada golongan yang tidak berkemampuan ini sendiri mengambil pendekatan untuk terus tidak berubah dan selamanya berasa selesa berada di kepompong yang sama. Orang yang kelaparan ada baiknya kita berikan mereka joran mahupun pukat / jala untuk mencari ikan di sungai / lautan berbanding dengan memberikan mereka beberapa ekor / kilo ikan yang pastinya akan habis dalam masa yang pendek, lapar semula selepas itu ! Justeru itu, proses pembangunan negara secara sistematik adalah diperlukan dan projek-projek mega adalah umpama enzim / penggalak yang penting untuk merancakkan ekonomi. Ekonomi yang rancak bererti lebih peluang pekerjaan, meningkatnya peluang pekerjaan bermakna kadar kemiskinan dapat terus diminimakan. Kadar kemiskinan yang rendah juga merupakan salah satu kriteria untuk bergelar negara maju.

15) Projek-projek mega tidak wajar disalah-ertikan oleh segelintir pihak yang ingin meraih populariti politik, alasan kononnya rakyat menjadi mangsa berpanjangan di atas sikap pentadbir negara yang boros mahupun ingin menunjuk semata-mata. Walau ianya tidaklah 100% membawa kebaikan nyata tetapi tidaklah juga ianya membawa keburukan 100% kepada rakyat. Andai projek-projek mega mampu mencapai kadar 75% kebaikan berbanding dengan 25% keburukan, maka sedikit-sebanyak ianya tetap telah menyumbang kepada kemakmuran rakyat khususnya dan negara ini amnya.

Neba2020: Piramid Giza, Tembok Besar Cina, Menara Eiffel, Taman Tergantung Babylon dan Colosseum mungkin bolehlah dianggap sebagai projek-projek bertaraf 'mega' beratus-ratus / beribu-ribu tahun dahulu. Kini ? Kesemuanya mendatangkan keuntungan besar kepada negara 'pemiliknya' di atas limpahan berjuta-juta pelancong yang hadir untuk menyaksikannya secara langsung di depan mata masing-masing. Dulunya kelihatan membazir, menyusahkan dan tidak praktikal tetapi akhirnya membawa kesenangan dan kemakmuran kepada rakyat juga negara ....

Monday, August 11, 2008

Chan Kar Hoong

Salam Buat Semua,


1) Chan Kar Hoong dikenali tatkala saya mengajarnya untuk subjek 'Principles of Economics I' sewaktu beliau berada di trimester pertama pengajiannya di Multimedia University (MMU), Melaka bagi kemasukan Jun 2005. Subjek terbabit berkisar tentang asas-asas kepada mikro ekonomi dan juga proses perjalanan aktiviti-aktiviti di dalam sistem ekonomi.

2) Saya hanya berkesempatan mengajarnya selama 4 bulan, satu trimester penuh di MMU dan baki 2 trimester berikutnya beliau menghabiskan zaman pra universitinya tanpa 'kehadiran' saya di kelasnya. Pertengahan tahun 2006, Kar Hoong memulakan alam pengajian ijazahnya di dalam bidang Kewangan Multimedia di MMU kampus Cyberjaya.

3) Kali terakhir bertemu beliau adalah sekitar bulan Mei 2006, Kar Hoong mengambil gambarnya bersama-sama saya sebagai tanda kenang-kenangan sebelum beliau meninggalkan bumi Melaka yang bersejarah.

4) Sekitar jam 8.10 malam, 11 Ogos 2008 saya mendapat satu panggilan daripada nombor yang tidak dikenali. Suara yang kedengaran adalah milik seorang jejaka Cina yang menyuruh saya meneka namanya setelah mengucapkan selamat. Sepintas lalu, saya terus teringatkan seorang bekas pelajar yang pernah saya didik 3 tahun yang lepas dan sudah lebih 2 tahun tidak bertemu dengannya. Secara spontan saya menyebut namanya, Chan Kar Hoong !

5) Rupa-rupanya beliau menelefon saya bersempena dengan 'semangat dan aura' majlis Konvokesyen ke 9 MMU yang berlangsung di Cyberjaya selama tiga hari berturutan bermula pada 9 Ogos 2008. Beliau belum berkonvo tetapi 'setia menunggunya' untuk tempoh 12 bulan lagi. Kini Kar Hoong berada di tahun akhir pengajiannya.

6) Kar Hoong membuatkan diri ini cukup terharu lagi bersyukur kepada Tuhan tatkala beliau dengan pantas menjawab soalan saya tentang sebab-sebab yang menyebabkannya teringatkan si pensyarah trimester pertamanya di pengajian peringkat universiti. Setelah 3 tahun berlalu dan 10 trimester pengajian dilaluinya di MMU dengan majoritinya di bumi Cyberjaya, Kar Hoong masih 'setia' dengan kata-katanya kepada saya di akhir pengajiannya di Melaka dahulu.

7) Katanya (perbualan adalah di dalam bahasa Inggeris), "Sir, saya takkan lupakan Sir sampai bila-bila, kamu adalah pensyarah yang paling saya suka. Dari Alpha sampai Delta, kamu tetap yang terbaik pernah saya jumpa walaupun saya bukan di Melaka lagi."

8) Pujian Kar Hoong membuatkan saya insaf tetapi cukup memotivasikan saya untuk lebih ikhlas dan bersungguh tatkala mendidik anak-anak Malaysia juga dunia yang tercinta.

9) Pujian-pujian daripada seorang pelajar yang sedang diajar sememangnya mudah untuk diperolehi oleh setiap insan yang bergelar pendidik. Pujian-pujian seperti itu biasanya akan saya sambut dengan senyuman yang disertakan dengan penafian lembut tanda merendah diri tetapi ianya langsung tidak akan masuk ke dalam lubuk ingatan mahupun merasuk pemikiran supaya diri terasa bangga sendirian kerana ianya harus diterima dengan penuh 'waspada.' Saya sentiasa menanamkan kepercayaan di dalam diri ini bahawa pujian daripada pelajar semasa yang sedang diajar adalah tidak wajar diambil serius kerana manusia sentiasa manis bicara, bijak membeli perasaan sesiapa jua demi 'kepentingan semasanya.' Janganlah kita tertipu !

10) Tetapi Kar Hoong berbeza, dia masih tidak lupa kepada saya dan dia masih yakin dengan saya. Respons beliau apabila saya berkata yang saya hanya mengajar beliau satu subjek sahaja dan ianya sudah berlalu 3 tahun lepas ialah "Saya percaya bahawa walaupun pensyarah itu mengajar kita selama 10 tahun tidak semestinya kita akan ingat pada dia. Kita juga akan lupa tentang apa yang pensyarah ajar kita selepas 10 tahun tapi kita akan ingat kata-kata nasihatnya yang bagus. Berapa lama masanya tidak penting, saya percaya yang kamu adalah pensyarah yang saya suka sebab saya dapat rasakannya dan ia adalah ketentuan."

11) Katanya lagi, "Apabila saya masuk MMU, saya tidak bagus, saya bukan pelajar yang memang sudah pandai, kamu beri saya motivasi, kamu naikkan semangat saya dan kamu selalu bercerita dengan saya. Kamu suka beri motivasi, sebab itu kamu adalah pensyarah pilihan saya sampai bila-bila."

12) "Kamu ingat lagi tak, sebelum saya tinggalkan Melaka 2 tahun lepas, saya kata pada kamu yang jika saya berjaya dapat ijazah kelas pertama, saya akan terus datang dan ketuk pintu pejabat kamu di Melaka dan cakap, Sir, saya dapat kelas pertama, saya nak berterima kasih dengan kamu."

13) "Sekarang CGPA saya masih kelas pertama tapi tidak berapa kuat. Saya kena lebih kuat belajar walaupun semua subjek tahun akhir amatlah susah, saya akan dapatkan kelas pertama juga supaya saya dapat buat apa yang saya janji 2 tahun lepas pada kamu."

14) "Sir, walau kamu tidak ajar saya lagi, saya tidak akan lupa pada cara kamu mengajar saya dan macam mana kamu beri saya motivasi, saya suka cara kamu dan saya bangga ada kamu sebagai pensyarah saya."

15) Ayat beliau yang paling akan saya ingati di dalam perbualan tersebut berbunyi, " Sir, terima kasih untuk segalanya, saya tidak pernah lupa pada Sir. Saya tidak pernah tinggalkan komen di blog Sir tetapi saya adalah pengikut setia blog kamu."

Buat Kar Hoong, saya bangga memiliki kamu sebagai pelajar saya ! Saya sentiasa berharap agar kamu berjaya mencapai cita-cita yang diidamkan, sukses di dalam kehidupan dan berbahagia selalu. Andai kamu menjadi hebat dan berpengaruh suatu hari nanti, itulah kebanggaan dan kepuasan saya sebagai seorang pendidik ! Pelajar saya semuanya BOLEH berjaya !

Nota: 2 keping gambar yang dilampirkan adalah diambil secara terus daripada koleksi peribadi Kar Hoong di laman web sosial www.friendster.com.

Neba2020: Binalah matlamat dan prinsip yang jujur lagi jelas di dalam apa jua yang dilakukan kerana takut kita mudah tergelincir dek gelora kehidupan mahupun dibelenggu tekanan mendalam andai jiwa selalu memberontak akibat daripada fizikal melakukan sesuatu tanpa keikhlasan sejati dan tiadanya kerelaan pemikiran.

Saturday, August 9, 2008

Anak Murid Pertama Berkonvokasi

Salam Buat Semua,

Pesanan ringkas (SMS) berikut saya terima pada jam 5.54 petang, 9 Ogos 2008 :

" Huhu, terima kasih. Sy tgh excited n nervous nk menanti bsok. Huhu. Sir, sy nk b'terima kasih gak kt sir selama mengajar sy dlu. Tanpa melalui kelas sir sy tkn cnvo besok."
" Wlpn kejap tp amat bermakna. X penah sy rapat ngn lect mcm mn sy rapat dgn sir n mdm Wahida kot. Kenangan tu la yg sy tkn lpe."

1) Begitu cepat masa berlalu, 'barisan pelajar-pelajar' yang saya anggap sebagai Kumpulan Pertama yang saya didik akan menaiki pentas konvokesyen pada pagi 10 Ogos 2008.

2) Saya mula melapor diri sebagai ahli akademik di Multimedia University (MMU) pada tanggal 18 Oktober 2004, berusia 22 tahun 10 hari ketika itu.

3) Saya mula menyampaikan syarahan (lecture) pada tarikh 20 Oktober 2004 melalui subjek 'Principles of Economics II' yang menjurus kepada pengajian ekonomi makro untuk pelajar-pelajar peringkat asasi / pra kursus Pengurusan di MMU. Tugasan pertama saya adalah untuk mendidik Kumpulan 49, 50, 51 dan 52 kemasukan sessi 2004/2005. Saya belum merasakan kepuasan yang maksimum ketika itu kerana saya hanya mengambil alih kelas-kelas tersebut daripada pensyarah asalnya di waktu minggu belajar hanya berbaki kira-kira 4 minggu sahaja (Trimester II 2004/2005).

4) Trimester 3 sessi 2004/2005 pula betul-betul dianggap sebagai detik permulaan saya sebagai pengajar di MMU kerana pertama kalinya berpeluang mendidik pelajar-pelajar secara penuh bermula daripada awal sehinggalah tamat trimester tersebut. Kumpulan 43, 44, 45, 46, 47 dan 48 kemasukan sessi 2004/2005 tentunya 'merasa' suka mahupun duka (terpulanglah kepada mereka untuk menafsirkannya) bergurukan ahli akademik muda yang masih mentah pengalamannya untuk subjek 'Introduction to Business and Management.' Sehingga ke hari ini saya masih teringatkan wajah-wajah 'gerun' atau mungkin 'kekosongan' mereka yang baru mencecah usia 18 tahun ketika itu apabila selalu sangat ditanya soalan-soalan yang berkaitan dengan pengetahuan am, isu-isu semasa dunia korporat juga perniagaan, juga kaitannya politik dan ekonomi negara. Puas terasa di hati ini tatkala melihat wajah-wajah 'penuh minat' dengan konsentrasi yang maksima diberikan mereka apabila saya mula membuka cerita-cerita berkaitan dengan keadaan semasa ekonomi juga dunia korporat Malaysia, juga kisah-kisah lampau yang memberi impak kepada keadaan negara.

5) Sepanjang trimester tersebut, saya berasa begitu seronok dengan tugasan yang digalas. Seingat saya, kelas-kelas terbabit sentiasa menceriakan kehidupan saya. Dengan jarak usia yang secara puratanya hanya berbeza 4 tahun, semestinya tidak menjadi masalah untuk saya memahami kehendak dan juga faktor-faktor yang mampu untuk menghadirkan minat mereka kepada subjek dibawah kendalian saya itu.

6) Walau sudah lama berlalu, sehingga ke hari ini saya masih mampu mengingati kebanyakan daripada nama-nama mereka. Chan Kai Hong, Farah Elina, Adeq, Zaihan si adik kesayangan , Acap, Hamdan SRC, Omar Hamdan , Nisa, Akmal, Kek Lay Chee, Steve si budak Sarawak, Valerie yang pernah membawakan roti untuk saya makan di dalam kelas, Diana, Asnadia, Balqis, Fakiha, Firdaus, Farah Fauzliyana yang kecoh selalu, Wewin yang selalu bergambar, Hizam, Kama, Maliha, Muna Syazana, Raihana, Simaah Naidu, Prema, Zaidah, Ayuni, Si gadis Cina 'Kah Kah' yang selalu jadi bahan usikan saya, Suzana yang pernah menelefon saya bertanya pasal ekonomi di Hari Raya ke tiga akhir tahun 2004, Munirah, Puteri, Fizry, Ain dan banyak lagi yang tidak mampu untuk saya coretkan di sini. Majoriti mereka akan berkonvokasi tahun ini, segelintir pula akan berkonvokasi tahun hadapan, bergantung kepada bidang pengajian yang diambil juga 'strategi' masing-masing untuk menyelesaikan pengajian.

7) Kepada semua, Mr Fendy anda ini ucapkan selamat maju jaya di dalam hidup kalian, moga dapat membawa kebahagian kepada keluarga dan sentiasa menjadi insan terbaik untuk negara tercinta ini ! Kita boleh, MMU Boleh, Kamulah PERMATA DUNIA !

Neba2020: Seram sejuk terasa seluruh badan tatkala menunggu waktu untuk memasuki kelas yang pertama selaku pengajar, tandas menjadi destinasi lawatan yang cukup istimewa ! Masa berlalu pantas, moga anak-anak didik pertama itu semuanya menjadi 'manusia yang berguna' dan 'manusia yang istimewa' selamanya ....

Friday, August 8, 2008

Tuduhan Liwat : Sejarah Yang Berulang

Salam Buat Semua,

1) Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada tanggal 2 September 1998 atas alasan kelakuan seksual beliau yang berlawanan dengan tertib seorang manusia normal. Seterusnya beliau didakwa di mahkamah, dipersalahkan lantas dipenjarakan. Beliau dibebaskan pada tahun 2004.

2) Setelah hampir sedekad berlalu, pada 7 Ogos 2008, Anwar sekali lagi dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan yang kelihatannya hampir sama. Jika dahulu watak si penuduh dipegang oleh seorang bekas pemandu yang bernama Azizan, kini ianya dimulakan oleh jejaka bekas pelajar Universiti Tenaga Nasional yang gagal menamatkan pengajian ijazahnya iaitu si Saiful Bukhari.

3) Jika dahulu, nama Hakim Augustine Paul cukup 'popular' seluruh Malaysia, kini Hakim S.M. Komathy Suppiah berpeluang untuk meraih publisiti besar-besaran sebagai sang pengendali kes berprofil tinggi ini.

4) Sedekad lalu, seorang pegawai Polis bernama Musa Hassan menjadi pengemudi siasatan kes terbabit, kini pegawai yang bernama Jude Parreira akan memainkan peranan penting tersebut.

5) Perjalanan prosiding kehakiman kali ini seperti dijangka pastinya akan menjadi perhatian seluruh dunia terutamanya di kalangan negara-negara barat yang kelihatannya agak 'pro-Anwar.'

Neba2020: Relevan kadang-kadang tidak relevan. Tidak relevan kadang-kadang relevan rupanya ....