Wednesday, July 23, 2008

Cerita Inflasi : Manipulasi ?

Salam Buat Semua,

1) Majoriti rakyat mengertikan inflasi secara mudahnya sebagai kenaikan harga barangan.

2) Rakyat akan dimaklumkan tentang paras inflasi semasa di negara ini daripada masa ke semasa, peratusan tertentu akan dikeluarkan pihak yang sepatutnya.

3) Pada 23 Julai 2008, Jabatan Statistik Malaysia mengumumkan bahawa kadar inflasi bagi bulan Jun 2008 berada pada paras 7.7 %, satu angka yang boleh dianggap tinggi bagi negara ini yang kebiasaannya pada era 1990-an dan awal millennium ke 21 hanya berlegar pada paras 2 % - 3 % sahaja.

4) Kadar inflasi dikira berdasarkan kepada perubahan peratusan Indeks Harga Pengguna (IHP) / 'Consumer Price Index (CPI)'. Kadar inflasi yang diumumkan itu merujuk kepada peningkatan IHP sebanyak 7.7 % berbanding dengan bulan Jun 2007.

5) Secara mudahnya, majoriti barangan dan perkhidmatan di Malaysia telah mengalami kenaikan harga sebanyak 7.7 % di dalam tempoh satu tahun (Jun 2007 - Jun 2008).

6) Berikut adalah 12 komponen barangan dan perkhidmatan serta peratusan pemberat yang digunakan dalam mengira IHP / CPI tersebut:

Makanan dan Minuman Bukan Alkohol - 31.4 %
• Minuman Alkohol dan Tembakau - 1.9 %
• Pakaian dan Kasut - 3.1 %
Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain - 21.4 %
• Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah - 4.3 %
• Kesihatan - 1.4 %
Pengangkutan -15.9 %
• Komunikasi - 5.1 %
• Perkhidmatan Rekreasi dan Kebudayaan -4.6 %
• Pendidikan - 1.9 %
• Restoran dan Hotel -3 %
• Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan - 6 %
* JUMLAH BESAR - 100 %

7) Inflasi akan dikira berdasarkan kepada peratusan perubahan harga-harga barangan secara purata yang didasarkan kepada satu 'bakul barangan' yang ditetapkan, dipercayai sentiasa digunakan pada kuantiti yang tetap oleh rakyat negara ini. Kandungan barangan mahupun perkhidmatan yang 'diletakkan' di dalam bakul tersebut adalah berdasarkan kepada 12 komponen yang dinyatakan di atas.

Persoalan Yang Elok Untuk Difikirkan:

1) Adakah secara mudah, rakyat merasakan bahawa dalam masa setahun ini, secara purata perbelanjaan harian masing-masing hanya meningkat sebanyak 7.7 % ?

2) Gabungan 3 komponen utama yang merangkumi barangan makanan, tenaga, bahan api serta pengangkutan sahaja telah hampir mencecah 70% daripada pemberat bagi mengira indeks kenaikan harga barangan / perkhidmatan, adakah dalam masa setahun ini rakyat secara purata hanya perlu menambah bajet perbelanjaan sebanyak 7.7 % sewaktu hendak membeli keperluan asasi seperti beras, daging, roti, ikan, minyak, sayur-sayuran serta telur dan juga keperluan wajib yang merangkumi elektrik, gas, petrol dan air ?

3) Kenaikan secara purata sebanyak 7.7 % untuk kos perbelanjaan keseluruhan isi rumah sebenarnya tidak akan merungsingkan sesiapa jua kerana jika dilihat daripada corak kenaikan gaji majoriti golongan pekerja sama ada di sektor kerajaan mahupun swasta sepanjang tempoh satu tahun terakhir ini, ianya berada pada tahap 10 % - 15 % secara puratanya. Maka, andai benar inflasi hanya berada di takat 7.7 %, rakyat tidak akan terasa 'perit mahupun sengsara' sedikitpun. Masalahnya, 'situasi sebenar' purata kenaikan harga barangan dalam masa setahun ini adalah dipercayai menjangkau 30% secara keseluruhannya (Mungkin lebih andai kenaikan berulang kali dalam masa setahun diambil kira !). Apabila kenaikan purata harga barangan melebihi daripada kadar kenaikan gaji, maka ia melahirkan rasa 'perit' yang tidak terkira untuk sesiapa jua yang bergelar pengguna / pembeli.

4) Apakah jenis barangan sebenar yang dimasukkan di dalam 'bakul barangan' yang digunakan pihak berwajib untuk tujuan mengira Indeks Harga Pengguna / 'Consumer Price Index' itu ? Seterusnya, adakah kualiti barangan yang disenaraikan itu termasuk di dalam kategori yang diguna-pakai oleh majoriti masyarakat ?

5) Selain daripada perbezaan dalam masa setahun, tidakkah lebih rasional jika kadar inflasi juga ditunjukkan dalam julat masa yang berbeza, contohnya inflasi dalam masa 5 tahun dan 10 tahun ? Sudah pasti angka yang lebih menakutkan akan terkeluar !

Neba2020: Kadang-kadang mengetahui sesuatu dengan lebih mendalam membuatkan kita menjadi lebih 'takut dan serun' dengan keadaan semasa. Apakah yang diberitahu itu tepat, adakah yang difahami itu lebih betul dan mungkinkah 'tangan-tangan belakang' selalu memainkan peranan untuk menjaga reputasi individu-individu tertentu ? Mungkin ya, mungkin tidak !

2 comments:

squall-shinoda said...

Pada tahun 1990-an semasa zaman Tun Dr. M, kempen Inflasi Sifar Sasaran Kita dilancarkan. Pada masa itu, walaupun inflasi serendah 1 atau 2% sahaja pun kerajaan masih tetap mahu memeranginya sehingga menjadi 0%.

Tapi sekarang semasa di bawah Pak Lah, inflasi yang mencanak-canak tinggi pun masih dikatakan rendah, kononnya inflasi Malaysia masih rendah walaupun secara purata sekarang pun dah macam zaman gawat 1997. Apakah Pak Lah sedang membawa Malaysia ke arah zaman duit pokok pisang akibat hiperinflasi semasa penjajahan Jepun dulu...?

Anonymous said...

Selagi negara tidak mencetak Ringgit secara besar-besaran, matawang kita akan tetap kukuh walaupun inflasi tinggi.

Yang patut kita geruni adalah bagaimana bergantung kuatnya matawang kita kepada US Dollar.