Friday, July 25, 2008

Belajarlah Bukan Untuk Menjadi Robot ....

Salam Buat Semua,

Selaku pendidik yang berada di pertengahan usia 20-an dan memiliki anak-anak murid yang hadir daripada generasi yang sama (Generasi-Y, kelahiran tahun 1977 - 1994), kerap saya ditanya soalan tentang kaedah-kaedah yang digunakan untuk belajar sewaktu bergelar pelajar di universiti dahulu. Ramai yang ingin tahu tentang 'tips-tips belajar' yang berkesan juga caranya untuk menjadi rajin dan bersemangat selalu dalam mengejar ilmu pengetahuan.

Adalah sukar untuk saya menjawab soalan-soalan sebegitu kerana sepanjang bergelar pelajar di universiti, tiada sebarang rahsia istimewa mahupun petua-petua tertentu yang diamalkan sehingga mencecah tahap yakin bahawa ia adalah sesuatu yang berkesan lagi mujarab untuk meraih 'kejayaan.'

Demi memenuhi permintaan daripada para 'penyokong setia' di kalangan pelajar-pelajar yang tidak pernah bosan untuk bertanyakan pengalaman saya sepanjang 4 tahun bergelar pelajar di Multimedia University (MMU) ini, maka saya terasa terpanggil untuk cuba-cuba 'mengimbas' kembali apa yang saya lakukan di antara tahun 2000 dan 2004 yang lepas.

1) Saya tidak pernah percaya kepada konsep belajar di tahap 'gila.' Saya amat 'geli' jika mendengar ada rakan-rakan yang amat selalu menolak ajakan untuk bersosial seketika (menonton wayang, menonton CD, 'window shopping', 'lepak-lepak di kedai makan' dan sebagainya) dengan alasan 'aku hendak belajar' dan juga 'aku banyak kerja nak disiapkan.'

2) Belajar bagi saya adalah satu tugas biasa yang perlu dilakukan dengan berdisiplin dan normal. Pelajar tidak perlu menjadi manusia yang tidak normal dalam mengejar sekeping ijazah.

3) Disiplin dalam belajar bererti kita perlu memiliki sistem belajar yang konsisten dan stabil. Tidak mengira sama ada kita berada di awal, pertengahan mahupun penamat semester, proses pembelajaran perlu sentiasa dilakukan secara berterusan.

4) Konsisten dalam belajar akan memastikan momentum semangat dan minat terhadap subjek dan bidang yang difokuskan akan sentiasa segar dan maksimum selalu.

5) Saya akan memastikan bahawa tiada satu malam / hari yang dijadikan hari 'bebas daripada membaca buku' walaupun berada di awal semester. Saya tidak percaya kepada konsep belajar untuk tempoh masa yang terlalu lama, kerana biarlah kita hanya membaca kurang daripada 2 jam dalam sehari tetapi ianya dibuat secara konsisten tanpa paksaan.

6) Agak lucu untuk saya nyatakan di sini bahawa sepanjang berada di universiti, saya lebih suka melakukan proses pembelajaran secara bersendirian di atas katil sendiri. Saya berasa cukup selesa membaca buku sambil berbaring berseorangan tanpa gangguan sesiapa.

7) Saya adalah seorang yang tidak percaya kepada konsep belajar di perpustakaan kerana bagi saya, perpustakaan bukan satu tempat yang mampu memaksimumkan konsentrasi ketika membaca. Lebih buruk jika perpustakaan menjadi tempat berborak-borak di kalangan pelajar dan juga tempat 'model-model' berjalan ke sana dan ke mari tanpa haluan.

8) Setiap kali saya membaca, saya akan menjadi 'guru' kepada diri sendiri. Saya akan 'mengajar' diri sendiri, sudah pastilah saya akan bercakap berseorangan dengan penuh semangatnya. Mungkin kerana darah di dalam badan ini sejak dahulu lagi sudah 'berkobar-kobar' hendak menjadi sang pensyarah agaknya ! Secara peribadi saya merasakan bahawa teknik 'bercakap mengajar diri sendiri' ini adalah amat berkesan kerana kita cuba menguasai sesuatu ilmu dengan menggunakan kuasa mata (melihat dan membaca), kuasa telinga (mendengar), kuasa aplikasi / kinetik (tangan akan melakarkan apa yang difahami daripada apa yang dibaca) dan juga kuasa minda (otak akan cuba mangolah apa yang dilihat, dibaca, didengar dan ditulis untuk mewujudkan kefahaman serta aplikasi sebenar apa yang dipelajari).

9) Mengajar rakan-rakan lain juga telah menjadi kebiasaan bagi saya. Adalah sesuatu yang normal untuk saya membuka 'kelas khas' buat kawan-kawan yang memerlukannya. Saya tidak pernah merasa mereka membebankan saya mahupun merasa mereka akan jadi lebih pandai daripada saya kerana semakin saya selalu mengajar, semakin melekat segala ilmu yang saya kongsikan itu di dalam pemikiran ini.

10) Kebiasaannya, rakan-rakan akan membuat 'appointment' khas tentang topik tertentu yang mereka ingin 'Cikgu Fendy' terangkan. Saya akan membuat persedian terlebih dahulu sebelum mereka datang ke rumah saya kerana saya tidak mahu mengecewakan kawan-kawan. Saya mahu mereka 100% faham dan puas hati dengan apa yang saya ajarkan. Bibit-bibit wajah senyum mereka yang memahami apa yang saya ajarkan di akhir sessi 'kelas khas' itu merupakan satu kepuasan maksimum bagi seorang guru tidak bertauliah ketika itu.

Tiba-tiba saya teringat, hari ini (25 Julai 2008) tepat sudah 4 tahun saya berkonvokesyen di Dewan Seri Negeri, Melaka untuk menerima Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pengkhususan Perbankan dan Kewangan daripada Canselor kesayangan MMU iaitu Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Saya masih ingat lagi ketika bersalam dengan Tun Siti, inilah ayat-ayat yang saya ucapkan kepada beliau:

" I Love You and Dr. M So Much ! "

Neba2020: Belajarlah untuk menjadi manusia, bukan belajar untuk menjadi robot. Belajarlah untuk mencari kedamaian di dalam kehidupan, bukan belajar untuk mencipta huru-hara di dalam kehidupan ....

4 comments:

Anonymous said...

Thank you, sir! :-)

Anonymous said...

Terima kasih kepada penulislah saya berjaya lepasi subjek statistik. Penerangan beliau amat lain daripada yang lain kerana berjaya membuat saya mudah faham selok belok subjek tersebut.

MMU perlu lagi pensyarah yang berkaliber seperti penulis ini, bukan yang mengajar sekadar melepaskan batuk di tangga.

Anonymous said...

mr Fendy rocks!!!!!

Anonymous said...

Betulah fandi..
aku pun cam tu..
aku study cam biasa jer..
nak kata rajin tak gak..
aku akan rewrite balik note aku sampai org lain pun tak faham shortform aku.. huhuhu..
kekadang member aku pelik sebab kekadang tak cukup masa aku tak habis study tapi still dapat result yg baik..
sebab aku fahamkan apa yg aku study n study format soalan..