Ketika berborak dengan seorang 'sifu' kira-kira jam 3 petang, 30 Julai 2008, beliau mengeluarkan kata-kata, 'Dia memang sejak di universiti lagi mahu jadi orang kaya.' 'Sifu' itu adalah pensyarah yang pernah mendidik saya di alam ijazah pertama dahulu, seorang yang banyak berkongsi pengalaman hidupnya dengan si Fendi budak Segamat ini. 'Dia' itu pula adalah seorang insan yang kehidupannya kini memang kelihatan mewah dengan dikurniakan sang suami yang bolehlah ditafsirkan berjaya sehingga mampu membina sebuah mahligai bernilai jutaan Ringgit buat keselesaan keluarganya.
Saya terfikir, 'Dia' yang dimaksudkan itu telah meletakkan satu sasaran kehidupan yang cukup jelas, 'mahu jadi orang kaya,' bererti 'dia' mempunyai fokus yang nyata tentang bagaimana hidupnya hendak dilayarkan. Fokus 'dia' ialah apa jua yang dibuat mestilah menuju ke satu paksi untuk menjadi individu yang mewah dan berharta.
Sasaran kehidupan saya definisikan sebagai matlamat utama yang hendak kita capai di dalam perjalanan kehidupan di dunia ini. Sudah pastilah akan ada yang berkata sasaran utama ialah untuk menjadi makhluk Tuhan yang disayangiNYA juga dirahmatiNYA.
Secara peribadi, saya tidak merasakan itu layak untuk kita jadikan sasaran kerana itu adalah sesuatu yang WAJIB dan PERLU ditanamkan secara hakiki di dalam pemikiran kita. Apabila ianya adalah sesuatu yang WAJIB, maka kita tidak perlu mensasarkannya kerana kita WAJIB mencapainya dengan seikhlas mungkin kerana kita adalah makhluk Tuhan, diciptaNYA untuk menyembahNYA dan memakmurkan bumiNYA ini sebaik mungkin. Kepada Tuhan kita berserah, kepada Tuhan kita meminta pertolongan dan kepada Tuhan kita beramal sesempurna adanya !
Ringkasnya:
1) Sasaran kehidupan tidak perlulah terlalu kompleks sehingga sukar untuk kita ingati juga payah untuk dirancang hala dan tujuannya.
2) Sasaran kehidupan wajar dimudahkan dengan satu pernyataan ringkas yang mudah meresap ke dalam jiwa sekaligus sentiasa terbayang-bayang di benak pemikiran.
3) Sasaran kehidupan perlulah logik dan PASTI boleh dicapai andai strategi yang betul dilaksanakan dalam menggapainya.
4) Sasaran kehidupan yang sempurna adalah sesuatu yang 'direka' dengan mengambil-kira faktor-faktor sekeliling yang lain seperti kaitannya dengan agama, sumbangannya kepada keluarga juga kesannya kepada masa depan individu tersebut.
5) Sasaran kehidupan haruslah sesuatu yang praktikal, berpijak di bumi yang nyata, sesuai dengan kemampuan diri dan mempunyai fleksibiliti dalam proses mencapainya. Kita tidak perlu menjadi 'robot' dalam menuju ke 'puncak' yang disasarkan itu !
Akhir kata, pilihlah SATU sasaran kehidupan yang ingin kita capai, bukan dua atau tiga ! Sasaran kehidupan adalah MISI UTAMA yang ingin kita realisasikan dalam hidup ini. Sasaran kehidupan yang sempurna akan 'membiakkan' misi-misi berantai yang lain, ke arah menjadi insan yang sentiasa berjaya, penuh dengan kegembiraan, tenang jiwa serta pemikiran dan bahagia selalu melayari kehidupan di dunia ini.
Apa sasaran kehidupan anda ? 'Tepuk dada bukalah minda ...'
Neba2020: Sasaran kehidupan diri ini terkandung di dalam motto rasmi yang wujud sejak di awal alam persekolahan menengah dahulu, 'melayari impian bernas.' Saya ingin menjadi orang yang bahagia selalu, tenang jiwa serta disayangi masyarakat dan mampu mencipta kejayaan peribadi buat kebahagiaan keluarga tercinta. Moga Tuhan memberi kita semua petunjuk ke arah 'menemui' sasaran kehidupan yang berpadanan dengan keupayaan dan minat masing-masing, juga ditunjukNYA cara untuk kita mencapai segala yang disasarkan itu ...
1 comment:
sir udah baca the secret? goal apa saja yang kita mau pasti bisa kita dapatkan karena law of attraction.
icca
Post a Comment