Tepat detik 15 Julai 2008, saya mengirimkan satu pesanan ringkas (sms) kepada Encik (ayah), sengaja saya tunggu waktu tepat 12 tengah malam untuk melancarkan sms tersebut kepadanya. Bait-bait sms yang saya dedikasikan khas buat Encik berbunyi:
" 15 Julai, di doa semoga sehat sentiasa, tenang kehidupan daripada Allah Taala ... Dr. Mahathir 10 Julai, 1925, sama bintang dengan dia "
9 minit kemudian, Encik membalas sms tersebut dengan kata-kata:
" Tima kasih .... Tiade lagi nikmat bagi encik dpt menandingi ucapan Andi "
Bersyukur saya kepada Tuhan kerana masih mampu mengingat tarikh ulang tahun kelahiran Encik tersayang. Syukur juga saya kerana Tuhan masih mengurniakan kesihatan yang cukup baik kepada beliau. Sudah 59 tahun usianya, tetap segak persis zaman 'abang askarnya' di era 1970-an dahulu ....
Sebelum tidur sempat saya melakukan solat khas sebagai hadiah utama kepada Encik, mendoakan kesejahteraan hidupnya bersama-sama dengan Emak. Kesyukuran saya kepada Tuhan kerana mengurniakan Encik sebagai ayah kepada diri ini adalah tidak terkira dek bilangan jari-jemari. Sepanjang malam juga saya berasa segar dan bersemangat, teruja dengan tarikh keramat 15 Julai yang secara tanpa diundang telah mendatangkan semula memori-memori silam perjalanan hidup saya bersama-sama anak Bugis Johor sejati bernama Ahmad Bin Md. Yusoff itu.
1) Encik tidak pernah lupa mencium saya setiap hari tidak kira pagi, siang mahupun malam. Terasa diri ini cukup dekat lagi rapat dengannya. Ciuman seorang bapa itu membuatkan diri ini sentiasa merasa selamat dan bahagia.
2) Saat-saat Encik membawa saya 'meronda' kampung mahupun bandar Segamat dengan motor Vespanya (jenama skuter era 1970-an dan 1980-an yang cukup popular) semestinya kenangan terindah yang bisa membuatkan saya tersenyum keseorangan pabila mengenangnya. Saya akan membonceng si Vespa dengan duduk dihadapan, riang sungguh kerana dibawa 'makan angin' di petang hari seolah dunia terasa penuh kenikmatan juga keriangan.
3) Pilu sungguh mengenang Encik menghalau saya dari rumah dan mengunci pintu utama apabila diperhatinya saya membuat muka masam sewaktu Tok Pah (arwah) menyuruh saya memicit-micit badannya walhal ketika itu saya ingin menyiapkan tugasan sekolah. Encik menyuruh saya tidur di luar rumah, akhirnya Tok Pah berjaya 'memasukkan' saya ke dalam rumah semula selepas marah Encik beransur reda. Moralnya, Encik memang pantang saya berkelakuan kurang ajar terhadap emaknya. Bagi Encik, insan bernama ibu itu wajib dihargai sepanjang masa.
4) Setiap musim akhir peperiksaan adalah satu musim yang cukup menggerunkan saya. Encik hanya boleh menerima kedudukan nombor peperiksaan antara posisi 1 dan 5 sahaja. Andai tergelincir sedikit pasti saya akan dihadiahkan sebatan tali pinggang kulitnya. Saya akan diarahkan membuka baju dan dengan perwatakan 'harimau Bugisnya,' saya akan 'dibelasah' secukupnya. Terasa ngilu dan perit sungguh rasanya, satu badan akan kemerahan dan air mata sudah semestinya tidak terkira berjuraian. Moralnya, Encik ingin saya menjadi pelajar yang bijak, tidak semestinya yang terbaik di dalam kelas. Posisi 5 terbaik sahaja yang diinginkannya, andai dapat jadi yang terhebat itu adalah bonus !
5) 'Sayang emak lebih daripada segalanya...' Inilah kata-kata Encik yang cukup selalu dititipkannya kepada si bongsu ini. Encik pernah berkata, 'Andi kena jaga Emak sampai bila-bila, anak laki-laki kena jaga Emak, lebih daripada isteri sendiri.' Saya sudah menanamkan di dalam diri ini bahawa sesiapa juga yang menjadi isteri saya kelak wajib menerima keadaan di mana Emak saya adalah keutamaan dan barang siapa yang cuba menghalang saya daripada mengutamakan Emak, padah akan diterima ! Itulah janji saya di dalam sanubari ini sebagai bukti kepercayaan saya kepada kata-kata Encik itu.
6) Tok Pah meninggal dunia di hadapan saya, Encik, Emak dan abang di satu senja Jumaat bulan Mac 1999. Sepanjang satu tahun terakhir riwayatnya, Tok Pah tidak mampu berjalan, serba serbi tidak mampu dilakukannya setelah terjatuh sewaktu mengambil air sembahyang sebelum menunaikan solat Suboh di satu pagi di bulan Mei 1998. Pemikirannya juga kadang-kala tidak stabil dan bercampur aduk dengan peristiwa yang berlaku berpuluh tahun sebelumnya. Saya dapat menyaksikan sendiri betapa Encik menunaikan apa yang diucapkannya kepada saya, 'Anak lelaki kena jaga Emak !'
7) Encik akan mengangkat sendiri Tok Pah untuk dimandikan, seluruh badan Tok Pah akan dibasuhnya dengan cukup tertib tanpa wajah terpaksa mahupun terseksa. Selalu saya melihat Encik berborak-borak dengan Tok Pah sewaktu mereka di dalam tandas, kerap juga mereka bergurau senda dengan riangnya. Selepas memandikan Tok Pah, kami akan memakaikan lampin dewasa ke tubuh Tok Pah bersama-sama. Tugas membedak dan menyikatkan rambut Tok Pah adalah tugas wajib saya. Pilu saya apabila melihat Encik tanpa rasa geli, membasuhkan segala kotoran najis Tok Pah, juga segala pakaian yang telah kotor. Encik tidak mahu membebankan Emak saya dengan segala kotoran ibunya sendiri. Emak pula setia dengan tugas memasakkan makanan yang sewajarnya buat Tok Pah. Dapat saya perhatikan betapa sabarnya Encik menyuapkan makanan ke mulut Tok Pah walaupun kerap sangat Tok Pah mengambil masa yang cukup panjang untuk menghadamkannya. Saya tidak pernah melihat Emak saya melahirkan rasa tidak puas hatinya sepanjang keluarga kecil kami (Encik, Emak, abang dan saya) menjalankan amanah Tuhan yang satu itu. Emak berjaya menjadi seorang isteri yang sentiasa memahami juga tinggi sabarnya.
8) Saya akan menangis pilu pada setiap kali Encik terkenangkan Tok Pah. Walau saya sendiri melihat betapa Encik telah melakukan sesuatu yang HEBAT dan BERAT untuk digalas sewaktu musim-musim cubaan daripada Tuhan itu tetapi dia tetap selalu mengatakan kepada saya bahawa 'Encik banyak dosa kat Atuk Pah, Encik tak dapat jaga dia baik-baik...' Ya Tuhanku, moga Kau berikan aku jiwa kasihkan ibu yang telah kau anugerahkan Encikku itu !
9) Encik adalah bapa yang agak sukar untuk digambarkan perilakunya secara ringkas. Saya tidak boleh mengkategorikan dia secara total sebagai seorang ayah yang garang juga bengis. Juga tidak sesuai untuk saya tafsirkan dia sebagai seorang ayah yang terlalu demokratik, lemah lembut dan berpemikiran bebas selalu. Saya tidak mampu untuk menafsirkan dia sebagai seorang ayah yang berperwatakan autokratik , 'rigid' mahupun berpendirian sehala sentiasa.
10) Kesimpulannya, Encik adalah seorang ayah yang cukup fleksibel dalam mendidik saya menjadi seorang manusia. Encik tidak pernah menetapkan apa yang perlu saya jadi, apa yang perlu saya pakai, apa yang perlu saya belajar, apa yang perlu saya makan, siapa yang perlu saya jadikan kawan, tempat mana yang perlu saya pergi dan apa yang perlu saya tonton mahupun dengari. Encik rupa-rupanya telah membina jati diri dan pegangan hidup diri ini secara halus dan berhemah, bukannya secara 'memberi arahan, menetap haluan' semata-mata.
Ya Allah, walau kau tidak lahirkan aku dengan berayahkan seorang Menteri, Professor, CEO, Pengarah Jabatan mahupun Doktor tetapi kau berikan aku seorang Encik yang cukup menghiburkan, amat kuat patriotiknya, sungguh menghargai budaya dan adat berzaman, kuat sentimen bangga kepada keturunan dan bangsa, berpemikiran terbuka dan yang terpenting tidak pernah tiada masa untuk sentiasa bersama-sama Andi-nya ini ! Syukur dan syukur selamanya ....
Neba2020: Ya Tuhanku, aku berdoa dan memohon rahmatmu agar kau panjangkan usia Encik dan Emak, ampunkan dosa-dosa mereka, kurniakan cahaya keimanan, sembuhkan segala penyakit, anugerahkan tubuh badan yang sehat selalu, murahkan rezeki mereka, permudahkan kehidupan, dijauhkan daripada bala bencana juga maksiat, disukai orang ramai serta bahagia berpanjangan di dunia juga di akhirat kelak. Amin ....
4 comments:
Wassalam,
Jasa ayah dan ibu, memang sentiasa perlu ingati. Suatu hari nanti, tempat mereka diganti kita. Jika kita berbuat baik pada keduanya denagn seikhlas hati, nescaya begitu jugalah anak kita nanti.
Tanpa mereka, siapalah kita. Ramai juga yang lupa daratan terutama apabila sudah berkedudukan lebih besar daripada mak ayah. Sekurang-kurangnya, bertanyakan khabar melalui telefon boleh mengeratkan hubungan. Bukannya tunggu setahun sekali di musim perayaan. Zaman sudah semakin canggih. Mahu atau tidak shj yang menjadi persoalan.
Mana mungkin berjogging , menonton wayang, chatting, bermain permainan komputer, lepak dengan kawan, menaip assignment dan sebagainya ada masa. Tetapi, mengambil tahu sedikit perkembangan orang tua di kampung, ahhh.. katanya sibuk.. enggak ada masa dong. Waduh-waduh....
Mungkin sebagai anak, kita tidak punyai wang yang banyak untuk dicurahkan kepada mereka. Bukanlah itu yang dipinta mereka. Sekurang-kurangnya, mendoakan kesejahteraan mereka sentiasa dititipkan dibibir anak-anak selepas setiap solat ?
Kadang-kala, perbuatan semudah itu pun kita tidak mampu lakukan, apatah lagi yang lain.. aduhai....
Allah itu Maha Adil. Begitulah sebaliknya.
happy bdaY buat "encik" abg fendy
salam encik,
tumpang lalu yer.. lama x berjumpa, bila nk g tngk wayang skali ni?? mkn pn asyik x jumpa jer.. jom mkn kt umah sy, malim ikan bakar.. nnt call k.. nyway sy dh aktifkn semula blog sy yg dh lama bersawang tu hehe.. nurulaizam.blogspot.com
bye, salam...
Sy percaya pada kekuatan "parenting".
Parents akan mempengaruhi kehidupan anak. Tidak kiralah sama ada daripada segi kecemerlangan yg dipengaruhi oleh trait DNA mahupun disebabkn oleh pendekatan yg digunakan oleh dalam membesarkan anak-anak.
Parents seperti manufacturer dan anak-anak seperti produk.
Sy percaya, "Encik" telah berjaya menghasilkan satu produk yg bukan sahaja berjaya, tapi boleh dibanggakan. Alhamdulillah.
Semoga "Encik" panjang umur dan sihat-sihat selalu ;)
Post a Comment