Tuesday, July 29, 2008

Imbasan Faktor Berangkai - Kita Semakin Miskin ?

Salam Buat Semua,

Di awal 2008, 'perjalanan' weblog ini bermula dengan coretan bertajuk Faktor 4 Berangkai -Lebih Kaya Atau Lebih Miskin ? yang diyakini akan cukup memberi impak besar kepada kehidupan seluruh rakyat Malaysia di sepanjang tahun 'Olimpik Beijing' ini.

Menjelang Ogos, kelihatannya semua prediksi InspiRasi 1982 ~~ telah menjadi kenyataan dan ianya tanpa disedari telah menjawab persoalan 'Lebih Kaya Atau Lebih Miskin' itu.

FAKTOR BERANTAI 1 - Harga Minyak Kekal Tinggi

1) Permulaan Januari 2008, harga minyak mentah dunia berada di paras US$100 per tong.

2) Sekitar Julai 2008, harganya telah berlegar di paras US$140 per tong. Kenaikan 40% dalam masa kurang setahun !

FAKTOR BERANTAI 2 - Inflasi Akan Berkembang Dengan Jayanya

1) Berikutan kenaikan harga petrol dan diesel melebihi 40% yang diumumkan sekitar Jun 2008, kadar inflasi di Malaysia mencecah kenaikan 7.7% pada Julai 2008 berbanding dengan Julai 2007.

2) Kadar inflasi (ramalan InspiRasi 1982~~) dijangka mampu mencecah 8% / 9% pada akhir 2008 seandainya faktor tarif elektrik serta tambang pengangkutan awam yang masing-masing mula mengalami kenaikan pada Julai dan Ogos diambil kira.

FAKTOR BERANTAI 3 - Ringgit Malaysia (RM) Semakin Kuat

1) Kadar pertukaran Ringgit Malaysia kepada Dollar Amerika masih berlegar di dalam julat RM3.23 - RM3.26 untuk setiap Dollar.

2) Walaupun kelihatannya Ringgit Malaysia berbanding Dollar Amerika semakin mengukuh sejak awal 2007 sehinggalah ke tahun 2008, ianya lebih menjurus kepada kelemahan Amerika sendiri yang menyaksikan ekonomi serta sistem kewangannya mengalami 'gerhana' sehingga membawa kepada kelemahan Dollar itu sendiri. Akibatnya, Ringgit Malaysia 'kelihatan' kuat. Kenaikan Ringgit Malaysia adalah tidak berkaitan langsung dengan kenaikan eksport negara.

FAKTOR BERANTAI 4 - Kadar Faedah Dijangka Naik

1) Sehingga penghujung Julai 2008, Bank Negara Malaysia (BNM) masih 'yakin' betapa kadar faedah di Malaysia wajar dikekalkan dan jentera ekonomi negara masih mampu mengekang kenaikan inflasi tanpa memerlukan pergerakan kadar faedah yang 'menyeksa' pengguna.

2) Bank pusat itu yakin betapa kekuatan ekonomi Malaysia masih boleh disandarkan kepada permintaan domestik yang masih tinggi terhadap produk dan juga perkhidmatan. BNM seolah beranalogi bahawa kadar inflasi yang tinggi tidak akan memberikan impak terlalu negatif kepada ekonomi negara selagi rakyat masih mampu merancakkan perbelanjaan seharian mereka.

3) Walaupun kadar asas faedah masih terus kekal, sesetengah bank tempatan telah mula menaikkan kadar faedah bagi pinjaman sewa beli kenderaan.

4) Kadar faedah yang dikenakan bank bagi pembelian kenderaan impot tanpa disedari telah naik ke tahap 2.7% - 2.8% berbanding 2.3% - 2.4% sebelum ini.

5) Kadar faedah bagi pembelian kenderaan tempatan (Proton dan Perodua) yang sebelum ini berada di paras 3.5% turut mengalami kenaikan. EON Bank sebagai contoh mengumumkan di akhir Julai 2008 bahawa kadar faedah pinjaman dinaikkan ke paras 3.9%. Kurang sebulan sebelum itu, ianya telah dinaikkan ke paras 3.7%.

6) Seandainya bank-bank mengambil pendekatan menaikkan kadar faedah pinjaman sebagai usaha mereka untuk 'mengekang' inflasi (atau mungkin untuk megurangkan beban kenaikan kos operasi?), adakah bayangan BNM bahawa ekonomi Malaysia akan terus stabil dengan permintaan domestik yang rancak mampu berterusan berlaku?

7) Ditambah dengan kenaikan kos hidup yang semakin rancak berlaku akibat daripada kenaikan harga petrol, diesel dan elektrik maka sudah pasti para pengguna akan lebih 'berwaspada' untuk membeli asset-asset baru seperti kenderaan dan rumah. Tindakan bijak bank-bank menaikkan kadar faedah semestinya akan 'merencatkan' jangkaan BNM itu ! Ringkasnya, pergerakan ekonomi domestik akan menjunam jatuh ! Dengan permintaan global yang semakin melemah akibat daripada ketidaktentuan di Amerika Syarikat, maka sesuatu yang 'ajaib' perlu dilakukan untuk merancakkan perjalanan ekonomi Malaysia secara keseluruhannya.

Neba2020: Teringat pula di zaman 1997-1998 apabila seorang Menteri Kewangan yang 'terbijak' pernah dilahirkan di bumi Malaysia ini menyokong tindakan menaikkan kadar faedah untuk mengatasi masalah kewangan dan ekonomi ketika itu. Preskripsi sokongan 'orang-orang luar' diikutnya. Akibatnya, sektor perumahan dan automobil negara semakin kronik dan berpenyakit jadinya. Keadaan beransur pulih apabila Tuan Perdana Menteri ketika itu mengambil alih 'kekuasaan' polisi kewangan negara dengan caranya yang 'kelihatan gila' oleh orang-orang barat tetapi berkesan merancakkan semula ekonomi domestik. Syabas buat Tuan Perdana Menteri ketika itu ! Siapakah Menteri Kewangan yang bijak itu ? Dialah manusia yang memang selamanya bijak berkata-kata tetapi bila menghadapi masalah, otaknya hanya mampu memburukkan lagi keadaan negara ketika itu. 'Sokonglah' dia !

3 comments:

Anonymous said...

sy cadangkan supaya saudara bersifat neutral kerana kebencian saudara terhadap DSAI dilihat semakin parah dari hari ke hari.

Anonymous said...

haha.. kutuk pemimpin saya nampak.. :D takpe, kita demokrasi, bebas melontar buah pikiran msg2, tapi sy rasa abg perlu dgr penerangan dr pihak sana juga. X adil bila jump to conclusion tanpa usul periksa dan pertimbangan yg adil :)


hehe.. tu buah pikiran sy, kan kita bebas bersuara :D

p/s: kita boleh berbeza beza pendapat, tapi ia tidak harus menjadi pemutus silaturrahim :D

fendy_ahmad said...

Salam,

Pihak di sana tanpa disedari sudah lama membenci apa apa jua yang beridentitikan BN / UMNO, jadi adalah tidaks alah untuk saya sedikit kritikal terhadap Anwar Ibrahim, hak masing-masing ...

Andai ada yang rasa saya membenci Anwar Ibrahim, maka boleh selidiklah semua penulisan saya sebelum ini, ianya mempunyai sebab dan fakta tertentu yang saya percayai kebenarannya.

Apapon, saya mempunyai tanggung jawab sosial juga untuk menstabilkan 'gerak gempur' Anwar yang sentiasa mengutuk kerajaan terutamanya UMNO seolah UMNO itu 100% buruk dan langsung tiada membawa kebaikan kepada agama, bangsa dan negara.

Anwar juga manusia !