Monday, June 23, 2008

Emak Adalah Anugerah Tuhan Yang Terbesar Buat Saya ...

Salam Buat Semua,


Wajah yang ditampilkan ini adalah satu wajah yang amat saya sayangi. Wajah yang tidak pernah membuatkan diri ini bosan untuk menatapnya, wajah kesayanganku selamanya.

Tatkala coretan ini dilakarkan, air mata secara tidak diundang mengalir membasahi pipi mengenangkan betapa besarnya pengorbanan dan jasa wanita seorang ini kepada diri ini. Mungkin juga saya sudah mula merinduinya kerana sudah hampir mencecah 9 malam kami tidak bersua. Mungkin ramai yang akan tersenyum sinis atau mungkin ketawa kecil kerana seorang jejaka yang berusia 25 tahun 8 bulan 15 hari masih bersikap umpama budak kecil yang belum mencapai usia kematangan. Baru 9 hari tidak berjumpa sudah boleh sedih dan terkenang-kenang, bukannya 9 bulan ?

Wanita yang bakal mencecah usia 56 tahun di hujung tahun 2008 ini bukanlah seorang yang bernasib baik di dalam kehidupan awalnya. Dilahirkan sebagai anak kampung di Batu Pahat, Johor sebelum era wujudnya Malaysia yang bebas merdeka, dia ditakdirkan untuk menjadi anak kepada keluarga yang tidak berkemampuan, getah menjadi sumber 'rezeki' dan penerus kehidupan sekeluarga dengan kapasiti 10 ahli keluarga (ibu, ayah dan 8 adik beradik). Sebuah kehidupan yang sempit dan tidak pernah mengenal erti senang apatah lagi mewah.

Wanita ini adalah anak ke 4 daripada 8 permata yang dimiliki pasangan Aminah dan Hassan. Dia tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah menengah, tidak pernah bekerja di pejabat yang berhawa dingin dan tidak pernah memiliki sahabat-sahabat daripada golongan berada. Wanita ini adalah seorang anak kampung yang takdirnya dilahirkan di dalam keluarga miskin di kampung yang mundur lagi terkebelakang segalanya.

Wanita ini di usia mudanya pernah bekerja di kilang membuat seramik. Ketentuan Yang Maha Kuasa telah merencanakan bahawa rezeki awalnya itu di daerah Kluang, Johor juga merupakan 'rezeki hidupnya' apabila bertemu dengan jejaka askar bernama Ahmad Bin Md. Yusof. Seterusnya adalah sebuah ikatan sah penyatuan seorang gadis kilang seramik dan jejaka askar yang mekar berterusan sehingga ke saat ini. Pertemuan gadis Batu Pahat dan jejaka Segamat di Kluang yang menyatukan darah keramat Johor Darul Ta'zim, seterusnya membenihkan 2 zuriat yang masing-masing lahir di Batu Pahat (Noor Hamidi) dan Segamat (Noor Effandi), manifestasi aliran darah Johor sejati !

Wanita bernama Asmah Binti Hassan itu adalah emak saya, ibu yang amat disayangi lagi sentiasa segar di pemikiran ini tanpa mengira detik dan ketika.

1) Emak saya adalah seorang yang tidak banyak bercakap dan ringkas kehidupannya.

2) Emak tidak pernah lupa menyediakan sarapan pagi untuk saya, tidak pernah saya diizinkan pergi ke sekolah tanpa mengisi perut terlebih dahulu. Menu sarapan akan sentiasa bertukar, emak bijak memastikan anaknya tidak bosan mengadap juadah yang serupa setiap hari.

3) Emak mudah mengalah andai saya 'merengek' untuk mendapatkan keperluan tambahan persekolahan seperti buku rujukan, buku latihan tambahan dan segalanya atas nama 'belajar.'

4) Andai saya demam, emak akan melayan saya bagaikan Sang Putera. Pastinya juadah istimewa yang menyelerakan 'si budak demam' akan dibuatkannya.

5) Emak amat menghormati waktu saya belajar. Secara automatik, 'suara TV' yang sedang ditontonnya akan menjadi kecil umpama berbisik sendirian. Saya juga tidak akan dipanggil untuk melakukan sebarang tugasan rumah mahupun 'kerja tetap' sebagai 'budak kedai' untuk membeli sesuatu.

6) Emak mudah menjadi 'kawan' gossip saya kerana adalah menjadi satu kebiasaan untuk kami berbincang tentang dunia hiburan tempatan dan dunia politik semasa. Kebiasaannya, apa yang saya suka itu jugalah yang emak suka. Kami sama-sama meminati Datuk Siti Nurhaliza, suka menonton slot drama-drama Melayu, setia dengan irama muzik Melayu dan yang terpenting, kami adalah penyokong setia Tun Dr Mahathir Mohammad ! Dr. M adalah kebanggan emak dan saya ! Kami juga menjadi teman setia menonton perlawanan badminton yang melibatkan wirawan Malaysia.

7) Berbanding Encik (ayah) dan abang, emak lebih selesa berjalan-jalan di bandar dengan saya. Adalah satu kebiasaan bagi saya menjadi teman setia emak menelusuri kedai kain, pasaraya dan juga pasar malam. Saya tidak pernah berasa segan untuk berjalan dengan emak kerana setiap saat bersamanya adalah satu anugerah Tuhan yang cukup besar lagi membahagiakan. Saya jugalah yang menjadi perunding tidak bertauliah untuk apa yang emak perlu pakai dan corak kain serta paduan warna yang sesuai dipilihnya. 'Keakraban' kami adalah mencapai ke tahap memilih wangian badan, bedak, deodoran, pembasuh muka dan segalanya untuk kegunaan emak secara musyawarah bersama.

8) Emak saya pernah mengutip kucing di jalanan dan kami memelihara 'mereka' bersama-sama umpama sebahagian daripada 'keluarga' sendiri.

9) Emak berkesempatan menyaksikan saya berkonvo ijazah sarjana muda di Dewan Seri Negeri, Melaka (2004) dan untuk ijazah sarjana di Dewan Muadzam Shah, Universiti Utara Malaysia, Kedah (2007). Doa saya adalah moga emak akan menyaksikan saya berkonvo ijazah doktor falsafah (Phd) pula ! Setiap yang saya impikan adalah untuk menggembirakan emak saya, bukan untuk kepuasan peribadi semata-mata !

10) Sewaktu saya masih bersekolah rendah, adalah kebiasaan untuk saya dan emak menaiki bas (juga bertukar-tukar bas) untuk pulang ke kampungnya di Batu Pahat sewaktu musim perayaan. Sesuatu yang indah juga untuk dikenang saat-saat menunggu bas bersama emak untuk menuju ke Bandar Segamat dari kampung kediaman kami (Kampung Alai, Segamat). Andai tiada tempat duduk kerana bas telah penuh, emak akan memegang saya dengan erat agar tidak terjatuh dek pergerakan bas yang tidak stabil. Kami hanya berpeluang menaiki kenderaan beroda empat setelah Encik mampu memilikinya sewaktu saya berada di awal alam persekolahan menengah rendah.

Neba2020: Kita selalu terlupa bahawa ibu itu adalah kurniaan Tuhan yang cukup bermakna lagi bernilai. Kadang-kadang kita ENGGAN untuk 'berusaha' lebih sedikit untuk menjenguk mereka sekerap mungkin dek pelbagai alasan yang tidak putus-putus menjelma. Ingatlah, urusan kerja sampai ke matipun belum tentu akan ada noktahnya, kesempitan masa itu adalah bukti kelemahan kita mengurus kehidupan sendiri dan kekurangan bajet untuk selalu pulang pula adalah alasan semata untuk menguatkan lagi rasa malas yang telah bersarang di dalam diri sendiri tanpa disedari. Jangan kita menyesal di kemudian hari sewaktu kita telah lebih berkemampuan untuk selalu pulang tetapi yang hendak ditemui itu pula sudah kembali ke alam yang lain ....

6 comments:

Anonymous said...

Tatkala saya membaca post ini, air mata saya mengalir teringatkan ibu saya yang bersusah payah cuba membahagiakan kami sekeluarga, cuba membahagikan masa antara kerja dan anak-anak tetapi sebagai anak, tidak pernah berterima kasih atas segala pengorbanan dia. Post ini membuat saya menghargai pengorbanan dia

Anonymous said...

Apabila menelusuri blog Fendy dan meneliti ayat-ayat tulisan penulis blog mengenai perihal ibunya, saya terkenang pula pada perwatakan ibu saya yang saya panggil 'Emak'. Seperti ibu fendy yang melalui pengalaman sebagai seorang yang biasa berasal dari kampung, Emak saya dibesarkan oleh datuknya yang di panggil tok ayah sejak dari kecil hingga meningkat dewasa setelah ibu bapanya (tok ayah dan maktok saya juga -- panggilan orang utara untuk datuk dan nenek mereka) bercerai dan akhirnya membawa haluan masing-masing. Di samping mereka, turut menetap sekali ialah ibu saudaranya yang bongsu (Tok Su saya) dan juga sepupunya (Mak Ngah) yang menjadi ustazah sekolah menengah (kedua-duanya telah pulang ke Rahmatullah). Kehidupan seharian
mereka hanyalah sederhana walaupun kekadang menghadapi jerih payah dan kesulitan hidup di Pulau Pinang. Dia sendiri memanggil Tok Ayah nya sebagai ayah dan Neneknya mak. Zaman persekolahannya begitu ringkas dan sempat juga belajar di Al-Masyhur perempuan Pulau Pinang. Tapi atas beberapa perkara dia tidak meneruskan dengan lebih lanjut di situ dan disunting pula oleh ayah saya yang ketika itu bekerja sebagai seorang guru setelah kematian 'Ayah'nya. itupun hasil kiraan sepupunya. Emak suka bercerita mengenai saudara sepupunya yang begitu ramai dan mempunyai hubungan yang rapat dan mesra dengan sepupunya yang ramai itu. Setelah berkahwin tugas Emak hanyalah di rumah sebagai suri rumah. Maka menetaplah emak saya di Alor Setar Kedah sejak tahun 70'an lagi. Berbalik kepada keluarganya, dia mempunyai seorang kakak sulungnya yang hanya berbeza umur setahun saja dan emak saya juga dilahirkan kembar tidak seiras, malangnya abang kembarnya meninggal dunia ketika dilahirkan. setelah Tok Ayah saya bercerai dia telah menemukan jodoh dengan wanita lain dan hasil perkahwinan barunya, Emak saya mempunyai
adik-adik berlainan ibu seramai enam orang lelaki dan perempuan. Setelah masuk millenium baru, pertalian adik-beradik Emak
saya kembali terjalin setelah melalui episod hitam berpunca dari salah faham keluarga antara ibu tirinya dan juga antara kakaknya. Hidup Emak saya begitu ringkas dalam membesarkan adik-beradik saya. Pada Emak saya, dia mahu anak-anaknya berjaya dalam kehidupan. Mesti meraih sesuatu yang boleh dibanggakan dalam pelajaran walaupun mungkin tidak sangat cemerlang. Pengalaman dibesarkan dalam keluarga yang kecil setelah kakak sulung saya menetap di Pulau Pinang dan setelah kematian abang tengah saya cukup meninggalkan banyak kenangan. Orang lain memperkatakan betapa manjanya saya yang menjadi anak bongsu dan membesar berseorangan. Namun ini sedikit sebanyak telah membentuk saya menjadi seorang yang suka berkenalan ramai. Saya masih
ingat lagi ketika kecil Emak mengasuh saya bersama kakak dan arwah abang yang pada ketika itu sudah meningkat remaja. Di rumah teres di pinggir bandar Alor Star yang sederhana luas. Di sekeliling pula terletak kejiranan dan kampung dan ramai yang mengenali Emak saya sebagai isteri kepada Cikgu Muhammad yang dihormati. Zaman sekolah menengah pula banyak kenangan indah dalam meniti usia remaja. Ramai kawan saya mengenali Emak yang suka beramah mesra dengan sahabat anak-anaknya. Kini apabila sudah meningkat dewasa Emak kembali menetap di rumah yang pernah menjadi tempat kediamannya ketika dilahirkan dan meningkat
dewasa. Banyak yang telah berubah semasa arwah ibu saudara sepupu (Mak Ngah) saya masih menetap di situ. Rumah kayu berlapis batu dua tingkat bersebelahan masjid di tepi Jalan Perak di kawasan Kampong Dodol, Jelutong bukanlah sebuah tempat yang asing dan jarang dilawati oleh kami anak beranak, malah ia adalah sebahagian dari kehidupan kami sekeluarga sejak saya sudah mengenali dunia ini dengan lebih nyata. Di rumah inilah menjadi tempat majlis kenduri perkahwinan Emak dan Ayah saya, tempat bertemunya saudara-saudara sepupu sebelah emak pada masa perayaan dan juga jika berlaku peristiwa kematian ahli keluarga dan juga tempat pertemuan antara saudara-mara yang lain untuk bertemu muka dan saling mengenali. Sesekali tetamu datang bertandang Emak cukup prihatin dengan segala persediaan untuk mengalukan kedatangan mereka. Ini termasuk Fendy sendiri yang telah datang berkunjung beberapa kali. Fendy juga kenal rapat dengan ibunda saya dan boleh dikatakan perjalanan hidup kami berdua hampir tiada bezanya dan persamaannya jua ketara.

Anonymous said...

Sememangnya, wanita yang kami memanggil "ibu", "emak", "mama" adalah anugerah tuhan yang paling penting. Hormatilah mereka.

Anonymous said...

aduh..tak kusangka ayat2 kau telah menitiskan airmata ku yg selama ni terpendam saja...!!

Anonymous said...

sir mata sy mengalir setelah membaca post ni......
sy brase byk yg blum sy lkukn untk insan yg bename emak...........

Ken said...

ayat-ayat yang menarik dan isi-isi yeang terharu.

-ken-