Thursday, June 5, 2008

Pak Lah dan Rekod Gemilangnya

Salam Buat Semua,

5 Jun 2008 pastilah satu tarikh yang cukup istimewa buat pentadbiran Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) kerana berjaya dengan cemerlangnya membuat rekod kenaikan tertinggi untuk petrol dan diesel di Malaysia tercinta ini.

Kenaikan harga petrol dan diesel masing-masing pada kadar 40.63% dan 63.29% sememangnya sesuatu yang cukup memeranjatkan seluruh rakyat yang kelihatan belum bersedia unuk menerima kejutan bertaraf 'maksima gila' daripada Perdana Menteri selepas mereka 'menikmati' kenaikan harga barangan makanan (beras, ayam, gandum dan sebagainya)sepanjang bulan April dan Mei yang baru berlepas.

Selain kenaikan bahan api, Perdana Menteri yang negeri kelahirannya sendiri telah jatuh 'ditawan' parti pembangkang sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 kira-kira 3 bulan lepas turut mengumumkan bahawa tarif elektrik baru akan dikuatkuasakan bermula 1 Julai ini. Ini satu lagi 'hadiah' cukup bermakna buat seluruh rakyat Malaysia. Kira-kira 41% isi rumah yang bil elektrik bulanan semasanya melebihi RM43.60 akan 'menikmati' kenaikan tersebut.

Lebih manakutkan ialah apabila kos elektrik bagi pengguna komersil dan industri akan mengalami peningkatan sebanyak 26% manakala pengguna berstatus peruncit, pekedai dan pengusaha restoran kecil 'layak' untuk menerima habuan kenaikan pada kadar 18%. Tahniah semua !

Dengan pengumuman 'istimewa' oleh Tuan Perdana Menteri Malaysia itu maka seluruh rakyat Malaysia WAJIBLAH bersedia untuk menghadapi satu lagi 'pesta' kenaikan harga barangan dan juga perkhidmatan di seluruh negara ini dalam masa terdekat. Kita tidak boleh menafikan bahawa bahan api (petrol dan diesel) serta elektrik adalah '2 aset' terpenting yang mengaktifkan perjalanan ekonomi sesuatu negara itu. Kenaikan '2 aset' ini sudah pastinya akan membawa kepada 'limpahan berantai' dalam bentuk kenaikan kos pengeluaran kepada apa jua barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan/diusahakan oleh sektor perniagaan kepada masyarakat.

Andainya Perdana Menteri 'bijak' menasihatkan rakyat jelata supaya mengubah cara hidup ataupun berjimat cermat maka beranikah beliau untuk mengeluarkan kenyataan-kenyataan berikut:

1) Segala untung-rugi PETRONAS wajarlah diperincikan secara telus kepada seluruh rakyat yang sepatutnya dianggap sebagai pihak pemilik 'emas hitam' tersebut kerana ianya dimiliki oleh kerajaan dan bukannya sektor swasta / persendirian (kerajaan bertanggungjawab kepada rakyat).

2) Segala penjimatan daripada subsidi petrol dan diesel yang telah ditarik-balik (walaupun bukan 100%) yang dikatakan berjumlah berbelas billion Ringgit wajarlah disenaraikan secara terperinci tentang bagaimana ianya akan digunakan untuk pembangunan rakyat juga negara (Perdana Menteri selalu mengatakan ianya adalah untuk tujuan pembangunan mahupun pembaikan sektor pengangkutan negara tetapi hasilnya seperti 'senyap tidak bernafas').

3) Justifikasi berkaitan kenaikan harga diesel melebihi 60% haruslah diberikan dengan penuh bijaksana. Andai subsidi petrol dikatakan banyak dinikmati oleh orang-orang yang berkemampuan / kaya kerana memiliki kenderaan berkuasa tinggi lagi mewah tidakkah kenaikan diesel yang kelihatan 'lebih kronik' berbanding petrol ini akan menyebabkan kos pengangkutan awam seperti bas dan teksi juga kos pengangkutan barangan makanan akan mengalami kenaikan yang cukup signifikan? Bukankah ini akan menambahkan keperitan hidup golongan yang tidak berkemampuan?

Pah Lah kelihatan cukup maklum dengan sentimen rakyat apabila mengakui bahawa tindakan kerajaan pimpinannya itu akan menyebabkan beliau 'tidak popular' pada pandangan rakyat. Maka persoalannya, jika beliau yang sememangnya sudah terhakis popularitinya sejak musim PRU tempohari merasakan beliau akan bertambah tidak popular lagi selepas ini; Apakah yang wajar dibuatnya? Mampukah seorang pemimpin itu terus bertahan andai 'restu' rakyat terhadapnya semakin menipis dan menjunam turun? Tepuk dada, bukalah minda !

Neba2020: Kepada Tuhan Berserah !

8 comments:

Anonymous said...

wow... after this i was feel like !@#$%^&*(--> dono how to express my feeling ... everything increase !!!!!!!!!! what can 'HE' do???

squall-shinoda said...

Fendy, ini keluhan yang aku suarakan kat blog ayahanda Tun Dr. Mahathir...

Assalamualaikum Ayahanda Tun Dr. Mahathir yang saya hormati,

Saya sebagai salah seorang warga Malaysia yang prihatin juga berasa sangat marah dan sangat tidak berpuas hati dengan kenaikan harga minyak baru-baru ini. Macam yang kita sedia maklum, isu harga minyak adalah isu sensitif di kalangan rakyat kerana ia akan membawa kepada "kesan domino" - setiap kali harga minyak naik, masa itu jugalah pesta naik harga barang akan berlaku, tetapi peniaga memang tiada pilihan kerana kos pengangkutan yang bukan saja ditanggung oleh peniaga tetapi juga pemborong dan pengilang.

Sepatutnya harga barangan tidak menerima kesan ketara akibat kenaikan harga minyak JIKA DAN HANYA JIKA sistem pengangkutan kereta api dipelihara sebagaimana sistem jalan raya dan lebuhraya. Di Singapura, kerajaannya amat menitikberatkan sistem pengangkutan awam, dan hasilnya kos sara hidup tidak terasa sangat perbezaannya kerana mereka ke tempat kerja dengan menaiki MRT; kereta hanya digunakan semasa hendak ke Johor Bahru.

Saya masih ingat lagi bagaimana Ayahanda Tun mahu memperkasakan semula sistem pengangkutan awam, bermula dengan pelancaran KTM Komuter dan Star LRT (kini Aliran Ampang/Sri Petaling) sehinggalah ke pelancaran KL Monorel semasa Tun hendak bersara dahulu - semuanya berjalan secara konsisten dan berterusan. Zaman Pak Lah? Antara perkara terawal yang telah dia lakukan ialah mencantas kebanyakan projek RMK8 yang penat-penat Ayahanda Tun merangka demi kemajuan negara serta kesejahteraan rakyat, terutamanya projek Putrajaya Monorel dan projek landasan berkembar Padang Besar - Johor Bahru (kini sedang disambung semula, itu pun sudah terhantuk baru terngadah). Nah, hadiahnya kepada rakyat ialah pesta naik harga barang setiap kali harga minyak naik. Dengan kata lain, Pak Lah gagal dalam memajukan ekonomi negara sebaliknya meranapkan negara dengan inflasi yang tinggi, kos sara hidup yang tinggi (tapi yang hairannya dia pandai menipu statistik walaupun pernah gagal mata pelajaran Statistik).

Lebih mengecewakan saya ialah sikapnya kini yang tidak ubah seperti diktator di dalam Umno. Oleh sebab itulah saya bertegas tidak mahu mengisi borang keahlian Umno walaupun pernah berkali-kali didesak oleh ayah saya sendiri.

Ayahanda Tun, saya amat merindui kemajuan dan kesejahteraan negara kita semasa Ayahanda menerajui negara dulu. Malaysia sekarang bukan lagi lubuk macam dulu, tempat kita sekarang dah dirampas oleh China, India malah negara-negara seperti Vietnam dan Kemboja juga.

Baiklah Ayahanda, saya mengundur diri dulu, moga-moga Ayahanda Tun sekeluarga memperoleh kesejahteraan dan dimurahkan rezeki.

- Mohd. Hezery bin Hussin


P.S.: Kali ni Pak Lah bukan setakat membangkitkan api kemarahan rakyat, siap simbah minyak petrol lagi tu... adakah ini petanda Malaysia bakal dimeriahkan dengan demonstrasi atau lebih hebat lagi rusuhan...? Wallahualam...

Anonymous said...

barua ameno jangan nak complain plak arge minyak naikkkkk..."u reap what u sow"

fendy_ahmad said...

Salam,

Nampaknya ada yang tergamak menggunakan perkataan 'BARUA' di sini.. Saya menerimanya dengan penuh rasa insaf dan syukur.

Kepada pengunjung setia weblog ini sudah pastinya 'faham dan sedar' juga sedia maklum akan pendirian saya terhadap Perdana Menteri semasa ini. Saya kira di dalam penulisan saya sebelum ini, banyak sudah saya perkatakan tentang 'pentadbiran Pak Lah' itu.

Saya merasakan bahawa kematangan ilmu politik segelintir antara kita adalah masih di tahap yang mengecewakan.

Senario seperti 'sokong Nik Aziz tapi benci PAS', 'suka Wan Azizah tapi tentang PKR' dan juga 'sokong BN walaupun benci Pak Lah' seolah-olah masih gagal untuk diterima oleh sesetengah kita.

Matlamat utama saya di weblog ini adalah untuk menyuburkan satu pemikiran yang berbentuk 'sokong bukan membawa rebah' dan berpemikiran terbuka dalam berhadapan dengan kritikan terhadap pihak yang kita sokong. Janganlah kita taksub dengan pemikiran 'yang aku sokong 100% betul sentiasa, yang aku benci memang 100% salah selalu.'

wei^loon said...

Mr Fendi,
Selepas membaca blog yang ditulis Mr Fendi, teringin saya memberi sedikit pandangan terhadap kewibawaan Perdana Menteri Kita.

Pertama, beliau telah memecah rekodnya sebagai Perdana Menteri Malaysia yang menaikkan harga petrol sebanyak RM0.78 dan Diesel sebanyak RM1.00 seperti yang ditulis oleh Mr Fendi. Ini merupakan keputusan yang amat sukar diterima oleh seluruh rakyat Malaysia dengan peningkatan yang begitu ketara sekali jika dibandingkan sebelum ini peningkatan tertinggi hanyalah 30 sen/liter.
Yang paling mengecewakan saya adalah beliau memberitahu sidang akhbar bahawa negara Malaysia merupakan negara yang mengenakan harga petrol yang paling rendah di rantau Asia Tenggara, kecuali BRUNEI.. Katanya,: "BRUNEI tuu lainlah, BRUNEI tuu special case."

Segera timbul persoalan di hati saya mengapa melainkan negara BRUNEI sedangkan BRUNEI dan MALAYSIA adalah negara pengeluar petroleum. Janganlah ambil Malaysia dibandingkan dengan negara seperti negara Thailand and Singapura yang bukan negara pengeluar petroleum. Ini memang tidak logik kalau beliau mengambil negara tersebut sebagai contoh.

Walau apapun, kita terpaksalah menerima hakikat tersebut. Berjimat-cermatlah wahai rakyat MALAYSIA!!!

El-Zaffril said...

Hidup sekarang terasa menyesakkan... kalau dulu isi minyak 400... sekarang dah menceceh 600 sebulan... haish... macam ni agaknye kadaan Indonesia....

Hazwan Hussin said...

Assalamualaikum w.b.t..
Saudara fendi..


Soal akauntabiliti Petronas yg saudara nyatakan dalam komentar saudara mmg menjadi persoalan bagi sesetengah cerdik pandai, kenapa kerajaan skrg x boleh urus dgn baik..Petronas telah dikawal oleh Pak Lah dan ini secara x langsung menggambarkan bahawa kenapa segala keuntungan Petronas yg dianggarkan sebanyak RM80 billion lesap begitu sahaja..Nampaknye Petronas dah jadi 'Kambing Hitam Pak Lah' dan ini merupakan petanda yg kurang baik..Sewajarnye, keuntungan PETRONAS ini digunakan utk 'cover-up' kenaikan minyak dunia..Lantas,xde la Malaysia kne naik harga minyak..
Komentar saudara cukup berisi..saya brsemangat membacanya..haha..

fendy_ahmad said...

Salam Buat Semua,

Terima kasih kerana 'ada yang bersemangat' membaca komentar saya...

Semua ini adalah untuk kita fikirkan :)