Dua senario terkini yang berlaku pada 20 Jun, 2008 adalah amat menarik untuk ditelusuri:
1) SAPP dan Undi Tidak Percaya
Parti Maju Sabah (SAPP), salah satu daripada 14 parti komponen Barisan Nasional (BN) sepakat untuk mengemukakan usul undi tidak percaya kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) pada 23 Jun, 2008 di Parlimen. Majoriti Ahli Majlis Tertinggi SAPP yang diketuai bekas Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Yong Teck Lee yang bersidang pada pagi 20 Jun, 2008 berpendapat bahawa mereka telah hilang kepercayaan terhadap Pak Lah untuk terus kekal menerajui kerajaan dan Barisan Nasional.
SAPP turut mengumumkan mereka kekal di dalam BN dan sedia berdepan dengan sebarang tindakan yang dijangka bakal menyusul daripada parti induk itu.
2) GERAKAN dan UMNO
Pemangku Presiden parti Gerakan iaitu Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dengan beraninya menggesa supaya 'kekuasaan total' yang dipegang UMNO di dalam BN dihapuskan sama sekali dan berharap agar kesemua 14 parti komponen diberikan hak sama rata dalam mengeluarkan pendapat serta penentuan hala tuju parti pemerintah tersebut.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut menyalahkan UMNO yang didakwanya menyebabkan majoriti darupada pengundi bukan Melayu beralih kepada parti pembangkang kerana 'takut' dengan usaha kerajaan pimpinan UMNO yang terlalu menekankan Islam sebagai satu cara hidup dan menjauhi sifat negara sekular yang sepatutnya dipraktiskan di sini.
Dr. Koh turut menggesa agar UMNO melakukan perubahan kepimpinan yang harus diterajui golongan liberal yang lebih terbuka lagi dapat diterima oleh golongan bukan Melayu. Beliau menamakan pemimpin UMNO seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Zaid Ibrahim sebagai pemimpin-pemimpin di dalam UMNO yang 'disenangi' bukan Melayu.
3 kesimpulan mudah yang wajar difahami semua:
1) Pak Lah semakin 'hilang' cengkamannya terhadap 'anak-anak' buahnya di luar UMNO
2) Pak Lah semakin 'dicurigai' parti-parti komponen BN
3) Pak Lah sebenarnya semakin menghampiri noktah kepimpinannya
Neba2020: Kadang-kadang manusia suka untuk berlagak tidak tahu dan tidak kesah kerana mereka ingat dunia ini terlalu baik dan terlalu mudah untuk mereka. Mereka lupa betapa di dunia ini, perangai mahkluknya adalah 1001 jenis yang sukar untuk dibaca lagi payah untuk dipuaskan.
No comments:
Post a Comment