Monday, August 25, 2008

Siapa Lebih Taksub : Penyokong UMNO atau Anwar ?

Salam Buat Semua,

Penyokong UMNO / Barisan Nasional (BN)

1) Saya pernah berasa cukup marah apabila Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun) bertegas untuk melaksanakan pengajaran subjek-subjek berkaitan Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris bermula dengan sessi persekolahan tahun 2003. Saya tidak setuju dan saya tidak sekata dengan idea idola kesayangan sendiri ! Sepanjang tahun 2002 saya berasa 'kecil hati' dengan Dr. M kerana kerap sangat mengeluarkan hujah tentang perkara tersebut ! Hanya di akhir 2003 baru saya faham maksud 'tersembunyi' mengapa idea itu perlu dilaksanakan, akhirnya saya sokong.

2) Saya berasa tidak patut sekali apabila Dr. Mahathir melahirkan kekecewaannya secara terbuka apabila Datuk Sanusi Junid (kini Tan Sri) tewas di dalam pemilihan merebut jawatan Ketua UMNO bahagian Langkawi di pertengahan 1990an. Bagi saya, Dr. Mahathir sebagai Presiden UMNO tidak wajar melatah apabila 'anak emas' sendiri tewas kepada individu lain, yang penting ahli-ahli UMNO tidak berpecah dan perpaduan kuat kembali selepas pemilihan tersebut.

3) Saya juga berasa janggal apabila Tan Sri Musa Mohamed 'ditabalkan' sebagai Menteri Pendidikan pada tahun 1999. Perlantikan individu yang bukan orang politik serta tidak mempunyai rekod berjuang untuk parti dan masyarakat ke jawatan yang penting adalah tidak wajar berlaku kerana seorang Menteri Kabinet sewajarnya mempunyai 'liabiliti langsung' kepada rakyat, dia wajar seorang yang mendapat mandat langsung sewaktu pilihan raya dan turut 'layak' untuk disingkirkan rakyat melalui proses pilihan raya andai gagal memenuhi 'sentimen-sentimen' yang diperlukan.

4) Kedegilan Dr. Mahathir yang tetap mengekalkan Tan Sri Wan Mohktar Ahmad untuk menerajui UMNO dan BN di Terengganu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 10 pada tahun 1999 telah menyebabkan 'terbangnya' negeri tersebut ke tangan PAS selama 5 tahun. Sentimen awal telah menunjukkan betapa majoriti rakyat Terengganu sudah tidak berasa senang dengan gaya Wan Mohktar mengemudi negeri tersebut tetapi Dr. Mahathir masih 'simpati' kepadanya, saya cukup geram dengan kasihan tak bertempat yang ditunjukkan beliau kepada Menteri Besar Terengganu selama 25 tahun itu (1974-1999) !

5) Saya juga geram dengan Dr. Mahathir yang seakan berlembut dengan parti MCA di dalam isu penubuhan Sekolah Wawasan di akhir era 1990an dahulu. MCA di bawah Presidennya iaitu Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik (kini Tun) kelihatan sengaja membiarkan Dr. Mahathir dan UMNO terkapai-kapai melawan gerakan pertubuhan ekstrim seperti Dong Jiao Zhong dan Hua Zong yang jelas cuba mencabar kerajaan. Dr. Mahathir umpama berseorangan dalam menghadapi serangan golongan ekstremis itu, MCA cuba bermain selamat.

6) Saya banyak tidak sebulu dengan ideologi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam mentadbir negara sejak November 2003. Saya tidak sekata dengan pembatalan jambatan bengkok merentasi Selat Tebrau, koridor wilayah selatan yang terlalu banyak memberikan keselesaan kepada hartawan-hartawan Singapura, projek-projek pembangunan di Terengganu yang terlalu memberi kepercayaan kepada satu dua syarikat tertentu dan juga kelembutan beliau dalam menangani isu HINDRAF dan sekumpulan Menteri yang berani memberikan notis kepadanya sedikit masa dahulu.

Penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) / Pakatan Rakyat (PR)

1) Datuk Seri Anwar Ibrahim memang tidak bersalah di dalam apa jua pertuduhan yang melibatkan dirinya. Anwar tidak mungkin melakukan kesalahan liwat tersebut, UMNO telah mengorkestrakan segalanya dan pelapor liwat iaitu si Saful Bukhari Azlan telah 'dibayar' untuk melengkapkan operasi meranapkan terus karier politik Anwar.

2) Anwar tidak tidak mungkin menerima RM60 000 000 daripada syarikat berteraskan perjudian iaitu Magnum Corporation Bhd. Bekas Pengarah di Magnum iaitu Datuk S. Nallakaruppan yang pernah menjadi teman tenis Anwar cuba menipu dan telah dibayar juga oleh UMNO ! Nalla juga berniat jahat apabila mengeluarkan kenyataan 'selepas bermain tenis, saya tahu ke mana Anwar pergi.'

3) Anwar tidak salah untuk bersahabat dengan DAP, berbaik dan bermesra selalu atas nama perpaduan Malaysia. DAP melalui Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng secara terang-terangan di Konvensyen tahunan parti (2008) tersebut telah mengisytiharkan bahawa konsep negara Islam ditolak sekerasnya. Anwar tetap betul andai konsep 'Malaysian Malaysia' yang ditaja DAP, hasil peninggalan abang kembarnya iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang dicipta oleh Lee Kuan Yew dipraktiskan di negara Malaysia Boleh ini.

4) Anwar tidak pernah melakukan kesilapan sewaktu menerajui Kementerian Kewangan selama 7 tahun (1991-1998). Preskripsi Anwar dalam berhadapan dengan krisis kewangan pada tahun 1997-1998 adalah cukup mujarab dengan berpaksikan nasihat IMF sehingga majoriti pengusaha kecil dan sederhana hampir gulung tikar dek kecekapan Anwar. Anwar memang penyelamat ekonomi Malaysia ketika itu !

5) Kes-kes rasuah melibatkan Exco kerajaan negeri Perak yang datang daripada PKR juga adalah konspirasi UMNO bagi melingkupkan Pakatan Rakyat di sana.

6) Mahkamah Persekutuan adalah benar apabila melepaskan Anwar daripada pertuduhan liwat (keputusan 2-1 itu sebenarnya tidak melepaskan Anwar 100% daripada tiadanya liwat berlaku tetapi Anwar terbebas kerana percanggahan teknikaliti sahaja), gratuiti (pampasan) kepada Tun Salleh Abas dan rakan-rakannya yang dipecat pada tahun 1988 adalah sesuatu yang patut dan penubuhan Suruhanjaya perlantikan hakim adalah wajar walaupun ada wakil Majlis Peguam di dalamnya (sungguh tidak masuk akal apabila peguam melantik hakim !). Malangnya, apabila perkara yang tidak selari dengan kehendak diri berlaku, teruslah UMNO disalahkan dan institusi kehakiman serta pasukan Polis dilabelkan sebagai 'anjing suruhan' UMNO !

Neba2020: Budaya menyokong pemimpin yang digemari adalah bagus dan selari dengan prinsip demokrasi, budaya taksub 100% kepada pemimpin yang digemari adalah bahaya dan bertentangan dengan mana-mana kepercayaan agama sekalipun.

7 comments:

Anonymous said...

“Hanya yang diperlukan ialah bersyukur kepada Tuhan. Nikmat dan rezeki yang kita dapati bukan daripada orang yang menyampaikannya. Jika tidak orang itu, orang lain yang akan menyampaikannya. Jadi kita juga TIDAK PERLU berterima kasih kepada Nabi Muhammad s.a.w. Jika tidak Nabi Muhammad, orang lain yang akan diutuskan untuk menyampaikan agama Islam. Oleh itu TIDAK PERLULAH kita mengagung-agungkan Nabi Muhammad. Memadailah dengan bersyukur kepada Allah s.w.t sahaja.”

Ucapan Dasar Presiden UMNO, Dr Mahathir Mohamad.
Petikan dari Berita Harian/Utusan Malaysia 11 Mei 2000

Comment:

Salah satu keburukan Tun Dr Mahathir yg menyebabkan sy tidak mungkin menghormatinya kerana beliau menghina Nabi S.A.W dan tidak mengiktiraf taraf baginda sbg Rasul Allah.Sy hairan bagaimana seorang muslim boleh sygkan Tun Dr Mahathir.Beliau bukan sahaja telah menghina sunnah Rasulullah malah tidak mengiktiraf Nabi sbg Rasul Allah.Darahnya sama halal dgn Salman Rushdie dan Taslima Nasreen.Fikir2kanlah

Apalah sgt jasa beliau untuk rakyat Malaysia sekiranya dibandingkan dgn Nabi Muhammad s.a.w

Anonymous said...

Kita tidak boleh mengeneralisasikan bahawa semua penyokong UMNO/BN mahupun Anwar/PR adalah seperti yang tuan penulis warwarkan.

Berdasarkan pengalaman ujian sosial(taburan pensampelan) saya sendiri, saya dapat merumuskan bahawa ianya sama sahaja tidak kira siapa yang disokong - UMNO/BN mahupun Anwar/PR. Ada sekurang-kurangnya satu yang akan merosakkan tanggapan orang ramai terhadap pihak/parti tersebut.

Anonymous said...

Pada diri saya, saya tak nak lah memberi ulasan yang mendalam terhadap komentar sebegini kerana bagi saya kalau hendak memberi pendapat biarlah pendapat itu mempunyai bukti dan fakta yang kukuh dan jitu. Tidak hanya berdasarkan isi isi tersurat tetapi harus kita telitikan maksud tersirat di sebalik sesuatu kenyataan. Teringat pula satu topik dalam pendidikan islam ketika di alam zaman persekolahan mengenai Ayat Muhkamat dan Ayat Mutasyabihat. Seingat saya ayat mutasyabihat boleh menimbulkan kekeliruan kalau tidak dihayatikan maknanya secara mendalam dan terperinci dan akan menimbulkan salah faham antara pihak-pihak yang berselisih pendapat. Lebih buruk ia akan menimbulkan pertelingkahan(Mohon Maaf jika fakta yang saya berikan tidak berapa tepat). Itu namanya salah faham. Apabila salah faham maka keluarlah kenyataan memutarbelit dan juga kenyataan semborono seperti yang biasa kita lihat. Maka dengan itu terpapar lah sesuatu yang menunjukkan kebodohan kita sendiri. Seperti kata-kata orang tua-tua dahulu. Bodoh Sombong

fendy_ahmad said...

Salam,

Saya berasa komentar saudara / saudari Mukh di atas adalah satu salah faham yang nyata.

Ucapan Dr. Mahathir itu perlulah dibaca secara menyeluruh konsepnya. Beliau LANGSUNG tidak menghina NABI dan dia sedang membuat satu analogi / perumpamaan tentang keadaan semasa ketika itu di mana ada pemimpin PAS sekitar tahun 1998-2000 yang cuba menggiatkan pemahaman bahawa kita hanya perlu berterima kasih kepada TUHAN dan kerajaan langsung tidak layak menerima terima kasih, di mana terdapat budaya menghina yang amat ketika itu

Anonymous said...

Saya bersetuju dengan En. Fendi. Mungkin terjadi salah faham dalam memahami kenyataan beliau.Apa yang diutarakan adalah kebenaran (mungkin bercampur sedikit emosi).

Rasullullah sememangnya adalah seorang penyampai yang diutuskan Allah yang wajib dihormati,disayangi,dicintai dan menjadi petunjuk / imam / penghulu kepada seluruh umat manusia. Namun beliau diutuskan bukan untuk diagung-agungkan. Hanya Allah yang berhak diagungkan. Sedangkan marhaban dan berzanji yang memuji Rasulullah juga dikira bid'ah kerana perkara tersebut tidak diamalkan di zaman Rasulluah dan Rasulullah juga tidak menggalakkan dengan sabdanya

“Janganlah kalian berlebih-lebihan memujiku, sebagaimana orang-orang Nasrani telah berlebih-lebihan memuji (‘Isa,) putera Maryam. Aku hanyalah seorang hamba, maka katakanlah, ‘Abdullah wa Rasuluh (hamba Allah dan Rasul-Nya)’.” (Muttafaq ‘alaih).

Sekiranya kita tersalah tafsir, maka jadilah kita seperti pengikut Syiah yang mangagungkan Saidina Ali.

Pada pendapat peribadi saya, adalah tidak layak bagi kita penganut Islam biasa menjatuhkan taraf seorang muslim lain ke taraf yang lebih rendah (orang-orang musyrik, munafiq, murtad dan kafir)selain dari yang nyata sifatnya.Siapalah kita untuk menilai???

Akhir kata, Cintailah Allah maka cinta terhadap rasulNya akan terbit dengan sendirinya.Jadikan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah sebagai rujukan dan panduan untuk mencapai kecintaanNya.

Salam kemaafan sekiranya komen saya menyinggung perasaan mana-mana pihak.Terasa sedih dan pilu kerana Bangsa Melayu beragama Islam di negara ini semakin berpecah belah. Tidak mustahil peristiwa pahit di Iraq menimpa negara kita yang kerdil ini. Na'uzubillah....

Anonymous said...

Saya setuju dengan abang Mukhlis.

Sorry to say, to be frank, saya tidak pernah lupa dengan hinaan yang telah dilemparkan oleh Mahathir kepada baginda Rasul SAW.

Bukan sekadar itu, Mahathir bukan sahaja menghina sunnah Nabi, malah menghina Islam. Pada mulanya saya malas nak ungkit mengenangkan dia dah pun letak jawatan dan mungkin dah insaf.

Tapi setakat hari ni tak nampak pon tanda dia nak insaf, malah dia dianggap sebagai Negarawan pulak. Apakah kita sudah lupa dengan caci maki dia terhadap agama pada masa dahulu.

Cercaan ke atas amalan janggut Rasulullah adalah manifestasi kebencian pada
cara hidup Rasulullah SAW yang dianggap kolot oleh Mahathir. Dalam satu ucapannya di JAKIM Mahathir berkata ? Siapa tau janggut Nabi macam mana?.siapa
biasa tengok janggut Nabi ..ada gambar ka ? Kita taktau . Kita tak tau betuilah dia ada janggut?tapi betul ka janggut dia (Nabi)?Di zaman itu..pisau cukur ada kaaa?dia bukan ada Gillette??zaman Nabi ada Gillette ka..Cakap (menyuruh hadirin cakap) ?..Pisau cukur pun tiada masa tuuu ( zaman Nabi ). Jadi masalahnya dia (Nabi ) dok berjalan ke sana sini..naik unta?bukan nak dapat air yang banyak?padang pasir?

Mahathir mmg cukup suka gunakan logik. Tapi sayang kadang-kadang logiknya itu boleh menjatuhkan syahadah. Terpulang apa pendirian anda semua. Tapi saya yakin ucapannya ini penuh dengan kejahilan.

Tambah parah bila dia komen pasal hudud.

"Apabila hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudung tangan. Ini sangat memalukan ummat Islam, kerana orang bukan Islam akan sempurna sifatnya dan boleh meneruskan kerja."
( Dr. Mahathir Mohamad, temubualnya dengan media massa, 14 Julai 1992)

Saya rasa lebih baik dia diam daripada bercakap, menambah dosa menghina Allah dan Rasul. Astaghfirullah. Mahathir telah tersilap, maka dia harus bertaubat dan meminta maaf kepada rakyat. Tapi dia tak pernah lakukannya. Apakah dia telah bertaubat? Hanya dia dan Allah mengetahui.

Anonymous said...

Adakah seseorang itu mempunyai kuasa mukjizat mutlak untuk menakrifkan dan sekaligus menjatuhkan hukuman ke atas seseorang yang lain terhadap dosa dan pahalanya? Hanya kerana individu itu mengeluarkan kenyataan dan pendapat yang mungkin tidak selari dengan idea kita, terus kita menolaknya semahu mungkin dan lagi buruk menghentam sepuas hati tanpa mengira kredibilitinya orang itu. Tanpa memeriksa dan menganalisisnya segala isi secara lebih jelas, maknanya dan maksudnya. Mungkin individu tersebut benar serta jujur dan mungkin juga ia sengaja melahirkan kenyataan yang provokasi. Sebab itu kita harus menjalankan penelitian dari pelbagai sudut dengan bijaksana dan ilmiah. Kesimpulan dari justifikasi inilah baru kita memberi komentar yang sewajarnya. Tapi apa yang saya dapat zahirkan di sini ialah mereka mereka ini yang sememangnya sudah 'meluat', dan hati mereka busuk dengan kebencian yang melampau dengan individu tertentu dan 'taksub' pula dengan kesalahan atau dengan orang lain yang tidak sehaluan dengan orang yang tidak disukainya, maka berlagaklah mereka seolah-olah TUHAN yang menentukan ketakwaan hamba-NYA. Ini disebabkan hati mereka telah tertutup. Mata dipejamkan, Telinga ditulikan dan hati ditutup rapat dengan alasan yang disukai mereka sahaja. Adakah kita tergolong dengan mereka yang sedemikian?