Tuesday, August 19, 2008

Polemik UiTM : Isu 10 Peratus ....

Salam Buat Semua,

1) Saranan Tan Sri Khalid Ibrahim supaya Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberi ruang sebanyak 10% untuk pelajar bukan Bumiputera telah menimbulkan polemik yang tidak mudah untuk diketepikan begitu sahaja.

2) UiTM bermula sebagai Dewan Latihan RIDA (Rural and Industrial Development Authority) pada tahun 1956 sebelum diambil alih oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada tahun 1965 lantas dikenali pula sebagai Maktab MARA. Selaras dengan peningkatan kepentingannya, maktab tersebut dijenamakan sebagai Institut Teknolgi MARA (ITM) pada tahun 1967, terus berkembang dengan jayanya sehinggalah diiktiraf sebagai sebuah universiti penuh pada tahun 1996 (kekal dengan jenama ITM), dan berubah kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada tahun 1999.

3) UiTM adalah sebuah universiti 'istimewa' yang dikhususkan buat kaum Bumiputera di Malaysia, mempunyai pelajar berjumlah lebih 150 000 orang dengan satu kampus utama di Shah Alam, Selangor, 3 buah kampus satelit, 12 kampus cawangan dan 6 kampus bandar. Secara jelasnya, UiTM adalah institusi pendidikan tinggi yang terbesar kapasitinya di Malaysia.

4) Sejak lebih 50 tahun berlalu, 'keistimewaan' UiTM ini sudah menjadi sesuatu yang normal dan diperakui semua pihak di Malaysia ini tanpa mengira bangsa mahupun agama bahawa ia adalah milik eksklusif kaum Melayu khasnya dan Bumiputera lain amnya.

5) Eksklusiviti UiTM itu pula hanyalah pada pola pengambilan pelajarnya, tidak bertujuan membentuk suatu diskriminasi tetapi membantu untuk menstabilkan lagi corak kehidupan semua kaum di Malaysia ini.

6) Bumiputera yang mewakili kira-kira 65% daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia adalah suara majoriti yang sensitiviti kehidupan mereka perlu ditadbir dengan penuh hemah lagi bijaksana. Andai kuasa pendidikan istimewa tidak diberikan kepada mereka, impak yang buruk akan menimpa seluruh negara.

7) Bumiputera yang kurang kemampuan akademik akan melahirkan majoriti rakyat Malaysia yang kurang daya inteleknya, kurang kemahiran dan kurang professionalismenya. Akibat langsung ialah membawa kepada ketidakmampuan sektor swasta khasnya dan juga sektor kerajaan amnya untuk memiliki tenaga kerja yang berkualiti juga sepadan dengan kehendak ekonomi.

8) Rekod menunjukkan bahawa lebih 70% daripada graduan UiTM telah diambil bekerja sebagai profesional mahupun eksekutif di sektor swasta. Kita sedia maklum bahawa kira-kira 95% daripada majikan di sektor swasta terdiri daripada syarikat-syarikat yang bukan dimiliki oleh Bumiputera. Ini membawa pengertian bahawa UiTM telah menjadi satu 'kilang eksklusif' untuk melahirkan 'enjin-enjin Bumiputera' yang akhirnya dapat menyumbang kepada kemakmuran perniagaan rakan-rakan bukan Bumiputera yang lainnya. Pihak korporat tidak pernah berani menafikan kepentingan UiTM sejak dahulu lagi dan sedia maklum tidak membantah 'eksklusiviti' tersebut, hanya ahli politik 'murahan' sahaja yang berminat mengeskpoitasinya !

9) UiTM di zaman perkembangan drastiknya sekitar 1970an dan 1980an pernah mengiktiraf ketidakmampuan Bumiputera untuk menjadi tenaga pengajar, rekod pernah menunjukkan bahawa 70% daripada tenaga pengajar di ITM pernah dikuasai oleh bukan Bumiputera. Ini menunjukkan bahawa UiTM tidak mengamalkan diskriminasi secara total, sehingga kini bukan Bumiputera terus dialu-alukan untuk menyertai UiTM sebagai tenaga pengajar sehingga mencapai taraf Professor sekalipun.

10) Isu pembukaan kuota 10% ini dilihat sebagai sesuatu yang langsung tidak wajar dikemukakan, Tan Sri Menteri Besar Selangor itu mungkin terlalu idealis tetapi lupa akan sentimen perasaan kaum Bumiputera yang majoritinya terguris dengan kenyataan 'beraninya' itu. Tan Sri Menteri Besar tidak perlulah cuba meraih populariti politik dengan cuba menjaja sesuatu yang telah diterima pakai oleh majoriti rakyat sejak dahulu lagi.

11) Fahamilah bahawa kewujudan UiTM jika dilihat daripada aspek ekonomi sekalipun sebenarnya telah memewahkan dan memakmurkan ribuan peniaga-peniaga mahupun golongan korporat bukan Bumiputera yang menikmati lambakan ratusan ribu modal insan / pekerja-perkerja berpendidikan yang majoriti kos pengajiannya ditanggung oleh kerajaan tetapi hasilnya dinikmati mereka secara terang-terangan. Inilah yang dinamakan satu tindakan afirmatif (tegas) bijak yang membawa kepada situasi 'menang-menang' kepada semua kaum di Malaysia ini di akhirnya. Keupayaan UiTM mengendalikan semua kursus pengajiannya di dalam medium Bahasa Inggeris sejak berpuluh tahun dahulu lagi sememangnya diakui cukup disenangi oleh golongan korporat tersebut, mengatasi 'minat' mereka terhadap graduan institusi pengajian awam yang lain.

12) Sehingga Ogos 2008, terdapat 20 institusi pengajian awam di Malaysia yang berstatus universiti penuh (sila rujuk senarai di bawah), hanya satu sahaja yang kelihatan eksklusif kepada Bumiputera, ianya bukanlah sesuatu yang bagus untuk dipertikaikan tatkala terdapat banyak universiti mahupun kolej pendidikan swasta yang ditubuhkan pihak-pihak tertentu yang juga kelihatan 'eksklusif' untuk kaum-kaum Cina mahupun India.

Universiti Malaya (UM)
Universiti Sains Malaysia (USM)
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Universiti Putra Malaysia (UPM)
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Universiti Utara Malaysia (UUM)
Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
Universiti Malaysia Sabah (UMS)
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Universiti Darul Iman Malaysia (UDM)
Universiti Malaysia Kelantan (UMK)
Universiti Malaysia Pahang (UMP)
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

13) UiTM mempunyai objektifnya yang tersendiri buat Bumiputera manakala institusi-institusi kelolaan kaum Cina mahupun India juga sudah semestinya mempunyai misi-misi tertentu yang ingin dicapai. Setiap antara kita atas nama perpaduan Malaysia sewajarnya menghormati dan memahami kehendak-kehendak istimewa kaum-kaum tertentu dalam mencipta 'eksklusiviti' masing-masing. Daripada 'eksklusiviti' itulah nanti akan lahirnya bangsa Malaysia yang lebih kuat, lebih berilmu, lebih berkemahiran dan lebih berdaya saing sekaligus dapat berbakti dengan penuh bermakna ke arah melahirkan negara Malaysia yang lebih maju, lebih makmur dan lebih dihormati rakan mahupun lawan di arena antarabangsa.

Neba2020: Adakalanya hidup ini kita tidak akan dapat 100% apa yang kita idamkan mahupun angankan kerana 100% yang istimewa dan lengkap itu hanyalah Tuhan saja yang mampu memilikinya. Adakalanya kita terpaksa berkorban sedikit demi memastikan kita tidak kerugian secara total kerana setiap keuntungan yang besar hanya akan lahir dengan pengorbanan mahupun kerugian di peringkat awalnya ....

10 comments:

Aisy Faris & Aisy Fitri said...

Saya cenderung kepada isu melayu tetapi bukan berpihak pada mana-mana parti walaupun saya ada pendirian sendiri... Isu UITM baru-baru ini banyak membuatkan saya terfikir melayu akak jual melayu akhirnya... Apa gunanya untuk menyedapkan hati pihak lain atau untuk diterima oleh bangsa lain kita terpaksa menjual bangsa ... inikah kejayaan atau kehancuran ... sebenarnya apa yang dilakukan bukanya keadilan tapi kehancuran apatah lagi ia meragut kewibawaan uitm yang sebenarnya telah melahirkan banyak tokoh-tokoh dinamik dari bangsa sendiri

Anonymous said...

Jika tidak silap, ia merupakan pengetahuan umum bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengubah dasar kuata tersebut, kerana ianya dibawah bidang kerajaan pusat. Asalnya isu ini tidak perlu di perbesarkan sehingga isu lain yang lebih penting ditolak ke muka belakang akhbar di panel yang kecil; kerana itu hanya pandangan peribadi MB tersebut.

Apabila para pelajar UiTM berarak, ianya diberi lampu hijau, tetapi apabila parti/badan lain(NGO, etc.) membuat perarakan, ia dikatakan bukan budaya kita. Tidakah ini dinamakan berat sebelah atau 'double standard'?

Anonymous said...

salam~

alahai...

DULU, masa MENTERI UMNO Nazri Aziz bg cadngan buka 10% pd bukan bumiputera di MRSM x pula isu ni dimainkan media dan kerajaan UMNO sebegini rupa.. malah hari ini tidak jadi masalah pun di MRSM.. (mungkin)

DULU biasiswa JPA 90% utk MELAYU 10% utk bukan MELAYU, tapi sekarang ni 55% utk MELAYU, 45% utk bukan MELAYU, kenapa tidak dipersoalkn juga..

Ohh.. x apa.. mungkin isu ini bukan isu HAK MELAYU atau ia bukan cdngan dr PEMBANGKANG..

tak apa lah.. masing2 ada pdngan msg2.. tp jgn la berat sebelah pihak saja..

kenapa jika pihak Kerajaan sekarang ckp apa2 pun x apa, tp kalau dr pihak seberang sana pula, mcm2 jadinya.. boleh nilai sendiri..

saya suka bercakap isu ini bebas dr pengaruh politik sebenarnya.. biar isu ini dibincangkn secara akademik,ilmiah, sbg mahasiswa barulah saya sendiri akn membina diri saya..

sy juha pinta mahasiswa yg lain juga jg pndg isu ini dr pengaruh politik..

p/s: maaf komen kt atas tu pun dh ada pengaruh politik, tp cuma utk perbandingan saja..

Anonymous said...

ish ish abg aizam ni bagi opinion lebih kat pembangkang je.x ilmiah la.x salah mr fendi nk timbulkan isu uitm memandangkan isu ni mmg hangat dlm utusan n bharian.dalm seminggu ada 2 isu je yg keluar.Isu liwat sumpah dan isu student uitm berarak.x berkembang minda pembaca =p

Anonymous said...

aku sokong mina...melayu sepeti nie seolah-olah x kenang budi....ibarat kacang yang lupakan kulit..sedarla bangsa melayu oi...
DAP tu di Penang pun DEB dihapuskan...PKR jadi patung boneka ja

Hazwan said...

salam alaikum.. pada pendapat sylah.. kuota tuh mmg wajar kerana dari mulut sorg academician di UITM shah alam... melayu di sana sangat malas.. sy rasa mereka harus dibuka minda agar bergaul jugak bersama dengan non malay... barulah otak tak bengap.. contohnya apa berlaku pada gerakan pemuda UMNO.. mereke menyerang Jabatan Perkhidmatan kerana membuka kan kuoata org non malay utk dpt scholarship tp ada kah mereka tahu bahawa ada banyak lagik company sperti PNB yang kouta melayu tingi..

maaf kalau speeling salah :P
melayu akan berkembang jika tidak tekongkong oleh ideologi perkauaman yang dahysat

fendy_ahmad said...

Salam,

Saya suka membayangkan akan betapa HEBATnya bangsa MELAYU tiadanya DEB sejak tahun 1970 itu...

Dari zaman 1957 hingga 1970, hebat sungguh rupanya perkembangan Melayu yang bersaing sama rata tanpa keistimewaan ketika itu rupanya ?

Syabas Melayu kerana kalian sudah MAMPU rupanya ! Syabas terlebih dahulu buat pelajar Melayu yang akan jadi 100% hebat selepas ini bila kita 'buka' semuanya !

squall-shinoda said...

Langkah menjadikan UiTM "eksklusif untuk Bumiputera" boleh dikatakan salah satu daripada rancangan dalam Dasar Ekonomi Baru untuk melahirkan lebih ramai golongan cerdik pandai Melayu, memandangkan semasa pra-rusuhan 13 Mei 1969 amat sedikit orang Melayu yang dapat melanjutkan pelajaran akibat kemiskinan. Begitu juga dengan AUKU yang diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir, yang tertujuan untuk memastikan mahasiswa Melayu menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran tanpa sebarang pengaruh politik.

Namun demikian, pembukaan UiTM untuk Bumiputera sahaja, pembentukan DEB dan AUKU sememangnya ada "drawback" tersendiri. Misalnya, jika UiTM dibuka hanya untuk Bumiputera sahaja maka golongan "terpandai" di situ akan mengalami sindrom "feel-good" kerana tidak perlu bersaing dengan pelajar Cina yang lebih pandai. Ini memang saya tak setuju, kerana saya percaya kita hanya akan mampu jadi hebat jika kita bersaing dengan orang yang hebat. DEB terpaksa "mengorbankan" sebahagian hak dan kekayaan kaum lain untuk membantu orang Melayu berdiri sama tinggi dengan kaum lain yang lebih berjaya, namun DEB terbukti tidak berjaya 100% berikutan sindrom "take things for granted" dan gejala kronisme melibatkan pemimpin-pemimpin generasi lebih baru seperti Rafidah Aziz dan isu APnya. AUKU pula berkemungkinan disalahgunakan oleh parti pemerintah ataupun naib-naib canselor pembodek untuk kepentingan politik sendiri, misalnya semasa pilihan raya kecil Ijok 2007 terdapat IPTA yang mengerahkan beberapa pelajarnya berkempen untuk BN sungguhpun itu pun sebenarnya salah mengikut AUKU. Begitu juga dengan demonstrasi siswa UiTM yang dikerah oleh MPM UiTM dan naib canselornya untuk membantah kenyataan Tan Sri Khalid. Mujurlah, kali ini pelajar yang terlibat akan dihukum di bawah AUKU sungguhpun mereka menentang pembangkang, sekaligus memulihkan semula keluhuran AUKU yang selama ini tercalar akibat salah guna politik.

Baru-baru ini, firma-firma dan syarikat menapis ketat calon pekerja dari kalangan graduan UiTM akibat demonstrasi tempoh hari. Mereka tidak akan menerima graduan yang menyertai tunjuk perasaan menentang Tan Sri Khalid itu kerana pekerja dari kalangan graduan sedemikian berkemungkinan akan mencetuskan keadaan huru-hara jika syarikat mengalami krisis.

Jika difikirkan balik pun, kita kena akui bahawa saranan Tan Sri Khalid sebenarnya tak ubah seperti usaha Tun Dr. M membuka sedikit kuota untuk pelajar bukan Melayu dengan harapan mereka menggunakan peluang ini untuk bersaing secara sihat tanpa sindrom "feel-good". Oleh itu, sebagai orang Melayu kalau kita marah bangsa sendiri dikutuk, kita kena buktikan bahawa tanggapan mereka sangat meleset. Tapi apa yang dibimbangkan ialah tanggapan pengkritik Melayu sebenarnya lebih menghampiri benar daripada salah! Fikir-fikirkanlah.

Anonymous said...

haha... perli nampk.. bukan buka semuanya.. buka 10% peratus ja.. x bnyk.. =)

kalau x nak bagi xpela.. simpan la 10% yg terlalu bnyk tu.. :)

Anonymous said...

Eh yang populis tu orang BN....Tan Sri Khalid cuma MENCADANGKAN. Yang mencetuskan orang BN yang sekarang ni bagaikan kapal TITANIC. Inilah orang namakan dah 2008 masih bermain dengan sentimen kaum. Sebagai rakyat Malaysia berbangsa Melayu, saya tidak mempunyai masalah untuk membuka 10% UiTM kepada rakan2 kita yang bukan bumiputera. Ini adalah kerana, mereka adalah sebahagian daripada keluarga kita Malaysia. Cadangan Tan Sri Khalid itu memang bagus sekali dan tepat pada masanya. Ini adalah pada 2008 ini, kita sudah cukup matang dan berupaya untuk berkongsi dan bersaing bersama saudara2 kita yang lain yang terdiri daripada Cina, India, dan sebagainya. Kita sudah pun sampai ke tahap dan objektifnya dan sudah masanya kita menuju ke hadapan dengan objektif yang baru. Secara perdibadi, bukankah universiti2 ini adalah hasil penat lelah kaum2 lain juga? Kita harus bersyukur kerana mereka tidak membuat kecoh walaupun UiTM hanya dibuka 10% sahaja kepada mereka. Kita sebagai manusia harus bersyukur, kerana dikurniakan negara yang cukup baik, aman dan kaya. Oleh itu, kita harus hidup dengan baik bersama-sama dengan kaum lain. Kita dicipta berbagai-bagai oleh Tuhan yang Maha Esa. Saya rasa dalam bentuk yang pelbagai inilah kita boleh menjadi insan yang prihatin dan penyayang kepada semua mahluk ciptaanNya. Oleh itu, janganlah kita mempunya persepsi perkauman dalam diri kita kerana bumi ini hak Tuhan yang diberikan kepada semua mahluk ciptaanNya. Ingatlah, ingatlah, ingatlah wahai manusia, kita cuma menjadi tetamu di bumi ini dan janganlah bersengketa di atas perkara yang tidak kekal abadi. Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia harus bertaubat dan mengubah pandangan kita yang serong dan mementingkan diri ini untuk kesejahteraan negara. DSAI boleh dikatakan sudah menuju ke arah itu. Pada pandangan saya, komen beliau adalah ejen atau boneka DAP tidaklah benar kerana, kalau DSAI adalah boneka sahaja mengapa BN begitu takut kebangkitan beliau dalam politik? Saya percaya, BN amnya dan UMNO khasnya haruslah mengubah pandangan baru yang tidak memihak kepada kaum sendiri sahaja tetapi mempunyai persepsi untuk membawa kebaikan kepada manusia sejagat. Jadi, pennyataan2 jenis ugutan seperti "gadai melayu", "korbannya melayu", "hak melayu" dan sebagainya tidak harus digunakan sewenang-wenangnya. Politik boleh membawa kebaikan sekiranya digunakan sebaik mungkin tetapi akan meruntuhkan sebuah negara sekiranya disalahgunakan. Saya cuma orang akedemik Sains Politik dan memberi pandangan saya sebagai seorang akedemik. Oleh itu, fikirlah secara terperinci apa yang saya katakan.

p.s- Kalau ada silap dan salah jgnlah simpan didalam hati.


Sekian, wasalam.