1) Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008 ini dijangkakan akan dimenangi Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mudahnya, Barisan Nasional (BN) melalui calonnya daripada UMNO bolehlah bermimpi sahaja untuk menakluk kerusi tersebut yang terlepas ke tangan Parti Keadilan Rakyat (PKR - dulunya dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional) sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke 10 pada tahun 1999.
2) Anwar adalah umpama wira di kalangan majoriti pengundi di Permatang Pauh tetapi tidaklah semua pengundi 'mempercayai Anwar dan PKR' di tanah keramat Anwar itu kerana sewaktu PRU ke 13 pada 8 Mac 2008, BN masih mampu mengaut 16 950 undi dengan PKR sebanyak 30 348 undi. PRU 11 pada tahun 2004 pula menyaksikan BN hanya tertinggal 590 undi sahaja di belakang PKR (BN: 21 147 undi, PKR: 21 737 undi). Anwar wajar dianggap mempunyai pengaruh yang kuat di sana tetapi tidaklah mempunyai kekebalan di tahap 100%.
3) PRK ini diadakan dikala sentimen rakyat terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berada ditahap yang lebih teruk berbanding dengan keadaan pada 8 Mac 2008. Kenaikan kos bahan api melebihi 40% pada bulan Jun 2008, disertai dengan kenaikan tarif elektrik pada bulan Julai 2008 telah membawa kepada rantaian kenaikan kos majoriti barangan dan perkhidmatan di seluruh negara sehingga kadar inflasi untuk bulan Jun 2008 (7.7 %) disifatkan yang tertinggi dalam tempoh melebihi 20 tahun di negara ini.
4) Keangkuhan Abdullah terhadap 'suara-suara' akar umbi UMNO yang ternyata telah menolak kepimpinannya ternyata memburukkan lagi keadaan. Abdullah cuba 'meredakan' perasaan benci ahli-ahli dan juga penyokong UMNO khasnya serta BN terhadapnya dengan cuba melakar 'pelan peralihan kuasa' kepada Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak menjelang Jun 2010 walhal beliau 'sedia maklum' bahawa majoriti inginkan beliau berundur menjelang akhir 2008 supaya proses 'pemerkasaan dan pemulihan semangat' UMNO dan juga BN secara lebih bertenaga dapat dijalankan dengan segera. Kehadiran Abdullah sebagai ketua yang menanti masa untuk berundur menjelang tahun 2010 sebenarnya akan merencatkan matlamat proses tersebut.
5) Kekuatan utama Anwar yang bijak bermain dengan sentimen dan hebat dalam membuai emosi rakyat tidaklah boleh dipandang remeh, beliau adalah juara bertahan 'syarahan politik' yang sehingga kini tidak terlawan oleh mana-mana ahli politik lain di Malaysia ini. Kuasa kemahiran komunikasi Anwar teramatlah sukar untuk dicantas oleh pemimpin-peminpin semasa UMNO dan juga BN. UMNO dan BN memerlukan pemimpin yang bijak merangka strategi fakta dan huraian kes yang padu lagi jitu untuk menangkis kuasa komunikasi Anwar itu. Malangnya, pemimpin UMNO dan BN pada masa ini sudahlah lemah kemahiran komunikasinya, lemah juga dalam merangka fakta serta tidak berkemampuan menghurai kes dengan baik sehingga kelihatan 'lemah minda, cetek ilmu.' Rakyat tidak boleh dipersalahkan andai mereka tertawan dengan kuasa komunikasi Anwar itu !
6) Dengan kes liwatnya yang telah 'masuk mahkamah' dan proses pembicaraannya akan bermula sekitar September 2008, ramai yang beranggapan Anwar adalah mangsa 'politik kotor' yang diorkestrakan UMNO. Sama ada Anwar bersalah ataupun tidak, majoriti yang bersimpati dengan Anwar telah menetapkan di dalam minda mereka bahawa Anwar adalah mangsa yang teraniaya dan Anwar tidak bersalah sama sekali. Kes tersebut bukan lagi menjadi satu bebanan ataupun liabiliti kepada Anwar sebaliknya telah digunakannya sebaik mungkin sehingga kelihatan menjadi 'asset berharga' pula kepada 'kempen-kempen' politik beliau. Itulah kehebatan Anwar yang mampu mempositifkan setiap yang negatif tentang dirinya sehingga mampu memikat sentimen kasihan umum kepadanya.
7) Dengan proses pemilihan UMNO yang akan berpanjangan sehingga Disember 2008 ini, kesepakatan di kalangan pemimpin-pemimpin kecil sehinggalah yang bertaraf tinggi bolehlah dianggap agak 'renggang' juga tidaklah sekukuh di musim-musim PRU ke 13 beberapa bulan yang lepas. Masing-masing akan cuba menunjukkan mereka membantu dan bekerja keras di Permatang Pauh atas nama parti tetapi sebaliknya mereka sedang sebok berpolitik di kawasan masing-masing untuk dipilih semula, menentang yang sedia ada mahupun berkempen bagi pihak-pihak tertentu yang disayangi. Ini semestinya memberi kelebihan besar kepada pakatan pembangkang untuk berkempen dengan satu hati satu matlamat, terus membenam UMNO dan BN di kerusi tersebut.
Neba2020: Misi Anwar adalah misi tidak mustahil, misi UMNO dan BN adalah misi mustahil ....
2 comments:
Hanya Allah s.w.t yang mengetahui segalanya ... Anwar saya lihat bukan memperjuangkan bangsa dan agama tetapi keadilan untuk diri sendiri. Semoga tuhan meletakan ketua negara yang sepatutnya yang membawa kepentingan agama dan bangsa .
Itu kita akan tunggu dan lihat. Jika beliau gagal untuk mengotakan janjinya, percayalah, bahawa dia tidak akan duduk senang nun diatas sana.
Saya rasa, rakyat sudah penat diperkotak-katik-kan oleh ahli-ahli politik yang mementingkan kepentingan peribadi daripada menangani masalah negara (kewangan, kompetitif,etc.) yang semakin runcing.
Post a Comment