Salam Buat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia,
Dato' Seri,
Kira-Kira 11 tahun lepas, saya diberikan kepercayaan oleh guru Bahasa Melayu iaitu Puan Asmah Ahmad untuk mewakili sekolah (Sekolah Tinggi Segamat, Johor) di dalam sebuah Pertandingan Menulis Esei yang berkaitan dengan kempen anti-dadah peringkat daerah. Saya telah memilih sebuah tajuk yang cukup mudah bunyinya tetapi penuh dengan semangat dan impian.
Tajuk esei itu ialah 'Cita-Citaku Yang Membara !'
Masih segar di minda saya betapa di salah satu perenggannya, hati kecil saya yang baru hendak menjejak usia 15 tahun ketika itu dengan penuh kepercayaan dan mulusnya telah mengarahkan jari-jemari munggil ini untuk mencoretkan frasa-frasa di bawah ini:
" Saya hendak menjadi seorang pemimpin, nakhoda pentadbiran memacu negara ke mercu kejayaan. Saya ingin menjadi seorang pemimpin yang membawa jasa kepada masyarakat dan negara. Saya ingin menjadi seorang wira bangsa yang bijak berfikir lagi luas pandangannya serta penuh dengan wawasan kecemerlangan, pemimpin kekaguman rakyat yang bernama Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad. Saya ingin menjadi pemimpin yang penuh karisma ketokohannya seperti Dato' Seri Anwar Ibrahim yang bijak berkomunikasi, penuh intelek juga luas kemahiran bahasanya. Saya juga ingin menjadi seperti Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang penuh sifat sabarnya, bersih selalu dan tinggi nilai kesetiaannya walau pernah dilanda kecewa politik. Saya ingin menjadi seorang pemimpin yang mempunyai ciri-ciri 3 personaliti yang amat saya kagumi ini ! "
Yang Amat Berhormat Dato' Seri,
Pada tahun 1995, tiada siapa yang menyangka bahawa seorang yang bernama Abdullah Bin Ahmad itu akan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke 5 kerana sewaktu itu hanya orang yang tidak bijak ilmu politiknya sahaja yang akan meletakkan nama Abdullah itu di posisi ke 5 untuk melengkapkan teori RAHMAN yang popular itu.
Saya tidak pernah memandang nama Abdullah Bin Ahmad itu dengan pandangan enteng mahupun murahan kerana hati kecil saya seawal usia satu angka lagi sudah mula 'sayang dan kagum' kepada sang pemilik nama itu. Saya sebagai pencinta UMNO amat kagum dengan pendirian Dato' Seri pada tahun 1987 yang 'sekapal' dengan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dan Tun Musa Hitam untuk mencabar kepimpinan Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad. Rangkaian Ku Li yang Dato' Seri sertai itu mempunyai keazaman tinggi untuk menyingkirkan Dr. Mahathir daripada terus mengepalai UMNO sewaktu pemilihan parti 1987. Akibat daripada perebutan hangat itu, UMNO diharamkan.
Dr. Mahathir menubuhkan UMNO Baru dan majoriti daripada ahli-ahli UMNO yang diharamkan telah berdiri teguh di belakang insan yang bernama Mahathir Mohamad itu. Ku Li dan pengikut-pengikutnya telah berpaling daripada jalan penyatuan dengan menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 (diinspirasikan oleh tahun penubuhan UMNO serta tahun bermulanya perjuangan bangsa Melayu menentang Malayan Union pada 1946).
Kagumnya saya dan hormatnya saya kepada tindakan yang Dato' Seri tunjukkan ketika itu secara mudahnya telah membuatkan saya secara yakin lagi tanpa berbelah bagi untuk meletakkan insan bernama Abdullah Bin Ahmad itu dikedudukan tiga serangkai pemimpin Melayu dekad 1990-an yang paling saya kagumi dan sayangi ! Dato' Seri tetap setia dengan UMNO dan Dato' Seri tetap yakin dengan wadah perjuangan UMNO walaupun Dato' Seri tidak sealiran dengan Presidennya ketika itu. Dato' Seri bagi saya adalah pejuang yang sejati dan tidak meletakkan emosi dan kepentingan diri sendiri merajai segalanya. Dato' Seri sanggup menerima 'hukuman politik' dengan disingkirkan daripada Kabinet pentadbiran Dr. Mahathir selepas peristiwa hitam 1987 itu. Selama kira-kira 3 tahun kemudiannya, Dato' Seri hidup di dalam keadaan 'muram kuasa, muram politik.'
Berkat kesetiaan Dato' Seri kepada UMNO dan kerajaan, insan bernama Mahathir Mohamad itu telah terbuka hatinya untuk 'menghidupkan' semula karier politikmu wahai Dato' Seri. Insan itu telah melantikmu semula sebagai Menteri Luar buat negara Malaysia ini. Dr. Mahathir mengatakan bahawa walaupun Dato' Seri pernah bersekongkol menjatuhkannya secara langsung pada tahun 1987, tetapi UMNO tetap di hati Dato' Seri dan ahli UMNO masih banyak yang menyokong Dato' Seri. Mahathir Mohamad itu telah meletakkan dendamnya di belakang dengan mengangkat semula orang yang cuba 'menikamnya' di posisi kekuasaan barisan Kabinet peneraju negara.
Pada tahun 1993, Dato' Seri pastinya ingat betapa gelombang 'Team Wawasan' yang ditunjangi Anwar Ibrahim telah menyebabkan peranan dan karier politik Dato' Seri sekali lagi ditempuh gerhana. Dato' Seri bersama-sama dengan Tan Sri Sanusi Junid telah 'hilang' kedudukan sebagai Naib Presiden UMNO setelah '3 paksi tenaga muda' bernama Muhyiddin Yassin, Najib Abdul Razak dan Muhammad Muhd. Taib telah mendapat sokongan padu ahli-ahli UMNO. Mereka merasakan bahawa Abdullah Bin Ahmad bukan lagi pilihan 'cinta-sayang pengarang jantung.' Sekali lagi karier politik Dato' Seri ditimpa 'musibah' yang seakan menutup terus laluan perjalanan politik yang selanjutnya. Tetapi nampaknya, Mahathir Mohamad itu masih menaruh kepercayaannya kepada Dato' Seri. Dato' Seri tetap dikekalkan sebagai Menteri dan Dato' Seri terus diberi peluang untuk kekal bertanding di Parlimen Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum 1995 walaupun di Pulau Pinang sendiri, populariti Anwar Ibrahim sebagai 'pemimpin agung' Melayu Pulau Mutiara telah menenggelamkan sedalamnya ketokohanmu wahai Dato' Seri.
Dato' Seri, takdir Tuhan melebihi segalanya, berkat 'kesetiaan' dan berkat 'jalan selamat' yang selalu kau pilih dalam mencatur perjalanan politikmu dan berkat percayanya Mahathir Mohamad kepada perawakan dan identiti 'mulus lagi bersih' yang kau pamerkan itu, maka segalanya berubah pada Januari 1999. Sejarah mungkin berbeza andai tidak berlakunya peristiwa 2 September, 1998 yang membawa kepada pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya hilang jawatannya sebagai Timbalan Presiden UMNO. 'Berkat' peristiwa September di tahun 1998 itulah maka tanpa disangka seorang yang telah melalui proses 'kemuraman dan kemarau' di dalam karier politiknya pada tahun 1987 dan 1993 akhirnya berjaya 'hidup semula' dengan jayanya dengan diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang ke 8.
Setelah pemecatan Anwar Ibrahim, ramai yang berasa betapa Najib Abdul Razak akan tertabal sebagai Timbalan Perdana Menteri kepada Dr. Mahathir memandangkan beliau berada di kedudukan Naib Presiden yang terkanan berbandingmu wahai Dato' Seri. Ketika itu Dato' Seri hanyalah Naib Presiden UMNO di kedudukan yang ketiga dibelakang Najib dan juga Muhammad Muhd. Taib.
Suasana politik di sekitar lewat 1998 dan awal 1999 dengan perangkaan Dr. Mahathir untuk mengadakan pilihan raya sebelum berakhirnya tahun 1999 telah menyebabkan Dato' Seri dilantik ke jawatan kekuasaan ke dua tertinggi itu. Alasan yang diyakini ramai ialah kepercayaan Dr. Mahathir bahawa imej Islamik dan perwatakan bersih Dato' Seri itu adalah 'senjata' yang cukup ampuh untuk membendung 'gelombang' hebat yang dibawa oleh parti PAS yang sewaktu itu kelihatan cukup berpengaruh di bawah kelolaan Allahyarham Fadzil Noor. Faktor 'simpati' bangsa Melayu kepada Anwar Ibrahim turut menguatkan lagi sebab-musabab 'terlantiknya' Dato' Seri ke jawatan itu. Maka pilihan Dr. Mahathir itu ternyata kelihatan 'tepat' lagi sesuai buat detik itu dan sejarah menunjukkan bahawa 'gelombang' PAS pada tahun 1999 itu masih tidak cukup untuk meranapkan UMNO dan Barisan Nasional.
Selanjutnya adalah satu episod sejarah yang telah menyaksikan Dato' Seri 'tertabal' sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 5 pada tanggal 31 Oktober, 2003 di petang Ramadhan Al-Mubarak yang penuh kemuliaan dan kebesarannya.
Namun Dato' Seri, langit tidak selalunya cerah, pelangi tidak semestinya penuh dengan keceriaan warna-warni kehidupan, angin sepoi-sepoi bahasa bukan bererti laut akan tenang selalu dan suka tidak bererti cinta selamanya...
Dato' Seri pernah saya angkat sebagai IDOLA kebanggaan, IDOLA kekaguman dan IDOLA kesayangan di tangga ke 3 selepas Dr. Mahathir dan Anwar Ibrahim. Kalian bertiga cukup KUAT mempengaruhi perjalanan hidup saya seawal usia awal belasan tahun.
Malangnya setelah kuasa dan hala tuju negara ini jelas menjadi milik Dato' Seri, semakin lama semakin menipis kepercayaan saya kepadamu wahai Perdana Menteriku...
5 faktor di bawah telah menghakis langsung kesetiaan saya kepada Dato' Seri dan amat payah untuk saya menepisnya dengan sekelip mata sepantas pintasan angin:
1) Dato' Seri telah gagal dalam mengujudkan sebuah kehidupan yang makmur buat rakyat jelata. Dato' Seri, apalah maknanya makmur andai rakyat semakin terhimpit dengan bebanan kehidupan yang semakin hari semakin runcing lagi menakutkan. Di manakah simpati Dato' Seri kepada rakyat jelata yang memberikan sokongan 'raksasa' kepada parti Dato' Seri sewaktu Pilihan Raya Umum 2004? Tidakkah Dato' Seri terfikir bahawa poket rakyat jelata semakin menipis dan tiada ruang untuk memikirkan simpanan masa hadapan? Pernahkah Dato' Seri terbayang betapa nilai duit dan kuasa membeli rakyat jelata disepanjang 4 tahun pertama pemerintahan kerajaan cemerlang, gemilang dan terbilang ini sebenarnya semakin menurun dengan drastiknya?
2) Dato' Seri ternyata telah menjadi umpama manusia yang 'bertopeng.' Dato' Seri lupa pada sejarah dan Dato' Seri telah menjelma bagaikan seorang insan yang tidak mempunyai adab, miskin budaya dan rendah kemanusiannya ! Dato' Seri lupa betawa insan bernama Mahathir Mohamad itulah yang telah 'menyelamatkan' karier politik Dato' Seri yang sepatutnya telah tamat di dalam lipatan sejarah Malaysia ini sejak tahun 1987 lagi ! Dato' Seri telah diberikan talian hayat yang pertama pada tahun 1990 dan sekali lagi mendapat talian hayat yang kedua pada tahun 1993. Semuanya kerana besar budi dan tiadanya jiwa 'mengenang dendam' di dalam hati Mahathir Mohamad itu. Dato' Seri telah berjaya 'menyerang dan menyakitkan' jiwa Mahathir Mohamad itu dengan 'memusnah dan memansuh' pelbagai idea-idea insan itu di kala Dato' Seri telah menguasai pentadbiran negara. Dato' Seri juga seakan 'riang dan gembira' melihat pendekar-pendekar murahan Dato' Seri seperti Nazri Aziz, Mahadzir Khalid dan Khairy Jamaluddin itu 'menghentam dan mencerca' Bapa Pemodenan Malaysia itu secara terbuka dalam usaha mereka untuk 'mempertahankan' Dato' Seri daripada serangan bijak Mahathir Mohammad. Mengapakah Dato' Seri tidak bertindak seperti Mahathir Mohamad yang pernah melarang sesiapa jua daripada mengutuk mahupun mencaci Almarhum Tunku Abdul Rahman yang pernah mengkritik kepimpinan Mahathir Mohamad di pertengahan 1980-an dahulu? Mengapa Dato' Seri tidak mempunyai hemah kemuliaan seperti itu? Tindakan 'senyap sepi' Dato' Seri yang kononnya adalah 'elegant silence' seperti yang cuba dimomokkan oleh seorang tokoh oportunis bernama Tun Musa Hitam itu pula dapat kami rakyat jelata tafsirkan sebagai kurangnya ilmu, lemahnya mindamu wahai Dato' Seri.
3) Dato' Seri, imejmu cukup tercalar di mata rakyat jelata dek kerana tingkah-laku menantu kesayanganmu, si Khairy Jamaluddin lulusan Oxford yang sentiasa cuba menjadi jaguh arena se Malaya ! Tidak pernah wahai Dato' Seri di dalam sejarah Malaysia seorang Perdana Menteri memberikan keizinan langsung buat anak mahupun menantunya untuk terlibat aktif di dalam arena politik sewaktu mereka masih di tampuk kekuasaan kerana dikhuatiri akan mengundang prasangka negatif di kalangan rakyat jelata. Malangnya Dato' Seri, 'pengurusan sentimen dan imej' yang kau jana itu adalah di tahap yang cukup tidak matang hingga menjadi 'racun hempedu' yang telah merosakkan namamu sendiri. Sayang seribu kali sayang !
4) Dato' Seri, sejak mutakhir ini kami bangsa Melayu semakin terasa terpinggir ! Engkau adalah PRESIDEN UMNO, sebuah parti yang tertubuh di ISTANA JOHOR pada tahun 1946 dengan aspirasi untuk terus menobatkan maruah dan keagungan bangsa Melayu sebagai TUAN kepada bumi bertuah ini yang sebenarnya bermula dengan nama agung, TANAH MELAYU. Dato' Seri telah menyakitkan hati kami bangsa Melayu ! Dato' Seri begitu bangga untuk mengatakan bahawa Dato' Seri adalah PERDANA MENTERI untuk seluruh rakyat Malaysia ! Ya, tiada siapa yang akan menafikan kenyataan itu, maka tidak perlulah Dato' Seri mengumumkannya secara terbuka kerana 26 juta rakyat Malaysia memang sudah sedia maklum akan kenyataannya. Tetapi Dato' Seri, tingkah-lakumu itu sudah menghiris jiwa kami bangsamu sendiri yang ingin berpayung di bawah paksi UMNO yang seWAJIBnya terus berjuang demi kepentingan MELAYU, demi survival MELAYU ! Dato' Seri melarang pejuang-pejuang UMNO daripada menimbulkan isu berbaur KEMELAYUAN di Persidangan Agung UMNO tetapi rakan-rakan se Malaysia yang lain ada pula yang bersikap kurang ajar dengan mencabar kedaulatan Melayu dan meminta-minta sesuatu yang amat menyakitkan jiwa kami bangsa Melayu ! Di manakah keadilannya wahai Dato' Seri harapan kami? Andai Dato' Seri terlalu ingin menjadi seorang yang liberal dan terlampau ingin mengagungkan konsep 'satu untuk semua' maka UMNO bukanlah parti yang sesuai untuk Dato' Seri payungi lagi !
5) Dato' Seri, sedar dan bangkitlah daripada lenamu itu.... Kami sudah merindui untuk memiliki seorang Perdana Menteri yang sekurangnya mampu untuk kelihatan bijak dan layak untuk dihormati. Kami memerlukan seorang pemimpin utama yang tidak lemah pemikirannya, tajam akalnya dan cekap tindakannya. Kami memerlukan seorang ketua yang mudah menjawab segala permasalahan, cekap mengatur kata-kata dan tidak lupa kepada fakta dan musabab. Dato' Seri, semakin ramai rakyat jelata yang mentertawakan ucapan dan komentar langsungmu di media massa. Rakyat semakin ramai yang mempersendakan kredibilitimu untuk bertindak dan berfikir. Rakyat semakin ramai yang merasa bosan dan mengantuk untuk mendengar kata-katamu. Alahai Perdana Menteriku.....
Akhir kata, buat Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi....
SAYA TIDAK PERNAH MEMUSUHIMU KERANA SAYA TIDAK MAHU HIDUP SAYA KELAK DIPENUHI DENGAN MUSUH.... SAYA TIDAK PERNAH MENDOAKAN SESUATU YANG BURUK BUATMU KERANA KITA ADALAH SEBANGSA DAN SEAGAMA.... SAYA JUGA TIDAK PERNAH TERINGIN UNTUK MENGKHIANATIMU MAHUPUN BERPALING DARIPADA ASAS PERJUANGAN UNTUK MEMARTABATKAN BANGSA, AGAMA DAN NEGARA....
PERCAYALAH DATO' SERI, WALAU SAYA TIDAK SENANG DENGAN TINDAK-TANDUKMU TETAPI KESETIAAN SAYA DAN KEPERCAYAAN SAYA KEPADA PARTI YANG SAYA SAYANGI INI TIDAK AKAN LUNTUR SELAMANYA.... SEMANGAT PARTI KESAYANGAN AKAN TERUS KUKUH DI BENAK MINDA SAYA DAN JASA-JASA PERJUANGAN PARTI AKAN TERUS MENJADI INSPIRASI UNTUK SAYA TERUS MENGENANG BUDI DAN MELEBAR-LUASKANNYA SEDAYA MUNGKIN....
SAYA AKAN TERUS MENYOKONG DAN BERDOA DEMI KESEJAHTERAAN BANGSA SAYA, AGAMA SAYA DAN NEGARA SAYA.
JIWA SAYA SELAMANYA DI BAWAH PAKSI UMNO DAN BARISAN NASIONAL !
neba2020: Anak Johor akan terus bersama semangat UMNO ! Pemimpin silih-berganti, semangat dan aspirasi perjuangan tetap sama; Dulu, kini dan selamanya !
2 comments:
Syabas sahabatku fendy! Memang 5 alasan paling kuat kenapa Pak Lah semakin hilang kaliber sebagai PM:-
1.) Gagal membangunkan ekonomi Malaysia dalam erti kata sebenar tetapi berjaya menipu statistik dengan menunjukkan angka2 yang semakin meningkat. Kalau benar pun, apalah ertinya semua itu kalau RM dirasakan semakin tak bernilai disebabkan kos sara hidup yang gagal dikawal - samalah macam tak naik gaji ataupun lebih teruk lagi gaji tak naik tapi kos sara hidup mencanak naik!
2.) Munafik dan suka berbohong. Bukan setakat menipu statistik saja, malah nak umumkan tarikh pilihan raya pun masih juga berbohong. Apakah Islam Hadhari menghalalkan pembohongan...?
3.) Nepotisme. Nak tahu apa sebab utama kenapa Indeks Persepsi Rasuah Malaysia adalah rendah? Sebabnya ialah pemimpinnya sendiri pengamal utama nepotisme, jagi tak hairanlah jika rasuah makin menjadi-jadi!
4.) Lembik dan tidak tegas. Masa zaman Tun Dr. M dulu tak ada siapa pun yang berani buat kacau dalam parlimen terutama berhubung isu-isu kaum kerana Tun Dr. M amat tegas dan amat mengutamakan disiplin. Macam mana pula dengan sekarang? Sudahlah PM kaki tidur, tak tegas pula tu... sebab itulah boleh ada perhimpunan haram Hindraf dan cadangan suruhanjaya antara agama suatu ketika dulu!
5.) Kaki tidur. Inilah satu sebab utama kenapa rakyat semakin hilang rasa hormat terhadap Pak Lah. Sepatutnya masa senggang digunakan untuk meninjau keadaan rakyat, meninjau resipi bagaimana negara seperti Jepun dan Korea boleh maju... Bila banyak tidur dan minda pun tertutup, Malaysia pun semakin hilang kehormatannya di mata dunia.
assalamualaikum,
saya berpendapat, kita sebagai rakyat malaysia harus bijak memilih pemimpin.
Kita haruslah berfikiran rasional dan bukannya emosional, kerna emosional tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan kepada negara sebaliknya kepuasan individual.
Apa yang hendak saya tegaskan, rakyat malaysia harus berfikiran terbuka dalam menentukan arah tuju negara. Adakah Parti Politik malaysia kini mementingkan parti dari membantu rakyat?
Saya melihat, parti bn sejak akhir-akhir ini menunjukan sifat berlumba-lumba seperti pertandingan `RUMAH SUKAN YANG PALING CANTIK'.
Saya lihat, Kefahaman Ahli-ahli parti umno itu seperti seorang yang ekstrem tentang kaum tetapi duduk dalam satu kelompok dikatakan majmuk. Sedangkan Pemimpin di atas hanya duduk bersembang tanpa memikirkan tentang kesusahan rakyat.
Kita seharusnya tidak memperkatakan tentang keburukan sesama manusia kerna kita sendiri merupakan hamba di sisinya.
Kita harus memikirkan jalan penyelesaian dan bukannya menunding jari mencari kesalahan.
Setiap manusia di dunia ini, allah jadikan untuk saling bantu membantu. Manusia harus berfikiran rasional dan sabar kerna itu lah cara terbaik untuk menentukan masa depan tidak kira negara mahupun kejayaan individual.
Wassalam.
Post a Comment