Wednesday, March 26, 2008

Tan Sri Muhammad Muhd. Taib: Jangan Sediakan Kafan Untuk UMNO !

Salam Buat Yang Berhormat Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib,

Tahniah kerana di bawah pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah), 'Senator Mat Taib' telah mengalami 'pemulihan' dan 'penyawaan' semula yang cukup hebat dan tak tersangka.

Riwayat politik Tan Sri yang turut dikenali sebagai 'Mike Tyson' ini seolah telah 'mati' tatkala beliau 'terperangkap' dengan isu tertangkap di lapangan terbang kerana membawa wang tunai bernilai jutaan Ringgit dalam pelbagai mata wang asing di Australia pada tahun 1996. Akibat langsung daripada tragedi memalukan itu, beliau terpaksa mengundur diri daripada jawatan Menteri Besar Selangor. Ketika itu, Tan Sri Mat Taib turut memegang jawatan Naib Presiden UMNO. Agak menarik untuk direnungkan betapa 'kuasa dan imej' si 'Mike Tyson' ini amat berbisa sekali kerana tetap mampu memenangi jawatan Naib Presiden itu buat penggal yang ketiga pada Pemilihan Agung UMNO tahun 2000 walaupun sudah tidak diberikan sebarang tempat di dalam pentadbiran kerajaan yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohammad. Walaubagaimanapun, Mat Taib ini gagal memenangi sebarang jawatan rasmi di dalam UMNO pada pemilihan tahun 2004 !

Imej beliau sebagai seorang pemimpin juga sebenarnya telah lama 'rabak dan hancur' sejak beliau membawa lari Puteri Sultan Selangor ke luar negara untuk dinikahinya secara sembunyi ! Peristiwa pada tahun 1980-an ini sememangnya cukup memalukan kerana ianya dilakukan seorang yang bertaraf Menteri Besar. Kelihatan disini betapa rekod moral beliau sememangnya terlebih layak untuk dipertikai dan diselidiki sedalamnya.

Karier politik Tan Sri seorang ini nampaknya bergemerlapan semula di zaman pemerintahan Pak Lah. Beliau ditabal sebagai Ketua Penerangan UMNO, juga diangkat menjadi Ahli Dewan Negara (Senator) dan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12, turut digossipkan bahawa beliau mungkin dicalonkan Barisan Nasional untuk bertanding di Parlimen Shah Alam. Tetapi bagaikan rahmat juga apabila beliau tidak terpilih untuk bertanding kerana andainya dijadikan calon Barisan Nasional sudah pastilah 'kasayangan' Pak Lah ini akan 'tercemar' lagi namanya sebab 'tewas' kepada calon PAS di situ seperti yang dialami Datuk Seri Aziz Shamsuddin !

Usai sudah PRU, tanpa disangka juga tanpa dijangka sesiapa, Pak Lah telah melantik bekas Menteri Besar Selangor yang pernah 'luput karier' politiknya di era Tun Dr Mahathir dahulu sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah. Lebih hebat lagi si Mat Taib ini apabila tanpa berlengah lagi, diisytiharkan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Selangor yang baru bagi menggantikan Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo yang melepaskan jawatan akibat daripada prestasi buruk BN di Selangor sewaktu PRU ke 12.

MAT TAIB memang HEBAT dan menepati peribahasa Melayu lama iaitu ' Tak Lapuk Dek Hujan, Tak Lekang Dek Panas !'

Tiba-tiba, jagoan 'hidup semula' ini mengesyorkan kepada UMNO supaya pemilihan parti yang dijanjikan diadakan pada pertengahan tahun 2008 ini ditangguhkan ke satu masa lain yang ditetapkan Majlis Tertinggi (MT). Hujah 'berkualiti' yang dibawakan si Ketua Penerangan ini ialah penangguhan itu adalah wajar kerana UMNO perlu memulihkan dahulu kekuatan dan perasaan ahli-ahli di peringkat akar umbi setelah pencapaian merosot Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12. Berikut adalah petikan langsung kata-kata beliau seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia (26 Mac, 2008):

“ Para perwakilan negeri yang menemui Presiden parti secara berperingkat-peringkat sejak Jumaat lalu mengesyorkan supaya pemilihan tidak diadakan pada tahun ini kerana tempoh penangguhan pemilihan MT yang dibuat tahun lalu hanya akan berakhir pada Jun 2009... "

“ Cadangan ini dikemukakan bagi mengelakkan ‘malapetaka’ kepada politik negara kerana dalam keadaan sekarang semua orang tidak boleh berfikir dengan waras ... ”

Perlu dicatatkan di sini bahawa pemilihan parti diadakan setiap 3 tahun sekali. Pemilihan terakhir telah diadakan pada akhir tahun 2004, maka sepatutnya pemilihan telah diadakan pada akhir tahun 2007 yang lepas. Walaubagaimanapun, pemilihan tersebut telah ditangguhkan ke pertengahan tahun 2008 sebagai persiapan menghadapi PRU ke 12. Alasan penangguhan ketika itu sudah pastinya diterima ramai sebagai logik lagi 'wajib' dibuat supaya fokus ahli dan pemimpin tidak terpecah dua iaitu pertembungan antara 'mengejar jawatan di dalam parti dan memastikan kemenangan parti sewaktu PRU.'

Apabila gesaan untuk melanjutkan lagi tempoh pemilihan parti daripada diadakan, gambaran yang cuba dilakarkan seolah memberi satu petunjuk kepada ahli UMNO, penyokong UMNO mahupun seluruh rakyat Malaysia bahawa wujudnya gelombang 'TAKUT' kepada suara ahli dan 'GENTAR' kepada kehendak semasa para penyokong juga pendokong UMNO di peringkat akar umbi ! Mereka yang berada di peringkat bahawan pula yang dituduh sebagai tidak boleh berfikiran waras, tidak mampu membendung emosi ! Siapa sebenarnya yang sedang 'takut' dan tidak stabil pemikirannya akibat daripada rekod buruk yang dicipta oleh Barisan Nasional pada 8 Mac yang baru berlalu itu?

Andai UMNO mahu kelihatan bersih, mahu kelihatan pulih dan kuat kembali maka seharusnya pemilihan itu tidak ditangguhkan buat kali kedua ! Sikap berani menghadapi kenyataan dan bersedia untuk mendengar permasalahan juga kebimbangan ahli-ahli mahupun penyokong di seluruh negara adalah pendekatan terbaik bagi meneruskan kelangsungan UMNO sebagai pejuang bangsa dan agama di bumi bertuah ini. UMNO tidak perlu takut dengan suara ahli !

Kepada Tan Sri Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah ini, ingin saya selaku PENYOKONG KUAT UMNO BERDARAH PAHLAWAN BUGIS KELAHIRAN NEGERI JOHOR BUMI UMNO DIASASKAN memberi amaran ini - JANGAN SEDIAKAN KAFAN UNTUK UMNO di kala UMNO sebenarnya masih relevan dan tetap menjadi pengumpul undi popular terbesar sewaktu PRU 8 Mac, 2008 !


neba2020: Angin perubahan ada kalanya membawa demam kepada kita, ada waktunya juga ia membawa kenikmatan dan rasa nyaman yang sungguh menyegarkan. Angin perubahan jangan dihalang kerana jika terhalang ada masanya ia bertukar menjadi angin puting beliung yang bisa meranapkan kita dalam sekelip mata, hancur semuanya. Angin perubahan perlulah dikawal dan ditadbir selia dengan penuh hemah dan bijaksana agar ia menghadirkan kebaikan buat kita keseluruhannya....

No comments: