Alam 'degree' memang cukup mendewasakan saya. Pengajian selama 4 tahun tanpa henti untuk mengejar sesuatu yang cukup bernilai adalah umpama gabungan pengalaman pahit juga manis yang tak bisa tuk saya lupakan selamanya. Apalagi bagi seorang seperti saya yang cukup tinggi tahap 'sentimentalnya.' Setiap detik dan ketika pasti diingati dengan penuh makna lagi bererti besar.
Saya memasuki Multimedia University (MMU) sebaik sahaja mendapat keputusan SPM. Saya tidak akan lupa pada tarikh keramat 21 Mei, 2000 (Ahad) di mana saya mendaftarkan diri secara rasmi di universiti yang namanya ketika itu baru sahaja ditukar daripada UNITELE (Universiti Telekom). Di saat itu setiap kali orang bertanya di mana saya belajar, terpaksalah menyebut 'Universiti Telekom.' Nama singkatan MMU ketika itu memang amat asing bunyinya bagi kebanyakan orang. Aduh, tercabar sungguh apabila majoriti saudara-mara juga jiran tetangga memberi respon 'Apa, MMU? Kat mana tu? Universiti apa tu? Tak pernah dengar pon !'
Jika 21 Mei, 2000 adalah tarikh bermulanya alam pengajian saya di MMU, maka 8 April, 2004 saya isytiharkan sebagai tarikh berakhirnya alam pengajian saya di universiti yang amat saya sayangi ini.
8 April, 2004 masih segar diingatan saya di mana saya menduduki peperiksaan akhir bagi subjek terakhir saya di trimester terakhir ! Sehingga kini saya masih ingat betapa nostalgiknya peristiwa menduduki peperiksaan 'terakhir' itu. Subjek tersebut diberi nama 'Offshore Banking and Finance' dan waktu peperiksaannya adalah selama 2 jam bermula pada 2.30 petang. Subjek ini diajar oleh Mr Md Abdur Raquib - Pensyarah dari Bangladesh dengan pendidikan di Amerika Syarikat, seorang yang cukup luas pengetahuannya. Beliau kami 'cop' sebagai seorang pensyarah yang 'terlebih maklumat' sehingga mampu menghuraikan satu ayat di dalam masa setengah jam ! Penguasaan komunikasi dan gaya pengajarannya cukup hebat lagi terpuji !
Sebaik sahaja tamat peperiksaan itu, kami sekelas bersorak keriangan seakan telah mencapai garisan penamat perjuangan untuk mendapatkan ijazah ! Terlupa pula bahawa itu hanyalah tamat menduduki peperiksaan, belum pasti sama ada lulus ataupun 'kantoi !' Tak mengapalah, itu namanya 'kanak-kanak riang' baru hendak 'menguji lebar-sempit percaturan dunia' di kemudian hari.
Hari ini genaplah 4 tahun tarikh 8 April, 2004 saya tinggalkan. Memorinya tidak akan saya lupakan kerana saya tahu bahawa kenangan tidak mampu diulang dan tak terbeli dek wang ringgit. Kenangan akan sentiasa terabadi di dalam jiwa. Sedar ataupun tidak kita harus mengakui betapa pembawaan diri kita di masa hadapan akan sentiasa dipengaruh oleh kesan-kesan langsung mahupun tidak langsung daripada segala proses yang membawa kepada terciptanya kenangan-kenangan itu. Itulah yang dinamakan 'proses penciptaan identiti diri dan pendewasaan.'
neba2020: Masa pantas berlalu seakan tidak pernah menunggu kita walau sekejap cuma. Kadang-kadang kita lupa untuk merenung diri juga menginsafi kejadian diri ini. Di mana kita bermula? Sepantas masa yang sentiasa berkejar kehadapan bermaksud sepantas itu jugalah usia kita bertambah dan bergerak kehadapan. Sejauhmanakah usia kita yang makin meningkat itu membawa kita kepada menambah jasa dan menambah budi kepada insan-insan yang terhampir dengan kita? Sempatkah kita berbudi kepada insan-insan itu tatkala mereka masih 'ada' di dunia ini? Ingatlah bahawa insan-insan itu juga makin dikejar usia 'penamat' sepantas masa yang tidak pernah menunggu kita, melunsur dengan lajunya....
No comments:
Post a Comment