Tuesday, March 11, 2008

Realiti Di Sebalik Pilihan Raya 2008 - BN makin lemah, UMNO tetap pilihan utama !

Salam Buat Semua,

Selesai sudah Pilihan Raya Umum ke 12 dan apa yang jelas, prestasi Barisan Nasional (BN) telah merudum dengan 'tenatnya' apabila hanya mampu memperoleh 140 kerusi Parlimen berbanding rekod cemerlang pada tahun 2004 dengan menguasai 198 kerusi. Para pembangkang ('Barisan Alternatif - BA) kali ini berjaya 'memaut' undi hampir separuh daripada para pengundi Malaysia dengan menenggelamkan 'dacing' di 82 kerusi Parlimen, jauh mengatasi pencapaian kurang 'memberangsangkan' pada tahun 2004 dengan hanya mampu 'bernafas' di 21 kawasan sahaja.

Walau bagaimanapun, hakikat yang harus diterima oleh parti pembangkang ialah - Majoriti rakyat Malaysia masih setia dan percaya kepada Barisan Nasional sebagai wadah harapan mereka serta BN masih menguasai 8 buah negeri dengan 7 daripadanya mempunyai kuasa 2/3, manakala di pihak 'juara bertahan' pula iaitu BN mereka harus menelan realiti pahit yang benar - 4 negeri telah dikuasai BA, dikala Wilayah Persekutuan juga layak dikira memihak kepada BA, Kelantan terus setia bersama PAS dan tiada lagi negeri yang menjanjikan kemenangan 100% buat BN seperti dahulu !

Berikut adalah 5 lagi realiti benar yang WAJIB difahami semua pihak sama ada BN mahupun BA agar 'kegembiraan' terhadap kemenangan itu tidaklah terlalu berlebihan hingga membawa kepada leka kepada 'situasi yang hakiki' :

1) Di kala BA bertempik-sorak menafikan majoriti 2/3 BN di Parlimen, sedarlah juga bahawa mereka turut gagal memperoleh majoriti 2/3 di Dewan Undangan Negeri Perak, Selangor dan juga Kedah. Seronoknya mereka merasakan BN tidak akan menjadi satu kerajaan yang efektif di Parlimen, maka itu jugalah hakikatnya di 3 negeri yang telah mereka 'sambar dan takluk' itu.

2) BN harus sedar bahawa mereka juga hanya menang dengan majoriti mudah di Negeri Sembilan, dikala pengaruh DAP semakin 'mekar berkembang' di kawasan-kawasan maju seperti Seremban, Rasah mahupun Teluk Kemang.

3) Negeri Johor yang pernah dianggap sebagai 'tanah haram' untuk parti PAS sudah mula seakan menjadi 'halal' apabila PAS berjaya menguasai 2 kerusi DUN. DAP yang kali terakhir 'merasa' tanah Johor pada tahun 1990, kini sudah kembali 'rohnya' dengan bertakhta di 4 kerusi DUN dan satu Parlimen (Bakri, Muar).

4) Kita dapat lihat betapa di Selangor, Pulau Pinang dan Perak, sokongan kepada BN di kawasan majoriti Melayu masih ampuh. Buktinya, prestasi UMNO untuk DUN di ke tiga-tiga negeri tersebut adalah masih unggul dan UMNO pulalah yang akan menjadi pembangkang utama kepada kerajaan-kerajaan di 3 negeri terbabit yang anggota DUN daripada Barisan Alternatif adalah datang daripada bangsa Cina dan India secara majoritinya. Ini adalah senario yang amat 'menarik' untuk kita saksikan bagi tempoh 4-5 tahun mendatang.

5) Pertama kali dalam sejarah Malaysia, seorang Perdana Menteri telah 'kehilangan' negerinya sendiri ! Seharusnya Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berasa 'malu' apabila negeri Pulau Pinang tanah kelahirannya itu telah jatuh ke tangan parti yang bukan sealiran dengannya. Sehebat manapun gelombang rakyat sewaktu Pilihan Raya 1969 (isu perkauman) dan 1999 (isu pemecatan Anwar Ibrahim), tetapi rakyat Kedah sewaktu itu secara totalnya masih 'setia' bersama Perdana Menteri kelahiran negeri mereka iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman (1969) dan juga Tun Dr. Mahathir Mohamad (1999). Allahyarham Tun Abdul Razak sewaktu Pilihan Raya 1974 dan juga Allahyarham Tun Hussein Onn (1978) juga telah mendapat kepercayaan majoriti para penduduk negeri kelahiran mereka (Pahang / Johor) terhadap parti yang dipimpin (Perikatan - Ikatan lama sebelum berkembang kepada BN). Sesungguhnya Pak Lah telah mencatat satu lagi rekod yang 'terbilang' (sukar untuk diperoleh sesiapa) yang bisa mengindahkan profil rekod kepimpinannya buat tatapan generasi mendatang !

Berikut adalah kesimpulan ringkas tentang prestasi keseluruhan BN dan juga BA pada Pilihan Raya Umum 2008 berbanding edisi yang sebelumnya (2004):

UNDI POPULAR:

2004 : BN - 63.80% BA - 36.20%
2008 : BN - 51.30% BA - 48.70%

PARLIMEN (Penguasaan Undi untuk 5 parti paling popular sewaktu PRU 2008):

Umno - 35.51% (2,462,749 undi)
PAS - 21.65% (1,501,800 undi)
PKR - 13.15% (911,761 undi)
DAP - 12.76% (884,941 undi)
MCA - 9.14% (633,985 undi )

NEGERI (Penguasaan Undi untuk 5 parti paling popular sewaktu PRU 2008):

UMNO - 29.99% (2,371,867 undi)
PKR - 18.6% (1,471,150 undi )
PAS - 14.75% (1,166,918 undi)
DAP - 14.01% (1,107,960 undi)
MCA - 10.74% (849,108 undi)

Kesimpulannya:

1) Barisan Alternatif telah melakukan sesuatu yang cukup cemerlang untuk PRU 2008 ini dan pujian harus diberikan kepada mereka. Secara mudah, daripada 100 orang pengundi sewaktu PRU 2008, hampir 49 daripadanya telah memilih barisan pembangkang. Di pihak Barisan Nasional, majoriti rakyat (51.30%) masih lagi percaya kepada keupayaannya untuk terus mengemudi Malaysia ke era yang lebih maju dan makmur (moga-moga).

2) UMNO belum hilang kuasa dan hakikatnya majoriti bangsa Melayu masih 'setia dan percaya' kepada UMNO. Untuk mengatakan bahawa UMNO bukan lagi pilihan utama rakyat, itu adalah satu kesilapan besar yang perlu dibetulkan. BA berjaya menguasai Perak, Selangor dan Pulau Pinang lebih kepada bantuan besar daripada para pengundi berbangsa Cina dan India, bantuan kaum Melayu hanyalah secara minoriti.

3) Persaingan di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis adalah lebih terarah kepada pertempuran Melayu menentang Melayu. Keputusannya, PAS dan UMNO adalah seri !

4) Walaupun pembangkang sudah mengusai 6 DUN (6/56) dan 1 Parlimen (1/25) di negeri keramat kelahiran UMNO iaitu Johor Darul Ta'zim (Allah Peliharakan SULTAN Johor !) tetapi hakikat yang perlu diterima oleh ramai pihak ialah jumlah terbesar undi yang diterima BN adalah datangnya dari Johor dengan menyumbangkan 15% (613,813 undi) daripada jumlah sokongan penuh kepada BN di seluruh Malaysia. Ini meninggalkan jumlah peratusan yang disumbangkan negeri-negeri 'lombong emas BN' yang lain seperti Sabah, Sarawak mahupun Perlis.

5) Di pihak BA, penyumbang terbesar undian mereka ialah negeri Selangor Darul Ehsan. 17.09% (656, 347 undi) daripada jumlah undi keseluruhan barisan 'pembaharuan' adalah datangnya daripada negeri yang diklasifikasikan termaju di Malaysia ini. Maka eloklah kalau kita katakan di sini bahawa melalaui PRU 2008, ternyatalah Johor dan Selangor adalah dua negeri yang cukup besar 'peranannya' dalam menentukan populariti BN mahupun BA !

Neba2020: Moga orang Johor dan orang Selangor akan terus bersahabat dan berhemah selalu sesama sendiri. Menarik untuk direnung betapa kedua-dua negeri inilah pentadbirannya mahupun kapasiti penduduknya adalah dikuasai oleh Melayu daripada etnik Jawa dan Bugis secara seimbang. Bugis dan Jawa cukup sinonim dengan negeri Johor dan juga Selangor. Kesultanannya juga berasaskan ' darah Bugis, darah pahlawan, darah revolusi, darah kesetiaan !' Allah peliharakan Sultan Johor ! Allah rahmati Sultan Selangor !

No comments: