Thursday, August 28, 2008

Perpaduan Teras Kejayaan

Salam Buat Semua,


1) Saya tidak pernah bercampur dengan bangsa Cina mahupun India sewaktu berada di alam sekolah rendah. Semuanya Melayu, semuanya beragama Islam, sepemikiran juga seakan sama gaya kehidupannya.

2) Saya seorang yang 'lambat panas.' Sejak kecil lagi saya tidak suka menonjolkan diri, suka berdiam diri dan tidak akan berkata-kata kecuali kalau dipinta mahupun terdesak.

3) Saya dipanggil 'mayu' oleh saudara-mara kerana sifat pemalu yang amat tinggi, sentiasa berkepit dengan Emak dan Encik ke mana sahaja, tidak lincah berlari ke sana ke mari dan tidak mudah tertarik dengan kehadiran 'budak-budak sebaya' untuk diajak bermain bersama-sama.

4) Sewaktu di Darjah 5, saya dipilih secara undi oleh kawan-kawan sekelas sebagai Ketua Darjah. Guru kelas saya ketika itu bernama Cikgu Tan Lay Ngoh, tinggi orangnya dan sentiasa kelihatan seperti eksekutif korporat sewaktu mengajar.

5) Ketika di Darjah 6, sekali lagi kawan-kawan mengundi saya sebagai ketua mereka. Guru Kelas yang bernama Cikgu Yap Kim Chuan adalah seorang yang banyak memberi kepercayaan kepada saya, di dalam kelasnyalah saya pernah disuruh bercerita secara spontan, lantas saya mewakili kelas ke pertandingan bercerita, akhirnya 'si pemalu' ini menjadi juara sekolah !

6) Masuk Tingkatan 1, saya mula berada di Sekolah Tinggi Segamat, sekolah harian biasa yang majmuk, tiga kaum utama sepakat menuntut ilmu bersama-sama. Sebagai budak yang datang daripada sekolah kampung, saya tidak mempunyai rakan-rakan lama, hanya si Ariati Othman sahaja yang saya kenali sejak sekolah rendah, maka mustahil untuk rakan-rakan baru mencalonkan saya menjadi ketua mereka. Guru Kelas saya bernama Cikgu Foong Mun Fatt.

7) Bermulanya tahun ke 2 di sekolah menengah, saya diundi oleh rakan-rakan untuk menjadi Pengerusi Tingkatan. Cikgu C. Jayamani selaku Guru Kelas cukup banyak memberikan kepercayaan dan juga 'kuasa' kepada saya untuk mentadbir sebuah kelas yang penuh dengan budak-budak bijak daripada 3 kaum yang berbeza.

8) Saya tidak pernah menjadi Pengawas di sekolah kerana sistemnya memerlukan pelajar itu mencalonkan dirinya sendiri sebelum ditemuduga oleh panel disiplin sekolah. Konsep seperti itu cukup bercanggah dengan prinsip diri saya, tidak sesekali saya akan mencalonkan diri sendiri ! Cikgu Jayamani pernah juga memberitahu kelas bahawa dia tidak mahu saya menjadi Pengawas sekolah, tetapi saya perlu kekal sebagai Pengerusi Tingkatan sampai bila-bila. Alasannya, kelas yang penuh dengan budak-budak bijak, penuh dengan pengawas-pengawas sekolah dan penuh dengan orang-orang penting kelab dan persatuan juga memerlukan seorang Pengerusi Tingkatan yang sepadan. Saya berasa cukup bangga dengan kata-kata seorang guru yang berbangsa India tetapi menaruh kepercayaan yang cukup tinggi kepada budak Melayu yang seorang ini.

9) Seperti dirancang, semua kawan-kawan berbilang bangsa berterusan mengundi si Fendi ini sebagai ketua mereka, kali ini guru kelas beralih pula kepada Cikgu Rahmah Kassim.

10) Dengan latar-belakang 3 kaum itulah kami menjadi sepakat, mengatur satu persembahan lakonan khas sempena sambutan bulan kemerdekaan tahun 1997, Tingkatan 3A menjadi juara ! Saya bertindak sebagai pengarah persembahan merangkap pencerita. Semua rakan-rakan tidak kiralah Melayu, Cina dan India memainkan peranan masing-masing, patuh dan sekata memberi kepercayaan kepada saya untuk mengolah perjalanan persembahan tersebut. Kami membuktikan bahawa berkat sepakat dan bersatu, semuanya boleh dilaksanakan !

11) Saya terus diundi sebagai Pengerusi Tingkatan untuk 2 tahun berikutnya pengajian kami di Sekolah Tinggi Segamat. Setiap hari saya akan 'berceramah' di depan kelas tentang situasi tabung kewangan kelas, kebersihan dan juga aktiviti-aktiviti tambahan sekolah yang melibatkan semua kelas. Guru kelas ketika di Tingkatan 4 ialah Cikgu Nor Akmal Omar manakala Cikgu Zaimon Ismail menerajui kami di Tingkatan 5.

12) Kami menjadi juara di dalam Pertandingan Menghias Kelas sempena bulan kemerdekaan tahun 1999. Masih terkenang-kenang betapa indahnya kelas 5A itu, penuh dengan bendera, kata-kata semangat, tema-tema patriotik dan juga sudut istimewa di belakang kelas yang dijadikan sebagai pameran mini barang-barang antik. Dalam menuju kemenangan tersebut, kami semuanya sanggup datang ke kelas pada hujung minggu untuk membasuh seluruh bilik darjah sebelum proses menghias dilaksanakan.

13) Tidak kiralah si gadis Cina anak seorang Doktor, si jejaka India anak seorang wakil rakyat dan si jejaka Melayu anak seorang peniaga, semuanya bersatu dan bersepakat dengan gembiranya untuk menuju kejayaan ! Sebut sahaja bulan bahasa, kelas kami jugalah yang menjadi juara keseluruhan !

14) Sewaktu di Tingkatan 5 juga saya dipilih sebagai Pengerusi Kelab Pengguna, antara kelab yang paling berbilang bangsa di Sekolah Tinggi Segamat. Rakan-rakan Cina dan India tidak pernah memberikan masalah kepada saya, mereka giat menjalankan segala aktiviti kelab yang dirancang. Kami sama-sama menjadi pejuang pengguna, menyemarakkan pelbagai aktiviti konsumerisme di sekolah tercinta, tanpa rasa prejudis juga tanpa rasa terpaksa.

15) Saya masih dan akan berterusan merindui gelagat Raven Kumar, Shankar, Velan, Alfred, Kumarakuru, Sathiya, Sharmila, Mary Anne; Rakan-rakan India yang cukup menyenangkan. Di pihak rakan-rakan Cina, pastinya saya tidak akan lupa kepada Lee Chuan Yoong yang duduk di sebelah kanan sewaktu di Tingkatan 5A, Chan Pei Lynn, Chee Wai Hong, Andrew Tey, Eric Yap dan Tey Kenny. Mereka adalah sebahagian daripada 'permata-permata' yang pernah memeriahkan diari kehidupan saya sebagai seorang anak remaja yang meningkat dewasa suatu ketika dahulu.

Perpaduan Teras Kejayaan !

Neba2020: Perpaduan di kalangan pelbagai kaum akan tercapai apabila sikap saling menghormati dan saling memahami budaya dan gaya hidup masing-masing diamalkan. Paksaan dan desakan tidak akan menghadirkan perpaduan. Ianya akan lahir apabila sensitiviti masing-masing difahami dan diinsafi ....

7 comments:

Anonymous said...

Jadi, berdasarkan padangan anda, boleh saya simpulkan bahawa kem khidmat negara adalah sesuatu pembaziran?

Kerana tujuannya asal adalah untuk memupuk perpaduan kaum secara paksa,(mereka yang dipilih tidak berhak menolak kecuali atas alasan tertentu) bukannya atas dasar sukarela.

fendy_ahmad said...

Salam,

Saya kira program tersebut adalah untuk memberi peluang kepada remaja-remaja tersebut untuk mengenal hati budi masing-masing terlebih dahulu dan tidak meras abahawa kaum lain adalah seperti 'makhluk asing' buat diri masing-masing.

Andai mereka telah mula kenal dan rasa tiada yang 'asing' maka perpaduan itu akan tercapai apabila masing-masing memulakan alam pengajian tinggi mahupun di alam pekerjaan.

< harap tidak dipolitikkan artikel-artikel saya yang ditujukan khas sempena musim Merdeka >

squall-shinoda said...

to anonymous:
Jawapannya ialah ya dan tidak. Tidak kerana niat untuk memupuk perpaduan itu sendiri sememangnya niat yang murni. Namun demikian, keputusan akhir terletak di tangan anda sendiri. In the end, you'll decide.

Perpaduan seharusnya diterapkan sejak kecil lagi dan bukannya sampai kena tunggu kena hantar PLKN baru boleh bersatu-padu. Oleh itu, tak guna kalau berhabis berbilion ringgit untuk PLKN setiap tahun kalau semangat perpaduan hanya nampak setakat dalam kem PLKN saja.

Generasi seperti saya dan fendy tak merasa PLKN atas faktor tahun kelahiran. Namun kami mampu hidup bersatu-padu dengan sahabat sekelas tanpa mengira kaum dan agama - kerana kami anak Malaysia - dan kami membesar, bermain dan belajar bersama-sama. Oleh itu, kepada generasi yang lebih baru yang tentunya sudah merasai "nikmat" PLKN, manfaatkanlah ia sebaik mungkin sebagai wadah perpaduan agar wang rakyat yang dibelanjakan berbilion ringgit setahun tidak disia-siakan begitu sahaja.

Anonymous said...

alangkah baiknya kalau semangat perpaduan ini tersemat dalam setiap diri anak malaysia mengatasi semangat poitikus, mengatasi smgt kepentingan diri, mengatasi apa2 jua...

kerna ini apa yg ISLAM telah ajar pd umatnya...

Kembali hayati bulan kemerdekaan dgn nilai ISLAM~ bukan dgn nilai KEBANGSAAN sbg yg utama~

fendy_ahmad said...

Salam,

Saya kira semangat kebangsaan yang tebal dan betul disalurkan akan membawa kepada semangat Islam juga. Tidak kiralah apa jua agama, semuanya akan membawa kebaikan.

Saya sayangkan negara ini, saya bangga menunjukkan patriotisme saya dan saya akan utamakan negara ini maka akhirnya saya akan bekerja keras, cuba mencemerlangkan diri dalam segala aspek kehidupan, itu juga akhirnya membawa kepada kegemilangan penganut agama itu sendiri.

Apabila ada pihak-pihak yang cuba memisahkan semangat kebangsaan dan semangat agama, itu sebenarnya cubaan untuk menyalahkan pihak-pihak tertentu sahaja, inilah masalahnya apabila kepentingan politik diutamakan.

Adi Yuseri Md. Yusof said...

Sekadar bertanya...do you have a Malay friends during your secondary school? saya tak terbaca nama-nama Melayu selain dari seorang perempuan... :D

I'm in the situation similar as you. Sejak dari sekolah rendah sampailah ke sekolah menengah hanya berada di lingkungan rakan-rakan Melayu. Bermula dengan kehidupan di Universiti saya baru bercampur dengan kaum-kaum lain. Itupun tidak semesra apabila bersama kaum Melayu. 'Turning point' saya bergaul rapat dgn kaum lain (Cina & India) adalah sewaktu di alam pekerjaan dimana hanya saya seorang Melayu dalam department yg majoriti adalah Cina. Keadaan dan suasana yg membuatkan kita berubah cara pemikiran dan pergaulan.

Jika kita lihat situasi di Malaysia, kita seakan terpisah dari pergaulan antara kaum secara langsung disebabkan faktor persekolahan dan lokasi yang berbeza-beza.Melayu di SK (kampung), Cina di SRJKC (pekan) and India di SRJKT (estet) - situasi ini dapat di lihat dengan jelas di kawasan kampung atau perdalaman. Perpaduan sepatutnya dipupuk sejak bangku sekolah rendah. Tetapi disebabkan faktor2 sebegini membuatkan perpaduan di antara kaum lambat berkembang dengan baik. Terpaksa menunggu sehingga belajar di universiti ataupun berkerja. A pasive reaction!

Jika kita lihat suasana di kawasan bandar-bandar besar terutamnya di Kuala Lumpur, Georgetown dll. perpaduan antara kaum semakin hari bertambah baik...malah melebihi jangkaan. Kebanyakan remaja2 disana bercampur antara kaum disebabkan faktor persekolahan dan lokasi yang sama. (Cuba abaikan masalah2 sosial yg banyak terjadi di kawasan bandar - di sini pengaruh agama memainkan peranan penting mendidik setiap individu akan jati diri and ketahanan diri dari anasir2 yg tidak baik. Setiap agama menganjurkan penganutnya untuk berbuat baik)

Alangkah baiknya sekiranya Malaysia mewujudkan satu jenis aliran persekolahan di mana semua kaum bersekolah di tempat yang sama, tinggal di kawasan yang sama...belajar bersama-sama, main bersama-sama dan beriadah bersama-sama, dengan mudah perpaduan akan tercapai.

Saya ingin menceritakan pengalaman saya berada di eropah atas urusan kerja selama 6 bulan dan bercampur dengan rakyat Malaysia dari kaum2 lain...di sana semua orang hanya nampak diri mereka sebagai rakyat Malaysia dan bukan Melayu, Cina atau India...mula memahami dan bertolak ansur dan sama-sama merindui Malaysia (tanah kelahiran).

Berbalik kepada persoalan PLKN, saya anggap langkah kerajaan mewujudkan PLKN adalah satu langkah yg boleh di terima baik. Memberi peluang kepada golongan muda mengenali kaum-kaum yang berlainan walaupun mereka yang menyertai bukanlah secara sukarela.. sekurang-kurangnya mereka di beri peluang yg baik. Secara langsung, mereka ini akan lebih menghormati akan kelebihan, kekurangan dan sensitiviti kaum berbilang bangsa. Langkah kerajaan ini boleh di anggap sebagai cubaan mengurangkan jurang yg telah terbina sekian lama. (sejak dari zaman penjajahan).

P.s: Maaf sekiranya komen ini amat panjang. Tergerak hati untuk memberi sedikit pandangan kerana saya telah merasai nikmat perpaduan dan ingin sekali melihat rakyat Malaysia sama2 merasai nikmat hidup bersatu padu dan bertolak ansur antara satu sama lain.

fendy_ahmad said...

Salam,

Terima kasih atas komentar saudara Adi, menarik dan cukup bernas :)

Menjawab persoalan tentang rakan-rakan Melayu di sekolah menengah itu, jawapannya mestilah ada ;)

Sepanjang di sekolah menengah, komposisi kelas saya adalah lebeh kurang 50% Bumi Melayu dan 50% Bukan Bumi (Cina + India).