1) Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah umpama 'protege' Tun Dr. Mahathir Mohamad suatu ketika dahulu. Dilahirkan sebagai anak kepada seorang pekerja hospital yang akhirnya bergerak cergas di dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) sehingga berpeluang menjadi Setiausaha Parlimen di Kementerian Kesihatan (Ibrahim Abdul Rahman). Anwar berkelulusan Ijazah Pengajian Melayu daripada Universiti Malaya, tidak hairanlah beliau cukup meyakinkan ketika bertutur dan bijak bermain psikologi anak-anak bangsa sejak zaman beliau menjadi 'aktivitis' masyarakat dahulu lagi bermula sebagai Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia pada tahun 1968.
2) Pada tahun 1982, Anwar 'mengejutkan' majoriti masyarakat dengan kesudiannya menyertai UMNO di atas pelawaan Dr. Mahathir, seantero Malaysia sudah sedia maklum ketika itu betapa Anwar adalah seorang yang cukup kritikal kepada pemerintahan UMNO khasnya dan BN amnya. Keceluparan beliau dalam 'menghina' dan 'menghukum' gaya pentadbiran UMNO membuatkan ramai yang berasa sangsi dengan 'perubahan kulit' mendadak jejaka kelahiran Cherok Tok Kun, Seberang Prai ini.
3) Dengan 'restu' Dr. Mahathir jugalah kerjaya Anwar di dalam kerajaan meningkat dengan pantasnya, umpama roket laju yang membawa angkasawan menuju ke galaksi luar daripada dunia. Sepantas kilat beliau dipilih sebagai calon UMNO untuk bertanding di Parlimen Permatang Pauh pada tahun 1982 itu juga. Tanpa disangka, seorang muka baru dalam UMNO yang tiada rekod berjuang untuk parti telah ditabalkan sebagai Menteri penuh di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada tahun 1983. Pada tahun 1986, permata kesayangan Dr. Mahathir ini diangkat pula sebagai Menteri Pendidikan, suatu petunjuk bahawa bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu akan mengisi kerusi Timbalan Perdana Menteri Malaysia kemudiannya.
4) Bintang kejora Anwar terus bergemerlapan apabila posisi Menteri Kewangan yang dikosongkan Tun Daim Zainuddin beralih pula kepadanya pada tahun 1991. Ramalan ramai bahawa Anwar adalah anak emas Dr. Mahathir terbukti juga akhirnya apabila beliau seumpama direstui dalam senyap oleh Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO itu untuk mencabar Encik Ghaffar Baba (Allahyarham Tun) sebagai Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1993. Anwar berjaya mencapai misinya dan seterusnya beliau secara rasmi dipilih Dr. Mahathir untuk memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia sewaktu usianya baru menjejak 46 tahun.
5) Bintang kejora yang cahayanya kelihatan cukup terang lagi bersinar-sinar itu akhirnya menjadi gerhana apabila tanpa disangka, anak emas itu disingkirkan sendiri oleh 'penaung' utamanya. Anwar dipecat oleh Dr. Mahathir daripada semua jawatannya di dalam kerajaan pada lewat petang 2 September 1998. Pada 3 September, keahliannya di dalam UMNO ditarik balik secara serta-merta.
6) Dr. Mahathir menyifatkan penyingkiran Anwar terpaksa dibuat kerana beliau mempunyai tanggungjawab sosial untuk memastikan Malaysia ini tidak diperintah oleh seorang Perdana Menteri yang mempunyai moral yang tidak baik, seorang pengamal seks luar tabi'i. Di sebalik alasan tersebut, gerak-geri Anwar selaku Menteri Kewangan dalam menangani masalah serangan spekulator asing terhadap Ringgit yang membawa kepada masalah berantai kepada ekonomi negara (krisis kewangan, inflasi, kurangnya daya tahan perdagangan dan peningkatan hutang tidak mampu bayar di institusi-institusi kewangan) turut dipercayai menguatkan lagi tindakan tersebut. Anwar dipercayai bertindak melulu dengan 'taksub' merujuk kepada preskripsi tajaan pihak asing yang membuatkan keadaan menjadi lebih parah.
7) 10 tahun telah berlalu, pusingan kisah-kisah Anwar telah menjadi lengkap dan cukup berwarna-warni. Dipecat, didakwa di mahkamah, dipenjara, dibebaskan, menyertai politik semula dan kembali bergelar Yang Berhormat apabila memenangi Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008 dan pada masa yang sama berhadapan pula dengan tuduhan kes liwat terbaru yang terhasil daripada laporan polis yang dibuat oleh seorang jejaka bernama Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu Anwar sendiri. Anwar yang dulu pernah bergelar Presiden kepada badan bukan kerajaan, seterusnya menjadi Menteri dan juga orang nombor dua terpenting di dalam kerajaan; Kini Anwar bergelar Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia. Inilah sesuatu yang cukup menarik tentang Anwar yang pernah menimbulkan polemik hangat sewaktu menerajui Kementerian Pendidikan apabila menukarkan nama subjek Bahasa Malaysia kepada Bahasa Melayu. Tindakan beliau yang cukup terkenal dengan dasar-dasar pro-Melayu sewaktu itu telah menimbulkan kebencian bangsa-bangsa lain terhadapnya. Itu kisah Anwar di era 1980an, Anwar di era tahun 2008 adalah Anwar yang lain, cukup liberal dan sungguh bijak menawan 'hati dan jiwa' sesiapa jua di Malaysia ini.
8) Kini Anwar 'menuju' Putrajaya, itulah yang menjadi kepercayaan kesemua penyokongnya dan juga parti-parti yang bernaung di bawah label Pakatan Rakyat (PKR, PAS dan DAP). Anwar mensasarkan untuk mengambil alih pentadbiran Malaysia ini daripada BN menjelang Hari Malaysia, 16 September 2008. Andai ianya menjadi kenyataan, maka Anwar dapat mencapai impiannya untuk bergelar Perdana Menteri Malaysia yang ke 6, yang pertama bukan daripada parti UMNO tetapi di atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang masih berpresidenkan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, isteri beliau sendiri yang kelihatan cukup tabah dalam mengharungi 'roda-roda kehidupan' seorang yang bernama Anwar Ibrahim itu.
9) Semua mata akan tertumpu kepada Anwar. Beliau pernah menjadi bintang kejora dan berubah kepada bintang gerhana selama sedekad ! Adakah gerhana itu akan terpancar semula pada 16 September 2008? Hanya Anwar yang tahu tentang percaturannya, dan hanya dengan izin Tuhan juga ianya akan berlaku ataupun sebaliknya. Kepada Tuhan kita berserah.
10) Buat Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun pandangan dan idealisme kita kelihatan ada jurangnya dan sukar untuk bersatu, kau tetap idolaku di paksi kiri. Di paksi kanan, Tun. Dr. Mahathir memberikanku semangat untuk bijak berfikir, sensitif kepada kepentingan bangsa demi meningkat martabat Islam, sentiasa bervisi ke hadapan dan jangan mudah memandang rendah keupayaan diri sendiri. Di paksi kiri, kau mendidikku tentang semangat dalam berjuang, kuasa komunikasi untuk menjadi manusia yang bisa meyakinkan khalayak dan karisma seorang pemimpin yang tidak mudah luntur dek peredaran zaman. Kalian berdua amatku kagumi dan aku bukan seorang yang fanatik tidak bertempat, tidak menyokong bukan bererti segalanya dibenci, segalanya dikritik ! Menyokong pula tidak bererti semuanya tidak boleh disangkal, tidak boleh diragui.
Neba2020: Andai Anwar menjadi PM, maka teori RAHMAN akan berkubur. RAHMA sudah lengkap tetapi akan menjadi RAHMAA andai Anwar mengangkat sumpah sebagai PM ke 6. Andai Datuk Seri Najib pula yang diberikan izin oleh Tuhan untuk mengemudi Malaysia selepas era 'suram' di bawah Pak Lah, maka teori RAHMAN lengkap sepenuhnya ....
No comments:
Post a Comment