Tuesday, September 23, 2008

Renungan Bersama : Ibu dan Ayah

Salam Buat Semua,

1) Tidak tahu kenapa, saya asyik ingatkan Mak dan Encik, sehari seperti tidak lengkap jika saya tidak terkenangkan dua insan itu. Sepanjang Ramadhan ini lagi kuat memori saya memancarkan wajah ke dua-duanya ke dalam benak minda ini.

2) Seolahnya sudah berbulan saya tidak ketemuan Mak dan Encik, walhal baru hendak mencecah seminggu, 7 hari saja berjauhan !

3) Saya tidak malu jika orang katakan saya anak manja, anak Mak mahupun anak Encik ! Saya juga tidak malu kalau orang katakan saya ini anak jantan yang tidak boleh berjauhan terlalu lama dengan orang tuanya. Apa yang boleh saya katakan, saya bangga jika orang melabelkan saya sebegitu rupa. Saya bersyukur kerana Tuhan kurniakan saya naluri yang cukup istimewa rasanya.

4) Mak dan Encik hanya memiliki 2 cahaya mata, Abang dan saya. Kami dua beradik tidak bekerja di daerah kesayangan tetapi sedikit berjarak. Abang di Johor Bahru manakala adiknya ini di Melaka bumi yang bersejarah. Kami akan sentiasa pulang ke daerah asal-usul sehingga perkelanaan kami di bumi mencari rezeki hanyalah 4 malam seminggu dan selebihnya di Segamat yang sentiasa dekat di hati. Kebiasaannya, lewat senja Jumaat lengkaplah kapasiti 4 beranak di rumah kampung itu. Hanya seusai Subuh di pagi Isnin barulah kami akan beredar pergi. Bagi kami, istilah balik kampung di musim perayaan tiada maknanya, balik kampung adalah rutin normal bagi kami dua beradik, setiap minggu adalah balik kampung !

5) Jarak satu jam setengah antara Melaka dan Segamat juga 2 jam setengah antara Johor Bahru dan Segamat bukanlah masalahnya ! Dekat saja sebenarnya. Kenaikan petrol dan juga tol yang perlu dilunaskan sewaktu pergi dan balik, komitmen kos setiap minggu juga bukanlah peluntur semangat kami untuk membahagiakan Mak dan Encik. Yang penting, mereka ada kami, kami ada untuk mereka !

6) Setiap detik bersama-sama dengan Mak dan Encik adalah cukup berharga lagi membahagiakan. Saya rasa indah sekali tatkala dapat pergi membeli-belah bersama Mak dan Encik, menonton TV sambil menikmati buah-buahan yang enak belaka, menikmati minum petang sambil bertemankan tiupan pepohon hijau di luar rumah, membaca akhbar seiringan sambil mulut cantas-mencantas berdebat isu semasa dan menemankan Emak memasak sambil mulut ini tidak berhenti bergossip pasal dunia hiburan juga politik yang panas. Segalanya cukup memuaskan saya, terima kasih Tuhanku !

7) Saya selalu terfikir, biarlah saya berhabis wang untuk Mak dan Encik walaupun ketika ini pendapatan bulanan belumlah 'serancak' mana kerana saya khuatiri nanti di kala Ringgit di tangan semakin menebal, Mak dan Encik sudah menjengah jemputan Tuhan Yang Maha Kuasa.

8) Setiap kali minda saya memikirkan 'ketentuan' Tuhan yang tidak ketahuan bila masanya itulah membuatkan saya semakin menolak ketepi apa jua alasan dan sebab untuk tidak selalu mengingat juga mendekati dua insan yang semakin meningkat usianya itu.

9) Saya selalu kecewa melihat anak-anak masa kini yang mudah sungguh menjadikan alasan SEBOK, PENAT, TIADA MASA, TIADA BAJET dan 1001 lagi agenda peribadi sebagai penyebab untuk amat jarang menemui ibu dan ayah. Komitmen kehidupan yang semakin mencabar pada masa kini merupakan satu dugaan kepada kita semua, hendak seribu daya tetapi jika hati sudah berat maka seribu dalihlah yang akan dihujahkan.

10) Ibu dan ayah adalah manusia biasa yang secara luarannya akan menunjukkan bahawa mereka memahami segala alasan yang ditampilkan anak-anak. Mereka akan berkata 'Kalau sebok tidak mengapalah,' 'Belajarlah kuat-kuat, tak perlu balik rumah,' 'Kalau tak cukup duit jangan membazir balik rumah selalu' dan bermacam-macam lagi ungkapan yang ditujukan kepada sang anak tatkala menerima 1001 sebab musabab mengapa tidak dapat pulang selalu. Tetapi percayalah, apa yang tersirat di dalam hati nurani mereka adalah berbeza sekali dengan yang diluahkan secara luarannya. Kerana kasih dan sayangnya ibu dan ayah kepada anak-anak, mereka terpaksa meluahkan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak dalaman kerana tidak mahu menyusahkan zuriat yang dikasihi dunia dan akhirat. Kepentingan diri sendiri amat selalu mereka ketepikan semata-mata demi menjaga 'kepentingan' anak-anak.

" Moga kita semua diberikan petunjuk oleh Tuhan agar mempunyai masa untuk menghiburkan ibu dan ayah sementara mereka masih bernafas di bumi yang penuh pancaroba ini kerana mereka telah terlalu banyak menghiburkan juga menyenangkan perjalanan hidup kita selama ini "

Neba2020: Kita jarang berasa apa yang sedang kita miliki adalah amat berharga dan perlu dijaga rapi sentiasa. Kita selalu menyedari bahawa ianya adalah cukup berharga lagi istimewa apabila kita telah kehilangannya di kemudian hari nanti. Menyesal kemudian tiada gunanya, air mata darah sekalipun tidak mampu menjelmakannya semula ....

4 comments:

Anonymous said...

Saya amat bersetuju dengan pandangan saudara. Takala masa kita masih membesar, merekalah yang meluangkan masa untuk menjaga dan menghiburkan kita. Adalah patut, jika bukan tanggungjawab, kita melakukan perkara yang sama untuk mereka.

Muhammad Hazimin Wahab said...

Ibu bapa, asal usul kita, wajarlah sentiasa diingati. Mungkin betul ada yg sibuk. Tapi teknologi sekarang menjadikan kita semakin dekat. Nak atau tdak sahaja yang menjadi persoalan....

Pulang cepat2 ye, neba2020 ke Segamat. Minggu lepas tak pulang ke Segamat.

Mungkin Aidilfitri lagi sekali tahun hadapan, sudah tidak pulang berseorangan.. siapa tahu ? Maklumlah, tapak masjid dah ada, tinggal membinanya shj....hehe

Salam Aidilfitri
Maaf Zahir & Batin

rasyd said...

saya bersetuju yang amat lah dgn abg effendy.InsyaAllah lpas ni saya cuba balik kl setiap minggu ye(huhu susahnya..)

Anonymous said...

windu betol kat sgmt..rasanya nk masuk 2 bulan tk balik...thank you for reminding....