1) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) sewajarnya menginsafi diri dan meletakkan kepentingan parti dan negara mendahului kepentingan peribadinya. Adalah wajar Pak Lah mengumumkan persaraannya sebelum 9 Oktober 2008, tarikh di mana pencalonan untuk jawatan tertinggi UMNO di peringkat bahagian mula dijalankan.
2) Pak Lah telah menjadi Perdana Menteri Malaysia yang paling diperlekehkan rakyat jelata, tidak dibanggai sesiapa, menjadi bahan lawak jenaka di mana-mana sahaja dan dianugerahkan dengan pelbagai 'anugerah' berbentuk panggilan-panggilan yang cukup memalukan (kadang-kadang ada kebenarannya).
3) Pak Lah harus sedar betapa UMNO dan Barisan Nasional (BN) di bawah kendaliannya telah berada pada tahap yang cukup lemah, tidak bermaya dan kehilangan semangat berjuang. Lebih mendukacitakan, UMNO dan BN yang dahulunya gah menjadi kucar-kacir dek pentadbiran Pak Lah yang seolah tiada misi yang kukuh lagi sentiasa diragui rakyat.
4) Demi kestabilan ekonomi, perpaduan dan ketenteraman negara, adalah diharapkan moga kes tuduhan liwat (sodomi) yang dihadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim digugurkan sahaja. Sama ada beliau bersalah ataupun tidak, penulis secara peribadi amat berharap agar kes tersebut 'dicantas' secepat mungkin demi kebaikan negara ini secara kolektifnya.
5) Penulis yakin betapa 'kegilaan' Anwar untuk menuju Putrajaya melalui 'pintu belakang' dengan cuba 'mencuri' ahli-ahli Parlimen daripada BN adalah disebabkan motivasinya untuk 'menutup' kes sodomi itu sebaik sahaja jawatan Perdana Menteri berada digenggamannya. Anwar sendiri seolah 'tahu' apa suratannya andai dia gagal menjadi Perdana Menteri, kes sodomi itu pastinya akan menguburkan terus riwayat politiknya memandangkan umurnya sudah menginjak ke angka 61 pada tahun ini. Andai peristiwa 1998 berulang skripnya, tidak mungkin Anwar akan bangkit semula pada tahun 2018 !
6) Andainya kes sodomi itu dapat ditarik balik, diharapkan agar Anwar dapatlah menjalankan tugasnya sebagai Ketua Pembangkang yang efisien lagi beramanah. Malaysia memerlukan juga pembangkang yang berkualiti dan berniat baik, bukannya pembangkang yang tidak dapat menerima kenyataan bahawa majoriti rakyat Malaysia masih mempercayai BN sebagai pemerintah negara yang mereka kehendaki juga percayai.
7) Sesungguhnya keadaan politik Malaysia sejak selesai Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 pada tanggal 8 Mac adalah dipenuhi dengan hura-hara dan ketiadaan petunjuk bila ianya akan beransur reda dan aman. Cerita-cerita politik yang tiada penamat sememangnya cukup enak untuk didengar dan diperhatikan tetapi kesannya adalah tidak bagus kepada struktur ekonomi, pentadbiran dan keamanan negara. Pentadbir akan hilang fokus untuk memajukan negara manakala pihak pembangkang pula hilang fokus untuk menjadi ejen 'periksa dan seimbang' yang berkualiti kerana berdepan dengan sindrom 'gila kuasa, gila Putrajaya.'
8) Apabila gajah dengan gajah bertembung, pelanduk akan tersepit dengan penuh merananya di tengah-tengah. Siapakah yang menjadi pelanduk? Fikir-fikirkanlah !
9) Pembangkang perlu percaya kepada takdir dan juga realiti masa, mereka telah gagal untuk memikat majoriti daripada rakyat supaya memangkah lambang-lambang parti seperti PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sewaktu PRU 2008. Percayalah bahawa andai rakyat makin mempercayai mereka, maka pada PRU edisi ke 13 nanti (tahun 2012 atau 2013) maka 'tangga-tangga Putrajaya' akan dapat juga ditakluk.
10) Pak Lah janganlah terus 'merosakkan' UMNO dan BN dengan terus berdegil dan berpura-pura seolah-olah tiada apa yang berlaku. Janganlah Pak Lah masih berkeras untuk percaya kepada maklumat-maklumat yang disogokkan 'barisan penasihat eksklusifnya' yang selama ini telah memainkan peranan maha hebat sehingga Pak Lah 'dikelilingi' dengan nasihat-nasihat dan juga petunjuk-petunjuk yang membawa kepada kehancuran kredibilitinya sebagai Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO. Pak Lah sewajarnya berundur dengan sesegera mungkin sebelum tirai tahun 2009 disingkap demi kebaikan semua pihak, kebaikan Malaysia !
Neba2020: Pak Lah dan Anwar, kalian datang daripada negeri yang sama, agama yang sama dan bangsa yang sama. Cukuplah, kehadiran anda berdua sudah cukup memporak-perandakan bangsa dan negara tercinta ini. Buat anda berdua, lihatlah jauh ke dalam pandangan jernih anak-anak kecil yang sama kulitnya, agamanya dan bahasanya dengan kalian. Mereka perlukan pemimpin yang jujur tindakannya, bijak tadbirnya, misinya bermaruah, berani menegakkan kedaulatan bangsa dan pada masa yang sama dihormati rakan-rakan yang lain. Kalian seolah sudah kehilangan 'mutiara-mutiara impian' itu ....
4 comments:
Seorang dari tanah besar Seberang Perai seorang lagi dari bahagian pulau negeri Pulau Pinang. Seperti muka bumi Pulau Pinang yang terpisah dek Selat Utara dan Selat Selatan, saya melihat jurang perbezaan ketara sedalam dan seluas selat-selat ini. Seorang 'terpulau' dalam alam khayalan ciptaannya sendiri dengan ke'ego'an yang mengatakan hanya dia saja betul. Hingga menimbulkan resah gelisah porak peranda huru hara dalam suasana politik yang tidak seimbang dan mengelirukan seperti liku-liku perjalanan di Balik Pulau mahupun kalau kita mahu menyusuri jalan berjurang dan berbelok untuk ke pantai peranginan di Pulau Pinang. Keadaan semakin kucar-kacir dengan keinginan obses seorang lagi bekas pemimpin tersohor kita seperti penulis menyatakan yang dia mahu menutup dan mengaburi kesalahan 'peralihan pintu belakangnya' seperti memuncak dengan gahnya Bukit Mertajam di tengah-tengah tanah seberang dan menghadap ke pulau. Nah, sekarang keadaan kacau-bilau dengan impiannya disamping sokongan penuh jitu lagi fanatik orang-orang yang termakan hujahnya. Semakin haru-biru suasana dingin panas kestabilan pentadbiran sekaligus mengheret kestabilan ekonomi Malaysia. Seperti kata-kata penulis saya juga khuatir, kehilangan tumpuan untuk mentadbir negara dengan efisien akan mencetuskan keadaan yang kita tidak ingin lalui dan ingini. Diharap keadaan keruh ini tidak berlanjutan sehingga boleh menggadai maruah dan kedaulatan negara kita
dah taktau nk ckp apa dah pasal isu ini..apa2 pun saya tetap sokong entry ni..
ya ya...idola no1 anda...pencipta tuduhan sodomi
Salam,
Buat anon di atas, berdasarkan rekod coretan ini saya memfokuskan kepada Pak Lah dan Anwar sahaja...
Anda merujuk kepada IDOLA No. 1 saya, terima kasih kerana prihatin kepada penulisan saya selama ini :)
Rasanya tidak perlulah 'membenci' kepercayaan dan minat saya sehingga anda terlencong daripada apa yang saya keutarakan di topik ini.
Post a Comment