Friday, September 19, 2008

Melayu Yang Mudah Mengalah

Salam Buat Semua,

1) Bangsa Melayu cukup dikenali dengan sopan dan santunnya, manis kata-kata, mudah mengalah, tidak suka berkonfrontasi, cukup memuliakan tetamu dan mudah terasa.

2) Dr. Syed Husin Ali (kini Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat) yang merupakan ahli antropologi menakrifkan orang Melayu itu dari segi zahirnya, lazimnya berkulit sawo matang, berbadan sederhana besar serta tegap dan selalu berlemah lembut serta berbudi bahasa.

3) Melayu cukup mudah mengalah, memandang tinggi kepada bangsa-bangsa lain yang tidak 'serupa' fizikalnya, berbeza bahasanya dan juga berlainan gaya hidupnya. Melayu mudah 'tunduk' kepada 'orang lain' kerana rasa kagum yang tinggi, mudah merasa 'orang lain' adalah lebih hebat dan juga lebih istimewa berbanding Melayu itu sendiri.

4) Sikap terlebih menghormati dan juga terlebih rasa rendah diri Melayu ini adalah aset di awalnya sebagai petunjuk kepada 'orang lain' bahawa ia adalah bangsa yang cukup berhemah tinggi lagi menyenangkan. Aset itu diharapkan akan menjadi 'petunjuk' kepada masyarakat lain supaya bijak untuk menghormati sensitiviti Melayu yang pelbagai bentuknya.

5) Malangnya, semakin jauh perjalanan pembentukan Melayu sebagai bangsa yang Merdeka, semakin aset itu berubah arah menjadi liabiliti yang merugikan lagi melemahkan. Melayu terlalu mudah mengalah, senang memberi dan rela menyerah tanpa melawan. Liabiliti ini membawa kepada penafsiran baru bahawa Melayu adalah bangsa yang mudah tewas dan tidak mementingkan kelangsungan / survival diri sendiri semata-mata kerana malas / alpa untuk melawan menegakkan sesuatu yang sememangnya 'dimiliki.'

6) Melayu membentuk kira-kira 60% daripada populasi Malaysia, majoriti yang cukup kuat untuk sebuah negara yang minoritinya dibentuk oleh pelbagai gugusan kaum lainnya seperti Cina, India, Bumiputera Sabah, Bumiputera Sarawak, Sikh, Peribumi Asli dan pelbagai lagi. Kekuatan kelompok Melayu ini tidak wajar dipandang ringan oleh sesiapapun.

7) Hakikat bahawa Melayu adalah pengamal agama Islam, ikutan rasmi negara Malaysia juga sewajarnya diambil kira sebagai sesuatu yang penting oleh semua pihak. Sinonimnya Melayu dan Islam adalah mencapai tahap 100%, sensitiviti Islam adalah sensitiviti Melayu dan begitulah sebaliknya.

8) Politik Melayu adalah politik yang penuh susila. Malangnya, apabila politik Melayu mula bergolak maka ia akan memberikan kesan yang tidak terhingga kepada kestabilan ekonomi dan juga kemakmuran Malaysia secara keseluruhannya. Politik Melayu tidak boleh dipisahkan dengan dasar-dasar yang akan mempengaruhi pentadbiran Malaysia kerana Melayu itu sendiri mempunyai 'suara politik' dan 'kuasa memilih' mencecah 60% tahap ketinggiannya.

9) Semakin Melayu terlalu menyerah dan mengalah, ianya tidak akan memberikan sesuatu yang positif kepada kekuatan negara Malaysia secara kolektifnya. Golongan-golongan Melayu yang bersikap terlebih liberal terhadap 'tuntutan dan gesaan' pihak-pihak yang tidak memahami konsep kestabilan negara ini sebenarnya hanya memberikan 'kelemahan' yang nyata kepada Malaysia ini di kemudian harinya. Melayu yang 'terseksa' dan 'terkebelakang' di kemudian hari nanti akan membawa 'bencana' kepada Malaysia ini kelak.

10) Sasterawan Negara, Usman Awang pernah menceritakan, " Melayu itu orang yang bijaksana ... Nakalnya bersulam jenaka ... Budi bahasanya tidak terkira ... Kurang ajarnya tetap santun ... Jika menipu pun masih bersopan ... Bila mengampu bijak beralas tangan ... Melayu itu berani jika bersalah, Kecut takut kerana benar ... Janji simpan di perut, Selalu pecah di mulut ... Biar mati adat, Jangan mati anak ... "

Neba2020: Pak Usman berkata, " Walaupun sudah mengenal universiti, Masih berdagang di rumah sendiri ... Berkelahi cara Melayu Menikam dengan pantun, Menyanggah dengan senyum ... Marahnya dengan diam, Merendah bukan menyembah, Meninggi bukan melonjak ... "

4 comments:

davors said...

why racing to achieve in glokal?
Malaysian should go make achievement in global, bro...

Yang mudah mengalah, bukan Malaysian...

Anonymous said...

good post
like your blog very much

would like to invite you to do some write up at yoyooh.com

http://www.yoyooh.com

Anonymous said...

Maaf jika ini lari sedikit daraipada tajuk - Apakah pendapat saudara mengenai cadangan Tun Dr. Mahathir tentang mengunakan kembali strategi tahun '97/8 iaitu dengan menetapkan (peg) matawang Ringgit terhadap Dollar Amerika bagi mengatasi kemelut ekonomi dunia?

fendy_ahmad said...

Salam.

Terima kasih d atas pertanyaan saudara/saudari 'perantau.'

Secara asasnya, saya bersetuju andainya tambatan dilakukan, sebagai proses 'segera' bagi Malaysia menjauhkan diri daripada terpalit dengan keruntuhan nilai Dollar Amerika mutakhir ini. Kita bimbang ianya membawa mudarat kepada ekonomi Malaysia kerana kejatuhan UD Dollar boleh menjunamkan RM bersama-sama kerana pertalian rapat antara dua matawang itu di dalam transasksi perdagangan.

Walaubagaimanapun, tambatan untuk tempoh yang terlalu lama adalah tidak wajar kerana ia akan melihatkan kepada dunia perdagangan yang RM adalah tidak kompetitif (takut bersaing, terlebih perlindungan,kurang daya tahan). Tambatan wajar dilaksanakan di dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu / sukar dijangka sahaja.