1) Tahniah kepada anak Johor ! Tahniah buat Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Johor yang kini mengepalai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri kerana kejujuran dan juga keberaniannya untuk meluahkan apa yang 'berkocak' dan apa yang sebenarnya 'dirintih' oleh rakyat bawahan yang mengambil berat tentang UMNO dan kepimpinannya.
2) Muhyiddin bukan sebarangan personaliti. Seorang yang cukup merendah diri, jarang berkata-kata dan tidak pernah terpalit dengan 'kisah-kisah' berbaur negatif. Para penggosip politik juga tak termampu mencari cerita-cerita 'sisi gelap' beliau. Tiada siapa berani mengotorkan nama insan yang dilahirkan pada tanggal 15 Mei 1947 ini, juga seakan 'terpelihara' daripada sebarang fitnah kotor bagi menjatuhkan karier politiknya. Beliau bukan seorang pendebat, tidak bijak beretorik di dalam ucapannya. Beliau adalah seorang 'pembuat kerja' yang efisien, tegas dan serius selalu tetapi jiwanya lebih mudah terkesan dengan 'masyarakat bawahan.'
3) Karier politik anak ulamak terkenal Johor ini (sesuatu yang tidak suka diperbesarkannya) begitu berkembang di zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad mengemudi Malaysia apabila beliau diangkat sebagai Menteri Besar Johor seusai Pilihan Raya Umum tahun 1982. Seterusnya, selepas Pilihan Raya Umum 1995, pemegang kelayakan akademik di bidang Ekonomi dan Pengajian Melayu daripada Universiti Malaya ini diberikan kepercayaan untuk mengemudi Kementerian Belia dan Sukan, utusan misi khas Dr. Mahathir bagi melancarkan perjalanan Sukan Komanwel 1998.
4) Portfolio lain yang pernah diberikan kepada Muhyiddin ialah sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Di dalam arena politik, beliau telah menjadi Naib Presiden UMNO sejak tahun 1993 lagi. Sewaktu Pemilihan Agung UMNO 1993, Muhyiddin meraih undi tertinggi untuk jawatan Naib Presiden, manakala Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak dan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib mencukupkan 2 lagi posisi tersebut. Pada tahun 1993 itulah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) pernah 'tersingkir' daripada jawatan Naib Presiden UMNO. Tiga tahun kemudiannya, Pak Lah kembali di posisi ke tiga Naib Presiden manakala Najib dan Muhammad masing-masing di tangga pertama dan ke dua. Muhyiddin 'terkeluar' seketika, tetapi kembali semula meraih kepercayaan perwakilan pada tahun 2000.
5) Sejak selesai Pilihan Raya Umum 2008, Muhyiddin kelihatannya cuba 'menongkah arus' dengan secara terbuka memberi 'signal' bahawa Pak Lah wajar berundur daripada jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri, signifikasi betapa beliau wajar memikul tanggungjawab besar terhadap prestasi buruk Barisan Nasional (BN) yang kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen. Muhyiddin sentiasa konsisten dengan pendapatnya dan berani untuk menghadapi apa jua kesan negatif yang mungkin diterimanya akibat daripada sikap berterus-terangnya itu.
6) Andai takdir Tuhan menetapkannya, kemungkinan besar anak jati Muar ini akan 'tertabal' sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia sedikit masa lagi. Seawalnya, ramalan InspiRasi 1982 ~~ adalah di sekitar Oktober 2008 ini manakala selewatnya mungkin menjelang tahun baru 2009. Ramalan adalah permainan manusia, Tuhan jua yang menentukannya. Kata-kata keramat negeri Johor Darul Ta'zim, 'KEPADA ALLAH BERSERAH.'
7) Bagi mereka yang setia mengikuti jejak-jejak perjalanan karier politik Muhyiddin dan juga cara kerjanya yang sentiasa 'tenang dan senyap di dalam serius', beliau pada hakikatnya turut layak untuk mengemudi Malaysia sebagai Perdana Menteri ! Malangnya, Muhyiddin adalah ahli politik yang 'kurang bijak' mempopularkan diri sendiri sejak dahulu lagi menjadikan kehadirannya 'kurang terasa.'
Neba2020: Tun Dr. Ismail, Timbalan Perdana Menteri kepada Tun Abdul Razak, adalah anak Johor pertama yang menaiki carta Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Beliau kembali ke Rahmatullah ketika di dalam jawatan, lalu Razak memilih seorang lagi anak Johor yang juga birasnya iaitu Datuk Hussein Onn (Allahyarham Tun) menggantikan posisi Dr. Ismail yang telah kosong. Kerana suratan takdir telah menentukan bahawa Perdana Menteri ke 3 adalah di tangan anak Johor, ianya tetap terjadi. Kita hanya merancang, Tuhan jua yang menentukan penamatnya ...
No comments:
Post a Comment